Wednesday, June 25, 2008

BM 2 SPM:STRATEGI MENJAWAB SOALAN 2:PEMAHAMAN [35 MARKAH]

2(a) Pemahaman Petikan Umum [9 markah]
2(b) Pemahaman Cerpen / Drama [ 9 markah]
2(c) Pemahaman Prosa Klasik [8 markah]
2(d) Pemahaman Puisi Moden / Tradisional [9 markah]
CONTOH SOALAN PEMAHAMAN SPM 2004:
2(B) Pemahaman Cerpen [9 markah]
Baca petikan cerpen di bawah dengan teliti dan kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.
Petang itu Murni menziarahi ibunya lagi. Niat untuk membawa ibunya ke kota tidak lepas dari ingatan. Kali ini dia akan cuba seberapa boleh memujuk ibunya yang terlalu liat untuk meninggalkan rumah dan sawah ladangnya itu.
"Apa sajalah yang nak kucari di bandar itu," kata ibu.
"Melihat-lihat keindahan kota," jawab Murni memegang bahu ibu dan mengurut-ngurut perlahan dengan manja.
"Aku senang hati di kampung ini Murni. Rasanya tak ada apa-apa yang terkilan di hati aku ni kalau aku mati pun. Tak usahlah kau susah-susah tentang mak kau ni Murni," tambahnya.
"Mak! Mak dah tua. Dah patut berehat-rehat sekarang. Takkanlah seumur hidup nak bergelumang dengan lumpur-lumpur di bendang tu saja. Sesekali eloklah senang-senangkan hati menyedut angin kota," pujuk Murni tidak jemu-jemu. Ibunya tersenyum lebar. Dia tidak bersuara seketika.
"Marilah mak! Bukannya lama sangat. Dua tiga hari nanti Murni hantar balik ke kampung." Dia memujuk terus. Padanya biarlah ibu tua yang banyak bekerja dari muda sampai ke tua itu bersenang-senang hati, bergoyang-goyang kaki di rumahnya.
(dipetik daripada cerpen Budi yang Tak Terbeli oleh Khadijah Hashim dalam antologi Anak Laut, DBP)
(i) Mengapakah ibu Murni enggan mengikut Murni ke bandar? [ 3 markah ]
JAWAPAN:
Ibu Murni enggan mengikut Murni ke bandar kerana dia tidak mahu meninggalkan rumah dan sawah ladangnya itu. [1m] Lagipun, baginya tiada apa-apa ingin dicarinya di bandar. [1 m] Selain itu, ibu Murni berasa lebih senang hati tinggal di kampung itu. [1 m]
(ii) Selain mengajak ibu bapa tinggal bersama-sama, pada pendapat anda apakah cara-cara yang dapat dilakukan untuk membalas jasa ibu bapa? [3 markah]
JAWAPAN:
Saya berpendapat, untuk membalas jasa ibu bapa, seseorang anak hendaklah selalu pulang menziarahi ibu bapa[1 m] dan mendengar nasihat mereka. [1 m] Selain itu, anak-anak juga hendaklah mengirimkan wang kepada ibu bapa [1 m] dan memenuhi keperluan mereka.
(iii) Huraikan satu perwatakan ibu Murni dalam petikan di atas dan dua perwatakan ibu Murni dalam cerpen tersebut. [ 3 markah]
JAWAPAN:
Berdasarkan petikan tersebut, ibu Murni digambarkan sebagai seorang yang suka berdikari. Buktinya, dia ingin tinggal bersendirian di kampung. [1 m] Selain itu, dia juga gigih orangnya, iaitu selalu bekerja keras di bendang.
Dalam cerpen pula, ibu Murni digambarkan sebagai seorang yang penyayang. Dia membeli tanah dan memberikannya kepada Murni kerana dia sayang akan anaknya itu. [ 1 m ] Ibu Murni juga seorang yang berjimat cermat. Buktinya, dia menyimpan wang yang diberikan oleh Murni. [1 m]

1 comment:

Fazlin Akmar said...
This comment has been removed by the author.