Monday, August 21, 2017

Plot novel Tirani karya Beb Sabariah



PLOT
Novel Tirani karya Beb Sabariah
PERMULAAN – pengarang memperkenalkan watak utama Waheeda dan keluarganya serta latar tempat iaitu Matang.
Waheeda yang telalu obses dengan kecantikan mencari maklumat tentang pembedahan plastik walaupun ibunya, Raidah melarang anaknya mengubah anugerah Allah swt. Waheeda yang cekap mengurus inap desanya di bawah syarikat miliknya, Tajau Emas bersama-sama keluarganya menjadikan pusat pelancongan itu semakin maju. Seterusnya, Waheeda dan pekerjanya sibuk melakukan persiapan bagi menyambut kedatangan cicit raja Charles Brooke yang ingin bercuti di inap desa miliknya.


PERKEMBANGAN – pengarang mengembangkan watak dengan memperkenalkan beberapa watak sampingan dan latar.
Monyet putih menyerang Waheeda sehingga menyebabkan kecederaan yang serius pada mukanya. Waheeda dikejarkan ke hospital untuk dirawat. Seterusnya, Waheeda terbang ke Singapura untuk menjalani pembedahan plastik pada bahagian hidung dan matanya di SMS. Dia selamat menjalani pembedahan yang diketuai oleh Dr. Rusdi dan terus menginap di rumah sewa rakannya, Bazilah

PERUMITAN / KONFLIK – pengarang menimbulkan masalah dan pertentangan antara watak ataupun dalam diri watak.
Hubungan Bazilah dengan Waheeda renggang kerana tunang Bazilah, Dr. Zahari mula menyukai Waheeda.  Waheeda berpindah ke Flamingo Resort setelah bekerja di situ. Seterusnya, Waheeda tidak pulang semasa upacara mereya  atau majlis pertunangan dengan Zahid kerana terpaksa menjalani pembedahan kerana tulang rawan hidungnya patah. Perkahwinan Waheeda dengan Zahid mulai retak kerana sikap cemburu suaminya. Akhirnya, mereka bercerai setelah Zahid melihat anaknya Izzati tidak menyerupai mereka terutama pada bahagian hidung.

KEMUNCAK / KLIMAKS – pengarang menceritakan hasil konflik yang digemari oleh pembaca dan menunjukkan cerita bersedia untuk dileraikan.
Zahid dan Aiman telah menginap di chalet Aya-Sajinah di Cameron Highland sambil berbual-bual tentang kisah silam mereka. Lais terkedu setelah mendengar perbualan antara Zahid dengan Aiman tentang kekejaman Zahid yang menceraikan Waheeda tenpa usul periksa. Zahid bertemu dengan Izzati dan bertanyakan latar belakangnya. Zahid mendapat tahu Izzati ialah anak kandungnya.
PELERAIAN / PENGAKHIRAN – Pengarang meleraikan segala permasalahan yang dibuat dan menyatakan permasalahannya.
Zahid menemui Waheeda yang mengurungkan diri di dalam bilik pejabatnya. Zahid meminta maaf daripada Waheeda dan Izzati atas kesilapannya yang menuduh Waheeda berlaku curang sehingga menceraikan isterinya. Waheeda yang terluka tidak mahu memaafkan Zahid namun Izzati meminta ibunya menerima kemaafan ayahnya kerana kemaafan lebih baik daripada berdendam.



Tema novel Tirani karya Beb Sabariah



Novel Tirani bertemakan kegigihan seorang wanita dalam menempuh berbagai-bagai  cabaran dan dugaan hingga berjaya dalam hidup. Buktinya  Waheeda gigih   membangunkan industri pelancongan di Sarawak dan di Cameron Highlands, Pahang. Sebagai pengusaha Chalet Tajau Emas yang baru beroperasi secara kolektif antara ahli keluarga,  Waheeda telah berusaha sedaya-upaya  mengembangkan perniagaan di bawah sektor  pelancongan itu dengan turut menyediakan pakej pelancongan yang berbentuk ekopelancongan dan agropelancongan  kepada  para pengunjung yang menginap di chalet mereka walaupun menerima saingan sengit daripada pengusaha hotel dan chalet yang lain.  

Kegigihan Waheeda dalam mengembangkan sayap perniagaannya terserlah apabila dia berani membuat pinjaman baharu untuk membeli Chalet Iwana-Iwani yang terletak di Cameron Highlands dengan  meletakkan nama yang baharu iaitu Chalet Aya-Sajinah walaupun ketika itu dia baru sahaja pulih daripada masalah kemurungan yang menghantui dirinya akibat kegagalannya dalam rumah tangga. 

Selain itu, kegigihan Waheeda juga dapat dilihat melalui permasalahan psikologinya berhubung soal kecantikan dan keinginan untuk memiliki wajah yang sempurna  hingga sanggup melakukan rekonstruksi pada bahagian kelopak mata dan hidungnya. Kegigihan Waheeda Nurlyana makin terserlah dalam cabarannya mengharungi kariernya sebagai Pegawai Perhubungan Awam di sebuah hotel ternama di Singapura dan sebagai pengusaha  di chalet kepunyaan sendiri di Matang dan di Aya- Sajinah, Cameron Highlands. 

Kegigihan Waheeda dalam membina hubungan persahabatan turut digambarkan dalam novel ini. Waheeda gigih dan bijak mendepani sikap prejudis sahabat baiknya, Bazilah yang mencemburui  hubungan   baiknya dengan tunangnya sendiri, Dr. Zahari.
Akhirnya, kecekalan Waheeda mengharungi liku-liku pahit dan manis dalam alam berumah tangga bersama dengan Zahid sehingga memperoleh seorang cahaya mata perempuan dan masalah kemurungan yang dialami akibat keretakan dalam rumah tangganya  turut diselitkan dalam novel ini.

Rujukan: Khairudin Ayip