Monday, March 26, 2018

Cerpen: Berarak Mendung Kelabu


Cerpen          :           Berarak Mendung Kelabu
Oleh               :           Muhammad ‘Izzat bin Nasarudin

            Nama Budin Jongang  tidak asing lagi bagi penduduk kampung Durian Daun di Masjid Tanah. Wajah Budin hitam berkilat-kilat dengan rambut keriting. Tubuhnya kurus kering dan giginya agak jongang. Kawan-kawan sekampung memanggilnya, “Budin jongang, Budin jongang”. Namun, Budin tak pernah peduli dengan ejekan kawan-kawannya itu. Malah, Budin tak segan silu tersengih-sengih seperti kerang busuk. Ibunya Esah dah lama meningggal dunia. Malah, ayahnya Pak Harun pula merantau jauh ke Singapura meninggalkan Budin kerana kecewa hati setelah kehilangan isterinya Esah ketika melahirkan Budin. Tinggallah Budin dengan neneknya yang dah tua. Nenek Budin bernama Halus binti Kecik.
            “Budin.. ooo Budin..,” nenek menjerit dari atas rumah memanggil-manggil nama Budin berkali-kali. Biasalah nenek Halus ni, kalau gula, beras, cili, tepung dan garam habis pasti Budin jadi mangsa untuk dikerah ke kedai.
            “Yo nek..ado apo?terjerit-jerit panggil namo Budin. Ingat Lim ni pokak ko? “ Rungut Budin sambil berlari menuju ke arah nenek.
            “Ekau ni Budin, kalau tak pocah anak tokak eden panggil namo ekau, haram nak menyahut. Nenek ni dah tuo Budin. Cubolah duduk kek  rumah. Tolong nenek kek dapur ni ha…sonang hati nenek,” suara nenek dengan loghat negeri Sembilan memecah ketenangan pagi. Nada suara nenek Halus mula perlahan apabila terpandang wajah cucu kesayangannya itu.
            “Yo ..la..nek. Budin dah ado dopan nenek ni. Nenek nak apo? Rungut Budin.
            “Boreh, gulo, garam dan topung dah abis. Poilah kodai Pak Mat kojap.. boli barang dapur. Nanti tak berasap dapur kito ni. Apo kito nak makan nanti cu..,” suara nenek makin sayu terutama apabila terkenang nasib Budin yang ditinggalkan ayahnya sejak kecil lagi.
            “Ni duit RM 20. Kalau tak cukup nanti, cakaplah dongan Pak Mat tu. Nenek hutang dulu. Cukup bulan nenek bayar lopeh nenek jual gotah tu..,” kata nenek memujuk Budin.
            Budin secepat kilat menyambar duit RM20 dan mengayuh basikal tua kepunyaan nenek ke kedai Pak Mat di hujung kampung. Pak Mat seorang yang baik hati dan biasanya  tidak berkira dengan nenek. Pak Mat kesian melihat Budin yang merupakan anak  yatim. Apatah lagi terpandang wajah Budin yang lurus bendul dan menurut kata.  Segala yang disuruh oleh nenek akan Budin kerjakan walaupun sesekali Budin bersungut kerana tidak dapat bermain dengan kawan-kawan sekampungnya.
            Dalam perjalanan pulang, Budin terserempak dengan budak-budak nakal lalu mereka menahan basikal Budin.
            “Budin jongang, Budin jongang…jom kita tahan dia,” Dol mula membakar semangat kawan-kawannya agar mengganggu Budin.
            “Kau jangan nak kacau aku Dol. Aku tak pernah kacau hidup kau..,” Budin merayu agar mereka tidak mengapa-apakannya. Budin nak cepat balik sebab nenek nak masak untuk makanan tengah hari. Kalau lambat nanti tentu nenek membebel sampai ke petang.
            “Hoi…” tiba-tiba muncul Wak Karjo dari celah-celah pokok getah menggertak budak-budak nakal. “Kau orang ni memang dah tak ada kerja hah? Wak nampak kau orang kacau lagi dak Budin ni, tau lah wak nak ajar kau orang,” suara Wak Karjo dalam pelat Jawa benar-benar menakutkan budak-budak nakal itu.
            “Apa lagi, jom kita lari,” Dol menjerit mengarahkan kawan-kawannya melarikan diri apabila ternampak parang panjang yang tersisip di pinggang War Karjo. Wak Karjo terkenal sebagai tukang mudim di kampung Durian Daun. Dol sendiri belum masuk jawi meskipun dah berumur 10 tahun. Memang dah berkali-kali orang tua Dol memujuk Dol agar masuk jawi. Tapi, tiap-tiap kali Dol nampak muka Wak Karjo, pasti Dol terjun dari tingkap rumahnya kerana takut masuk jawi. Ke sekolah pun Dol tak suka. Dia hanya suka melepak di hujung kampung dan jadi kacang hantu sambil mengganggu budak-budak kecil yang lalu-lalang di hujung  kampung Durian Daun itu. Walaupun umurnya baru 10 tahun, tapi perangainya dah macam budak umur 15 tahun. Entah hantu apa yang merasuk jiwa Dol hingga Dol boleh jadi ketua budak-budak nakal di kampungnya. Ibu bapa Dol dah tak kuasa nak menegur perangai Dol yang kuat melawan tu.
            Wak Karjo mengayuh basikal tuanya sambil berbual-bual dengan Budin. Dia benar-benar kesian dengan Budin kerana nenek Budin ialah sepupunya yang sama-sama berhijrah dari pulau Jawa 50 tahun yang lalu. Mereka sama-sama susah.Sesekali Wak Karjo akan bertandang ke rumah nenek Halus. Mereka tapi tak pernah lupa bertanya khabar. Wak Karjo begitu mengambil berat nasib Budin yang tiada ibu bapa sejak kecil lagi. Mujurlah nenek Halus  sanggup membela Budin hingga dewasa. Sesekali Budin menolong Wak Karjo mengutip getah segerap di kebun getah dan membuat getah keping pada waktu petang. Dengan duit itulah dapat membantu meringankan beban nenek yang dah tua.
            “Kenapo kau tak lawan budak-budak nakal tu Budin? Nada kesal suara wak Karjo mengiring kayuhan basikal tua Budin selepas terserempak dengan Dol yang kaki gaduh.
            “Biarlah wak. Maleh Budin nak lawan mereko tu. Mereko ramai. Nanti tontu nenek susah hati kalau tengok muko Budin bongkak-bongkak kona tumbuk. Dulu ponah yo Budin lawan mereko. Abih  basikal Budin dipijak-pijak, Kesian pado nenek yang dah tuo tu. Nanti nenek susah hati,” luah Budin pada Wak Karjo. Wak Karjo menggeleng-gelengkan kepala. Dalam hatinya kesian pada nasib Budin yang lurus bendul ni.
            “Tak apo la Budin. Nanti wak ajar ilmu portahankan diri,” wak Karjo bercakap dengan nada perlahan.
            “Betul ko wak nak ajar Budin silat?” Budin tersingai menampakkan giginya yang jongang itu. Budin bagai mengantuk disorongkan bantal. Memang dah lama dia nak belajar silat daripada Wak Karjo. Tapi, dia takut nak buka mulut. Takut nanti wak Karjo marah. Takut nanti Wak Karjo bagi tahu nenek. Lagi parah kalau nenek tak benarkan Budin keluar rumah. Nenek memang takut kehilangan Budin. Cukuplah nenek kehilangan anak perempuannya.  Menantunya pula hilang entah ke mana. Kalau ada Budin, ada juga tempat nenek nak minta tolong.
            “Potang esok datang la ke rumah Wak. Kito mulo belajar lopeh asar,” sahut Wak Karjo.
            Hati Budin berbunga-bunga riang. Sambil bersiul-siul dia menyandarkan basikal tua kepunyaan nenek di tepi tangga. Dia menceduk air dari tempayan yang menadah air hujan di tepi hujung tangga hujung  rumah nenek. Sambil memberi salam dia menjinjing barang-barang yang dibeli. Budin mula berangan-angan untuk mengalahkan Dol suatu hari nanti. Sambil baring dia terus berangan-angan dan tak sabar menunggu waktu asar keesokan harinya.
            Tepat jam 4 petang, Budin dah sedia menunggu azan asar di atas sejadah. Nenek mula tertanya-tanya dalam hatinya. “Boto ko cucu eden ni?  Dah buang tabiat ko? Polik pulak eden dibueknyo…” sungut nenek sambil menyusun pinggan mangkuk di atas para dapur.
            “Assalamualaikum warah matullah, assalamualaikum warah matullah…” .selesai memberi salam ke kiri dan ke kanan solat asar  Budin bergegas minta izin daripada nenek.
”Nek, Budin keluar kojap nak jumpo Wak Karjo..” jerit Budin sambil menolak tongkat basikal dengan menggunakan kaki kanannya. Mendengar nama wak Karjo, nenek tersenyum senang hati kerana nenek tahu Budin selamat jika bersama-sama dengan Wak Karjo.
”Hmmmm, jangan balik lambek. Bawak basikal tu elok-elok. Kalau budak-budak kacang hantu tu kacau, jangan dilayan,” nasihat nenek dengan nada yang lembut.
Hari pertama Budin belajar silat, Wak Karjo memberi nasihat agar tidak menyalahgunakan kemahiran bersilat untuk memukul orang. Malahan, Wak Karjo juga berpesan tidak  memukul orang sesuka hati dengan tujuan menunjuk-nunjuk kehebatan diri.
“Kito bolajar silek ni kerano Allah swt. Nanti kalau dah mahir bosilek, kito buleh pertahankan keluargo kito daripado musuh. Malah kito buleh bantu orang yang porlu pertolongan  dongan seni silek ini..” nasihat Wak Karjo masuk ke hati Budin yang lurus bendul itu.
Tiap-tiap petang Budin tidak pernah lambat ke rumah Wak Karjo untuk belajar silat. Malah, pada waktu malam Budin belajar mengaji al-Quran pula daripada wak Karjo. Semakin hari, Budin semakin yakin kepada diri bahawa langkah beribu batu  bermula daripada langkah yang pertama. “ Kalau kita hendak berjaya, kita mesti rajin berusaha dan sentiasa menepati masa.” Kata-kata Wak Karjo sentiasa menjadi azimat dalam hidup Budin.
Pada suatu pagi, seawal pukul 6.30 pagi  Dol dan kawan-kawannya tiba ke kebun Pak Abu iaitu bapa Dol. Mereka seronok menyuluh buah-buah durian yang dah mula gugur. Semalam dapat lah 5 biji buah durian dan dijual kepada peraih kenalan Pak Abu. Terkekeh-kekeh mereka ketawa sesama apabila ternampak buah durian tergolek di celah-celah pokok kayu mati betul-betul kat tepi paya. Mereka berebut-rebut mengangkat buah-buah durian yang gugur itu dan dilonggokkan agak jauh sedikit daripada pokok-pokok durian kerana bimbang ditimpa buah durian yang mungkin gugur nanti. Dusun buah-buahan kepunyaan Pak Abu iaitu ayah Dol merupakan sumber rezeki mereka terutama pada musim buah-buahan. Kebun buah-buahan seluas satu ekar  itu menjadi kebanggaan Dol apabila tiba musim buah-buahan. Malah, kawan-kawan Dol pasti tak lepaskan peluang memanjat pokok rambutan, pokok jambu, langsat sambil  menunggu durian gugur untuk dijual kepada tauke Cina yang menjadi pelanggan tetap mereka setiap tahun. Pak Abu dah tak kuasa nak menegur perangai Dol.  Duit jualan buah-buahan itu la menjadi duit poket untuk Dol ketika ini. Bangga rasa Dol tatkala mengira-ngira duit seringgit seringgit yang renyuk-renyuk keluar daripada poket tauke Chong pagi itu.”huh..hari ini kita dapat makan besar…” kata Dol sambil menayang-nayang duit tiga puluh ringgit itu. “ha,ha,ha….kita kawan kan Dol..” puji kawan-kawan Dol untuk mengambil hati Dol. Sekurang-kurangnya makan tengah hari ini mereka dapat makan free.
“Dol, kau tau tak Budin sekarang dah pandai bersilat..” kata Jiman.
“Ala..apa nak takut kalau Budin pandai bersilat pun..sekali aku hentak kepala dia, terus dia minta ampun. Ha,ha,ha..” Dol dengan lantang bersuara.
“Kau jangan main-main Dol. Ilmu dia dah tinggi sekarang. Aku takut kau yang minta ampun kalau dibelasah oleh Budin nanti,” tinggi suara Jiman mencabar kesabaran Dol.
“Kau panggil Budin Jongang sekarang mengadap aku. Setapak aku tak akan lari,” balas Dol dengan nada keras.
“kalau kau dah sedia nak membeli, kejap lagi kita cari Budin. Biasanya pagi-pagi ni dia pergi menorah getah kat kebun nenek dia.
Di simpang tiga menuju ke kebun getah kepunyaan nenek Budin, kelihatan Dol, Mamat, Abu dan Ghani sedang menunggu sambil ketawa terkekeh-kekeh dengan memegang kayu api sepanjang dua kaki. Masing-masing bersedia menunggu kedatangan Budin yang biasanya mengayuh basikal seawall 6.45 pagi untuk menorah getah. Bunyi nyamuk berdesing-desing di telinga masing-masing. Lepak lepuk tangan masing-masing memukul nyamuk gajah yang keluar mencari mangsa dalam gelap lepas subuh itu.
“hish..sakit pulak hati aku menunggu si Budin Jongang ni. Selalunya waktu begini dia dah lalu,” rungut Dol sambil menampar pipi Abu dengan tujuan untuk menepuk nyamuk yang cuba menggigit pipi Abu.
“Hoi, kau nak bunuh aku ke? Sakit pipi aku kau tampar. Kang tak pasal-pasal aku hentak kepala kau dengan kayu api ni? Abu menengking Dol yang cuba memukul nyamuk daripada menghisap darah Abu.
“aku bukan nak tampar kau la Bu..aku nak bunuh nyamuk yang dah gemuk kat pipi kau tu tadi. Patutnya kau ucap terima kasih kat aku. Sedap aje mulut kau menengking aku,” darah Dol makin menyirap kerana dimarah oleh Abu.
Dari jauh Budin Jongang kelihatan mengayuh basikal dengan lajunya. Mungkin Budin dah lambat bangun pagi ini untuk menorah getah. Biasanya Budin bangun awal dan sempat bersarapan ubi kayu rebus dengan air kopi pahit yang disediakan oleh nenek. Malah, Budin juga akan membawa bekal nasi goreng untuk  alas perut  jika banyak lagi pokok getah yang belum ditoreh. Nenek Halus tahu bahawa Budin memang suka makan nasi goreng kampong hasil tangan nenek. Budin jarang singgah ke warung kopi yang terletak di kedai jualan getah milik Ah Chong.
“hah..tu Budin dah dekat tu..Panjang umur dia,” Dol menjerit dan masing-masing mengangkat kayu api sebesar lengan dan bersedia untuk memukul Budin.
Budin terpaksa memberhentikan basikalnya apabila dihadang oleh Dol dan kawan-kawannya.
“Apa masalah kau pagi-pagi buta ni Dol? Aku tak kacau kau. Jadi, kau jangan kacau aku. Aku nak lalu ni…” kata Budin dengan nada lembut agar tidak menaikkan darah Dol yang memang terkenal panas baran.
“Masalah aku ialah kau ni..kau ni yang menyebabkan hati aku sakit. Mentang-mentanglah Wak Karjo sayang kat kau dan dia ajar kau silat. Kau ingat aku takut pada kau? Ugut Dol cuba menaikkan kemarahan Budin.
“Dah la..aku malas nak gaduh dengan kau. Ke tepi. Aku nak lalu ni,” sekali lagi Budin merayu.
Dol terus menghayun kayu api sebesar lengan untuk memukul kepala Budin. Secepat kilat Budin menolak basikalnya ke tanah dan mencapai kayu api yang dah hampir hinggap ke kepalanya. Kayu api itu dipegang kuat oleh Budin sambil kaki  kanannya cuba memengkis kaki Dol yang makin  naik hantu. Sekelip mata, Dol jatuh ke tanah. Kawan-kawan yang lain meluru untuk memukul Budin. Budin terus membuka bunga-bunga silat yang diajar oleh Wak Karjo. Dengan mudah, Budin dapat mematahkan lawannya. Semua kawan-kawan Dol di sepak terajang oleh Budin sehingga mereka minta ampun agar tidak terus diterajang. Budin Jongang bukan lagi Budin Jongang yang dulu. Dia sudah ada keyakinan diri sekarang. Malah ilmu, persilatan yang diajar oleh Wak Karjo tak pernah digunakan sehingga hari ini. Budin terpaksa menggunakan ilmu persilatan demi mempertahankan dirinya yang ingin dipukul oleh Dol.
“kau jangan ingat aku ni takut sangat dengan kau Dol. Aku dah lama bersabar dengan ejekan kau dan kawan-kawan kau. Hari ini nasib kau kurang baik, sebab kau yang cari masalah dengan aku. Sekarang kau nak apa?kau nak aku pijak-pijak kau? Nada suara Budin mula tinggi agar Dol insaf.
“Ma, maafkan aku Budin. Aku janji tak kacau kau lagi…aku kalah.. aku kalah,” Dol merayu bagi pihak dirinya dan kawan-kawannya.
“mula hari ini, aku maafkan kau. Lepas ini kalau kau buat perangai lagi…aku patah-patahkan tengkuk kau sorang-sorang,” balas Budin.
“Ya, ya…aku janji tak buat lagi. Aku nak berbaik-baik dengan kau. Aku nak jadi kawan kau,” Abu dengan nada terketar-ketar memegang kaki Budin. Budin lemah hatinya apabila melihat mereka ketakutan seperti diterkam harimau.
“Baiklah..kita kawan, “ balas Budin. Masing-masing bangun lalu bersalaman dengan Budin. Dol mula insaf dan tak sangka bahawa Budin tangkas bersilat. Dia menyesal kerana  beriya-iya nak memukul Budin sebaliknya dia dan kawan-kawannya dapat dikalahkan oleh Budin. Mula hari itu, Dol tidak berani lagi buat onar di kampung.
Malahan, Dol insaf kerana selama ini dia lalai dan hanya membuang masa menggangu Budin. Dol mula berbaik-baik dengan Budin dan mereka mula menjadi sahabat yang akrab apabila sama-sama menjadi anak murid Wak Karjo. Nenek Halus semakin senang hatinya kerana Budin semakin matang dan sentiasa menjaga nenek dengan sepenuh hati.
“Alhamdullillah. Aku bersyukur pada-Mu ya Allah. Kau maha pengasih lagi penyayang. Kau ambil anak aku, tapi Kau gantikan dengan cucu aku Budin yang baik hati ini. Kau berkatilah usia cucu aku ini. Murahkanlah rezekinya. Kau panjangkanlah umurnya,” doa nenek yang tidak putus-putus selepas solat.

No comments: