Sunday, October 26, 2008

DERITAKAH AKU?

deritakah aku
tatkala kasih ini dikhianati
oleh petualang bertopengkan manusia durjana
yang berjiwa palsu
kaya dengan tipu daya

deritakah aku
tatkala rindu ini dicincang lumat
menjadi debu-debu ringan
berterbangan di angkasa
lalu ghaib entah ke mana

deritakah aku
untuk ke sekian kalinya
pengalaman menjadi pengajaran
yang luar biasa
dan terlalu sukar untuk diungkapkan dengan kata-kata

biarlah derita ini berlalu
bersama pusingan bumi
yang masih mengikut urutan waktu
sehingga ke pelabuhan hakiki.

Thursday, October 9, 2008

DI AMBANG PMR 2008

Peperiksaan PMR 2008 hanya menunggu saat untuk ditempuh pada hari Isnin 13 Oktober 2008. Setiap detik berlalu mungkin menjadi igauan kepada para pelajar cikgu. Usahlah bimbang kerana perasaan resah gelisah yang ada dalam diri anak-anak murid kesayangan cikgu memang normal sebenarnya. Tenangkanlah hati dan pastikan kesihatan serta keselamatan sentiasa diutamakan. Sememangnya tiada jalan mudah dan singkat untuk mencapai kejayaan cemerlang.
Pastikan kaki kanan melangkah ke dewan peperiksaan dengan hati yang tenang dan bersedia untuk menjawab setiap soalan yang dikemukakan dengan doa. Bacalah soalan dengan tenang, dan pilihlah mana-mana soalan yang dikuasai ilmunya dengan yakin. Rancang masa untuk merangka idea dan tulislah dengan kemas dan berhati-hati dengan aspek kesalahan bahasa. Anda mampu meraih kejayaan cemerlang berdasarkan persediaan yang telah kita lakukan selama ini. semoga harapan kita mencipta kecemerlangan dalam subjek Bahasa Melayu menjadi kenyataan. Semoga berjaya. Amin.