Thursday, November 4, 2010

FOKUS KARANGAN SPM 2010

Oleh Cikgu Ghalib menerusi Facebook.com 23 October 2010, 10:15 mlm



Soalan 1:Remaja/diri sendiri

1. Rakan anda sering terbabit dalam perlumbaan motosikal haram. Anda ingin menasihatinya supaya meninggalkan aktiviti yang tidak berfaedah tersebut. Tulis sepucuk surat kepada rakan anda itu.

2. Pihak Kementerian Pelajaran mengadakan pertandingan syarahan yang bertajuk “Belia Benci akan Dadah”. Anda ingin menyertai pertandingan tersebut. Tulis teks syarahan tersebut dengan lengkap.

3. Anda menyertai pertandingan perbahasan ala parlimen pada peringkat kebangsaan. Usul yang telah ditetapkan ialah `Mata pelajaran Bahasa Inggeris wajar dijadikan mata pelajaran wajib lulus dalam peperiksaan SPM’. Sebagai Perdana Menteri, bentangkan usul ini.

4. Rakyat Malaysia digalakkan supaya menguasai bahasa asing. Pada pendapat anda, apakah kepentingan rakyat Malaysia menguasai bahasa asing.

5. Disiplin diri merupakan kunci utama kepada setiap pelajar untuk menjadi pelajar yang cemerlang. Bincangkan kepentingan disiplin diri kepada pelajar untuk mencapai kecemerlangan dan kejayaan.


Soalan 2: Keluarga

1. Gejala sosial yang semakin leluasa menggambarkan bahawa keluarga gagal merealisasikan konsep pembentukan keluarga yang bahagia. Huraikan punca-punca yang menyebabkan sesebuah keluarga gagal mewujudkan keluarga yang bahagia.

2. Sekolah anda menganjurkan pertandingan syarahan. Tajuk yang telah ditetapkan ialah “Keteguhan Institusi Keluarga Menjana Pembangunan Negara”. Sediakan teks syarahan tersebut dengan lengkap.

3. Keluarga memainkan peranan penting untuk meningkatkan kesihatan dalam kalangan ahli keluarga. Pada pendapat anda, apakah peranan ibu bapa untuk memastikan tahap kesihatan keluarga sentiasa terpelihara.

4. Penggunaan Internet dalam kalangan remaja semakin meningkat. Hal ini menyebabkan remaja terdedah dengan pelbagai pengaruh yang positif dan negatif. Bincangkan peranan ibu bapa untuk memastikan anak-anak supaya mereka dapat memanfaatkan Internet dalam kehidupan mereka.

5. Gejala remaja lari dari rumah sering menjadi tajuk utama akhbar-akhbar tempatan di negara ini. Masalah ini semakin leluasa dan membimbangkan pelbagai pihak. Huraikan usaha-usaha yang perlu dilakukan oleh ibu bapa untuk menangani masalah ini.


Soalan 3: Persekitaran/Masyarakat

1. Anda menyertai satu pertandingan syarahan. Tajuk yang telah ditentukan oleh pihak penganjur ialah “Negara Bebas Rasuah”. Tulis teks syarahan tersebut dengan lengkap.
Kemasukan pelaburan asing ke negara kita sangat penting untuk memacu dan menggerakkan ekonomi negara. Huraikan kebaikan pelaburan asing kepada rakyat dan negara.

2. Kes jenayah semakin leluasa di negara kita. Untuk menangani masalah ini, masyarakat setempat perlulah bersatu hati dan bekerjasama. Bincangkan peranan masyarakat untuk mengurangkan kes jenayah tersebut.

3. Pembangunan yang mesra alam akan mengelakkan pencemaran. Buktikan kenyataan ini.
Kawasan hutan di negara kita semakin mengecil akibat aktiviti pembangunan yang pesat. Huraikan langkah-langkah yang perlu diambil untuk melestarikan hutan di negara kita.


Soalan 4: Global/serantau/antarabangsa

1. Semua negara di dunia hendaklah diharamkan daripada menjalankan atau mengaktifkan program senjata nuklear di negara masing-masing. Bincangkan penyataan ini.

2. Keselamatan di perairan Selat Melaka menjadi tanggungjawab semua negara di dunia. Sejauh manakah anda bersetuju tentang kenyataan ini.

3. Malaysia sering mengadakan kerjasama dalam kalangan negara serantau. Huraikan kerjasama yang pernah dilakukan oleh negara kita.

4. Kawasan perairan Selat Melaka dikatakan tidak selamat kerana aktiviti lanun yang semakin berleluasa. Pada pendapat anda, bagaimanakah aktiviti lanun ini dapat dibendung oleh pihak berkuasa.

5. Semua negara di dunia perlu berusaha untuk mewujudkan keamanan. Pada pendapat anda, bagaimanakah usaha ini dapat dicapai..


Soalan 5: Komsas


1. Dalam era globalisasi ini, minat remaja terhadap sastera semakin menipis. Remaja pada alaf ini lebih suka menghabiskan masa dengan permainan elektronik, komputer, telefon bimbit, dan sebagainya. Pada pendapat anda, adakah wajar mereka bertindak demikian?

2. Sempena bulan kemerdekaan, anda bercadang untuk menulis cerpen yang bertemakan semangat cinta akan negara. Tulis cerpen itu dengan lengkap.

3. Anda telah membaca sebuah cerpen yang menarik. Anda bercadang untuk mengulas cerpen tersebut untuk diterbitkan dalam akhbar tempatan. Tulis ulasan tentang cerpen tersebut.

4. Anda telah menonton sebuah drama di televisyen.. Anda tertarik akan drama itu. Anda bercadang untuk menulis ulasan tentang drama tersebut. Tulis ulasan tersebut dengan lengkap.

5. Peribahasa Melayu menyatakan bahawa di mana bumi dipijak, di situlah langit dijunjung. Peribahasa ini sering dijadikan panduan apabila kita berada di mana-mana sahaja kawasan atau di dunia ini. Tulis pendapat anda tentang perkara yang berkaitan dengan peribahasa ini.


Terima kasih atas sumbangan bahan ini.

No comments: