PERCUBAAN SPM NEGERI-NEGERI SELURUH MALAYSIA TAHUN 2010
PERLIS<
Soalan 1. Anda meminati sesuatu bidang kerjaya yang mencabar dan berisiko. Oleh itu, persediaan awal amat penting sebelum anda mencari pekerjaan tersebut.
Bincangkan persediaan-persediaan yang perlu anda lakukan.
Sampel pendahuluan : Merujuk kepada maksud serangkap pantun yang berbunyi;
Samudera terbentang berlabuh kapal
Cuaca redup ditutup mega
Jikalau kail sejengkal panjang
Lautan dalam jangan diduga
Pantun yang tersebut di atas membawa amanat bahawa sesuatu yang berisiko jangan sama sekali dicuba tanpa sebarang persediaan yang rapi. Banyak padah yang boleh menimpa jikalau tersalah duga. Walau bagaimanapun, dalam dunia yang mencabar seperti hari ini, kemampuan meneroka sesuatu yang baharu dan lebih mencabar memungkinkan individu tertentu boleh mencapai kejayaan sehingga di luar jangkaan. Sebagai individu yang inginkan cabaran saya mengidami kecemerlangan dalam kerjaya kelautan (anda boleh masukkan sebarang kerjaya sendiri yang menjadi minat anda). Oleh yang demikian, saya faham untuk memenuhi matlamat tersebut bukanlah sesuatu impian yang boleh dicapai dengan mudah. Persis untuk mencapai matlamat besar seperti itu, saya hendaklah memperlengkap diri dengan pelbagai persediaan sama ada dalam aspek fizikal, mental, emosi, dan berani menempuh segala cabaran .
Isi cadangan : (Persediaan-persediaan diri)
Isi 1: Memantapkan diri dengan persediaan yang paling asas – persediaan fizikal, mental, emosi, cita-cita dan motivasi (olahkan setiap satu persediaan tersebut)
Isi 2: Memprogramkan jadual kehidupan harian yang amat teliti dan berdisiplin – agar semua perancangan dapat berjalan mengikut jadual
Isi 3: Memantapkan psikologi dan emosi – agar sentiasa bermotivasi tinggi
Isi 4 Membuat kajian dan mencari maklumat yang tepat tentang bidang dan kerjaya yang ingin diceburi – usaha melalui pembacaan, berbincang dengan rakan-rakan, guru, dan memperoleh maklumat daripada tokoh-tokoh yang pernah terbabit dalam kerjaya berkenaan
Isi 5 Berusaha dan bertawakal dengan tidak pernah melupakan ibadah kepada Allah SWT – sebagai sandaran agar segala usaha dan cita-cita dimakbulkan.
Sampel kesimpulan : Berpandukan maksud peribahasa hidup pokok berbuah, hidup manusia berjasa, saya sudah pasti akan berusaha sehabis daya untuk merealisasikan impian saya menjadi kenyataan. Saya amat yakin dengan cita-cita, usaha, dan amal takwa Allah tidak akan menghampakan setiap niat yang baik daripada hamba-Nya. Oleh itu, saya yakin setiap semua persediaan yang saya buat secara berterusan akan memberi natijah yang besar kepada diri saya.
Soalan 2. Keluarga memainkan peranan penting dalam pembentukan amalan gaya hidup sihat.
Berikan pendapat anda.
Sampel pendahuluan : Gejala serangan pelbagai penyakit yang menggerunkan dan luar biasa sejak belakangan ini amat dibimbangi oleh warga dunia. Beberapa ancaman wabak seperti SARS, ILI, HINI, Aids dan pelbagai penyakit benar-benar menggemparkan masyarakat dunia pada dekad-dekad belakangan ini. Selain wabak yang bersekala besar seperti itu, ancaman kesihatan yang bersifat domestik seperti denggi, barah, dan penyakit kronik masih membelenggu masyarakat. Tidak dinafikan pelbagai usaha telah digemblengkan oleh WHO dan kerajaan-kerajaan di seluruh negara untuk menangani segala ancaman kesihatan, namun usaha tersebut akan menjadi lebih berkesan apabila semua pihak sentiasa prihatin untuk memilih amalan gaya hidup sihat sebagai keutamaan. Inisiatif seperti itu hendaklah turut disokong oleh institusi keluarga selaku penggerak utama pembentukan sesebuah masyarakat yang sihat.
Isi-isi cadangan : (Peranan yang boleh dimainkan oleh keluarga)
Isi 1: Keluarga perlu menjadikan agenda kesihatan penting setanding dengan keperluan asas yang lain – kesihatan diambil sebagai suatu budaya dalam hidup – dalam konteks mencegah adalah lebih baik daripada mengubati.
Isi 2: Memantapkan kedudukan ekonomi rumah tangga – kesihatan amat berkait rapat dengan kedudukan kewangan untuk menangani segala keperluan asas
Isi 3: Mengamalkan pendidikan kesihatan dalam keluarga – keutamaan kepada maklumat dan sumber-sumber kesihatan – bahan bacaan, kempen, dan amalan harian
Isi 4: Mengutamakan makanan untuk kesihatan daripada makan untuk kepuasan – memberi perhatian serius terhadap nasihat dan panduan dalam piramid makanan – memilih makanan yang berkhasiat, bersih dan halal ( berpegang kepada falsafah pembentukan peribadi bermula daripada pemakanan yang baik dan berkhasiat)
Isi 5: Mengamalkan rutin kesihatan – tidur yang cukup. Senaman yang sempurna, amalan kebersihan, dan peka terhadapa segala serangan penyakit.
Isi 6: Peka terhadap kejahteraan dan kebersihan alam sekitar – berpegang kepada kesejahteraan alam sebagai penjanan hidup sihat.
Isi 7: Peka terhadap keperluan masyarakat dan negara – masyarakat yang harmoni negara dan jaya dan hidup sejahtera..
Sampel kesimpulan : Mafhum daripada sepotong Hadith Nabi yang bermaksud, “Jagalah masa sihatmu sebelum datang masa sakit” benar-benar menyedarkan kita bahawa kesihatan merupakan aset besar untuk sesuatu bangsa itu mempertahankan tamadun. Dalam merealisasikan matlamat hidup sihat secara universal, keluarga hendaklah menjadi paksi utama melaksanakan segala program amalan gaya hidup sihat yang sentiasa dicanang-canangkan.
Soalan 3. Sejak akhir-akhir ini, pelbagai pihak terutama masyarakat mula memberikan perhatian serius terhadap gejala penderaan kanak-kanak yang semakin menjadi-jadi.
Tulis rencana tentang usaha-usaha menangani masalah tersebut.
Sampel pendahuluan: Peribahasa Melayu selalu menempelak sikap golongan yang sangat mementingkan diri seperti enau dalam belukar melepaskan pucuk masing atau hidup “nafsi-nafsi siapa lu siapa gua?” Tempelak tersebut bagaikan sudah sinonim dengan gaya hidup manusia moden. Pegangan seperti itu sebenarnya mendatangi kita pelbagai implikasi negatif apabila masing-masing tidak ambil peduli walaupun jiran di sebelah rumah. Dengan sikap seumpama itulah akhirnya pelbagai tragedi seperti penculikan, penderaan, dan pembunuhan dalam kalangan kanak-kanak semakin menjadi-jadi. Episod-episod sedih seperti kematian Sophiah Umaira tidak sepatutnya terjadi dalam dunia moden seperti sekarang. Anehnya masyarakat kini mula dibebani sindrom keresahan dan ketakutan. Demi mengembalikan kehidupan yang sejahtera, aman dan harmoni, beberapa amalan murni hendaklah disemaikan semula dalam masyarakat.
Isi-isi cadangan : (langkah-langkah)
Isi 1 : Kembalikan sifat ingin menjaga tepi kain orang dengan amalan yang positif – sikap sentiasa ambil berat dan bertanya khabar dalam kehidupan masyarakat tradisi hendaklah dihidupkan semula.
Isi 2 : Elakkan sikap yang terlalu bertuhankan material dan individualistik – meminggirkan diri daripada masyarakat arus perdana – gah dan sombong dengan kekayaan yang ada.
Isi 3 : Memperkasakan dan menghidupkan roh amalan ziarah dan kejiranan – menghormati jiran tetangga seperti menjaga kepentingan diri sendiri – meneruskan tradisi rumah terbuka, kenduri-kendara, sambutan perayaan dan ziarah kesakitan serta kematian.
Isi 4: Mewujudkan persatuan/induk masyarakat setempat – badan kebajikan penduduk/masyarakat – menjadi mata dan telinga kepada keselamatan penduduk serta perantara dengan pihak berkuasa keselamatan.
Isi 5 : Bekerjasama dengan pihak polis – penubuhan Rakan Cops – sebagai suatu organisasi yang aktif mengawal ketenteraman dan menyokong pihak polis mencegah jenayah.
Isi 6 : Memperluas jaringan pendidikan dan kaunseling tentang program keibubapaan – peranan yang boleh dimainkan oleh NGO, kerajaan, dan pihak swasta
Isi 7 : Pelaksanaan undang-undang yang lebih berkesan – Badan perundangan hendaklah memiliki kemampuan untuk membentuk fakta kes secara tepat agar si pendera atau pembunuh tidak terlepas daripada hukuman.
Sampel kesimpulan: Mafhum daripada sepotong maksud Hadith yang menyatakan, “Kehidupan kita ibarat sebatang tubuh. Apabila satu daripada anggotanya sakit, justeru seluruh tubuh turut merasai sakit dan bersama-sama berjaga malam”. Demikianlah gaya hidup intim yang wajar diteruskan dalam masyarakat moden kini. Insya-Allah apabila amalan seperti ini dihidupkan semula nescaya kita terhindar daripada sebarang ancaman dan ketidaktenteraman.
Soalan 4. Kejayaan dalam penerokaan angkasa lepas bukan sahaja dapat memperluas bidang komunikasi, tetapi turut memberikan suntikan dalam perkembangan bidang pendidikan, penyelidikan dan perubatan.
Ulaskan pernyataan tersebut – (Saya berpendapat aras soalan ini terlalu tinggi)
KEDAH
Soalan 1. Remaja kini gemar berhibur. Hal ini amat membimbangkan semua pihak kerana remaja merupakan aset penting kepada negara.
Bincangkan kesan-kesan gejala suka berhibur kepada golongan remaja.
Sampel pendahuluan : Mengunjungi pusat-pusat hiburan dan pusat beli-belah, mencuri-curi masuk ke pusat video, bersengkang mata sehingga larut malam, merempit dan mendengar hiburan yang melampau telah menjadi sebahagian daripada kegilaan remaja masa kini. Mereka sanggup menghabiskan wang saku, malah rela berhutang-berbaris semata-mata untuk mendapatkan cakera padat atau alat permainan video. Segala-gala yang dilakukan hanya berkiblatkan keseronokan dan hiburan. Demikianlah gambaran remaja hedonistik yang sedang melanda masyarakat masa kini. Sebenarnya aktiviti melampau yang mengejar hiburan seperti itu lebih banyak mengundang padah kepada remaja. Mereka akan hilang segala-galanya dalam usia yang mentah akibat kemarukan hiburan yang melampau-lampau.
Isi-isi cadangan : (kesan-kesan negatif)
Isi 1: Melahirkan remaja pemuja hedonisme – timbul gejala lupa agama, budaya, asal usul, dan etika murni – hilang matlamat hidup kerana sekadar memenuhi nafsu dengan perkara-perkara yang penuh ilusi dan fatamorgana.
Isi 2: Mencemari nilai-nilai murni kesopanan dan kesusilaan – hilang sifat budi bahasa – cuba mencari kepuasan dengan melakukan apa-apa jua tindakan yang boleh menyeronokkan tanpa mempedulikan larangan agama, adat, dan kesusilaan
Isi 3: Terlalu membazir masa – tiada minat belajar, berpelisiran dan bergelandangan, berkawan dengan remaja seanutan yang tiada hala tuju – menempah masa depan yang gelap.
Isi 4: Tidak minat belajar – gagal dalam pelajaran, putus cita-cita dan hidup tanpa panduan yang jelas
Isi 5: Merugikan wang ringgit dan harta benda – berbelanja tanpa had semata-mata untuk memenuhi nafsu gila berhibur – tamsilan pengembara yang dahaga yang meminum air laut, selagi diminum bertambah dahaga.
Isi 6: Menimbulkan pelbagai angkara negatif – pergaulan tanpa had, bergaduh, merosakkan harta benda awam, mengganggu ketenteraman awam dan menjatuhkan imej negara, masyarakat dan budaya bangsa yang murni.
Sampel kesimpulan : Seorang tokoh cendekiawan Islam pernah berkata, “Petanda runtuhnya sesuatu bangsa itu dapat dilihat apabila bangsa tersebut amat mencintai hiburan”. Kata-kata tersebut memberi amaran bahawa, sesiapa jua terutama remaja haruslah berwaspada dengan hiburan yang keterlaluan kerana sikap seumpama itu boleh mendedahkan bangsa tersebut kepada kemusnahan.
Soalan 2. Keluarga sepatutnya menjadi institusi yang selamat. Namun begitu kejadian penderaan kanak-kanak oleh ahli keluarga masih berleluasa.
Berikan saranan anda tentang peranan institusi keluarga bagi membanteras gejala ini.
Sampel pendahuluan : Anak sebagai amanah Allah. Anak juga sebagai anugerah kerana terdapat orang yang tertentu yang terlalu berhajatkan kepada anak tidak diberikan zuriat, sebaliknya ada pula yang memiliki terlalu ramai anak sehingga tidak terjaga. Anak-anak yang dibela jaga dengan baik akan menjadi penyeri dalam kebahagiaan rumah tangga. Anak juga menjadi sumber motivasi untuk ibu dan bapa berusaha dengan lebih gigih untuk membahagiakan rumah tangga yang dibina. Alangkah rukun damainya sesebuah rumah tangga apabila dikurniakan anak. Namun belakangan ini entah apalah yang telah merasuk sebahagian kecil manusia sehingga mereka tergamak mendera, mencederakan, malah ada yang sanggup membunuh darah daging sendiri. Seandainya fenomena ini tidak ditangani segera, dibimbangi banyak lagi insiden yang di luar jangkaan akan berlaku. Dalam hal ini institusi keluargalah yang lebih diberikan peranan untuk membanteras gejala pagan seperti itu agar tidak melarat.
Isi-isi cadangan : (langkah-langkah membanteras)
Isi 1: Mengutamakan agenda kasih sayang dalam keluarga – kasih sayang dijadikan kunci dan matlamat membina sesebuah keluarga –
Isi 2: Membina kesedaran yang tinggi dalam kalangan anggota keluarga bahawa mereka memikul amanah untuk menjaga anak-anak kecil – menjadikan kehadiran seseorang bayi sebagai penambat kasih sayang – setiap anggota dalam keluarga faham akan tanggungjawab masing-masing
Isi 3: Mendalami ilmu dan kemahiran keibubapaan – setiap pasangan dikehendaki menghayati betul-betul kemahiran tersebut sebelum boleh mendirikan rumahtangga – ilmu yang meliputi persediaan mental, emosi dan psikologi untuk berhadapan dengan insan kecil
Isi 4: Menghayati ilmu agama dan pendidikan moral yang sempurna – kesedaran terhadap tanggunjawab agama dan ketuhanan boleh mencegah manusia mudah dirasuk syaitan – penghayatan moral membolehkan seseorang menghayati unsur-unsur nilai kemanusiaan dan nilai sejagat
Isi 5: Mendidik sifat prihatin dan sensitif ahli keluarga terhadap keselamatan kanak-kanak – tidak memberikan kesempatan ahli keluarga yang lain terus menerus mendera – mengambil tindakan pantas mencegah, melapor, dan menyelamatkan kanak-kanak yang didera.
Isi 6: Memperkukuh jalinan kejiranan – setiap anggota keluarga hendaklah dididik supaya menghormati jiran – jiran yang rapat dapat membantu dalam segala tindakan sama ada susah atau senang.
Sampel kesimpulan : Sesungguhnya keluarga merupakan nukleus untuk melahirkan insan madani yang mampu memberikan sumbangan berguna kepada masyarakat dan negara. Kejayaan sesebuah negara adalah bergantung penuh kepada modal insan yang cemerlang sama ada dalam aspek mental mahupun fizikal. Oleh yang demikian, keluarga amatlah bertanggungjawab untuk menghalang segala anasir yang mendorong kepada gejala penderaan agar masyarakat terus harmoni dan negara sejahtera.
Soalan 3. Anda akan mewakili sekolah dalam pertandingan syarahan. Tajuk syarahan tersebut ialah “Prasarana Berkualiti Memacu Industri Pelancongan”.
Tulis syarahan itu selengkapnya.
Peringatan kepada calon : Pastikan anda memiliki kemahiran bahasa dalam laras syarahan/pidati sebelum menjawab soalan ini. Pastikan anda juga menguasai aspek format menulis teks ucapan yang betul. Sila rujuk sampel karangan syarahan dalam buku saya
Isi-isi cadangan :
Isi 1: Prasarana yang berasaskan kelestarian alam sekitar – alam sekitar sebagai aset besar dalam industri pelancongan – negara-negara terkemuka dalam sektor pelancongan global seperti Jepun, Korea, Switzerland, Turki, New Zealand, Amerika Syarikat dan negara-negara Eropah amat mementingkan kelestarian alam sekitar mereka.
Isi 2: Prasarana yang mementingkan kemajuan infrastruktur – sistem perhubungan, penginapan, dan kemudahan membeli-belah
Isi 3: Prsarana tentang layanan, makanan dan kemudahan asas
Isi 4: Prasarana dalam bidang perhubungan, komunikasi, sistem maklumat, dan perkhidmatan sokongan dalam sektor pelancongan (kapal terbang, kapal laut, bas, teksi, pemandu pelancong dan pusat khidmat pelacongan)
Isi 5: Prasarana tentang keselamatan pelancong – iklim politik yang stabil, ekonomi yang berkembang, masyarakat harmoni – khidmat sokongan untuk pelancong seperti polis, imigresen, kastam dan angkatan tentera.
Isi 6: Prasarana membangunkan destinasi kunjungan pelancong – pusat-pusat ekopelancongan, kraftangan, kampung budaya, dan pusat beli-belah.
Cadangan kesimpulan : Sebaik-baiknya calon membina serangkap pantun sebagai penutup dan pantun hendaklah dikaitkan dengan harapan agar industri pelancongan negara terus berkembang pesat.
Soalan 4. Kegiatan jenayah yang membabitkan perdagangan manusia kini menjadi isu sejagat.
Bincangkan aspek kerjasama antara Malaysia dengan negara-negara jiran untuk menangani masalah tersebut.
Komen saya : Soalan ini amat tinggi arasnya dan isunya terlalu baru untuk difahami oleh pelajar-pelajar pada aras SPM
Sampel pendahuluan : Hidup berjiran ibarat aur dengan tebing, susah senang sama-sama merasa, umpamakan ke gunung sama didaki dan ke lurah sama dituruni. Sehingga kini hubungan berjiran Malaysia dengan negara-negara tetangga masih berada pada tahap yang cukup memuaskan. Hubungan akrab baik dalam bidang politik, ekonomi, sosial dan kebudayaan tetap utuh sejak sekian lama. Kini dalam arus perdana global, satu lagi ujian besar telah melanda Malaysia dan negara-negara tetangganya apabila isu pemerdagangan manusia telah mencuri tumpuan seluruh dunia. Malaysia dan negara-negara jirannya dikatakan menjadi transit perpindahan orang hanyut ke negara-negara pilihan mereka. Oleh itu, agar Malaysia tidak terus dilihat sebagai kambing hitam dalam isu ini, suatu sinergi antara negara harus dibentuk agar tindakan bersama boleh diambil bagi membanteras jenayah terancang antarabangsa itu.
Isi-isi cadangan : (cadangan/langkah-langkah bersama negara-negara serantau)
Isi 1: Menyelaraskan tindakan secara bersepadu oleh Jabatan Imigeresen setiap negara - melaksanakan secara tegas urusan kemasukan orang asing ke negara masing-masing.
Isi 2: Membanteras gejala rasuah yang masih menghantui badan-badan penguat kuasa setiap negara – jabatan-jabatan yang masih menjadi kambing hitam seperti imigresen, kastam, polis marin, RELA dan organisasi yang sama di negara-negara jiran – amalan rasuah merupakan tindakan duri dalam daging terhadap keselamatan sesebuah negara.
Isi 3: Kerjasama di peringkat sempadan perairan negara - menjalankan operasi rondaan secara berjadual dan intensif oleh pasukan keselamatan Malaysia dengan negara-negara jiran – berkongsi maklumat tentang taktik, lokasi, dan negara pembekal – berusaha mengenal pasti ‘lubang-lubang tikus’
Isi 4: Menyelaraskan sistem data maklumat kemasukan – mengemaskinikan rekod keluar masuk di pintu sempadan terutama di lapangan terbang, pelabuhan, dan pintu sempadan antara negara.
Isi 5: Mempertingkatkan kerjasama dan persefahaman politik – memperkemas hubungan kerjasama dan saling memahami serta saling menyokong – dapat memperkemas sistem politik dan keamanan negara-negara berjiran
Isi 6: Menjalinkan hubungan kerjasama perdagangan, pendidikan, ekonomi, sosial dan pendidikan yang erat antara negara – wujud sikap saling hormat dan saling menyokong sesama warga serantau.
Sampel kesimpulan : Ditelan mati emak, diluah mati bapa, demikianlah suasana kehidupan berjiran. Sebarang masalah yang dihadapi yang berkaitan dengan hubungan jiran memerlukan tindakan yang teliti dan bijaksana. Biarlah segala tindakan bersama menatijahkan situasi menang-menang bagi kedua-dua pihak. Lebih-lebih lagi dalam isu pemerdaganan manusia ini, pihak negara berjiran terpaksa berurusan pula dengan pihak ketiga iaitu negara pembekal dan negara penerima. Oleh itu, kerjasama serantau amatlah diperlukan agar segala penyelesaian dapat diambil secara bijaksana.
Soalan 5.
Tikar pucuk tikar mengkuang
Alas nikah raja Melayu
Ikan busuk jangan dibuang
Buat perencah sidaun kayu
Petikan di atas membawa maksud sesuatu yang kurang baik atau rosak janganlah dibuang kerana berkemungkinan masih boleh digunakan.
Tulis sebuah cerpen berdasarkan maksud pantun di atas.
PERAK
Soalan 1. Menerusi “Konsep 1 Malaysia” kerajaan berhasrat untuk menyatupadukan masyarakat tanpa mengira kaum bagi membolehkan mereka menikmati kemajuan dan kemakmuran negara secara adil dan saksama.
Sebagai remaja yang berwawasan, bincangkan peranan anda untuk mencapai konsep 1 Malaysia tersebut.
Catatan : Kemungkinan soalan ini boleh keluar dalam dimensi masyarakat negara – sila rujuk soalan ini dalam bentuk dimensi masyarakat dalam buku saya, MODUL PEMBELAJARAN KENDIRI BM KERTAS 1 EDISI 2010 muka surat 74.
Sampel pendahuluan : Tanggal 3 April 2009, tarikh tersebut akan terus terlakar dalam sejarah negara apabila Perdana Menteri Malaysia yang keenam dengan rasminya mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri. Beliau ialah Dato Seri Mohamed Najib Tun Razak yang meneruskan legasi kepimpinan ayahandanya Tun Abdul Razak bin Dato Hussein. Bukan sekadar itu sahaja, malah tarikh tersebut telah menjadi mercu tanda baru satu lagi gagasan Malaysia moden dilancarkan. Gagasan 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan kini menjadi landasan penting untuk pemimpin dan rakyat Malaysia menentukan arah tuju kejayaan Malaysia dalam pelbagai bidang menjelang hari-hari yang mendatang. Oleh hal yang demikian, dalam merealisasikan matlamat keramat itu, sebagai wargenagara yang sedar akan tanggungjawab terhadap negara, saya beriltizam untuk memainkan peranan yang aktif supaya matlamat murni tersebut menjadi kenyataan.
Isi-isi cadangan :
Isi 1 : Mengutamakan amalan kepimpinan melalui teladan – apabila saya menjadi seorang pemimpin saya perlu menunjuk teladan yang baik - maju atau mundur sesebuah negara terletak atas kebijaksanaan pemimpin yang menentukan dasar dan hala tuju negara
- melaksanakan tugas mengurus negara dengan sifat ketelusan, bertanggungjawab, dan bijak
Isi 2 : Memastikan kerjasama yang terjalin kukuh antara pemimpin dan rakyat – saya akan menyeru supaya;
- mewujudkan suasana harmoni dalam negara – sikap saling menyokong dan saling hormat
- pemimpin menyerlahkan kepemimpinan yang berwibawa – rakyat menyokong dan mematuhi pemimpin tanpa berbelah bahagi
- (Peribahasa ke gunung sama didaki dan ke lurah sama dituruni)
Isi 3 : Memperlengkap diri dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran teknologi yang tuntas - mahu menjadi remaja yang bervisi dan boleh dicontohi
Isi 4 : Menjalinkan perpaduan yang sejati dalam kalangan rakyat pelbagai kaum – saya akanmenjalankan usaha dan kempen kesamarataan dalam kalangan masyarakat – berusaha mengubah nilai ketaksuban terhadap kaum hendaklah digantikan dengan ketaksuban terhadap bangsa Malaysia – mencari jalan agar semua pihak mempertingkatkan nilai hormat terhadap kepercayaan agama, adat resam, dan kaum
Isi 5 : Mempertingkatkan daya usaha dan kesungguhan semua pihak untuk memajukan negara
- mempelbagaikan potensi ekonomi negara
- memaksimumkan daya usaha sama ada dalam cara berfikir, cara bekerja, dan kreativiti
- memaksimumkan bidang kemahiran dan teknologi – bangkit bersaing dengan negara-negara maju
- memaksimumkan daya pengeluaran negara terutama ke pasaran antarabangsa
Sampel kesimpulan : Memetik lirik-lirik dalam lagu patriotik “Malaysia Berjaya” yang berbunyi “Dari Perlis hinggalah ke Sabah, kita sudah berjaya” memaparkan betapa pentingnya kita bersatu dan berusaha untuk membentuk sebuah negara yang berdaulat dan merdeka. Kini kejayaan tersebut hendaklah direalisasikan oleh generasi baru Malaysia agar segala agenda yang telah dirancang oleh pemimpin yang terdahulu dapat mengimpakkan manfaat yang berganda kepada seluruh rakyat Malaysia. Oleh itu, gagasan 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan harus saya teruskan dengan pengisian dan keterlibatan menyeluruh oleh rakyat Malaysia.
Soalan 2. Minat membaca buku-buku ilmiah dalam kalangan remaja belum mencapai tahap yang memuaskan. Ibu bapa memainkan peranan penting untuk menggalakkan anak-anak mereka membaca karya-karya ilmiah agar dapat melahirkan generasi yang cinta akan ilmu pengetahuan.
Nyatakan usaha-usaha yang boleh diambil oleh ibu bapa untuk mencapai hasrat tersebut.
Sampel pendahuluan Statistik yang menyatakan purata rakyat Malaysia membaca hanya dua buah buku dalam setahun menggambarkan betapa jumudnya pemikiran rakyat Malaysia. Jikalau dibandingkan dengan rakyat Jepun yang purata membaca melebihi 100 buah buku setahun, perbandingan tersebut ibarat langit dengan bumi. Membaca yang merupakan jendela kepada gaya berfikir strategik untuk membentuk insan berminda kelas pertama belum dapat direalisasikan dalam masyarakat kita dengan kadar kecenderungan membaca yang terlalu rendah. Dalam usaha kita meuar-uarkan matlamat Wawasan 2020 menjadi kenyataan, justeru ibu bapa sewajarnya membimbing anak-anak mereka agar gemar membaca khususnya bahan-bahan bacaan ilmiah. Ibu bapa harus mencari pelbagai wasilah dan ikhtiar agar anak-anak mereka cenderung kepada minat membaca daripada kegiatan-kegiatan lain yang tidak berfaedah.
Isi-isi cadangan :
Peringatan : Calon-calon dinasihatkan membuat huraian khusus tentang konsep bacaan ilmiah dalam perbincangan isi yang pertama.
Isi 1. Ibu bapa hendaklah menggalakkan suasana berfikir secara kritis dan kreatif dalam rumah tangga – mendidik anak-anak berfikir tentang masalah yang berlaku di sekeliling mereka dan cara menyelesaikan masalah – ibu bapa dan anak-anak berbincang secara percambahan minda apabila menyelesaikan sesuatu masalah – menghormati pandangan dan cadangan anak-anak
Isi 2. Ibu bap selalu mengumpul dan mengakses sumber maklumat terkini yang berkaitan dengan isu-isu semasa yang penting – menggalakkan anak-anak peka dan berfikir tentang isu-isu negara, masyarakat dan isu global – membawa masuk sumber-sumber daripada intenet, buku-buku, dan media massa.
Isi 3. Menyediakan ruang membaca dan menelaah – ibu bapa dan anak-anak membaca dan membuat rujukan di tempat yang disediakan – membantu anak-anak menyelesaikan masalah akademik
Isi 4. Membawa anak-anak melawat pameran, pesta dan konvensyen yang berkaitan dengan akademik dan isu semasa – menggalakkan anak-anak membuat rujukan daripada sumber-sumber ilmiah
Isi 5. Memperkenalkan tokoh-tokoh yang berjaya di peringkat tempatan dan luar negara – menggalakkan anak-anak menyimpan cita-cita yang tinggi – mereka terdorong untuk merujuk sumber-sumber yang berkualiti dan ilmiah
Isi 6. Mengawal aktiviti anak-anak daripada terdedah aktiviti negatif – menyebabkan anak-anak kurang berminat untuk berfikir secara intensif (berfikir secara matang dan serius) – mengutamakan hiburan yang boleh menjanakan pemikiran yang kritis, kreatif dan cepat matang.
Sampel kesimpulan : Ke manakah tumpahnya kuah jikalau tidak ke nasi atau air perabung pasti mengalir ke cucur atap merupakan peribahasa yang menjelaskan tentang sikap dan pembawaan ibu bapa sentiasa dituruti oleh anak. Oleh itu, ibu bapa hendaklah menunjukkan tauladan yang baik agar dituruti anak-anak. Baik dan pintar cara berfikir ibu bapa nescaya akan dikongsi oleh anak-anak yang membawa kepada kecenderungan mereka membaca bahan-bahan yang bermutu dan ilmiah.
Soalan 3. Anda berminat menulis rencana tentang kepentingan melancong ke tempat-tempat menarik di dalam negara. Hal ini kerana, melancong ke tempat-tempat menarik di dalam negara mendatangkan pelbagai faedah kepada negara dan rakyat.
Tulis rencana anda selengkapnya.
Sampel pendahuluan : Tempelak orang tua-tua yang menyebut , “Jangan diikut telatah emak si randang, kera di hutan disusui, anak di pangkuan dilepaskan”. Seloka ini tepat apabila ditujukan kepada sesetengah masyarakat kita yang terlalu menyanjung unsur-unsur luar sehingga mengabaikan hak milik sendiri. Hal ini dapatlah dikaitkan dengan sikap sesetengah pihak yang terlalu ghairah untuk melancong ke luar negara, sedangkan destinasi menarik dalam negara pun tidak mereka ketahui. Tanpa menafikan keistimewaan melancong ke luar negara, kita sewajarnya tahu akan kepentingan dan natijah besar yang bakal diperoleh apabila kita melancong dalam negara sendiri.
Isi-isi cadangan : (Kebaikan/kepentingan)
Catatan : Dalam isi pertama calon dinasihati supaya menerangkan perihal tempat-tempat pelancongan yang menarik di negara kita ( Langkawi Geopark, Taman Laut negara, gua-gua bersejarah, gunung-gunung dan pulau-pulau yang cantik, peradaban pelbagai budaya masyarakat dan tempat-tempat makanan terkenal,
Isi 2. Dapat mendalami secara ilmiah tentang keistimewaan khazanah negara – sambil menyelam minum air (sambil menjamu mata dapat menggali pelbagai sumber ilmu pengetahuan)
Isi 3. Menyokong pembangunan industri pelancongan negara – turut menyokong industri hiliran dalam sektor pelancongan seperti kraftangan, penyediaan makanan, dan peninapan
Isi 4. Menjanakan pendapatan negara melalui industri pelancongan domestik – pengaliran wang dalam negeri yang dapat membantu kecairan mata wang dan meningkatkan modal boleh tunai tempatan
Isi 5. Memperkukuh interaksi/jaringan persahabatan rakyat Malaysia – rakyat dalam pelbagai budaya, fahaman, dan estetika dapat saling berhubung dan berkenalan.
Sampel kesimpulan : Sesungguhnya, sebagai rakyat yang cinta akan negara, kita hendaklah membuktikan kasih sayang kepada negara dengan melakukan pelbagai sumbangan. Melancong dalam negara adalah antara sumbangan kita kepada negara selain dapat memberi kita kesempatan untuk menikmati keindahan tanah air sendiri. Malahan, langkah tersebut dapat menjanakan ekonomi negara, sesuai dengan slogan, “Negara Maju Rakyat Sejahtera”.
Soalan 4. Kejadian bencana alam sering melanda negara-negara di rantau ini. Sebagai tindakan berjaga-jaga Malaysia telah mengambil langkah-langkah untuk bekerjasama dengan negara serantau bagi menghadapi kejadian tersebut pada masa hadapan.
Huraikan bentuk kerjasama yang boleh dilakukan oleh Malaysia dan negara serantau untuk menghadapi bencana alam tersebut.
Sampel pedahuluan : Hukum alam merupakan fenomena yang sukar ditandingi oleh kudrat manusia. Bencana seperti ribut taufan, tanah runtuh, gempa bumi, tsunami, ribut salji, dan sebagainya bukanlah padan saingannya dengan tenaga manusia. Selain fenomena alam, kekacauan seperti peperangan turut membawa musibah dan kesengsaraan kepada manusia. Penderitaan akibat kemusnahan yang tidak tertanggung itu sentiasa menggamit perasaan terharu kerajaan dan rakyat Malaysia. Walaupun negara kita belum pernah mengalami tragedi yang amat dahsyat seperti bencana Tsunami yang melanda Indonesia, namun tidak salah kita bersedia lebih awal untuk mengambil langkah berjaga-jaga. Persediaan terbaik yang boleh dilakukan adalah dengan mengadakan kerjasama serantau dengan negara-negara tetangga.
Isi-isi cadangan :
Isi 1: Mengadakan kerjasama politik yang lebih erat – merapatkan jurang perbezaan pendapat terutama dalam kalangan negara berjiran – langkah terbaik memperoleh kerjasama apabila ditimpa apa-apa bencana
Isi 2 Mempertingkatkan kerjasama dalam rangkaian sistem maklumat – menyalurkan semua maklumat berkaitan perubahan suhu, iklim, dan sebarang tanda yang boleh membawa malapetaka ( contoh maklumat tentang amaran letupan gunung berapi ) – menyelaraskan sumber amaran siesmologi – hubungan rapi antara pakar dan saintis dalam kalangan negara serantau
Isi 3: Mengadakan kerjasama mewujudakan pasukan SMART (agensi penyelamat malapetaka) – melaksanakan latihan menyelamat secara bersama
Isi 4: Mewujudkan urus setia bantuan bencana di peringkat serantau dan antarabangsa – badan khusus yang diwujudkan di setiap negara untuk menghadapi sebarang ancaman malapetaka – menguruskan dana dan menyelaraskan sumber bantuan dan sumbangan awam
Isi 5: Memproaktifkan semua NGO yang berkaitan dengan pertolongan cemas – Persatuan Bulan Sabit Merah, Palang Merah, St John, dan RELA – mempelajari dan memiliki kemahiran profesional untuk membantu ketika ditimpa bencana.
Sampel kesimpulan : Peribahasa yang menyatakan, geruh tidak berbunyi dan malang tidak berbau menunjukkan bahawa bencana dan malapetaka tidak pernah memilih tempat, masa, dan mangsa. Walaupun pada ketikanya negara lain yang ditimpa bencana, pihak jiran tidaklah boleh berpeluk tubuh melihat rakan-rakan yang terpaksa bertarung dengan maut. Kita hendaklah memiliki perasaan seperti cubit peha kiri, peha kanan pun sakit juga.
NOTA : Kemungkinan soalan keluar dalam bentuk sumbangan Malaysia kepada negara-negara yang dilanda malapetaka. Bersama-sama ini saya bermurah hati menurunkan koleksi karangan saya untuk rujukan pelajar. Sila amati karangan penuh seperti di bawah ini:
Malapetaka alam sering menarik simpati warga dunia. Malaysia turut tidak ketinggalan menghulurkan pelbagai bantuan kepada mangsa yang ditimpa malapetaka di seluruh dunia.
Bincangkan sumbangan Malaysia terhadap mangsa-mangsa malapetaka alam.
Nasib malang dan ajal maut tiada sesiapapun yang mampu menduganya. Geruh tidak berbunyi, malang tidak berbau menggambarkan betapa setiap malapetaka yang berlaku tidak pernah dijangkakan. Semuanya sudah ditakdirkan oleh Tuhan yang berkuasa dan berlaku secara natural. Fenomena alam seperti perubahan suhu, pergerakan tektonik, dan ombak laut amat sukar dijangkakan walaupun dengan bantuan sistem teknologi canggih. Segala-galanya berlaku dengan begitu pantas. Mangsa yang terlibat langsung tidak berpeluang untuk menyelamatkan diri. Menurut pakar-pakar fenomena alam, abad ke-21 merupakan tempoh matang terhadap perubahan sistem alam yang berlaku dalam tempoh 2000 tahun. Dengan hal yang demikian, malapetaka alam berkemungkinan berlaku pada bila-bila masa dan di mana-mana tempat jua. Memandangkan kita tidak mempunyai kudrat untuk menghalang trgedi besar malapetaka alam, kita hanya boleh menghulurkan bantuan kepada mangsa yang dilanda pelbagai malapetaka.
Dalam mendepani episod sedih daripada pelbagai kejadian, Malaysia tidak ketinggalan menghulurkan pelbagai sumbangan. Simpati Malaysia itu dilakukan atas dasar perikemanusiaan. Pemimpin dan rakyat Malaysia sentiasa insaf, jikalau hari ini kita bebas daripada malapetaka, namun esok atau lusa bencana mungkin menimpa. Kita mengambil pendekatan sedikit tanda ingat, banyak tanda ada untuk membantu mereka yang dilanda musibah. Langkah tersebut diambil juga atas dasar setia kawan dan jalinan mesra antara pemimpin yang sentiasa dirintis oleh Malaysia.
Penglibatan Malaysia dalam menangani kemelut kemanusiaan itu termasuklah menghantar pasukan mencari dan menyelamat mangsa. Pasukan yang terdiri daripada Pasukan Gerak Cepat dan Pasukan SMART sentiasa dihantar sebagai kumpulan awal untuk turut sama dalam kerja-kerja mencari dan menyelamat mangsa. Pasukan tersebut pernah dihantar membantu dalam tragedi gempa bumi di Pakistan, Indonesia, dan tragedi Taufan Durian di Filipina. Selain itu, pasukan bomba dihantar juga dalam kerja-kerja menyelamat dan memadamkan kebakaran di Sumatera dan kepulauan Riau di Indonesia.
Pasukan perubatan yang diketuai oleh Mercy Malaysia tidak ketinggalan menyalurkan khidmat merawat mangsa. Selain merawat mereka juga memberikan khidmat kaunseling kepada mangsa yang mengalami trauma. Kini Mercy Malaysia yang dipimpin oleh Dato Dr Jamilah semakin mendapat tempat di hati masyarakat setempat kerana perkhidmatan cemerlang mereka. Ketika mengadakan operasi menyelamat mangsa dalam tragedi gempa bumi di Pakistan, Mercy Malaysia telah menerima pujian hasil kepakaran dan disiplin yang tinggi para pengamal perubatan dari Malaysia. Selain khidmat sosial yang berkualiti, pasukan tersebut telah menjadi duta kebajikan untuk menaikkan nama Malaysia di mata dunia.
Bagi kebanyakan rakyat Malaysia yang tidak sempat dan tidak berkemampuan untuk sampai ke tempat tragedi, huluran simpati tidak pernah berhenti. Pelbagai usaha dijalankan seperti mewujudkan tabung derma mangsa bencana alam. Oleh itu, setiap agensi dan organisasi telah mengambil bahagian yang aktif mengumpul derma dalam bentuk wang ringgit. Agensi-agensi terkemuka sama ada media cetak atau media elektronik telah membuka akaun khas di bank-bank tempatan bagi membolehkan orang ramai menderma kepada mangsa tragedi. Bukan sekadar usaha tersebut, terdapat juga orang perseorangan atau organisasi bukan kerajaan yang sanggup mengumpul pakaian baru dan terpakai untuk dihantar ke pusat pengumpulan. Pakaian seperti selimut, kain sarung, dan pakaian untuk kanak-kanak dihantar bertan-tan ke lokasi dengan kerjasama Tentera Laut Diraja Malaysia. Semua usaha tersebut terhasil daripada penghayatan nilai murni dan falsafah kemanusiaan yang sentiasa dianuti oleh rakyat Malaysia.
Di pihak kerajaan, bantuan pascabencana terus dihulurkan. Antara bantuan yang diberikan seperti sumbangan modal dan kepakaran untuk membangunkan semula kawasan yang telah tejejas teruk. Sebagai negara berjiran yang dapat merasakan rintihan dan suara hati saudara serantau, Malaysia telah membantu kerajaan Indonesia dalam usaha membangunkan semula sistem pendidikan di wilayah Acheh dan Jogjakarta di Indonesia yang terjejas teruk dalam peristiwa gempa bumi dan Tsunami. Dengan sokongan yang diberikan itu telah dapat mengurangkan sedikit beban yang ditanggung oleh mangsa-mangsa. Anak-anak dapat meneruskan semula pelajaran, sementara hidup baru dapat dimulakan sedikit demi sedikit.
Kini malapetaka sudah berlalu dan kemungkinan peristiwa-peristiwa ngeri itu bakal berulang tiada sesiapapun yang dapat menduga. Walau bagaimanapun, atas sifat perikemanusiaan, rakyat Malaysia tetap berazam untuk terus membantu mangsa selagi terdaya. Segala bantuan yang telah dihulurkan terbit daripada perasaan yang ikhlas demi kesejahteraan dunia sejagat.
Soalan 5. Anda telah membaca sebuah cerpen yang tersiar dalam sebuah majalah tempatan. Anda tertarik dengan ciri-ciri istimewa yang terdapat dalam cerpen tersebut.
Huraikan ciri-ciri istimewa cerpen tersebut yang menarik perhatian anda.
JOHOR
Soalan 1. Dewasa ini, masalah disiplin pelajar semakin serius dan boleh menjejaskan pencapaian akademik dan kokurikulum. Sebagai pelajar, anda berminat untuk menulis sebuah esei untuk dimuatkan dalam majalah sekolah. Tajuk esei anda ialah “Disiplin Asas Kejayaan”.
Tulis esei itu selengkapnya.NOTA : Sila padankan dan sesuaikan karangan ini dengan sampel karangan asal saya yang boleh dipetik daripada buku saya MODUL PEMBELAJARAN KENDIRI BM SPM EDISI 2010. Bersama-sama ini saya bermurah hati untuk menurunkan semula karangan tersebut dalam format syarahan ;
“Disiplin Sebagai Teras Kejayaan”. Demikianlah sebuah tajuk pidato yang telah anda sampaikan dalam satu pertandingan pidato di peringkat sekolah anda.
Tulis semula teks pidato itu selengkapnya.
Assalamualikum dan salam sejahtera,
Yang saya hormati Pengacara Majlis. Tuan-tuan Panel Hakim yang sentiasa peka dengan misi keadilannya. Yang mulia, Tuan Pengetua dan seterusnya guru-guru serta rakan-rakan seperjuangan yang dihormati sekalian.
Hadirin sekalian,
Pada waktu ini saya sedang berdiri di hadapan saudara dan saudari. Hadirin sekalian begitu setia untuk menghayati setiap kata yang bakal saya titipkan. Kita bersama-sama menghayati suatu wadah keilmuan dalam suasana yang tenang dan harmoni. Peserta, masing-masing dapat berhujah dalam kapasiti dan kemampuan masing-masing. Soalannya, mengapakah kita mampu mewujudkan situasi yang sedemikian rupa? Semuanya terjawab dengan sendirinya kerana kita masih mempertahankan disiplin yang baik, saling membantu dan saling menyokong. Lantas, hadirin sekalian marilah bersama-sama saya kita lunasi suatu wacana yang bakal saya hidangkan kepada anda dengan maudhuk wacana saya, “Disiplin Teras Kejayaan”.
Hadirin sekalian,
Disiplin Teras Kejayaan ialah rangkuman konsep yang menyatakan suatu sistem tatacara mengurus diri yang betul pasti menatijahkan kejayaan dalam setiap urusan dan tindakan kita. Justeru, disiplin menjadi jurupandu untuk seseorang memperoleh kejayaan dalam mencapai sesuatu sama ada belajar, bekerja dan melunaskan rutin harian kita. Pesan orang tua-tua, “Mengaji dari alif, membilang dari esa, hujan berpokok, dan kata berpangkal”. Segala-galanya perlu melalui suatu proses dan sistem yang betul.
Sejarah telah menjadi sumber rujukan yang paling penting kepada kita akan kejayaan tokoh-tokoh yang terkemuka. Kejayaan yang telah dikecapi oleh mereka adalah dengan berkat disiplin yang tinggi. Sama ada dalam bidang keilmuan atau kerjaya semuanya memerlukan disiplin. Lihatlah betapa sengsaranya Thomas Alva Edison dalam usahanya untuk menyumbangkan cahaya kepada alam sejagat. Beliau memerlukan ketelitian dan disiplin yang amat tinggi. Begitulah tokoh-tokoh dalam bidang keilmuan seperti Socrates, Plato, Aristotle, Imam Al Ghazali, Imam Shafie dan sebagainya. Mereka bangkit sebagai personaliti dunia yang menyemarakkan budaya ilmu melalui disiplin yang tinggi.
Rakan-rakan sekalin,
Ketika sedang mendaki tangga kejayaan, ingatlah tiada tonik lain yang lebih mujarab boleh membantu kita mencapai matlamat. Tanpa disiplin hasrat kita akan longlai, urusan kita tidak langsai, justeru impian kita akan berkecai. Kita akan kecundang di tengah-tengah medan perjuangan. Kita perlu bermuhasabah diri, memilih segala-gala yang baik dengan mengetepikan perkara-perkara yang dangkal. Uruslah diri anda, merancang masa dan mengurus personel yang baik. Kita perlu memiliki hala tuju yang betul, cita-cita yang jelas, dan sanggup menterjemahkan matlamat hidup dalam perancangan yang teliti. Inilah sumber orang-orang yang pasti berjaya.
Ingatlah, untuk berjaya kita mesti merancang sistem belajar yang betul, rutin harian yang terancang, dan sentiasa meletakkan perkara-perkara yang positif sebagai keutamaan. Bayangkanlah! Tanpa disiplin, berapa banyakkah masa yang dibazirkan untuk menekan butang telefon semata-mata berceloteh dalam SMS? Tanpa disiplin, berapakah lama masa yang berlalu dengan hanya asyik berserakah dengan rakan-rakan? Tanpa disiplin kita disesatkan dek terlalu kemarukkan melayari Facebook, Twitter, dan My Space? Sumber yang pada asalnya boleh membawa natijah positif, malangnya terbalik kerana ketiadaan disiplin. Padanya, semakin lama kita melayani perkara-perkara yang membazir, justeru semakin jauhlah kita dihanyutkan oleh ilusi tanpa realiti. Kita telah membazir masa dan usia, bak seratus tahun bah melanda kapar tetap tidak berlalu.
Saudara dan saudari,
Peribahasa menyatakan, meminta pada yang ada, bertanya pada yang tahu. Tuah jangan ditolak, rezeki harus dituntut. Masa dan peluang harus kita kejar. Demi menjadi insan yang berguna pada masa depan, uruslah disiplin dengan cara yang terbaik. Rujukan kita mestilah kepada tokoh-tokoh yang telah berjaya. Merekalah yang sepatutunya menjadi idola kita. Gerak dan langkah mereka, cara berfirkir dan cara mereka merancang hidup hendaklah dijadikan panduan. Mereka yang telah berjaya mungkin para pemimpin, para guru, malah rakan-rakan kita. Kita wajar memiliki perasaan cemburu terhadap kejayaan orang lain demi menyaingi mereka secara sihat.
Setelah kita menyediakan strategi memburu kejayaan secara terancang, kita juga perlu berhati-hati kerana dalam setiap masa dan apa-apa keadaan pun pelbagai dugaan boleh mengancam konsentrasi. Oleh itu, jauhilah parasit dan pengaruh yang boleh merosakkan diri. Orang-orang yang tidak berdisiplin sentiasa berdamping dengan program-program yang tidak berfaedah. Berwaspadalah terhadap pengaruh hiburan yang berlebih-lebihan. Elakkan bergaul dengan rakan-rakan yang tidak mempunyai maltlamat dan hilang jati diri. Elakkan diri terjebak dengan kegiatan negatif seperti melepak, berpelisiran, lumba haram dan seribu satu macam lagi angkara antimoral yang sedang menunggu untuk menjeratkan kita.
Rakan-rakan seperjuangan sekalian,
Sesungguhnya peribahasa ingat sebelum kena, jimat sebelum habis benar-benar mendidik kita untuk mendisiplinkan diri. Tanpa disiplin tiada sekelumit pun kejayaan yang bakal diraih. Jikalau inginkan kejayaan, berpeganglah kepada falsafah, “Disiplin Teras Kejayaan”.
Sekian terima kasih.
Soalan 2. Pada masa ini masyarakat Malaysia kurang menitikberatkan amalan membaca sedangkan membaca memberikan banyak faedah.
Huraikan peranan yang perlu dilakukan oleh pelbagai pihak untuk memupuk tabiat suka membaca dalam kalangan masyarakat Malaysia.
CATATAN : JAWAPAN SOALAN INI BOLEH DIPADANKAN DAN DIUBAHSUAIKAN DENGAN SOALAN NO 2, NEGERI PERAK
Soalan 3. Kegiatan lumba haram dalam kalangan remaja telah menjadi tajuk utama akhbar-akhbar tempatan di negara ini. Masalah ini semakin berleluasa dan membimbangkan pelbagai pihak.
Jelaskan usaha-usaha yang boleh dilakukan oleh masyarakat untuk mengelakkan remaja daripada terlibat dalam perlumbaan haram.
Sampel pendahuluan : “Masalah yang tidak pernah berkesudahan”. Demikianlah rungutan banyak pihak setiap kali terpapar polemik yang berkaitan dengan gejala lumba haram dalam kalangan remaja. Pelbagai inisiatif yang dijalankan oleh pihak Polis Trafik dan Jabatan Pengangkutan Jalan untuk membanteras gejala ini, namun semuanya tidak berhasil. Bukan hasil positif yang diperoleh, malahan anggota polis pula yang menerima padah. Terbaru seorang anggota polis berpangkat Cif Inspektor pula terkorban kerana tindakan nekadnya mengejar mat rempit. Sudah hampir satu dekad kegelisahan atas gejala yang tidak pernah bertemu noktah ini, maka suatu usaha kolektif harus dipikul oleh semua pihak agar episod negatif yang semakin membarah ini menemui jalan penyelesaiannya.
Isi-isi cadangan :
Isi 1: Seluruh institusi masyarakat harus mendekati remaja secara bijaksana (berhikmah) – seperti cadangan tokoh Imam Muda yang meminta agar institusi masjid dan surau memberikan peranan yang bersesuaian kepada remaja – remaja berasa peranan mereka dihargai dan akan mula bertindak secara positif
Isi 2: Masyarakat perlu mendekati remaja secara baik – remaja tidak berasa diri mereka dipinggirkan – pendekatan marah dan mengherdik boleh menjauhkan remaja daripada masyarakat
Isi 3: Kerajaan dan pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu menyediakan prasarana untuk aktiviti positif remaja – ketiadaan pusat riadah (padang bola dan gelanggang permainan) – remaja beralih kepada kegiatan yang negatif
Isi 4: Menyediakan lebih banyak pusat latihan dan kemahiran kerjaya – remaja yang tamat persekolahan mempunyai tempat yang cukup untuk belajar dan memperoleh kemahiran (jumlah pelumba haram yang agak kecil dalam kalangan kaum Cina ada kaitan dengan bidang kerjaya yang mereka ceburi)
Isi 5: Peranan berterusan ibu bapa dengan mendekati anak-anak ketika usia remaja mereka – mengubah cara masyarakat mendidik anak-anak pada hari ini yang mula berlepas tangan apabila anak-anak mencecah usia 15 tahun – komunikasi langsung dengan anak-anak mula renggang – anak-anak mula yakin segala yang mereka lakukan adalah betul.
Isi 6: Tindakan keras daripada pihak berkuasa – cadangan menyita kenderaan dan mengharamkan pemilikan lesen seumur hidup harus dipertimbangkan semula jikalau keadaan benar-benar tidak terkawal.
Isi 7 : Menutup/mengharamkan program-program hiburan dan perhimpunan besar yang melewati tengah malam – aktiviti seumpama itu sebagai umpan/mangkin kepada aktiviti tidak sihat yang lain seperti bermulanya kegiatan lumba haram.
Sampel kesimpulan : Sesungguhnya kegiatan lumba haram tidak wajar dibiarkan berterusan. Walaupun pahit untuk menelan hakikat tingkah laku buruk remaja itu, namun mereka tetap menjadi aset masa depan negara. Oleh itu, sebarang perlakuan negatif mereka yang boleh mengancam masa depan negara hendaklah ditangani segera.
Soalan 4. Penularan penyakit berbahaya seperti H1N1, Demam Denggi, dan AIDS telah mendatangkan kesan negatif kepada kehidupan manusia sejagat.
Bincangkan tindakan yang perlu dilakukan oleh negara-negara terlibat untuk menangani penularan penyakit-penyakit berbahaya.
Soalan 5. Peribahasa “genggam bara api biar sampai jadi arang” bermaksud apabila seseorang itu melakukan pekerjaan yang sukar, dia perlu melakukannya dengan kegigihan dan kesabaran sehingga mencapai matlamatnya.
Berdasarkan peribahasa tersebut, tulis sebuah cerpen yang menggambarkan kesungguhan seseorang dalam mencapai cita-cita.
PULAU PINANG
Soalan 1. Gejala ponteng sekolah merupakan antara kes disiplin yang paling banyak berlaku di sekolah-sekolah.
Huraikan pendapat anda tentang usaha-usaha yang boleh dilakukan untuk menangani masalah tersebut.
Sampel pendahuluan : Hasrat untuk mengangkat martabat pendidikan negara menjadi “Pendidikan bertaraf dunia” atau pendidikan sebagai penjana mentaliti berkelas dunia merupakan hasrat yang amat murni. Dalam arus globalisasi dan peranan Malaysia yang begitu aktif di peringkat dunia, hasrat seperti ini bukanlah suatu perkara yang mustahil. Pada hari ini, Malaysia telah menjadi destinasi kepada limpahan pelajar asing yang menuntut di pelbagai institusi awam dan swasta. Namun demikian, di sebalik kejayaan Malaysia menjadi hub pendidikan bertaraf dunia, masalah dalam rumah tangga sendiri pula yang menjadi duri dalam daging. Masalah tersebut ialah gejala ponteng sekolah dalam kalangan pelajar. Masalah ini bukan lagi menjadi isu kecil tetapi telah menjadi isu nasional apabila saban hari ribuan remaja yang mengambil kesempatan untuk ponteng sekolah. Oleh hal yang demikian, sebelum nasi menjadi bubur, saya berpendapat pelbagai usaha hendaklah diambil untuk menangani gejala tersebut daripada terus menjadi isu negara.
Isi-isi cadangan :
Isi 1 : Usaha pihak sekolah – sentiasa mencari kaedah terbaik dan terkini agar sekolah menjadi syurga kepada pelajar dan P&P menjadi santapan rohani pelajar (pelajar senang dan selesa ketika P&P) – menuntut kreativiti, kerja kuat guru-guru
Isi 2: Usaha ibu bapa – acap kali menjadikan agenda pelajaran sebagai topik utama yang dibincangkan di dalam rumah – anak-anak selalu disogok dan diberi jaminan akan berjaya apabila ada ilmu – mendorong anak-anak ke sekolah
Isi 3 : Kesedaran pelajar – pelajar hendaklah mempunyai matlamat tentang masa depan dengan cara menuntut ilmu – kesedaran yang perlu lahir dari dalam setelah digerakkan oleh pihak luar (guru, ibu bapa, dan masyarakat)
Isi 4: Sokongan daripada rakan-rakan – rakan menjadi penggerak rakan sebaya untuk sesuatu kejayaan – mewujudkan doktrin dan slogan setia kawan “Sama-sama Kita Bangun dan Berjaya” – pelajar akan lebih seronok ke sekolah apabila sering menerima dorongan rakan
Isi 5: Sokongan daripada masyarakat – masyarakat setempat hendaklah memiliki kesedaran tentang kepentingan wahana ilmu – sentiasa bercakap tentang kelebihan ilmu dan ilmu sebagai pembuka laluan kerjaya – mendorongi pelajar untuk berlumba-lumba mencari ilmu
Isi 6 : Kerajaan melaksanakan pelbagai dasar yang mesra ilmu kepada pelajar – menyediakan pelbagai institusi mengikut keperluan semasa (mempelbagaikan aliran dan bidang) – sistem pendidikan harus berganjak daripada sistem yang berorientasikan peperiksaan semata-mata kepada sistem yang berpaksikan minat , latar belakang dan kebolehan pelajar – mengelak pelajar berasa bosan dengan sistem yang selalu menekan diri mereka.
Sampel kesimpulan : Mafhum daripada sepotong ayat suci al Quran yang bermaksud, “Adakah sama golongan yang berilmu dengan yang tidak berilmu (jahil)?”. Pernyataan tersebut membuktikan bahawa ilmulah yang akan membezakan martabat dan nilai diri seseorang itu. Oleh itu, gejala ponteng sekolah hendaklah diperangi dengan apa-apa cara jua agar sindrom kejumudan tidak terus-menerus menyerang masyarakat negara kita. Kebodohan ialah suatu kecelakaan yang akan menjahanamkan sesuatu umat itu.
Soalan 2. Usaha-usaha untuk mengumpulkan ahli keluarga dari satu generasi ke satu generasi terutama pada hari-hari perayaan merupakan usaha yang murni.
Huraikan kebaikan-kebaikan yang diperoleh daripada usaha tersebut.Sampel pendahuluan : “Mencatat Sejarah”. Demikianlah ungkapan yang selalu ditemui di dada-dada akhbar apabila sesuatu yang agak luar biasa berjaya dilaksanakan. Pelbagai cara dilakukan demi catatan sejarah sendiri. Ada yang cuba melakukan sesuatu yang dianggap luar biasa oleh sesetengah orang dan ada yang cuba mencipta nama dengan melakukan pelbagai kerja kebajikan. Pada hari ini, semakin ramai yang cuba mencatat sejarah dengan mencari dan mengumpul asal usul mereka. Usaha seperti ini juga dilihat mampu membawa pelbagai signifikan kepada keluarga terbabit.
Isi-isi cadangan :
Isi 1 : Dapat mencari dan mengenal pasti salasilah/sejarah keturunan – berbangga dengan asal usul – darah daging dan zuriat merupakan anugerah Allah perlu disyukuri dan dibanggai – orang Arab yang sangat mementingkan suku dan kabilah mereka, orang Cina sangat mementingkan asal keturunan mereka
Isi 2 : Memperluas hubungan kekeluargaan dan silaturahim – berkenalan dan menjalinkan hubungan kasih sayang atas dasar hubungan darah – menguatkan perpaduan dan kerjasama
Isi 3 : Menjimatkan dana – saling menyumbangkan modal – meringankan beban belanja satu pihak
Isi 4 : Mendidik generasi muda untuk menghargai dan berbangga dengan keturunan dan warisan sendiri – air dicencang tidak akan putus – mendidik mereka menjaga maruah demi menjaga nama baik keturunan
Isi 5 : Berkongsi idea dan pengalaman – mempertemukan pelbagai lapis struktur sosial dan ekonomi – berkumpul, berbincang, memberi pendapat dan bimbingan terutama untuk generasi muda – menubuhkan dana keluarga
Sampel kesimpulan : Berdasarkan ajaran Islam, empat perkara yang wajib dijaga dan dibanggai ialah maruah dan harga diri, nasab dan keturunan, harta benda, dan wilayah (negeri). Malahan sekiranya seseorang itu demi mempertahankan salah satu daripada perkara tersebut, beliau dikatakan mati syahid. Oleh itu, jagalah kaum keluarga dan keturunan sendiri kerana usaha tersebut sangat mulia di sisi Tuhan.
Soalan 3. Penumpang sering merungut tentang kualiti perkhidmatan pengangkuan awam yang kurang memuaskan.
Ulaskan strategi-strategi yang boleh diambil untuk meningkatkan kualiti pengangkutan awam.
Soalan 4. Kemajuan dalam bidang bioteknologi membawa perubahan dalam pelbagai aspek kehidupan manusia sejagat pada peringkat antarabangsa.
Berikan pendapat anda tentang faedah-faedah penggunaan bioteknologi.
5. Remaja kini kurang berminat untuk membaca karya sastera seperti cerpen dan novel.
Huraikan langkah-langkah untuk menggalakkan remaja membaca karya-karya tersebut.
NOTA : Saya bermurah hati menurunkan karangan lengkap daripada koleksi karangan sedia anda untuk rujukan pelajar. Sila baca dengan teliti.
Hasil-hasil karya kreatif merupakan penglahiran yang menggabungkan emosi, perasaan, imaginatif, dan pemikiran. Penglahirannya yang disampaikan dalam bentuk pengucapan bahasa yang indah cuba mengungkapkan pandangan dan sentuhan rasa hati yang halus, sensitif, dan kreatif. Hanya insan yang benar-benar telus jiwa raganya dapat merakamkan dan melahirkan konflik kehidupan sama ada yang melibatkan peribadi atau masyarakat. Penglahiran tersebut bakal dikongsikan dengan pembaca agar para pembaca dapat merasai keindahannya sama ada dalam aspek bahasa, tema dan persoalan yang merentas kehidupan, dan nilai serta pengajaran yang mampu menjadi sari teladan yang berguna untuk dihayati. Kejayaan menerapkan minat masyarakat terhadap genre-genre kreatif mampu membentuk sebuah masyarakat dinamik yang sihat dalam aspek pemikiran, emosi, sahsiah, dan nilai-nilai kemanusiaan sejagat.
Antara hasil karya kreatif dalam versi bertulis adalah seperti novel, cerpen, drama, kritikan sastera, prosa klasik, puisi moden dan klasik. Bahan-bahan tersebut dihasilkan oleh penulis-penulis yang berbakat. Mereka mempunyai sentuhan kreatif dengan sensitiviti yang amat tajam terhadap sebarang gerak laku masyarakat. Gerak laku masyarakat sama ada yang positif atau negatif digarapkan dalam pelbagai neka bahasa. Dalam hal ini tidak semua insan mampu untuk melahirkan pengucapan seni dalam bentuk bahasa yang indah. Justeru, pengucapan tersebut sentiasa mendapat minat yang besar daripada khalayak pembaca. Sungguhpun demikian, dalam abad siber ini pelbagai hambatan telah menjadi kekangan dalam menanam minat membaca hasil-hasil karya kreatif. Bagi meneruskan tradisi membaca seperti yang termaktub dalam falsafah Iqra kita hendaklah cuba mengenal pasti beberapa hambatan tersebut dan kita perlu proaktif mencari jalan menanganinya.
Dalam melahirkan insan yang stabil dalam aspek mental, fizikal, dan emosi kita seharusnya menyediakan generasi pelapis dengan segala pakej pembangunan insan yang lengkap. Mereka tidak boleh djadikan sebagai generasi perakam maklumat dan data semata-mata. Mereka semestinya pandai memproses maklmuat dan memanfaatkannya untuk faedah diri sendiri dan masyarakat juga. Oleh itu program membaca hendaklah diproaktifkan. Program ini hendaklah dijadikan projek wajib ketika pelajar dalam alam persekolahan. Selain pengisian komponen KOMSAS dalam subjek bahasa porgram-program yang bersifat santai dan kokurikulum mestilah menjurus kepada program membaca. Setiap bidang dalam kegiatan luar sekolah mesti didahulukan dengan program membaca. Pelajar hendaklah dibimbing membaca untuk memperoleh maklumat, mencari panduan, dan memulakan sesuatu operasi.
Kualiti bahan bacaan khususnya bahan-bhan daripada genre sastera sepatutnya mampu mendahului zaman. Strategi tersebut penting sejajar dengan arus perubahan masa yang lebih mencabar minda dan emosi remaja. Hasil-hasil nukilan kreatif tidak boleh berkiblat kepada isu-isu cinta monyet dan permasalahan keluarga yang tidak mempunya paradigma. Remaja harus dihujani dengan pelbagai persoalan global. Mereka harus diajak dalam pengembaraan kreatif terhadap idea-idea baru berhubung dengan kekejaman dunia, pembelaan golongan tertindas, membanteras keganasan, menangani isu alam global dan peka terhadap sebarang rangsangan sosioekonomi dan siasah dunia sarwajagat. Kita yakin apabila naluri remaja sentiasa terangsang untuk lebih peka terhadap cabaran semasa mereka pasti kembali kepada penerokaan maklumat yang sebenarnya iaitu membaca.
Sesungguhnya, bangsa yang paling berjaya ialah bangsa yang sentiasa peka terhadap sebarang kehendak dan fenomena global. Bangsa tersebut dengan segera bangkit dan berlumba-lumba untuk mencapainya. Demikianlah seperti dalam abad ke-14 Masihi apabila bidang penjelajahan dunia berkembang di seluruh dunia, akhirnya bangsa Eropah yang memulakannya, justeru merekalah yang berjaya menakluki hampir dua pertiga dunia. Kini dalam penjelajahan ilmu, sesiapa jua yang minat membaca, nescaya beliau akan memenangi dalam perlumbaan era siber ini.
NEGERI SEMBILAN
Soalan 1. Semangat patriotisme perlu ada dalam diri generasi muda pada hari ini kerana mereka bakal menjadi pemimpin negara pada masa hadapan.
Bincangkan usaha-usaha yang wajar dilakukan oleh remaja untuk memupuk semangat patriotisme dalam diri mereka.
Sampel pendahuluan: Mutakhir ini, sudah menjadi lumrah seseorang remaja mampu menghafal dengan lancar dan pantas nama-nama selebriti dan penghibur sanjungan mereka. Namun demikian, remaja yang sama begitu jengkel untuk menyebut nama tokoh-tokoh pejuang dan negarawan. Bagi mereka nama-nama tersebut tidak mempunyai sentuhan ajaib terhadap diri mereka. Sikap tidak menghargai tokoh negara itu akhirnya membawa kepada sikap endah tidak endah terhadap nilai kemerdekaan tanah air. Inilah fenomena yang sekiranya tidak dibendung boleh melahirkan lebih ramai generasi masa depan yang tidak patriotik. Memandangkan golongan ini menjadi penerus legasi kepimpinan negara pada masa hadapan, justeru pelbagai inisiatif perlu dilaksanakan secara terancang untuk memupuk semula semangat patriotisme dalam diri remaja.
Isi-isi cadangan :
Isi 1 : Sering bermuhasabah terhadap diri sendiri – berasa diri amat bertuah kerana dapat hidup bernegara – membuat perbandingan dengan masyarakat pendatang yang dilayan sebagai warga kelas kedua apabila berada di negara orang – lahir perasaan sayang akan negara – (sesuaikan dengan peribahasa, tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat dilahirkan).
Isi 2 : Belajar mengagumi tokoh-tokoh agung dunia dan tokoh negara sendiri – lahir perasaan berbangga kerana negara kita memiliki pemimpin yang berdedikasi (berikan contoh pemimpin idola)
Isi 3 : Menyimpan cita-cita untuk menjadi insan yang berjiwa besar – mahu mencapai kejayaan cemerlang terutama dalam kerjaya yang terbilang – mahu berkhidmat untuk negara
Isi 4 : Sentiasa berbangga dan mengagungkan imej dan nama negara – berbangga dengan jenama negara, berbangga dengan tokoh yang mengharumkan nama negara (ahli sukan, tokoh akademik dan tokoh seni tanah air) – berbangga dengan budaya dan adat resam masyarakat Malaysia – (di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung)
Isi 5 : Menjalinkan perpaduan dan persahabatan yang erat dalam kalangan masyarakat majmuk – mengiktiraf dan menghormati setiap potensi yang dimiliki oleh setiap kaum – mengembangkan potensi yang ada untuk mengangkat imej negara di persada dunia.
Isi 6 : Memperlengkap diri dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran teknologi – dapat bangkit untuk bersaing dengan masyarakat dunia dalam arus dunia tanpa sempadan
Isi 7 : Meneruskan kelestarian alam sekitar – menjaga semua khazanah alam negara agar tidak tercemar – berjaya mengekalkan ekosistem dan keindahan alam sekitar – boleh dijadikan aset untuk memperkembang sektor ekonomi.
Sampel kesimpulan : Sesungguhnya, bangsa yang mulia ialah bangsa yang sentiasa berbangga terhadap tanah air, seperti kata peribahasa Arab, “Kasih akan negara adalah sebahagian daripada iman”. Oleh itu, sedari kecil binalah kekuatan nilai patriotisme dalam kalangan rakyat.
Soalan 2. Keprihatinan dan kasih sayang ibu bapa penting dalam menentukan kejayaan hidup anak-anak. Anda ingin menulis rencana untuk disiarkan dalam majalah tempatan berdasarkan pernyataan tersebut.
Tulis rencana itu selengkapnya.
Cadangan Pendahuluan : Peribahasa Melayu menyatakan kenal getah batang lihatlah daunnya. Peribahasa tersebut menjelaskan bahawa tingkah laku dan latar belakang ibu bapa bakal menentukan hala tuju anak-anak. Baik ibu bapa, justeru baiklah anak-anak. Elok keluarga, justeru sempurnalah pendidikan dan masa depan untuk anak-anak. Anak-anak yang terdidik daripada keluarga yang harmoni akan menjadi insan yang berguna dan demikian pula di sebaliknya. Dengan yang demikian, saya berpendapat, keluarga yang harmoni pasti menjadi penyumbang utama kepada kecemerlangan anak-anak.
Isi 1 : Pertumbuhan minda dan sahsiah anak-anak paling berkait rapat dengan iklim rumah tangga
- sikap dan gaya pemikiran anak-anak bermula di rumah
- role model terpenting kepada anak-anak ialah ibu bapa
- tingkah laku positif atau negatif ibu menjadi ikutan anak-anak – seperti acuan begitulah kuihnya.
Isi 2 : Keluarga ialah orang yang paling dekat dengan anak-anak
- ibu bapa khususnya lebih mengenali peribadi anak-anak
- ibu bapa dan ahli keluarga yang lain menjadi tempat pertama untuk anak-anak merujuk segala masalah
- apabila suasana dalam keluarga harmoni anak-anak akan lebih senang berada di rumah
Isi 3 : Dapat melahirkan zuriat yang sempurna dan seimbang dalam aspek fizikal, mental, rohani dan emosi
- asuhan dan belaian yang sempurna menjadi ‘baja’ kepada pertumbuhan sahsiah anak-anak
- interaksi keluarga yang lemah lembut dapat membentuk sikap penyayang (mawadah)
- anak-anak berminat untuk belajar dan membangunkan kerjaya
Isi 4 : Dapat membina sebuah keluarga yang mementingkan akhlak, agama, dan ilmu pengetahuan
- anak-anak cenderung untuk menuruti jejak ibu bapa terutama ibu bapa yang memiliki kerjaya yang menarik
- anak-anak akan berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk cemerlang dalam pelajaran dan memperoleh kerjaya yang cemerlang
- ibu bapa dan ahli keluarga yang lebih tua sentiasa memberikan motivasi dan menjadi sumber inspirasi kepada anak-anak yang baru meningkat remaja
Isi 5 : Terhindar daripada sebarang tingkah laku negatif
- emosi yang tenteram dan minda yang cerdas menjadi benteng penebat melakukan perbuatan antimoral
- ibu bapa dapat mengawal anak-anak daripada bergaul dengan budak-budak nakal
- minda yang tidak tercemar dengan tingkah laku negatif mendorong seseorang berfikiran positif
- sentiasa memburu cita-cita dan ingin menjadi cemerlang
Kesimpulan : Keluarga pasti menjadi nukleus utama untuk kejayaan anak-anak. Keluarga merupakan institusi tertua yang menentukan arah dan hala tuju seseorang. Oleh itu, keprihatinan keluarga terhadap sebarang masalah yang dihadapi oleh anak-anak bakal mengimpakkan sebuah keluarga yang harmoni. Kehamonian yang wujud pula menjadi aset besar untuk anak-anak melakarkan kejayaan yang cemerlang.
Soalan 3. Mutakhir ini kes penganiayaan kanak-kanak semakin berleluasa dalam kalangan masyarakat di negara kita. Jelaskan peranan masyarakat untuk membanteras gejala ini.
Sampel pendahuluan: Peribahasa Melayu selalu menempelak sikap golongan yang sangat mementingkan diri seperti enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing atau hidup nafsi-nafsi siapa lu siapa gua? Tempelak tersebut bagaikan sudah sinonim dengan gaya hidup manusia moden. Pegangan seperti itu sebenarnya mendatangi kita pelbagai implikasi negatif apabila masing-masing tidak ambil peduli walaupun jiran di sebelah rumah. Dengan sikap seumpama itulah akhirnya pelbagai tragedi seperti penculikan, penderaan, dan pembunuhan dalam kalangan kanak-kanak semakin menjadi-jadi. Kini masyarakat mula dibebani sindrom resah dan ketakutan. Demi mengembalikan kehidupan yang sejahtera, aman dan harmoni, beberapa amalan murni hendaklah disemaikan semula dalam masyarakat.
Isi 1 : Kembalikan sifat ingin menjaga tepi kain orang dengan amalan yang positif – sikap sentiasa ambil berat dan bertanya khabar dalam kehidupan masyarakat tradisi hendaklah dihidupkan semula.
Isi 2 : Elakkan sikap yang terlalu bertuhankan material dan individualistik – meminggirkan diri daripada masyarakat arus perdana – gah dan sombong dengan kekayaan yang ada.
Isi 3 : Memperkasakan dan menghidupkan roh amalan ziarah dan kejiranan – menghormati jiran tetangga seperti menjaga kepentingan diri sendiri – meneruskan tradisi rumah terbuka, kenduri-kendara, sambutan perayaan dan ziarah kesakitan serta kematian.
Isi 4: Mewujudkan persatuan/induk masyarakat setempat – badan kebajikan penduduk/masyarakat – menjadi mata dan telinga kepada keselamatan penduduk serta perantara dengan pihak berkuasa keselamatan.
Isi 5 : Bekerjasama dengan pihak polis – penubuhan Rakan Cops – sebagai suatu organisasi yang aktif mengawal ketenteraman dan menyokong pihak polis mencegah jenayah.
Sampel kesimpulan: Mafhum daripada sepotong maksud Hadith yang menyatakan, “Kehidupan kita ibarat sebatang tubuh. Apabila satu daripada anggotanya sakit, justeru seluruh tubuh turut merasai sakit dan bersama-sama berjaga malam”. Demikianlah gaya hidup intim yang wajar diteruskan dalam masyarakat moden kini. Insya-Allah apabila amalan seperti ini dihidupkan semula nescaya kita terhindar daripada sebarang ancaman dan ketidaktenteraman.
Soalan 4. Perpaduan dalam kalangan rakyat penting dalam usaha menjanakan ekonomi sesebuah negara.
Huraikan kepentingan perpaduan rakyat terhadap perkembangan ekonomi negara tersebut.
Sampel pendahuluan : Apabila disebut tentang Malaysia, tergambarlah di dalam minda seseorang tentang sebuah negara di Asia Tenggara yang memiliki komposisi penduduk dengan masyarakat majmuk. Pemajmukan itu begitu unik kerana terdapat pelbagai etnik yang besar dan yang kecil dapat hidup bersama dan harmoni. Sesungguhnya, asas kemerdekaan negara ini juga turut terbentuk di atas landskap masyarakatnya yang majmuk. Walau bagaimanapun, atas beberapa perubahan yang berlaku secara domestik dan global, adakalanya perpaduan dan keharmonian dalam kalangan masyarakat Malaysia kadang-kadang tergugat. Situasi itu jelas terlihat daripada beberapa insiden yang melibatkan kaum-kaum di Malaysia. Walaupun insiden-insiden tersebut tidaklah sampai melarat tetapi memadailah untuk merenggangkan hubungan antara kaum jikalau tidak dibendung dengan sebaik mungkin. Atas hakikat kita telah merasai pelbagai nikmat daripada perpaduan yang telah terjalin sejak sekian lama, maka semua pihak amatlah wajar bermuhasabah dan merenung semula akan hikmah yang akan kita peroleh daripada perpaduan.
Isi-isi cadangan :
Isi 1: Dapat menjaminkan keamanan negara dan memupuk kerjasama dalam kalangan masyarakat berbilang kaum, budaya dan kepercyaan.
Isi 2: Sebagai strategi mempercepat mencapai taraf negara maju – wujud kestabilan politik, ekonomi, dan sosial
Isi 3: Memperkembangkan potensi budaya, kemahiran, dan seni dalam masyarakat majmuk
Isi 4: Memajukan sektor ekonomi – menjanakan ekonomi yang berdaya saing – sebagai aset utama dalam industri pelancongan
Isi 5: Melahirkan masyarakat yang celik ilmu – masyarakat yang cerdik, inovatif dan kreatif melalui pembangunan prasarana dan infrastruktur pendidikan dan pengajian tinggi
Isi 6 Menjadi ikon/model sebagai juara perpaduan untuk manusia sejagat – sering dijadikan rujukan oleh negara-negara luar.
PERHATIAN : Sekiranya soalan memberikan fokus kepada langkah-langkah sila rujuk isi-isi seperti yang berikut ini:
Isi 1 : Mendidik anak-anak agar mencintai nilai-nilai murni – amalan berkasih sayang, menghormati jiran, tutur kata yang sopan, bertoleransi, dan memahami adat dan budaya mesyarakat lain – sentiasa bersikap tangan terbuka (menderma dan membantu jiran/kaum yang mengalami bencana)
Isi 2 : Membiasakan anak-anak dalam latar masyarakat majmuk – memperkenalkan kepada anak-anak tentang ciri-ciri perbezaan kaum dan agama dalam kalangan masyarakat majmuk – memberikan pendedahan tentang nilai-nilai yang baik dalam amalan setiap masyarakat – mengelak/mengawal mendedahi perkara negatif kaum-kaum tertentu – tidak melarang anak-anak bergaul mesra sesama mereka
Isi 3 : Bekerjasama menjalankan aktiviti masyarakat – melibatkan semua ahli masyarakat daripada pelbagai kaum/etnik – kegiatan bergotong-royong – hari keluarga – budaya tegur-menegur dan ziarah-menziarahi
Isi 4 : Mengadakan/menghadiri rumah terbuka – membawa anak-anak ke rumah terbuka kaum tertentu (musim perayaan) – mengadakan rumah terbuka dan menjemput semua jiran daripada pelbagai kaum – memberikan hadiah dan angpau apabila berkunjung ke rumah terbuka
Isi 5 : Mewujudkan sistem pendidikan yang sama – sistem persekolahan untuk semua kaum (rendah, menengah, dan IPT) – mengajari semua bahasa kaum utama di negara ini – menyeragamkan kurikulum dan kokurikulum – semua ibu bapa mesti menyokong Dasar Pelajaran Kebangsaan demi masa depan anak-anak
Isi 6 : Mengelak terbabit sebarang salah laku yang boleh menyebabkan persengketaan kaum – tidak membangkitkan isu kaum untuk kepentingan peribadi (politik dan perniagaan) – jauhi perangai adu domba, fitnah dan memperlekeh kaum lain terutama di hadapan anak-anak – mengamalkan sikap sederhana dan mengajari anak-anak agar cepat memaafkan kesilapan orang lain
Sampel kesimpulan : Sebagai masyarakat yang harmoni terdapat begitu banyak peribahasa yang menyokong akan kepentingan perpaduan. Antaranya ialah, hidup bersama ibarat ke gunung sama didaki, ke lurah sama dituruni, hati gajah sama dilapah dan hati kuman sama dicecah. Demikianlah betapa indahnya hidup bersatu dan bersama yang sewajarnya dihayati oleh masyarakat Malaysia.
PAHANG
Soalan 1. Disiplin diri merupakan faktor penting untuk melahirkan pelajar yang cemerlang.
Jelaskan kepentingan mengamalkan disiplin diri kepada pelajar.
NOTA : ISU SOALAN INI HAMPIR SAMA DENGAN NEGERI PERAK DAN JOHOR. SILA RUJUK
Soalan 2. Selaku pegawai kesihatan daerah, anda telah dijemput untuk menyampaikan satu ceramah tentang peranan ibu bapa untuk melahirkan keluarga yang sihat.
Tulis ceramah itu selengkapnya.
Saya bermurah hati untuk menurunkan di sini karangan penuh yang ada dalam simpanan saya. Sila padankan dan ubahsuaikan dengan kehendak soalan di atas.
Assalamualaikum dan salam muhibah,
Terima kasih kepada Yang dihormati Tuan Pengerusi Majlis, Yang Berbahagia Pengerusi Badan Musyawarah Masyarakat Taman Perdana Sejahtera, Yang dihormati ketua-ketua masyarakat, dan seterusnya tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian.
Hadirin sekalian,
Orang tua-tua sering mengungkapkan bahawa, kesihatan itu ialah harta yang paling bernilai daripada wang ringgit dan harta benda. Sementara itu, dalam sepotong Hadith Nabi turut diungkapkan akan nilai kesihatan adalah amat bermakna, seperti sabda baginda, “Jagalah masa sihatmu sebelum tiba sakit”. Apabila diteliti daripada dua ungkapan tersebut, justeru tanggungjawab menjaga kesihatan amatlah diberi penekanan sama ada dalam bidang agama malah masyarakat. Walau bagaimanapun, dalam dunia yang penuh pancaroba dan manusia sentiasa diancam kesibukan, pelbagai ragam kehidupan telah mendatangkan pelbagai ancaman terhadap kesihatan. Oleh hal yang demikian, dengan peluang yang diberkan ini, saya ingin berkongsi maklumat dengan hadirin sekalian tentang gaya hidup yang positif berdasarkan polisi ilmu kesihatan.
Tuan-tuan dan puan yang dihormati sekalian,
Banyak orang yang berfikir bahawa terminologi sihat itu hanya terletak kepada tubuh badan yang sihat tegap dan sasa. Sebenarnya kesihatan adalah merangkumi kesejahteraan fizikal dan rohani iaitu yang meliputi tubuh badan, mental, emosi, dan rohani. Untuk memperoleh kesihatan seumpama itu, justeru setiap individu hendaklah memberikan perhatian dalam semua aspek kesihatan. Penjagaan fizikal yang sihat seperti memperoleh makanan yang berzat dan seimbang adalah amat penting. Hal tersebut memang penting kerana minda dan emosi yang sihat adalah terjana daripada tubuh badan yang sihat.
Prasyarat terpenting untuk memperoleh kesihatan fizikal, kita hendaklah sentiasa peka terhadap alam sekitar. Dengan kata lain, kawasan sekitar hendaklah sentiasa bersih, bebas daripada sebarang anasir penyakit. Bagi memastikan persekitaran sentiasa dalam suasana bersih, amalan menjaga kebersihan seperti sistem pembuangan sampah yang teratur hendaklah dititikberatkan. Alam sekitar perlu dijaga juga terutama dalam aspek pelesterian iaitu penjagaan alam semula jadi.
Dalam dunia yang kaya dengan sistem maklumat dan akses maklumat yang semakin canggih pula, kita haruslah proaktif mencari info tentang kesihatan. Maklumat sama ada yang berkaitan dengan penularan penyakit-penyakit baru, serangan wabak penyakit yang berpunca daripada bawaan seperti Selesema Burung, SARS, dan pelbagai penyakit berbahaya harus diketahui. Selain mengetahui pelbagai jenis penyakit dan bahaya penularannya, kita wajar mendalami kaedah-kaedah penjagaan penyakit. Hal ini tepat seperti pepatah Inggeris yang menyatakan mencegah itu adalah lebih baik daripada mengubat. Dengan kemudahan teknologi tersebut kita mampu mengakses sumber maklumat primer untuk mengawal penyakit. Sesungguhnya tanggungjawab membendung pelbagai gejala penyakit bukan sahaja terletak di bahu pihak berkuasa kerajaan sahaja malah tanggungjawab tersebut harus dipikul oleh individu atau organisasi terutamanya NGO.
Aspek pemakanan turut menjadi penentu kadar serangan penyakit kepada individu. Pengambilan makanan yang tidak seimbang terutama gula dan lemak sebenarnya telah mendedahkan diri kita kepada pelbagai bahaya. Memanglah jikalau diturut ‘hukum lidah’ setiap yang manis dan lemak itu sedap dan berselera, namun kesengsaraan yang bakal ditanggung oleh badan harus difikirkan juga. Pada hari ini isu pengambilan makanan segera sedang meledak di tengah-tengah polemik masyarakat. Pelbagai pihak memberikan pelbagai reaksi yang bebeza apabila Kementerian Kesihatan tampaknya cukup tegas mahu membatalkan semua lesen pengiklanan makanan segera. Walaupun tindakan Kementerian Kesihatan itu dianggap terlalu drastik dan boleh menimbulkan pelbagai implikasi negatif terhadap ekonomi negara, tetapi kita harus berfikir bahawa reaksi tersebut memberi isyarat bahawa pelbagai gejala penyakit yang berpunca daripada bawaan makanan turut menjadi ancaman besar kepada kesihatan sejagat.
Hadirin sekalian
Seperkara lagi yang wajar diberi perhatian serius oleh masyarakat adalah berkaitan dengan langkah membendung pelbagai gejala penyakit. Kita harus membuang budaya salah apabila sakit baru hendak berjumpa doktor. Doktor bukan sahaja berfungsi sebagai penyembuh penyakit, sebaliknya mereka amat profesional sebagai perunding dalam mengawal penyakit. Namun keadaan sebalik yang berlaku apabila majoriti daripada masyarakat hari ini akan hanya berjumpa doktor apabila sudah tiada harapan sembuh lagi. Ada segelintir pihak pula enggan berjumpa doktor kerana takut penyakit terpendam akan terbongkar. Daripada terpaksa memendam rasa kerana mengetahui menghidapi pelbagai masalah kesihatan, mereka berpendapat lebih baik tidak diketahui langsung. Akhirnya ramai yang menemui ajal sedangkan kemungkinan boleh diselamatkan sekiranya diketahui lebih awal. Oleh itu, kita wajar mengubah tanggapan yang salah itu dengan cara berusaha mengesan dan mengenal pasti punca penyakit yang mungkin boleh mengancam nyawa kita.
Selain itu, tabiat merupakan bawaan sepanjang hayat oleh seseorang itu. Sekiranya dia mengamalkan tabiat yang baik, natijahnya baiklah seluruh amalan hidupnya. Sebaliknya jikalau habit yang buruk menjadi bawaan nescaya individu itu akan menanggung sengsara seumur hayat. Hal demikian amat berkait rapat dengan usaha mengubah gaya hidup yang tidak sihat seperti merokok, pemabuk, dan makan secara membujur lalu melintang patah. Ubahlah kepada tabiat yang sihat seperti bersenam secara berjadual, mengawal emosi, dan bergaul dengan rakan-rakan yang berfikiran positif. Semua yang tersebut boleh membantu menstabilkan kesihatan kita memperoleh umur yang panjang. Ingatlah kita kepada nasihat pepatah iaitu, terlajak perahu boleh diundur, terlajak laku bahaya padahnya.
Sekian terima kasih.
Arahan : Jikalau dalam jawapan di atas terdapat peranan pihak lain, calon dinasihati supaya menukarkannya kepada peranan ibu bapa
Soalan 3. Kerajaan telah berusaha untuk memajukan industri kraf tangan yang semakin dilupakan oleh rakyat Malaysia.
Huraikan langkah-langkah yang telah diambil untuk meningkatkan industri kraf tangan di negara kita.
Soalan 4. Wabak ILI dan H1N1 merupakan penyakit berjangkit yang menular diseluruh dunia sejak akhir-akhir ini. Wabak ini telah menimbulkan pelbagai kesan terhadap kesihatan penduduk dan ekonomi sesebuah negara.
Jelaskan usaha-usaha yang boleh dilakukan untuk mengatasi penularan wabak tersebut.
Soalan 5. Anda telah meminjam sebuah novel dari pusat sumber sekolah dan mendapati novel tersebut amat menarik.
Ulaskan aspek-aspek yang terdapat dalam novel yang telah anda baca itu.
Saya bermurah hati untuk menurunkan contoh karangan saya untuk panduan pelajar. Sila teliti
Nama novel : Kudrat Yang Berbaki
Pengarang : Rahmat M.S
Penerbit : : Tinta Emas Sdn. Bhd.
Pengulas : Norhasnida Nor Aman
Kudrat Yang Berbaki (KYB) terbitan syarikat Tinta Emas Sdn. Bhd. hasil karya Rahmat M.S ialah novel yang sedang panas dalam pasaran. Novel yang sesuai untuk pembaca peringkat lewat remaja ini mengisahkan perjuangan seorang anak muda. Anas seorang pelajar jurusan Sains Gunaan di Universiti Teknologi Mara telah menghadapi pelbagai cabaran dalam meneruskan kerjayanya sebagai pelajar. Sebagai anak muda dari kawasan pedalaman, Anas menggalas tanggungjawab besar untuk membawa pulang sebuah kejayaan yang bakal menjadi kebanggaan masyarakat di tempatnya. Atas kredibiliti yang dimiliki oleh Anas, dia telah terpilih untuk bertanding jawatan Presiden Majlis Perwakilan Pelajar. Pemilihan Anas menyebabkan dia mendapat tentangan hebat daripada Azir anak hartawan yang turut bertanding. Pertembungan menjadi lebih kritikal apabila, Anis adik Azir begitu mengagumi sikap dan perjuangan Anas. Selain menentang Anas di medan kuasa dan pengaruh, Azir kini menentang Anas kerana Anas yang dianggap anak marhaen menjadi pujaan adiknya pula. Azir berasa maruah keluarga pasti tercabar.
Anis akhirnya berjaya dipisahkan daripada Anas dengan segala tipu helah. Kehilangan Anis menyebabkan Anas memperoleh simpati daripada Xue Lin gadis Cina yang membantu Anas ketika dia dibelasah oleh kumpulan Azir. Simpati Xue Lin yang mendalam menyebabkan Anas kembali bertenaga dalam perjuangannya. Akhirnya Anis dapat menjejaki Anas semula. Hati Anis terlalu hancur apabila mendapat tahu Xue Lin begitu rapat kepada Anas. Pertembungan konflik antara Anis Xue Lin dan Anas Azir menyebabkan pelbagai krisis sehingga Anas difitnah dan disingkirkan dari universiti. Dalam situasi begitu Anas tidak patah semangat dan meneruskan kudrat yang ada untuk mempertahankan haknya.
Novel ini benar-benar menyentuh perasaan kaum remaja. Para remaja berasa simpati dan tercabar dengan dengan sikap Azir. Rasa simpati bercampur geram dengan cepat menjalar dalam jiwa remaja. Para remaja yang pantang dicabar begitu cepat menyimpan perasaan meluat terhadap Azir dan menaruh simpati kepada Anas dan Anis. Kehadiran Xue Lin dalam krisis perpisahan antara Anas dan Anis menyebabkan pembaca menyimpan perasaan ingin tahu akan kesudahan hubungan tiga segi mereka. Dalam perjuangan mempertahankan haknya, timbul suatu persoalan, adakah Anas akan berjaya dalam misi getirnya. Malahan pembaca juga ingin mendapat keputusan tentang habuan yang bakal diterima oleh Azir. Para pembaca memang tidak sabar-sabar untuk melihat Azir ditewaskan oleh Anas walau dengan apa-apa jalan sekalipun.
Cerita ini juga memaparkan kesungguhan watak dalam kumpulan anak remaja untuk mempertaruhkan nasib masa depan mereka dengan lebih cemerlang. Walaupun terpaksa berhadapan dengan pelbagai kerenah matlamat dan cita-cita hendaklah dilaksanakan. Selain itu, watak kepimpinan yang mengalir dalam darah jiwa remaja hendaklah dibuktikan dengan gigih. Walaupun terpaksa menempuh pelbagai halangan, anggaplah halangan tersebut sebagai asam garam dalam perjaugan.
Dalam aspek gaya bahasa, novel ini memaparkan gaya bahasa yang menarik. Gabungan pelbagai ragam bahasa mencetuskan laras kreatif yang amat menarik. Paduan ragam bahasa dailog, pemerihalan, dan pemerian membuatkan pembaca tidak terasa jemu. Gabungan kata baru dan lama dan termasuk pengaruh bahasa Inggeris yang mudah menyajikan laras bahasa yang segar dan sesuai dengan peringkat usia remaja yang semakin matang.
Dalam aspek nilai dan mesej pula, cerita ini mendedahkan kepada para pembaca agar menyimpan semangat juang yang tinggi sebelum sesuatu matlamat yang murni itu dapat dicapai. Setiap remaja harus belajar untuk berkorban dan gigih dalam mengejar cita-cita. Remaja juga mesti faham bahawa sesuatu perjuangan yang baik itu pasti berhadapan dengan pelbagai cabaran. Rasa simpati juga harus disemai ke dalam jiwa setiap insan. Sikap itulah yang ditunjukkan oleh Anis dan Xue Lin dalam menyokong perjuangan Anas. Justeru, kita harus memisahkan perasaan dengki dan khianat terhadap potensi orang lain. Sikap keji seperti Azir hendaklah dijauhi jikalau ingin mencapai kejayaan dengan cara yang terhormat.
Sesungguhnya, novel ini memiliki ciri-ciri kekuatannya yang tersendiri. Pembaca memperolah banyak input dan pengalaman apabila menghayati kandungannya dengan mata hati. Oleh hal yang demikian, saya amat menggalakkan setiap remaja membaca novel ini. Novel ini dapat menyuntik semangat juang yang tinggi kepada remaja terutama mereka yang berada di institusi pengajian tinggi.
TERENGGANU
Soalan 1. Pelbagai salah laku disiplin berlaku dalam kalangan murid pada masa ini.
Sebagai seorang murid, jelaskan peranan yang dapat anda sumbangkan untuk membantu pihak sekolah dalam menangani salah laku disiplin murid-murid di sekolah anda.
NOTA : Isu soalan hampir sama dengan negeri Perak, Johor dan Negeri Sembilan. Calon hanya perlu menukar fokus isi kepada peranan dan langkah-langkah seperti di bawah ini;
Isi-isi cadangan :
Isi 1 : Menyedari tanggungjawab sebagai murid – tanggungjawab untuk menuntut ilmu, mematuhi guru, hormat kepada orang tua, dan menyayangi sekolah
Isi 2 : Berusaha menjadi murid contoh (terbaik dalam disiplin dan akademik) – bergaul rapat dengan rakan-rakan – memberi dorongan agar bersama-sama berdisiplin
Isi 3 : Berfikir tentang masa depan – tanpa disiplin pelajaran tidak teratur, pengurusan diri tidak tersusun, pelajaran tidak cemerlang, justeru masa depan akan gelap
Isi 4 : Menganggotai aktiviti kokurikulum – kokurikulum dapat mendidik diri menjadi pelajar yang berdisiplin – kokurikulum melatih cara-cara bergaul dan berinteraksi secara hormat – dapat menasihati rakan-rakan mematuhi peraturan dan undang-undang sekolah.
Soalan 2. Perhatian ibu bapa terhadap anak-anak sewaktu kecil begitu dititikberatkan. Namun, apabila anak-anak sudah remaja perhatian itu semakin kurang.
Huraikan sebab-sebab situasi ini terjadi.
Sampel pendahuluan : Merujuk peribahasa Melayu yang menegaskan, masa kecil ditimang ibu, setelah besar dibuai gelombang menunjukkan asuhan dan didikan amat dititiberatkan sewaktu dalam buaian. Apabila sudah besar pelbagai ragam persekitaran mula merangsang reaksi individu tersebut. Walau bagaimanapun, situasi seumpama itu sudah kurang sesuai dalam dunia yang padat dengan pancaroba pada masa ini. Pelbagai cabaran terpaksa diharung oleh anak-anak dalam usaha membina jati diri. Yang berjaya melalui jalan yang betul akan selamat, sebaliknya tidak kurang pula yang tersasar. Situasi ini jelas terlihat dalam masyarakat kita kerana dipengaruhi oleh beberapa faktor.
Isi cadangan :
Isi 1 : Budaya yang telah terbentuk sejak zaman-berzaman – ibu bapa telah yakin anak-anak sudah boleh berdikari – merujuk ungkapan lisan, “Dia dah besar, pandai-pandailah menjaga diri”.
Isi 2 : Anak-anak telah memulakan alam persekolahan – ibu bapa yakin guru-guru di sekolah boleh mendidik anak-anak mereka.
Isi 3 : Kegagalan ibu bapa menghayati prinsip 3 fasa dalam mendidik anak-anak (Fasa 1 umur 1 – 7 tahun bermain, Fasa 2 umur 7 – 14 tahun mendidik, dan umur 14 – 21 tahun bersahabat – keadaan sebaliknya berlaku dalam masyarakat apabila ibu bapa berasa rimas apabila anak-anak remaja mendekati mereka
Isi 4 : Ibu bapa mula mengisi kehidupan mereka dengan pelbagai aktiviti luar apabila anak-anak sudah meningkat remaja – terlalu yakin anak-anak akan selamat daripada bahaya tetapi lupa anak-anak akan kehausan kasih sayang dan belaian
Isi 5 : Anak sudah mempunyai ramai kawan – ibu bapa memberi kebebasan yang seluas-luasnya kepada anak-anak untuk bergaul – tidak menyedari anak-anak diresapi pelbagai pengaruh negatif.
Sampel kesimpulan : Anak-anak ibarat, sebusuk-busuk daging dibasuh dikincah dimakan juga. Walau seberapa buruk sekalipun, kasih sayang tidak pernah luntur. Oleh itu, tidak wajar ibu bapa mengabaikan anak mereka lantaran anak-anak sudah mencecah usia remaja. Kasihanilah mereka seadanya bagai menatang minyak yang penuh.
Soalan 3. Kejadian tanah runtuh yang sering berlaku di negara ini berpunca daripada kerakusan manusia itu sendiri.
Tulis sebuah rencana tentang faktor-faktor berlakunya kejadian tanah runtuh dan kesan-kesannya.
Cadangan Pendahuluan : Alam merupakan komponen yang terdiri daripada unsur-unsur planet dan cakerawala di angkasa lepas dan unsur-unsur seperti gunung-ganang, lautan, rimba belantara serta sungai dan tasik yang wujud di atas muka bumi. Semua komponen tersebut berperanan untuk memberikan pelbagai kemudahan kepada manusia. Lautan yang luas terbentang menyediakan pelbagai khazanah dan rezeki selain menjadi laluan perhubungan. Sementara bumi yang terhampar menyediakan kemudahan untuk manusia berlindung. Demikianlah uniknya alam ciptaan Tuhan. Namun begitu, dengan hemat untuk hidup selesa, segala isi alam telah diteroka dengan sewenang-wenangnya. Sebalikya, tanpa disedari tindakan rakus tersebut telah menimbulkan pelbagai krisis bencana alam sehingga tidak tertanggung pula oleh manusia. Antara yang paling rakus diteroka ialah tanah tinggi. Angkara tersebut dikatakan didalangi oleh beberapa faktor.
Isi-isi cadangan :
Isi 1 : Wujud trend masyarakat moden yang gemar membina kediaman mewah di pinggiran bukit – penarahan lereng bukit menyebabkan ketahanan ikatan tanah lemah
Isi 2 : Kegiatan pertanian berskala besar – penggondolan tanah tinggi yang semakin rakus di Cameron Highland dan Lojing Highland
Isi 3 : Pembinaan jalan raya dan lebuh raya di lereng gunung – meruntuhkan struktur bukit dan tebing sungai
Kesan-kesan :
Isi 4 : Bahaya kepada penduduk – runtuhan tanah menimbus kawasan petempatan – tragedi Bukit Antarabangsa (2008), runtuhan Highland Tower (1994) – menyebabakan korban jiwa
Isi 5 : Kemusnahan harta benda – Kejadian tanah runtuh di wilayah Xinjiang di Cina – memusnahkan sumber makanan – menimbuskan kawasan ladang
Isi 6 : Menimbuskan lembangan sungai – sungai menjadi cetek – krisis sumber air bersih – kematian hidupan akuatik
Kesimpulan : Alam yang maha luas ini menyediakan pelbagai kebaikan apabila dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya. Walau bagaimanapun apabila tindakan manusia mula bercanggah dengan hukum alam akhirnya timbullah pelbagai bencana. Oleh itu, atas hemat dan pertimbangan yang waras kita wajib memanfaatkan sumber alam pada kadar yang berpatutan. Sesungguhnya, antara alam serta komponennya dan manusia adalah saling bersangkutan.
Soalan 4. Perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi yang begitu pesat menyebabkan kita berasakan dunia ini semakin kecil.
Berikan komen anda akan keperluan masyarakat dunia memanfaatkan teknologi maklumat dan komunikasi.
Soalan 5. Peribahasa merupakan satu daripada warisan pusaka masyarakat Melayu. Antara peribahasa yang kerap digunakan ialah hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.
Tulis sebuah cerpen berdasarkan maksud peribahasa tersebut.
Analisis kekerapan soalan
Bil Isu dan tema Jumlah/negeri
1. Kerjaya 1
2. Penderaan kanak-kanak 3
3. Disiplin pelajar 3
4. Gejala ponteng 1
5. Lumba haram 1
6 Membaca 1
7 Melancong 1
Rakan guru yang budiman dan pelajar-pelajar yang dikasihi sekalian,
Skema ini saya rancang sebagai sumber tambahan untuk pelajar membuat rujukan terakhir. Saya memohon maaf atas segala kelemahan yang ada seperti kesilapan ejaan, bahasa yang sukar difahami, fakta yang kurang yang tepat, dan susunan yang tidak kemas. Semuanya terjadi disebabkan kesuntukan masa untuk saya membuat pembetulan. Saya memohon maaf juga kerana tidak dapat membekalkan semua sumber soalan dari beberapa buah negeri disebabkan kesukaran memperoleh bekalan soalan. Para pelajar boleh terus melihat blog saya dari masa ke masa untuk memperoleh maklumat terkini yang akan saya bekalkan apabila memperoleh sumber terbaru. Kepada guru-guru BM, saya menghulurkan salam perkenalan dan sumbangan saya ini sekadar membantu rakan-rakan untuk membimbing anak-anak didik pada saat terakhir. Saya amat memerlukan sebarang teguran dan pandangan positif anda dalam usaha penambahbaikan bahan-bahan ini.
RUJUKAN: BLOG CIKGU ISHAK
Posted by ishakmdshah at 10:47 AM 2 comments
Labels: MERAH DAN KUNING YANG PADAT DGN PELBAGAI SKEMA
No comments:
Post a Comment