Tuesday, October 3, 2017

Soalan akhir tahun tingkatan 4, BM K2 Negeri Selangor

4(a) Jelaskan dua latar masyarakat yang terdapat dalam sebuah novel yang anda kaji. [7 markah]

 JAWAPAN:

Novel yang saya pelajari ialah Leftenan Adnan Wira Bangsa karya Abdul Latif Talib. Latar masyarakat yang terdapat dalam novel tersebut ialah latar masyarakat penjajah yang kejam. [1 markah] Buktinya, tentera Jepun telah menikam leftenan Adnan secara bertubi-tubi dengan menggunakan bayonet tanpa belas kasihan.[1 markah]

seterusnya terdapat latar masyarakat yang saling mengasihi sesama ahli keluarga.[1 markah] Buktinya, Sophia berasa sedih apabila terpaksa berpisah dengan ahli keluarganya demi mengikut Adnan yang bertugas di Pasir Panjang.[1 markah]

PEMARKAHAN:
Isi        :   4 markah
Bahasa:   3 markah
Jumlah :   7 markah

Sunday, October 1, 2017

Soalan novel peperiksaan akhir tahun tingkatan 4, JPS 2017

4(b) Berdasarkan sebuah novel yang anda kaji, huraikan tiga perwatakan watak sampingan yang berikut:
Novel Leftenan Adnan : Pak Saidi

Novel yang saya kaji ialah Leftenan Adwan Wira Bangsa karya Abdul Latip Talib. Watak sampingan dalam novel tersebut ialah Pak Saidi. Antara perwatakan bagi watak Pak Saidi ialah dia seorang yang berpendirian teguh. Buktinya, Pak Saidi teguh pendirian untuk menghantar anaknya iaitu Adnan ke sekolah aliran Inggeris walaupun ditentang oleh sebahagian penduduk kampung Pak Saidi tidak menghiraukan tohmahan penduduk kampung dan sanggup mengayuh basikal setiap hari untuk menghantar anaknya ke sekolah.

Selain itu, perwatakan Pak Saidi ialah dia merepakan seorang yang rajin bekerja. Buktinya, setiap hari Pak Saidi menjalankan rutin hariannya dengan tekun. Beliau tidak suka berborak kosong dan membuang masa di kedai kopi.

Pak Saidi juga merupakan seorang yang berani. Buktinya, Pak Saidi berani membunuh beberapa orang askar Jepun yang mengiringinya hanya dengan menggunakan keris sebelum beliau ditembak mati. Keberanian Pak Saidi mendapat pujian daripada penduduk Sungai Ramal. Mereka menganggap Pak Saidi seorang wira.

Pemarkahan:
Isi        : 6 markah
Bahasa: 2 markah
Jumlah : 8 markah

Soalan novel akhir tahun tingkatan 4, negeri Selangor 2017

4(a) Jelaskan dua latar masyarakat yang terdapat dalam sebuah novel yang anda kaji. [7 markah]

JAWAPAN:

Novel yang saya kaji ialah Leftenan Adnan Wira Bangsa karya Abdul Latip Talib. Latar masyarakat yang terdapat dalam novel tersebut ialah latar masyarakat yang cinta akan tanah air. Buktinya, Leftenan Adnan amat cinta akan tanah air dan sanggup berjuang bermati-matian mempertahankan Bukit Candu daripada serangan Jepun. Beliau sanggup berjuang dengan menggunakan bayonet dalam jarak dekat tatkala kehabisan peluru.

Selain itu, terdapat latar masyarakat yang berpendirian teguh. Buktinya, Pak Saidi teguh pendiriannya apabila penduduk kampung menentang hasratnya untuk menghantar Adnan ke sekolah aliran Inggeris. Pak Saidi tetap dengan pendiriannya kerana sedar bahawa anaknya akan dapat ilmu yang banyak di sana.

Pemarkahan:
Isi         : 4 markah
Bahasa : 3 markah
Jumlah  : 7 Markah

Wednesday, September 27, 2017

Berdasarkan dua buah novel yang anda pelajari, huraikan satu persoalan kebijaksanaan bagi setiap novel tersebut.

JAWAPAN:

Dua buah novel yang saya pelajari ialah Leftenan Adnan Wira Bangsa karya Abdul Latif bin Talib dan Tirani karya Beb Sabariah. Antara persoalan kebijaksanaan yang terdapat dalam novel Leftenan Adnan Wira Bangsa ialah persoalan tentang kebijaksanaan menggunakan taktik peperangan. Buktinya, Leftenan Adnan Bijak membaca helah tentera Jepun walaupun tentera Jepun menyamar sebagai askar India dengan memakai turban ketika cuba menyerang askar Melayu.

Manakala novel Tirani pula terdapat persoalan tentang kebijaksanaan dalam menegakkan kebenaran. Buktinya, Waheeda mendapatkan khidmat kawannya Nurjihan untuk menyerahkan sampel rambut suami, Izzati dan dirinya sendiri untuk membuat ujian DNA bagi membuktikan bahawa Izzati ialah anak kandung mereka.

Tuesday, September 26, 2017

"Sayang anak, tangan-tangankan"

Assalamualaikum wbt.
Salam kedamaian, dan salam kasih sayang buat kalian pengikut blog ini.

Semalam viral satu video tentang seorang anak berusia 16 tahun yang memukul ibu kandungnya hanya kerana si ibu enggan memberi wang yang diminta sebanyak RM50. Sebagai seorang ibu kepada empat orang anak lelaki dan seorang anak perempuan saya juga agak kedekut untuk memberi anak wang sebanyak itu sewenang-wenangnya melainkan ada keperluan untuk membayar yuran pengajian, membeli buku dan lain-lain keperluan. Sejak kecil saya ajar anak-anak agar bertanya dahulu sama ada boleh atau tidak jika mereka ingin mendapatkan sesuatu.

"Boleh tak bu? Ibu boleh tak beli......."
"Ibu ada duit tak sebanyak......"

Saya akan pastikan anak-anak tidak berani minta lebih-lebih dengan cara saya yang penyayang tetapi tegas. Minta maaflah jika kadang kala saya memang berkira nak beri wang sesuka hati. Sebagai ibu dan guru di sekolah tempat anak-anak menuntut ilmu setiap hari saya akan memastikan makanan untuk sarapan pagi dan makan tengah hari saya beli dan tiada wang belanja harian. Wang belanja bulanan mungkin akan dimasukkan ke dalam akaun bank mereka atau ke dalam Tabung Haji. Selepas balik dari sekolah, kami akan singgah  di mana-mana restoran, gerai, KFC, Jom Bali, kedai mamak dan anak-anak makan sama-sama. Mungkin kadang kala sepinggan boleh share berdua dan tiada istilah nak "huha"........ macam anak-anak muda sebaya mereka. Natijahnya, hubungan kami sangat akrab seperti sahabat dan kami boleh berkongsi perasaan susah senang kehidupan dan cabaran mendidik mereka menjadi insan yang bermanfaat kepada keluarga dan orang lain.

Bagi saya, anak-anak wajib berada di rumah sebelum maghrib. Selepas maghrib saya sendiri akan mengajar anak-anak mengaji dan kita kena selalu spot check sama ada mereka dah solat atau belum. Waktu maghrib kita solat berjemaah.

Saya bukan nak membongkak atau mengajar-ajar ibu bapa di luar sana melainkan ingin berkongsi cara saya mendidik anak-anak. sekurang-kurangnya menjadi ilmu yang bermanfaat kepada kalian. Hakikatnya, sejak anak-anak bersekolah tadika lagi, saya merupakan ibu yang selalu risau dengan pengaruh persekitaran yang kadang kala menguji pendirian anak-anak. Saya tidak malu bertanya sahabat-sahabat guru senior di sekolah cara mereka mendidik anak-anak. malahan, saya juga menggunakan guru senior iaitu Umi Salhih   untuk memberi nasihat tatkala melihat anak-anak dah mula "lain macam" perangainya. Contohnya, ketika dalam perjalanan ke sekolah saya menegur perangai anak sulung yang mula lagha dan terikut-ikut cara kawan balik lambat kerana bermain futsal di Ampang Sport Planet hingga malam hanya kerana permainan futsal melibatkan banyak kumpulan. Kalau kena marah, along  mula "tarik muka" dan tak mau ambil wang belanja, tidak bersalam dengan ibu pada hari tersebut pun dah bikin hati saya sakit hati. Oleh itu, umi Salhih jadi mangsa untuk tolong menasihat ketika kelas Sivik bersama along. Nanti, cepat-cepat along datang menyerah diri mohon maaf pada hari itu juga.

Hakikatnya, melentur buluh biarlah daripada rebungnya. Kita merupakan role model dan suri teladan kepada anak-anak sejak mereka mula mengenal erti dunia. Janganlah kita sayang melampau-lampau sehingga merosakkan anak-anak tatkala menginjak usia remaja dan langsung tak boleh ditegur sebagaimana video yang viral semalam. Video seorang anak lelaki berusia 16 tahun memukul ibunya. Janganlah kita salah didik anak-anak hingga menjadi si Tanggang moden. Semoga Allah swt tidak membolak balikkan hati anak-anak kita dan memberi petunjuk jalan yang benar selalu , menjadi anak soleh yang menyejukkan hati dan menjadi penyelamat kita di akhirat kelak.

#Tazkirah Sentap Untuk Diri Sendiri#

Thursday, September 21, 2017

Peranan ibu bapa dalam menyambut hari istimewa, makan bersama-sama dan bersikap prihatin terhadap anak-anak dapat memberikan manfaat kepada kehidupan keluarga. Bincangkan.



Peranan ibu bapa dalam menyambut hari istimewa, makan bersama-sama dan bersikap prihatin terhadap anak-anak dapat memberikan manfaat kepada kehidupan keluarga.
Bincangkan.
Tugasan soalan:
1.    Calon perlu menghuraikan manfaat peranan ibu bapa dalam menyambut hari istimewa, makan bersama-sama dan bersikap prihatin terhadap anak-anak.

2.    Calon perlu menghuraikankan manfaat daripada peranan ibu bapa sahaja. jika karangan menghuraikan pihak lain seperti adik-beradik, datuk , nenek, jiran tetangga dan sebagainya tidak layak cemerlang, berikan markah maksimum peringkat BAIK.

3.    Calon perlu mengaitkan bagaimana peranan ibu bapa dalam menyambut hari istimewa, makan bersama-sama dan bersikap prihatin terhadap anak-anak dapat memberikan manfaat kepada kehidupan berkeluarga.

4.    Calon perlu memberikan contoh secara spesifik:
a.    menyambut hari istimewa - hari ulang tahun kelahiran, hari ulang tahun perkahwinan, hari konvokesyen.
b.    makan bersama-sama - sarapan, minum petang, makan malam
c.    bersikap prihatin - memantau kerja sekolah, memastikan kesihatan, bertanyakan masalah.

5.    Cadangan idea manfaat peranan ibu bapa kepada kehidupan berkeluarga:
i.              mewujudkan suasana yang harmoni
ii.            mengurangkan risiko masalah sosial anak-anak
iii.           mengurangkan tekanan perasaan anak-anak
iv.           mengeratkan hubungan antara ibu bapa dengan anak-anak
v.            memastikan kecemerlangan anak-anak

Monday, August 21, 2017

Plot novel Tirani karya Beb Sabariah



PLOT
Novel Tirani karya Beb Sabariah
PERMULAAN – pengarang memperkenalkan watak utama Waheeda dan keluarganya serta latar tempat iaitu Matang.
Waheeda yang telalu obses dengan kecantikan mencari maklumat tentang pembedahan plastik walaupun ibunya, Raidah melarang anaknya mengubah anugerah Allah swt. Waheeda yang cekap mengurus inap desanya di bawah syarikat miliknya, Tajau Emas bersama-sama keluarganya menjadikan pusat pelancongan itu semakin maju. Seterusnya, Waheeda dan pekerjanya sibuk melakukan persiapan bagi menyambut kedatangan cicit raja Charles Brooke yang ingin bercuti di inap desa miliknya.


PERKEMBANGAN – pengarang mengembangkan watak dengan memperkenalkan beberapa watak sampingan dan latar.
Monyet putih menyerang Waheeda sehingga menyebabkan kecederaan yang serius pada mukanya. Waheeda dikejarkan ke hospital untuk dirawat. Seterusnya, Waheeda terbang ke Singapura untuk menjalani pembedahan plastik pada bahagian hidung dan matanya di SMS. Dia selamat menjalani pembedahan yang diketuai oleh Dr. Rusdi dan terus menginap di rumah sewa rakannya, Bazilah

PERUMITAN / KONFLIK – pengarang menimbulkan masalah dan pertentangan antara watak ataupun dalam diri watak.
Hubungan Bazilah dengan Waheeda renggang kerana tunang Bazilah, Dr. Zahari mula menyukai Waheeda.  Waheeda berpindah ke Flamingo Resort setelah bekerja di situ. Seterusnya, Waheeda tidak pulang semasa upacara mereya  atau majlis pertunangan dengan Zahid kerana terpaksa menjalani pembedahan kerana tulang rawan hidungnya patah. Perkahwinan Waheeda dengan Zahid mulai retak kerana sikap cemburu suaminya. Akhirnya, mereka bercerai setelah Zahid melihat anaknya Izzati tidak menyerupai mereka terutama pada bahagian hidung.

KEMUNCAK / KLIMAKS – pengarang menceritakan hasil konflik yang digemari oleh pembaca dan menunjukkan cerita bersedia untuk dileraikan.
Zahid dan Aiman telah menginap di chalet Aya-Sajinah di Cameron Highland sambil berbual-bual tentang kisah silam mereka. Lais terkedu setelah mendengar perbualan antara Zahid dengan Aiman tentang kekejaman Zahid yang menceraikan Waheeda tenpa usul periksa. Zahid bertemu dengan Izzati dan bertanyakan latar belakangnya. Zahid mendapat tahu Izzati ialah anak kandungnya.
PELERAIAN / PENGAKHIRAN – Pengarang meleraikan segala permasalahan yang dibuat dan menyatakan permasalahannya.
Zahid menemui Waheeda yang mengurungkan diri di dalam bilik pejabatnya. Zahid meminta maaf daripada Waheeda dan Izzati atas kesilapannya yang menuduh Waheeda berlaku curang sehingga menceraikan isterinya. Waheeda yang terluka tidak mahu memaafkan Zahid namun Izzati meminta ibunya menerima kemaafan ayahnya kerana kemaafan lebih baik daripada berdendam.