Monday, March 26, 2018

TEKNIK MENJAWAB SOALAN NOVEL SPM

TEKNIK MENJAWAB SOALAN NOVEL
Oleh Noraza Azit @ Aziz,
MS., BA(Hons Mass Comm) , Dip.Ed
Biar sedikit benih ditaburi, harap seluas samudera melimpah hikmat


1.    Leftenan Adnan karya Abdul Latip Talib
2.    Tirani karya Beb Sabariah
4(a)Berdasarkan novel yang telah anda pelajari, huraikan tiga persoalan yang terdapat dalam novel tersebut.                                                                                             [ 7 markah]
JAWAPAN:
Novel yang saya kaji ialah Leftenan Adnan karya Abdul Latip Talib. Antara persoalan yang terdapat dalam novel tersebut ialah persoalan tentang pandangan jauh seorang ketua keluarga. Buktinya, Pak Saidi berpandangan bahawa pelajaran di sekolah Melayu hanya setakat sekolah rendah. Sekiranya bersekolah aliran Inggeris, mereka berpeluang menyambung pelajar ke sekolah menengah dan ke sekolah tinggi. Mereka berpeluang menjawat jawatan yang tinggi.
Seterusnya, persoalan tentang minat dan kecenderungan seseorang yang sukar diubah. Buktinya, sejak kecil Adnan menanam minat untuk menjadi askar. Walaupun beliau diterima menjadi guru pelatih, tetapi minatnya dalam bidang ketenteraan tidak pernah padam. Beliau menjalani temu duga di Port Dickson dan akhirnya diterima sebagai seorang askar.
Akhir sekali, persoalan tentang sikap manusia yang mudah percaya kepada propaganda pihak penjajah. Buktinya, Samad tidak mahu berpindah sebaliknya mengatakan bahawa kedatangan Jepun adalah untuk memerdekakan Tanah Melayu bukan untuk menjajah. Dia juga mengatakan bahawa Inggeris mahu menguatkan cengkaman penjajahan di Tanah Melayu.
4(b) Huraikan empat nilai murni yang terdapat dalam novel yang telah anda kaji.
[8 markah]
JAWAPAN:
Antara  nilai murni yang terdapat dalam novel leftenan Adnan karya Abdul Latip Talib ialah nilai keberanian. Buktinya, Leftenan Adnan merupakan anggota tentera yang memiliki keberanian luar biasa. Beliau bersama-sama dengan askar Melayu yang lain berjuang bermati-matian menentang tentera Jepun hingga titisan darahnya yang terakhir.
Seterusnya, nilai cinta akan negara. Buktinya, Leftenan Adnan sanggup melepaskan jawatan sebagai guru pelatih dan memohon untuk menjadi tentera kerana mempunyai semangat cinta akan negara atau semangat patriotik yang kuat.
Selain itu, nilai berpendirian teguh. Buktinya, pihak Jepun menghantar wakilnya meminta Leftenan Adnan dan anak-anak buahnya menyerah kalah, namun beliau teguh pendirian dan permintaan itu ditolak mentah-mentah.
Akhir sekali, nilai kasih sayang. Buktinya leftenan Adnan amat menyayangi isterinya Sophia dan dua orang anaknya iaitu Mokhtar dan Zainudin. Adnan menghantar Sophia dan anak-anaknya pulang ke kampung ketika mendengar berita tentera Jepun akan menyerang Tanah Melayu dan Singapura kerana  bimbang akan keselamatan mereka walaupun hatinya berat untuk berpisah dengan mereka.

4(a) Watak utama lazimnya mendapat perhatian dan disukai oleh pembaca.
Berikan tiga alasan bagi menyokong pandangan anda dengan berdasarkan novel yang telah anda kaji.                                                                                                            [7 markah]
JAWAPAN:
Novel yang saya kaji ialah Leftenan Adnan karya Abdul Latip Talib. Watak utama dalam novel tersebut ialah Adnan bin Saidi. Perwatakan  beliau yang disukai oleh pembaca ialah beliau merupakan seorang yang rajin. BuktInya, Adnan rajin membantu ayahnya menoreh getah, bersawah padi dan memungut buah durian di dusun duriannya.
Seterusnya, Adnan juga seorang yang memiliki semangat cinta akan negara yang tinggi. Buktinya, Adnan bercita-cita untuk menjadi seorang tentera kerana sayang akan negaranya. Untuk mencapai cita-citanya, Adnan menolak jawatan sebagai guru pelatih, sebaliknya memohon jawatan sebagai seorang tentera.
Selain itu, beliau juga merupakan seorang yang berani. Buktinya, Adnan berikrar tidak akan sekali-kali menyerah kalah walau apa-apa pun yang terjadi dalam peperangan menentang tentera Jepun. Setelah kehabisan peluru, beliau sanggup bertempur jarak dekat dengan bersenjatakan bayonet sahaja.
4(b) Berdasarkan novel yang telah anda kaji, jelaskan latar tempat berserta dengan peristiwa yang berlaku di tempat tersebut.                                                 [8 markah]
JAWAPAN:
Novel yang saya kaji ialah Leftenan Adnan karya Abdul Latip. Latar tempat yang terdapat dalam novel tersebut adalah di Kampung Sungai Ramal. Buktinya, di sini merupakan tempat kelahiran Adnan dan keluarganya.
Seterusnya, latar tempat di kampung Sungai Merab dan Kampung Sungai Ramal. Buktinya, perlawanan bola sepak antara kampung Sungai Merab dan Kampung Sungai Ramal kerap diadakan di sini.
Selain itu, latar tempat di Sekolah Melayu Sungai Ramal. Buktinya, Adnan telah terpilih sebagai guru pelatih dan diarah mengajar di Sekolah Melayu Sungai Ramal.
Akhir sekali, latar tempat di Port Dickson dan Kem Haig Lines. Buktinya, di situ Adnan bersama-sama dengan empat orang rakannya menjalani proses temu duga menjadi askar.

4(a) Mengapakah unsur konflik antara watak dalam sesebuah novel itu sangat penting?
Nyatakan tiga alasan berdasarkan novel yang telah anda kaji.                     [7 markah]
JAWAPAN:
Novel yang saya kaji ialah Leftenan Adnan karya Abdul Latip. Unsur konflik antara watak dalam sesebuah novel itu sangat penting kerana konflik dapat menjadikan jalan cerita lebih menarik. Buktinya, konflik antara Pak Saidi dengan penduduk Sungai Ramal. Mereka gempar apabila mendapat tahu Pak Saidi menghantar anaknya belajar di sekolah Inggeris. Hal ini demikian kerana ada sekolah pondok dan sekolah Melayu di sekitar kawasan tersebut. Mereka khuatir anak Pak Saidi menjadi murtad. Berdasarkan realiti tersebut, kita dapat menilai corak pemikiran masyarakat pada waktu itu.
Seterusnya konflik juga digunakan untuk memperlihatkan keistimewaan watak utama menyelesaikan konflik yang dihadapi. Buktinya, konflik askar Melayu dengan tentera Jepun. Leftenan Adnan terus memberikan kata-kata semangat kepada anak-anak buahnya. Mereka semakih kehabisan peluru sedangkan asakan tentera Jepun semakin bertambah. Berlaku pertempuran jarak dekat antara askar Melayu yang menggunakan bayonet dengan askar Jepun yang menggunakan pedang samurai. Unsur konflik ini menunjukkan betapa watak utama iaitu Leftenan Adnan memainkan peranan penting dalam menaikkan semangat askar-askar Melayu untuk menentang penjajah.

Akhir sekali, konflik juga dapat dijadikan iktibar atau teladan kepada pembaca. Buktinya, konflik Samad bertengkar dengan Penghulu Sidek. Samat mengatakan bahawa kedatangan Jepun bukannya mahu menjajah tetapi British yang mahu menguatkan cengkaman penjajahannya. Dari sini kita mengetahui bahawa terdapat segelintir penduduk yang menjadi penyokong kepada kedatangan tentera Jepun di Tanah Melayu kerana terpengaruh oleh propaganda pihak Jepun.

4(b) Huraikan empat pengajaran yang terdapat dalam novel yang telah anda kaji.
[8 markah]
JAWAPANL NOVEL LEFTENAN ADNAN:
Pengajaran yang terdapat dalam novel Leftenan Adnan karya Abdul Latip Talib ialah kita hendaklah mempunyai semangat cinta akan negara. Buktinya, leftenan Adnan dan askar Melayu berjuang mempertahankan negara hingga ke titisan darah yang terakhir.
Seterusnya, kita hendaklah berani mempertahankan negara. Buktinya Leftenan Adnan dan askar Melayu yang lain berani mempertahankan negara daripada serangan Jepun dan tidak takut mati.
Selanjutnya, kita hendaklah memiliki wawasan dan berpandangan jauh. Buktinya, Pak Saidi memilih sekolah aliran Inggeris untuk anak-anaknya kerana beliau sedar banyak ilmu pengetahuan yang dapat ditimba sekiranya memilih sekolah tersebut.
Akhir sekali, kita janganlah mengabaikan pelajaran anak-anak. Buktinya, setiap malam Pak Saidi mengajar anak-anaknya mengaji al-Quran. Beliau mahu anak-anaknya mendapat ilmu dunia dan ilmu akhirat secara seimbang dan secukupnya.
JAWAPANLNOVEL TIRANI:
Pengajaran yang terdapat dalam novel Trani karya Beb Sabariah ialah kita mestilah berani membuat keputusan demi kesenangan masa depan. Buktinya, berbekalkan sifat cekal dan jati diri, Waheeda berani membeli Chalet Iwana-Iwani kepunyaan Pak Cik Abdul Aziz Imran yang terletak di Cameron Highlands setelah melihat lokasi, potensi dan kemudahan yang terdapat di chalet itu. Dia sanggup membuat pinjaman baharu daripada tabung usahawan siswazah, Bank Pembangunan.
Seterusnya, kita mestilah bersikap baik hati terhadap orang lain. Buktinya, Bazilah membenarkan Waheeda menetap di rumahnya di Yishun Street sepanjang tempoh Waheeda menjalani rawatan mata dan hidungnya di  Silicon Medical Center, Singapura.
Akhir sekali, kita mestilah bertanggungjawab terhadap tugas yang diamanahkan. Buktinya, sebagai seorang pakar bedah mata yang berpengalaman, Dr. Shirrim Ghazizadeh bertanggungjawab dan bertungkus-lumus melakukan pembedahan pada bahagian mata Waheeda, manakala pembedahan hidungnya diketuai oleh Dr. Averroes atau Dr. Rushdi.
4(a) Huraikan dua perbezaan antara watak utama dengan watak sampingan berdasarkan novel yang telah anda kaji.                                                                     [7 markah]
JAWAPAN:
Novel yang saya kaji ialah Leftenan Adnan karya Abdul Latip. Watak utama hanya seorang dalam novel ini ialah Adnan bin Saidi manakala watak sampingan ada banyak iaitu  Sophia, Nordin, Samad, Jeneral A.E. Percival, Leftenan Jeneral Tomoyuki Yamashita dan lain-lain.
Watak utama memainkan peranan yang paling banyak dan paling penting berbanding watak sampingan dalam novel tersebut. Watak sampingan bersifat pembantu sahaja dalam plot cerita. Buktinya, watak leftenan Adnan terlibat dalam semua peristiwa penting dari mula hingga akhir cerita. Hal ini berbeza dengan watak Pak Saidi yang tidak terlibat dalam semua peristiwa peting seperti peristiwa peperangan menentang tentera Jepun.
4(b) Jelaskan beberapa unsur kemasyarakatan berserta dengan contoh yang terkandung dalam novel yang anda kaji.                                                                     [8 markah]
JAWAPAN:
Novel yang saya kaji ialah Leftenan Adnan karya Abdul Latip. Berapa unsur kemasyarakatan yang terkandung dalam novel tersebut adalah tentang masyarakat yang berpandangan jauh ke hadapan. Buktinya, Pak Saidi menghantar anak-anaknya belajar di sekolah aliran Inggeris kerana dia sedar bahawa anak-anaknya akan banyak memperoleh ilmu pengetahuan di sana. Walaupun sebahagian daripada orang kampung tidak menyukai langkahnya itu, namun Pak Saidi tidak menghiraukannya.
Unsur kemasyarakatan seterusnya adalah tentang masyarakat tentera yang sanggup berkorban untuk mempertahankan negara. Contohnya, Rejimen Askar Melayu telah berkorban nyawa untuk mempertahankan negara. Leftenan Adnan berikrar tidak akan sekali-kali menyerah kalah walau apa-apa pun yang terjadi dalam peperangan menentang tentera Jepun. Setelah kehabisan peluru, beliau sanggup bertempur jarak dekat dengan hanya bersenjatakan bayonet.
Selanjutnya , adalah tentang masyarakat yang menjadi pembelot dan pengkhianat bangsa. Contohnya, Saman menjadi tali barut Jepun dengan memberikan maklumat risikan kepada tentera Jepun di Singapura. Selain itu, Samad mengapi-apikan orang-orang kampung kononnya kehadiran Jepun adalah untuk membebaskan Tanah Melayu dan Singapura daripada cengkaman Inggeris.
NOVEL TIRANI KARYA BEB SABARIAH
4(a) Berdasarkan novel yang telah anda kaji, huraikan  dua peristiwa menarik yang terdapat dalam novel tersebut.                                                                                  [ 7 markah]
JAWAPAN:
Novel yang saya kaji ialah Tirani karya Beb Sabariah. Dua peristiwa menarik yang terdapat dalam novel tersebut ialah peristiwa Raidah yang menganyam kelongsong ketupat lepas daripada daun pucuk nipah muda sambil mengajarkan kaedah-kaedah menganyam kelongsong tersebut kepada Ghazi dan pekerja-pekerja lain di Chalet Tajau Emas. Peristiwa ini dikatakan  menarik kerana dapat menunjukkan sifat baik hati Raidah yang bersedia untuk berkongsi kemahirannya dengan orang lain sekali gus dapat mengekalkan budaya tradisi masyarakat Sarawak yang semakin dipinggirkan oleh generasi muda.                                                       
Seterusnya, peristiwa Waheeda yang berani membuat keputusan membuat pinjaman daripada Bank Pembangunan untuk membeli Chalet Iwana-Iwani daripada Pak Cik Abdul Aziz Imran. Peristiwa ini menarik kerana dapat menunjukkan sifat berani dan cekap seorang wanita yang harus dicontohi oleh masyarakat termasuklah para pembaca novel ini.
4(b) Huraikan tiga nilai murni yang terdapat dalam novel yang telah anda kaji.
 [8 markah]
JAWAPAN:
Tiga nilai murni yang terdapat dalam novel tersebut ialah nilai kerajinan. Buktinya, waheeda rajin mengulang kaji pelajarannya hingga berjaya menamatkan pengajiannya di Universiti Teknologi Malaysia, Skudai dan memperoleh Ijazah Pengurusan Perniagaan dan Pelancongan.
Seterusnya, nilai rasional. Buktinya, Waheeda tekad dan bersedia menanggung risiko atas rekonstruksi mata dan hidungnya yang bertujuan untuk membaiki batang hidungnya yang pesek dan membetulkan sedikit kelopak matanya.
Akhir sekali, nilai kebijaksanaan. Buktinya, Waheeda bijak mengatasi masalah kemurungan yang dialaminya dengan mendapatkan rawatan dan khidmat pakar kaunseling daripada Dr. Qamariah di Pusat Rawatan Islam(Pusrawi) Kuala Lumpur.
4(a) Watak utama biasanya dikaitkan dengan pelbagai cabaran dan halangan yang terpaksa dihadapinya.
Berdasarkan novel yang telah anda kaji, jelaskan cara watak utama menghadapi cabaran tersebut.                                                                                                   [ 7 markah]
JAWAPAN:
Novel yang saya kaji ialah Tirani karya Beb Sabariah. Watak utama bagi novel tersebut ialah Waheeda Nurlyana. Antara cabaran dan halangan yang terpaksa dihadapinya ialah  . Cara watak utama menghadapi cabaran tersebut ialah Waheeda bertekad melakukan rekonstrksi pada bahagian hidungnya dan membetulkan sedikit kelopak matanya di Silicon Medical Center(SMC), Singapura walaupun harga bagi pembedahan tersebut mencecah puluhan ribu ringgit.
Seterusnya, cabaran berhadapan dengan kata-kata fitnah dan tuduhan melulu suaminya. Zahid menuduh Waheeda berlaku curang dan bermain kayu tiga dengn lelaki lain dan tidak mengakui bayi perempuan yan dilahirkan oleh  Waheeda itu sebagai anak kandungnya yang sah. Cara watak utama menghadapi cabaran tersebut ialah, Waheeda melakukan ujian DNA bagi membuktikan kebenaran bahawa dia memang seorang isteri setia dan tidak pernah mengkhianati kasih suaminya itu.
4(b) Berdasarkan novel yang telah anda kaji, jelaskan latar tempat berserta dengan peristiwa yang berlaku di tempat tersebut.                                                 [8 markah]
Latar tempat yang terdapat dalam novel Tirani ialah di bilik wad eksklusif, Hospital Pakar Normah. Buktinya, di sinilah tempat Datin Hazirah dan Aniyah yang datang melawat Waheeda dan bayi perempuannya dengan membawa sejambngan bunga dan sekeping kad ucapan.
Seterusnya di Silicon Medical Center(SMC), Singapura. Buktinya, di sini tempat Waheeda menjalani pembedahan hidungnya yang dijalankan oleh Dr. Averroes atau Dr.Rushdi dan pembedahan membetulkan sedikit kelopak matanya yang dijalankan oleh Dr. Shirrim Ghazizadeh.
Akhir sekali, di Pusat Rawatan Islam(Pusrawi). Buktinya, di sini tempat Waheeda mendapatkan rawatan dan khidmat pakar kaunseling daripada Dr. Qamariah bagi mengatasi masalah kemurungan yang dialaminya.

4(b) Huraikan tiga pengajaran yang terdapat dalam novel yang telah anda kaji.
[8 markah]

12 comments:

nur syafiqah said...

terima kasih atas perkongsian=)

Unknown said...

Good notes

Unknown said...

terima kasih ..sangat membantu

Unknown said...

Memang terbaik!

Unknown said...

Bagusssss

Unknown said...

terimakasih banyak

nur said...

terima kasih atas perkongsian

ALBERT said...

Terima kasih, penulisan yang bagus.

Unknown said...

Terima kasih... Sangat membantu

ketambusuk said...

ini jawapan , bukan format

Unknown said...

Syukran

Anonymous said...

arigatou