Wednesday, September 27, 2017

Berdasarkan dua buah novel yang anda pelajari, huraikan satu persoalan kebijaksanaan bagi setiap novel tersebut.

JAWAPAN:

Dua buah novel yang saya pelajari ialah Leftenan Adnan Wira Bangsa karya Abdul Latif bin Talib dan Tirani karya Beb Sabariah. Antara persoalan kebijaksanaan yang terdapat dalam novel Leftenan Adnan Wira Bangsa ialah persoalan tentang kebijaksanaan menggunakan taktik peperangan. Buktinya, Leftenan Adnan Bijak membaca helah tentera Jepun walaupun tentera Jepun menyamar sebagai askar India dengan memakai turban ketika cuba menyerang askar Melayu.

Manakala novel Tirani pula terdapat persoalan tentang kebijaksanaan dalam menegakkan kebenaran. Buktinya, Waheeda mendapatkan khidmat kawannya Nurjihan untuk menyerahkan sampel rambut suami, Izzati dan dirinya sendiri untuk membuat ujian DNA bagi membuktikan bahawa Izzati ialah anak kandung mereka.

Tuesday, September 26, 2017

"Sayang anak, tangan-tangankan"

Assalamualaikum wbt.
Salam kedamaian, dan salam kasih sayang buat kalian pengikut blog ini.

Semalam viral satu video tentang seorang anak berusia 16 tahun yang memukul ibu kandungnya hanya kerana si ibu enggan memberi wang yang diminta sebanyak RM50. Sebagai seorang ibu kepada empat orang anak lelaki dan seorang anak perempuan saya juga agak kedekut untuk memberi anak wang sebanyak itu sewenang-wenangnya melainkan ada keperluan untuk membayar yuran pengajian, membeli buku dan lain-lain keperluan. Sejak kecil saya ajar anak-anak agar bertanya dahulu sama ada boleh atau tidak jika mereka ingin mendapatkan sesuatu.

"Boleh tak bu? Ibu boleh tak beli......."
"Ibu ada duit tak sebanyak......"

Saya akan pastikan anak-anak tidak berani minta lebih-lebih dengan cara saya yang penyayang tetapi tegas. Minta maaflah jika kadang kala saya memang berkira nak beri wang sesuka hati. Sebagai ibu dan guru di sekolah tempat anak-anak menuntut ilmu setiap hari saya akan memastikan makanan untuk sarapan pagi dan makan tengah hari saya beli dan tiada wang belanja harian. Wang belanja bulanan mungkin akan dimasukkan ke dalam akaun bank mereka atau ke dalam Tabung Haji. Selepas balik dari sekolah, kami akan singgah  di mana-mana restoran, gerai, KFC, Jom Bali, kedai mamak dan anak-anak makan sama-sama. Mungkin kadang kala sepinggan boleh share berdua dan tiada istilah nak "huha"........ macam anak-anak muda sebaya mereka. Natijahnya, hubungan kami sangat akrab seperti sahabat dan kami boleh berkongsi perasaan susah senang kehidupan dan cabaran mendidik mereka menjadi insan yang bermanfaat kepada keluarga dan orang lain.

Bagi saya, anak-anak wajib berada di rumah sebelum maghrib. Selepas maghrib saya sendiri akan mengajar anak-anak mengaji dan kita kena selalu spot check sama ada mereka dah solat atau belum. Waktu maghrib kita solat berjemaah.

Saya bukan nak membongkak atau mengajar-ajar ibu bapa di luar sana melainkan ingin berkongsi cara saya mendidik anak-anak. sekurang-kurangnya menjadi ilmu yang bermanfaat kepada kalian. Hakikatnya, sejak anak-anak bersekolah tadika lagi, saya merupakan ibu yang selalu risau dengan pengaruh persekitaran yang kadang kala menguji pendirian anak-anak. Saya tidak malu bertanya sahabat-sahabat guru senior di sekolah cara mereka mendidik anak-anak. malahan, saya juga menggunakan guru senior iaitu Umi Salhih   untuk memberi nasihat tatkala melihat anak-anak dah mula "lain macam" perangainya. Contohnya, ketika dalam perjalanan ke sekolah saya menegur perangai anak sulung yang mula lagha dan terikut-ikut cara kawan balik lambat kerana bermain futsal di Ampang Sport Planet hingga malam hanya kerana permainan futsal melibatkan banyak kumpulan. Kalau kena marah, along  mula "tarik muka" dan tak mau ambil wang belanja, tidak bersalam dengan ibu pada hari tersebut pun dah bikin hati saya sakit hati. Oleh itu, umi Salhih jadi mangsa untuk tolong menasihat ketika kelas Sivik bersama along. Nanti, cepat-cepat along datang menyerah diri mohon maaf pada hari itu juga.

Hakikatnya, melentur buluh biarlah daripada rebungnya. Kita merupakan role model dan suri teladan kepada anak-anak sejak mereka mula mengenal erti dunia. Janganlah kita sayang melampau-lampau sehingga merosakkan anak-anak tatkala menginjak usia remaja dan langsung tak boleh ditegur sebagaimana video yang viral semalam. Video seorang anak lelaki berusia 16 tahun memukul ibunya. Janganlah kita salah didik anak-anak hingga menjadi si Tanggang moden. Semoga Allah swt tidak membolak balikkan hati anak-anak kita dan memberi petunjuk jalan yang benar selalu , menjadi anak soleh yang menyejukkan hati dan menjadi penyelamat kita di akhirat kelak.

#Tazkirah Sentap Untuk Diri Sendiri#

Thursday, September 21, 2017

Peranan ibu bapa dalam menyambut hari istimewa, makan bersama-sama dan bersikap prihatin terhadap anak-anak dapat memberikan manfaat kepada kehidupan keluarga. Bincangkan.



Peranan ibu bapa dalam menyambut hari istimewa, makan bersama-sama dan bersikap prihatin terhadap anak-anak dapat memberikan manfaat kepada kehidupan keluarga.
Bincangkan.
Tugasan soalan:
1.    Calon perlu menghuraikan manfaat peranan ibu bapa dalam menyambut hari istimewa, makan bersama-sama dan bersikap prihatin terhadap anak-anak.

2.    Calon perlu menghuraikankan manfaat daripada peranan ibu bapa sahaja. jika karangan menghuraikan pihak lain seperti adik-beradik, datuk , nenek, jiran tetangga dan sebagainya tidak layak cemerlang, berikan markah maksimum peringkat BAIK.

3.    Calon perlu mengaitkan bagaimana peranan ibu bapa dalam menyambut hari istimewa, makan bersama-sama dan bersikap prihatin terhadap anak-anak dapat memberikan manfaat kepada kehidupan berkeluarga.

4.    Calon perlu memberikan contoh secara spesifik:
a.    menyambut hari istimewa - hari ulang tahun kelahiran, hari ulang tahun perkahwinan, hari konvokesyen.
b.    makan bersama-sama - sarapan, minum petang, makan malam
c.    bersikap prihatin - memantau kerja sekolah, memastikan kesihatan, bertanyakan masalah.

5.    Cadangan idea manfaat peranan ibu bapa kepada kehidupan berkeluarga:
i.              mewujudkan suasana yang harmoni
ii.            mengurangkan risiko masalah sosial anak-anak
iii.           mengurangkan tekanan perasaan anak-anak
iv.           mengeratkan hubungan antara ibu bapa dengan anak-anak
v.            memastikan kecemerlangan anak-anak