Sunday, December 20, 2015

Aktiviti rekreasi seperti aktiviti melancong, berkelah dan bersenam membawa pelbagai manfaat kepada masyarakat. Ulas pernyataan tersebut.

Aktiviti rekreasi merupakan salah satu aktiviti yang menjadi kegemaran masyarakat untuk dilakukan pada waktu lapang. Aktiviti rekreasi boleh diklasifikasikan kepada dua kategori iaitu rekreasi aktif dan rekreasi pasif. Aktiviti rekreasi aktif ialah aktiviti yang memerlukan pergerakan badan individu secara aktif seperti berjoging, atau melakukan aktiviti sukan. Aktiviti rekreasi pasif pula tidak memerlukan individu banyak bergerak seperti berkelah atau bersiar-siar di taman. hal ini boleh dilakukan pada bilaa-bila masa dan di mana-mana sahaja sama ada di taman rekreasi ataupun di padang permainan.  Kerajaan juga telah menyediakan prasarana yang sesuai di kawasan tertentu di negara kita bagi kemudahan orang awam berekreasi. Taman-taman rekreasi juga telah dihias dengan tumbuh-tumbuhan yang menyegarkan semata-mata untuk menarik perhatian ramai pengunjung. Begitu juga dengan kemudahan seperti bilik air dan gerai menjual makanan tersedia di taman rekreasi dengan harapan dapat membentuk individu yang sihat sejahtera. Persoalannya, apakah kebaikan aktiviti rekreasi kepada masyarakat?

Sudah tentu aktiviti rekreasi ini membawa kebaikan kepada masyarakat. Hal ini dapat dibuktikan terutama daripada aktiviti melancong. Melancong juga merupakan salah satu aktiviti rekreasi yang gemar dilakukan oleh masyarakt di negara kita terutamanya dalam kalangan remaja. Aktiviti melancong sama ada di dalam atau di luar negara dapat menggembirakan hati  yang sedang berduka. Misalnya, masalah kemurungan atau stres dalam kehidupan dapat dikurangkan dengan aktiviti melancong. Hal ini tidak menjadi masalah bagi mereka yang berpendapatan rendah turut boleh melawat tempat-tempat menarik dalam negara kerana tempat-tempat di negara kita setanding kecantikannya dengan tempat-tempat di luar negara bak kata pepatah jauh berjalan, luas pemandangan. Apabila pergi melancong, kita akan mempelajari adat budaya penduduk setempat. Hal ini secara tidak langsung telah menambahkan ilmu pengetahuan kita. Kita juga tidak akan menjadi seperti katak di bawah tempurung kerana tidak mengetahui tentang masyarakat luar. Apabila kita melawat ke tempat-tempat yang menarik di dalam negara seperti Pulau Redang dan Cameron Highland, semangat cinta akan tanah air dapat dipupuk dalam diri. Kita akan menjadi bangga kerana menjadi anak jati Malaysia yang kaya dengan kawawan yang setaraf dengan dunia luar. Jelaslah bahawa aktiviti rekreasi seperti melancong membawa kebaikan kepada masyarakat setempat dari aspek emosi dan rohani serta fizikal.

Di samping itu, aktiviti rekreasi juga dapat mengurangkan kadar penduduk yang menghidap penyakit berbahaya seperti obesiti. Aktiviti rekreasi seperti aktiviti bersenam sudah pasti dapat mengelakkan individu daripada penyakit yang boleh membawa maut seperti sakit jantung.. Kajian juga ada menyatakan penyakit berbahaya seperti sakit jantung bukan hanya menyerang mereka yang sudah berusia tetapi juga golongan muda. Oleh itu, ibu bapa terutamannya haruslah mengamalkan aktiviti bersenam ini dalam keluarga dengan membawa anak-anak berjoging sekurang-kurangnya pada hujung minggu kerana melentur buluh biarlah daripada rebungnya. Anak-anak akan membesar menjadi individu yang sihat seterusnya mereka turut akan membimbing keluarga mereka dengan aktiviti sihat ini. Dengan ini masyarakat yang sihat dapat dilahirkan. bagi golongan remaja pula, dengan aktiviti bersenam mereka akan terhindar daripada gejala sosial seperti terlibat dengan  najis dadah. Sesungguhnya golongan remaja merupakan harapan negara yang bakal menerajui pentadbiran pada masa akan datang. Oleh itu, remaja yang sihat fizikal dan mental sangat diperlukan oleh negara dan hal ini hanya boleh direalisasikan jika masyarakat mengamalkan aktiviti bersenam. Tegasnya, aktiviti bersenam turut menjadi faktor penting kepada pembentukan masyarakat yang sihat dalam negara.

Selain itu, aktiviti rekreasi lain yang boleh diamalkan oleh masyarakat ialah aktiviti berkelah. Aktiviti ini juga boleh dilakukan besama dengan keluarga atau rakan-rakan. Aktiviti ini dapat mengeratkan hubungan antara ahli keluarga. Begitu juga dengan para pelajar tatkala sudah penat belajar, aktiviti seperti  berkelah dapat menenangkan fikiran dan mengurangkan stres dalam proses pembelajaran. Ketika berekreasi, setiap individu perlulah menjaga adab-adab di taman rekreasi seperti tidak membuang sampah di merata-rata tempat dan menggunakan kemudahan yang disediakan sebaik-baik mungkin. Hal ini secara tidak langsung telah mendidik anggota masyarakat dengan nilai disiplin dalam diri. Apabila kawasan rekreasi bersih dan ceria, pelancong asing juga akan tertarik untuk melawat negara kita. Mereka akan beranggapan bahawa negara kita mempunyai masyarakat yang pembersih, imej negara di mata dunia akan di pandang tinggi sekali gus meningkatkan sumber pendapatan negara. Hasil daripada kemajuan ekonomi akan dapat dinikmati oleh rakyat dengan kehidupan yang lebih selesa kerana negara dapat menyediakan pelbagai kemudahan kepada rakyat. Demikianlah impak positif hasil daripada sikap masyarakat yang melakukan aktiviti berkelah secara berhemah.

Akhir sekali, aktiviti rekreasi ini dapat memupuk semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat yang berbilang kaum. Dengan bersenam, berkelah dan melancong, masyarakat akan sentiasa berjumpa dan bergaul mesra sekali gus dapat meningkatkan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat. Masyarakat tidak akan menjadi seperti enau dalam belukar yang hanya melepaskan pucuk masing-masing sebaliknya mereka akan bekerjasama dan beramah mesra ketika melakukan aktiviti rekreasi. Masalah perpecahan masyarakat atau rusuhan tidak akan berlaku seperti Peristiwa 13 Mei yang telah merosakkan imej negara di mata dunia. Sesungguhnya denga melaksanakan aktiviti rekreasi, negara juga akan terpelihara daripada masalah perbalahan dalam kalangan masyarakat. Walaupun aktiviti ini dianggap kecil nilainya tetapi jika dilaksanakan dengan baik, hasilnya sangat menguntungkan.

Kesimpulannya, aktiviti rekreasi seperti melancong, berkelah dan bersenam  juga bersiar-siar di taman, membawa pelbagai manfaat kepada masyarakat. Oleh itu, setiap anggota masyarakat perlulah menggunakan keistimewaan yang ada di negara kita untuk melakukan aktiviti rekreasi demi kepentingan bersama. Aktiviti rekreasi ini membawa banyak faedah sekiranya dilakukan sebaik-baik mungkin. Benarlah seperti slogan yang sering dipaparkan dalam media massa tentang aktiviti rekreasi dapat melahirkan masyarakat yang cemerlang dan negara terbilang. Masyarakat yang sihat fizikal dan mental dapat menentukan hala tuju kebahagiaan hidup sesebuah masyarakat itu. Secara keseluruhannya, aktiviti rekreasi mempunyai banyak kepentingan kepada masyarakat di negara kita.

Saturday, December 19, 2015

Setiap kaum di Malaysia mengamalkan budaya warisan kaum masing-masing seperti cara berpakaian dan adat perkahwinan. Jelaskan kepentingan-kepentingan mengekalkan budaya warisan tersebut.



      Malaysia merupakan sebuah negara yang mempunyai penduduk yang berbilang kaum. Tiga kaum yang terbesar  terdapat di negara ini ialah kaum Melayu, Cina dan India. Perkara ini juga merupakan salah satu keunikan Malaysia berbanding  negara lain di dunia. Kewujudan pelbagai kaum ini telah menyebabkan variasi dalam pelbagai bentuk aspek kehidupan seperti makanan yang berlainan  untuk setiap kaum, cara berpakaian dan pakaian tradisional mengikut mengikut kaum masing-masing, adat melangsungkan perkahwinan mengikut agama dan kepercayaan  serta bahasa. Seperti yang telah termaktub  dalam perlembangan Malaysia, agama Islam merupakan agama rasmi negara tetapi agama lain bebas diamalkan. Oleh itu, pelbagai budaya warisan telah wujud di Malaysia sejak dahulu lagi. Namun, pada zaman era globalisasi ini, pelbagai masalah datang menghampiri masyarakat dengan kemasukan budaya-budaya luar seperti budaya Barat dalam kehidupan seharian menyebabkan keaslian budaya warisan pelbagai kaum terhakis. Sebagai masyarakat Malaysia, usaha mengekalkan budaya warisan pelbagai kaum adalah amat penting.

Antara kepentingan mengekalkan budaya warisan kaum masing-masing adalah sebagai tanda ketaatan dan kepatuhan terhadap agama masing-masing. Setiap adat yang diamalkan oleh sesuatu kaum, pasti berkait rapat dengan kepercayaan dan agama kaum tersebut. Contohnya, adat melayan tetamu dalam masyarakat Melayu adalah dengan cara melayan tetamu  sebaik-baiknya. Hal ini berkaitan dengan ajaran Islam yang menyuruh umatnya melayan tetamu dengan sebaik-baik mungkin kerana tetamu yang datang ke rumah  membawa rahmat. Selain itu, dalam adat berpakaian pula, masyarakat Melayu memakai baju kurung yang agak longgar. Hal ini kerana agama Islam meyuruh umatnya memakai pakaian yang longgar dan sopan bertepatan dengan potongan   baju kurung. Perkara ini jelas menunjukan bahawa adalah amat penting untuk mengekalkan budaya warisan sebagai tanda ketaatan dan kepatuhan terhadap agama dan kepercayaan masing-masing.

      Seterusnya, kepentingan mengekalkan budaya warisan adalah untuk mengekalkan daripada terus dilupakan dan hilang ditelan zaman. Warisan ini seharusnya dikekalkan supaya dapat diwarisi oleh generasi akan datang agar tak lapuk dek hujan, dan tak lekang dek panas. Hal ini juga penting bagi mengelakkan masyarakat terpengaruh dengan budaya Barat yang boleh merosakkan bangsa kita. Kemasukan budaya Barat dalam budaya warisan kita dikhuatiri akan merosakkan generasi yang akan datang dengan pengaruh negatif yang dibawa oleh mereka. Perkara ini juga penting untuk mengelakkan negara kita daripada dijajah lagi oleh negara luar sama ada dari segi mental dan fizikal. Sudah terang lagi bersuluh hal ini menunjukkan bahawa amat penting untuk kita mengekalkan budaya warisan bangsa agar budaya Barat tidak dapat menyerap masuk ke dalam diri anak-anak muda yang merupakan bakal pemimpin negara pada masa yang akan datang.

Selanjutnya kepentingan mengekalkan budaya warisan adalah untuk menunjukkan identiti kaum masing.masing. Misalnya, kita dapat mengenali sesuatu kaum melalui cara berpakaian mereka. Contohnya baju Melayu atau baju kurung merupakan pakaian tradisional orang Melayu. Manakala, Cheongsam merupakan pakaian tradisional masyarakat China dan Sari merupakan pakaian tradisional masyarakat India. Perkara ini penting supaya kita dapat mengenali adat dan budaya kaum lain dengan lebih mendalam dan kita akan lebih menghormati kaum mereka. Identiti kaum adalah penting untuk menunjukkan keunikan kaum masing-masing kerana setiap kaum pasti mempunyai keunikan yang tersendiri. Melalui cara ini jugakita dapat memperkenalkan budaya kita kepada orang luar. Tegasnya, pengekalan budaya warisan amat penting untuk menunjukkan identiti kaum masing-masing kepada masyarakat luar.

Akhirnya, kepentingan mengekalkan budaya warisan adalah untuk menunjukkan variasi dalam kalangan masyarakat di Malaysia. Perkara ini boleh dijadikan sebagai satu bahan tarikan pelancong di Malaysia. Makanan yang pelbagai, bahasa yang bermacam-macam memudahkan komunikasi antara anggota masyarakat dengan pelancong asing. Malahan pakaian tradisional serta adat-adat yang diamalkan oleh kaum masing-masing amat menarik bagi orang luar. Tambahan pula, dengan suasana negara dan keadaan yang aman damai ini telah mendorong kemasukan pelancong asing. Kemasukan pelancong asing menyebabkan berlaku pertukaran wang asing dan ini menyebabkan ekonomi Malaysia meningkat. Perkara ini diumpamakan sambil menyelam minum air kerana di samping mengekalkan budaya warisan bangsa , kita juga dapat menolong meningkatkan ekonomi negara .Jelaslah bahawa mengekalkan budaya warisan bangsa adalah penting bagi meningkatkan kadar kemasukan pelancong asing ke negara kita.

Kesimpulannya, budaya warisan seharusnya dikekalkan bagi mengelakkan budaya tersebut pupus ditelan zaman. Hal ini demikian kerana budaya ini merupakan warisan daripada nenek moyang kita yang harus dijaga sebaik-baiknya agar dapat diwarisi oleh generasi akan datang justeru semua pihak haruslah memainkan peranan dalam menjaga warisan bangsa sebagai satu identiti kaum dan maruah bangsa.

Banyak usaha telah dijalankan oleh pelbagai pihak untuk memastikan keamanan sejagat dapat direalisasikan .Huraikan usaha-usaha tersebut.

Isu keamanan sejagat semakin lama semakin hangat diperkatakan dalam media massa sama ada  di kaca televisyen atau terpampang di dada akhbar. Isu pencerobohan tentera Israel terhadap Palestin, pergolakan berlaku di negara-negara Timur Tengah dan isu perebutan wilayah antara China dan Filipina ke atas Kepulauan Spratly pada masa ini boleh megancam keamanan sejagat. Hal ini boleh disimpulkan bahawa isu-isu ini perlu dibendung dengan segera kerana boleh membawa kepada perkara yang tidak diingini berlaku. Oleh itu, banyak usaha telah dijalankan oleh pelbagai pihak untuk memastikan keamanan sejagat dapat direalisasikan.

Antara usaha yang telah dijalankan untuk memastikan keamanan sejagat dapat direalisasikan ialah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu atau PBB telah menghantar tentera pengaman ke negara-negara yang dilanda konflik seperti Sudan, Chad, Bosnia-Herzegovina dan negara-negara Teluk. PBB juga turut menghantar pasukan pemerhati ke negara-negara yang bergolak seperti Kampuchea dan Libya. Tujuan tentera pengaman dihantar ke negara-negara tersebut adalah untuk menawarkan perlindungan kepada orang awam yang terperangkap dalam konflik tersebut, memberi bantuan ketenteraan kepada tentera negara yang dilanda konflik dan mengekalkan keamanan di negara tersebut sehingga tamat konflik tersebut. Hal ini menunjukkan usaha PBB dan negara-negara tentera pengaman yang padu dalam memastikan keamanan sejagat dapat dicapai.

Selain itu, PBB turut mengadakan Persidangan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu setiap dua tahun sekali bagi membincangkan masalah yang berkaitan keamanan sejagat. Antara isu yang sering dibahaskan dalam persidangan ialah isu penindasan Israel terhadap penduduk Palestin dan yang terbaru ialah isu militan IS yang semakin liar dan ganas. Antara negara yang menjadi ahli tetap dalam persidangan ini ialah Malaysia dan New Zealand. Malaysia mengutuk tindakan Israel yang menceroboh tanah Palestin dan membunuh orang awam, menceroboh tanah Palestin serta membunuh orang awam yang tidak  berdosa manakala New Zealand telah bersetuju untuk bekerjasama dalam menyelesaikan konflik yang berlarutan selama beberapa dekad ini. Hal ini menunjukkan bahawa PBB dan negara-negara seperti Malaysia dan New Zealand tidak pernah berputus asa dalam mewujudkan keamanan sejagat di dunia ini.

Seterusnya, penubuhan Pertubuhan Negara-Negara Asia Tenggara atau dikenali sebagai ASEAN turut memainkan peranan penting dalam memastikan keamanan sejagat dapat dicapai. Penubuhan negara-negara ASEAN adalah hasil daripada beberapa rundingan damai yang dijalankan oleh Malaysia dengan jirannya iaitu Indonesia dan Filipina. Pada masa ini, terdapat 10 buah negara yang menyertai pertubuhan ini. Hasilnya, pada Sidang Kemuncak ASEAN pada tahun 1991 di Kuala Lumpur, negara-negara ASEAN telah menandatangani satu perjanjian Zone of Peace, Fosfority and Neutrality atau dikenali sebagai ZOPFAN. Matlamat perjanjian ini adalah untuk mewujudkan zon bebas nuklear. Hal ini membawa maksud mana-mana kapal yang melalui kawasan perairan di Asia Tenggara tidak dibenarkan membawa bahan nuklear atau berlabuh di negara ASEAN. Hal ini menunjukkan semangat dan usaha yang kukuh dalam kalangan negara anggota supaya keamanan sejagat dapat dicapai.

Tambahan pula, Mahkamah Jenayah Antarabangsa yang berpusat di Copenhagen, Belanda telah diwujudkan bagi mengadakan perbicaraan dan mengadili mana-mana negara yang melakukan jenayah terhadap negara lain. Mahkamah ini berperanan penting dalam mewujudkan keamanan sejagat seperti mengadakan perbicaraan terhadap pemimpin Serbia yang telah mengarahkan pencerobohan ke atas Bosnia-Herzegovina dan melaksanakan pembersihan etnik Muslim di sana pada tahun 1995. Suatu tribunal telah dibentuk bagi menyiasat insiden ini dan melalui kajian serta siasatan yang rapi telah dijalankan, tribunal tersebut berjaya membuktikan bahawa pemimpin Serbia telah didapati bersalah dan didakwa atas jenayah kemanusiaan. Hal ini membuktikan bahawa penubuhan Mahkamah Jenayah Antarabangsa dapat membantu sesebuah tribunal membuktikan kesalahan sesebuah negara yang dilakukan terhadap masyarakat sesebuah negara lain melalui perundangan yang sah demi keamanan sejagat.

Akhir sekali, penubuhan negara-negara Komanwel adalah salah satu daripada usaha yang dijalankan demi keamanan sejagat. Negara-negara Komanwel ini ialah negara-negara yang pernah menjadi tanah jajahan British dan kuasa-kuasa besar lain. Salah satu daripada aspek utama penubuhan negara-negara Komanwel ini adalah untuk memberi bantuan ketenteraan kepada mana-mana negara yang diserang musuh. Malaysia pernah mendapatkan bantuan ketenteraan daripada negara-negara Komanwel seperti New Zealand dan Australia bagi mengatasi ancaman tentera Indonesia semasa konfrantasi yang berlaku pada tahun 1962 hingga 1965. Hal ini menunjukkan bahawa hubungan yang erat antara negara  Komanwel ibarat isi dengan kuku dalam memastikan keamanan sejagat dapat dicapai.

Konklusinya, usaha murni pelbagai pihak perlu diteruskan bagi mencapai keamanan sejagat. Para pemimpin negara-negara dunia haruslah bersepakat dan usahlah bersikap tidak sehaluan dalam menyelesaikan isu ini kerana keamanan penting bagi semua pihak. Menurut kata seorang pujangga, 'tidur di bantal yang berbeza tetapi sama mimpi adalah lebih baik daripada tidur di bantal yang sama tetapi berlainan mimpi' . Oleh itu, semua pihak harus memainkan peranan masing-masing agar keamanan sejagat dapat dicapai.