Monday, May 18, 2009

Guru pendinding ampuh bendung anasir negatif

Ustazah Nuridah Salleh (Ketua DMPP) Mon May 18, 09 3:38:29 pm MYT

Selamat Hari Guru diucapkan kepada para guru Malaysia yang telah melaksanakan tanggungjawab dalam mendidik generasi ummah.

Tahniah dan syabas buat kalian di atas kesungguhan dan kesabaran dalam mendukung visi dan misi murni menyampaikan ilmu. Tema Hari Guru ke-38 'uru Pembina Negara Bangsa' menyerlahkan agenda membina tamadun negara melalui proses pendidikan yang menjadi nadi profesyen perguruan.

Cabaran guru masa kini berhadapan dengan masalah kebejatan sosial masyarakat yang bermula daripada institusi keluarga yang rosak. Apabila institusi keluarga sejahtera gagal dibentuk, maka pembinaan individu manusia menjadi tidak seimbang.

Ini mengakibatkan guru-guru terpaksa terlebih dahulu menangani 'masalah sikap' para pelajar sebelum meneruskan proses penyampaian ilmu dengan pelbagai medium dan kaedah bersesuaian.

Selain itu proses membentuk daya tahan dan membangunkan sistem imuniti melalui aspek penerapan 'akidah' dan kefahaman terhadap agama serta akhlak merupakan cabaran para guru. Ini adalah kerana dunia ledakan maklumat tanpa sempadan seringkali membuka ruang dan peluang untuk anasir-anasir negatif.

Guru-guru dengan wibawa yang tersendiri mampu melatih pelajar dalam mewujudkan daya saing yang ampuh bagi mendepani segala anasir dan unsur-unsur negatif yang berleluasa.
Segala cabaran kehidupan yang dipengaruhi aspek teknologi serta pengembangan ilmu pada hakikatnya akan mendatangkan kesan positif secara menyeluruh sekiranya pengarahan dan halatuju adalah berdasarkan konsep yang telus.

Sebagaimana Allah SWT menukilkan dalam surah al-'Asr yang bermaksud: "Demi masa sesungguhnya manusia itu dalam kerugian kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran."
Sekali lagi ucapan penghargaan kepada para guru Malaysia di atas segala komitmen membentuk jatidiri masyarakat Malaysia.

Anjakan paradigma terhadap peranan mendidik masyarakat perlu dijadikan satu agenda pelaksanaan yang menyeluruh kepada semua warga Malaysia, agar agenda 'mendidik anak bangsa' tidak hanya diletakkan di bahu para guru semata-mata.
(dipetik daripada akhbar Harakah )

No comments: