Salah satu bahagian yang sukar dalam soalan Kertas 2 Bahasa Melayu SPM ialah Soalan 3(a), iaitu membina ayat. Banyak calon yang mengetahui makna perkataan yang diuji tetapi tidak dapat membina ayat yang gramatis atau mengikut kehendak skema jawapan. Sebagai contoh, murid tingkatan 5 menghadapi masalah untuk membina ayat dengan menggunakan perkataan yang tidak mempunyai imbuhan awalan atau pasangan perkataan me---kan dan me---i. Namun, jika mereka menguasai teknik tertentu, mereka sudah tentu dapat membina ayat dengan mudah dan cepat. Oleh itu, penulis akan memperkenalkan satu teknik untuk membantu murid membina ayat yang dikenal sebagai Teknik Transformasi atau Teknik Tukar Bentuk. Bagi guru pula, penulis akan menyediakan satu contoh rancangan pelajaran untuk disampaikan kepada murid di dalam kelas.
Sebagai contoh, banyak murid yang tidak dapat membina ayat yang gramatis dengan menggunakan perkataan yang di bawah ini, iaitu:
(i) hadiahi
(ii) kirimi
(iii) anugerahi
(iv) hutangi
(v) huluri
(vi) cucuri
Berdasarkan pengalaman penulis, banyak murid yang tidak dapat membina ayat dengan menggunakan perkataan tersebut. Hal ini demikian kerana murid mestilah terlebih dahulu menguasai ayat yang mempunyai dua objek, ayat pasif, ayat pasif songsang, dan ayat perintah. Selepas itu, murid mestilah menguasai proses penukaran ayat aktif kepada ayat pasif, ayat pasif susunan biasa kepada susunan songsang, dan seterusnya ayat susunan songsang kepada ayat perintah. Jika aspek ini sudah dikuasai barulah murid dapat membina ayat tersebut. Selain itu, jika kesemua aspek itu telah dikuasai, barulah murid dapat menggunakan teknik transformasi.
Sekarang, marilah kita lihat cara-cara teknik tranformasi digunakan. Melalui teknik tranformasi, murid mestilah menentukan atau mengenal pasti perkataan asal sebelum membina ayat . Sebagai contoh, bagi perkataan hadiahi, perkataan asalnya ialah menghadiahi. Selepas itu, murid dikehendaki membina ayat dengan menggunakan perkataan asal dahulu, iaitu menghadiahi dan kemudian melakukan proses pasif susunan biasa, seterusnya melakukan proses pasif songsang, dan kemudiannya ayat perintah melalui proses penguguran seperti yang berikut:
1. Saya menghadiahi Encik Ahmad sebuah jam tangan. (Aktif)
2. Encik Ahmad saya hadiahi sebuah jam tangan. (Ayat Pasif)
3. Saya hadiahi Encik Ahmad sebuah jam tangan. (Ayat Pasif Songsang)
4. Hadiahi Encik Ahmad sebuah jam tangan.(Ayat Perintah)
5. Hadiahilah Encik Ahmad sebuah jam tangan.(Ayat Perintah yang telah dilembutkan dengan partikel –lah)
Dengan berdasarkan proses tersebut, kita dapat menggunakan salah satu daripada ayat (2) hingga (5) sebagai jawapan.
Sekarang, marilah pula kita melihat cara-cara ayat yang kedua dibina dengan menggunakan perkataan kirimi melalui teknik transformasi. Lakukan proses yang sama seperti tadi. Lihatlah proses itu di bawah ini:-
1. Saya mengirimi Suzana sepucuk surat. (Ayat Aktif)
2. Suzana saya kirimi sepucuk surat.(Ayat Pasif)
3. Saya kirimi Suzana sepucuk surat. (Ayat pasif Songsang)
4. Kirimi Suzana sepucuk surat. (Ayat Perintah)
5. Kirimilah Suzana sepucuk surat. (Ayat Perintah yang telah dilembutkan dengan partikel –lah)
Dengan berdasarkan kedua-dua proses yang ditunjukkan di atas, penulis yakin bahawa anda telah dapat mengetahui cara-cara untuk membina ayat yang seterusnya dengan menggunakan perkataan anugerahi. Melalaui proses yang sama, diharapkan anda dapat membina ayat seperti yang berikut:
1. Beta menganugerahi Menteri Besar pingat kebesaran.
2. Menteri Besar beta anugerahi pingat kebesaran.
3. Beta anugerahi Menteri Besar pingat kebesaran.
4. Anugerahi Menteri Besar pingat kebesaran.
5. Anugerahilah Menteri Besar Pingat Kebesaran.
Seterusnya, anda juga telah dapat membina ayat dengan menggunakan perkataan hutangi mengikut proses yang sama, iaitu;
1. Saya menghutangi Hazwan wang sebanyak lima ringgit Malaysia.
2. Hazwan saya hutangi wang sebanyak lima ringgit Malaysia.
3. Saya hutangi Hazwan wang sebanyak lima ringgit Malaysia.
4. Hutangi Hazwan wang sebanyak lima ringgit Malaysia.
5. Hutangilah Hazwan wang sebanyak lima ringgit Malaysia.
Dengan berdasarkan pengetahuan dan proses tadi, kita dapat membuat kesimpulan bahawa ayat yang tidak berimbuhan awalan seperti perkataan di atas tadi hanya dapat dibina dengan empat bentuk ayat sahaja, iaitu:
1. Ayat pasif Diri Pertama atau Kedua.
Contoh:
(a) Ayah saya hadiahi sebuah kereta.
(b) Ayah kamu hadiahi sebuah kereta.
2. Ayat pasif diri pertama atau kedua songsang.
Contoh:
(a) Kami hadiahi ayah sebuah kereta.
(b) Engkau hadiahi ayah sebuah kereta
3. Ayat perintah
Contoh:
(a) “Hadiahi ayah sebuah kereta,” kata kakak kepada abang.
(b) “Tolonglah, hadiahi ayah sebuah kereta,” kata kakak kepada abang
Tegasnya, perkataan hadiahi, kirimi, anugerahi dan hutangi dapat dibina seperti ayat (2) hingga (5). Jika anda telah memahami proses pembinaan ayat seperti di atas, sila bina ayat di bawah ini tanpa menggunakan Teknik Tranformasi. Namun, jika anda mempunyai masalah, sila gunakan teknik tranformasi. Kemudian, sila semak jawapan anda.
Soalan:Bina ayat di bawah ini untuk menunjukkan anda memahami maksudnya. Anda tidak boleh menambahkan atau menggugurkan imbuhan bagi setiap perkataan tersebut.
(i) hadiahkan
(ii) kirimkan
(iii) hutangkan
(iv) anugerahkan
(v) hulurkan
(vi) cucurkan
RUJUKAN: BLOG AGY
3 comments:
sejahtera cikgu, nak tanya..bagaimana nak buat ayat berdasarkan perkataan keunggulan..=)s
cikgu, apakah maksud bagi menggunguli, dan apakah perbezaan bagi perkataan 'PEDALAMAN DAN PENDALAMAN".terima kasih..
👍
Post a Comment