Wednesday, March 28, 2018

CONTOH ULASAN CERPEN PELAJAR KOMUNIKASI UPM SEM.1




Cerpen            :          Begitulah Akhirnya
Karya             :           Kamariah Omar
Rujukan          :           Pelita Bahasa (Februari 2005)
Sinopsis:
Cerpen mengisahkan seorang pelajar bernama Anita Ahmad yang berbadan montel, berusia 17 tahun dan belajar di tingkatan Lima Cerdas merupakan seorang atlet yang terpilih untuk mewakili sekolahnya dalam acara sukan MSSM peringkat negeri.
Kisah bermula apabila Anita yang bertubuh gempal tetapi mempunyai minat yang mendalam dalam bidang sukan menjadi bahan ejekan kawan-kawan yang cemburu dengan kesungguhannya yang sentiasa menarik perhatian guru-guru di sekolah. Perwatakan Anita yang pendiam, aktif dan cemerlang dalam bidang sukan menjadikan kawan-kawan sekolahnya selalu mengejeknya dengan panggilan “buntal…buntal…buntal”. Namun baginya ejeken yang bertalu-talu itu tambah membakar semangatnya untuk membuktikan bahawa dia boleh menjadi seorang atlet yang berjaya pada suatu hari nanti. Kegigihannya itu mendapat perhatian daripada guru sukan di sekolahnya iaitu cikgu Baharam. Pesanan cikgu Baharam sentiasa diingati iaitu pelajaran amat penting dan mesti bergerak seiring dengan bidang sukan yang diminatinya.  Anita sedar bahawa dia agak lemah bagi mata pelajaran Sains dan Matematik serta Bahasa Inggeris, namun dia tidak pernah mengabaikan usaha untuk membaiki kelemahannya itu. Malahan, cikgu Baharam selalu menguji kemampuannya berbahasa Inggeris dengan cara memanggil namanya di hadapan kelas untuk membaca karangannya. Sedaya upaya Anita akan menunjukkan kemampuannya.
Pada waktu petang pula, Anita pasti mengikuti sesi latihan sukan yang diadakan untuk atlet sekolahnya dengan harapan namanya akan terpilih dalam senarai atlet yang akan menyertai sukan MSSM nanti. Pada mulanya,  ibu bapanya tidak menggalakkannya aktif dalam bidang sukan namun terpaksa akur dengan kehendak anak perempuan tunggalnya yang sungguhpun pendiam, lemah lembut tetapi keras hati sehingga kemahuannya sukar dilenturkan. Akhirnyan nama Anita Ahmad terpilih dan dia berjanji bahawa dia tidak akan sia-siakan peluang ini.
Di sekolah, Anita mengambil bahagian dalam acara perseorangan iaitu larian 100 meter, 200 meter, lompat jauh, lompat kijang dan lompat tinggi. Atas nasihat cikgu Baharam, dia hanya menumpukan perhatian pada acara 100 meter, 200 meter dan acara larian berganti-ganti 4 x 100 meter yang digandingkan dengan Tan Soo, Tan Lee Ling dan Rathinamal. Anita terpilih sebagai pelari akhir kerana rekod lariannya adalah terbaik berbanding rakannya yang lain.
Menjelang tiba kejohanan sukan MSSM, Anita diuji dengan sikap kawan-kawan yang mula menyindir-nyindirnya ketika di kantin sekolah. Malahan ada juga kawan-kawan yang menjeling ke arahnya sambil menarik muka masam serta mulut mereka terkumat-kamit seolah-olah sedang mengata Anita. Hati Anita berasa sayu dan sedih  namun dia tidak boleh berputus asa. Dalam diam-diam dia telah menerima sepucuk surat daripada seorang jejaka bernama Jasmani. Surat tersebut seolah-olah datang satu cahaya pembakar semangat pada saat dia kecewa. Malahan Jasmani mula mendekati Anita dan memberinya semangat agar tidak mengendahkan ejekan daripada kawan-kawan agar tumpuan terhadap acara sukan MSSM tidak terjejas.
Akhir sekali, hari yang ditunggu-tunggu akhirnya tiba. Kemuncak sukan MSSM nama Anita menerima tepukan bergemuruh daripada penonton. Anita Berjaya membawa kemenangan kepada pasukannya bagi acara larian berganti-ganti 4x100 meter dan semua acara perseorangan. Anita juga muncul sebagai olahragawati terbaik. Kejayaanya dalan sukan MSSM diraikan di sekolah dan diumumkan oleh pengetua semasa perhimpunan sekolah dan namanya disebut-sebut agar dijadikan contoh kepada para pelajar lain. Akhirnya rakan-rakan yang selalu mengejek-ejeknya berubah sekelip mata apabila datang mengucapkan tahniah. Anita berasa gembira kerana di sebalik kepayahan terselit kejayaan dalam hidupnya. Dia berjanji akan belajar bersungguh-sungguh hingga berjaya ke menara gading









Tema
Tema bagi  cerpen ini ialah ketabahan seorang pelajar mengharungi cabaran kehidupan sehingga berjaya mencapai cita-citanya. Buktinya Anita tidak menghiraukan setiap penghinaan yang diterima daripada orang sekeliling yang cemburu kepada semangatnya yang ingin berjaya dalam bidang yang diminati.


Watak dan Perwatakan
Watak utama yang terdapat dalam cerpen ini ialah Anita. Perwatakan luaran bagi Anita ialah dia merupakan seorang pelajar yang berumur 17 tahun dan belajar di tingkatan Lima Cerdas. Tubuh badannya berisi dan montel. Dia merupakan anak perempuan tunggal juga merupakan anak angkat kepada sepasang suami isteri.
Perwatakan dalaman bagi watak Anita ialah dia seorang yang tabah. Buktinya Anita tabah untuk mencapai cita-citanya  untuk menjadi seorang ahli sukan professional negara walaupun banyak cabaran yang dihadapi sehingga dia dikeji oleh rakan-rakan yang tidak percaya akan keupayaannya untuk mewakili sekolah sebagai atlet dalam sukan MSSM. Dia terus berlatih dengan bersungguh-sungguh tanpa jemu bawah seliaan cikgu Baharam dan cikgu Khalid iaitu Pengurus Sukan MSSM.
Seterusnya, Anita merupakan seorang yang sabar. Buktinya dia tetap bersabar dan berdiam diri ketika diejek dan diperli oleh rakann-rakannnya ketika berselisih jalan di kantin sekolah.
            Manakala watak sampingan yang terdapat dalam cerpen ini ialah Jasmani. Perwatakan Jasmani ialah dia seorang yang baik hati. Buktinya dia melayan Anita dengan baik tatkala Anita diejek oleh rakan-rakannya. Seterusnya dia memberikan semangat kepada Anita supaya terus berusaha sehingga berjaya.

 MUHAMMAD 'IZZAT BIN NASARUDIN
SEMESTER 1, KOMUNIKASI UPM

No comments: