Saturday, July 5, 2008

TEKNIK MENJAWAB SOALAN PEMAHAMAN DRAMA: SPM 2005

Baca petikan drama di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.

TUN PERPATIH PUTIH : Mohon ampun Tuanku Puteri, patik kurang arif akan maksud Tuanku Puteri itu.
PUTERI HANG LI PO: (Sambil memberi senyuman sinis) Ya, orang Kaya, bukanlah penghormatan itu diberikan sempena keberangkatan Panglima Di Po kembali ke negara China? dan beta dengar ia julung-julung kali diberikan kepada wanita. Apatah kepahlawanan yang ada pada beta?
TUN PERPATIH PUTIH: Percayalah Tuanku Puteri bahawa penganugerahan ini sungguh sesuai dengan Tuanku Puteri yang bakal menerimanya. Tuanku Sultan dan patik sekalian sangat mengagumi ketabahan Tuanku dalam memulakan hidup di sebuah negara yang sungguh asing dalam segala tindak tanduknya. Tuanku Puteri bukan sahaja telah berjaya menyesuaikan diri malah telah dapat menguasai bahasa negeri ini tanpa banyak bicara. Ke Bawah Duli Tuanku Sultan berpendapat, ini adalah satu contoh kepahlawanan Tuanku Puteri menghadapi masalah hidup. Oleh itu, Tuanku Puteri, sebenarnya anugerah itu sudah sepatutnya Tuanku Puteri.
PUTERI HANG LI PO : Hati ini Tuhan saja yang tahu, Orang Kaya. Badai hidup yang beta lalui tiada siapa yang akan benar-benar memahaminya. Soalnya ialah beta harus pandai menyimpan badai itu dalam-dalam, jauh di lubuk sanubari beta.
(Dipetik dan diubahsuaikan daripada drama Puteri Hang Li Po oleh Rahmah Bujang dalam antologi Kerusi, DBP)
(i) Mengapakah Puteri Hang Li Po diberi anugerah sebagai seorang pahlawan? [2 markah]
JAWAPAN:
Puteri Hang Li Po diberi anugerah sebagai seorang pahlawan kerana beliau tabah menghadapi cabaran hidup di negara orang dan akhirnya berjaya menyesuaikan dirinya dengan cara hidup di istana sultan Melaka. (1m) Tambahan pula, baginda telah berjaya menguasai bahasa Melayu. (1m)
(ii) Pada pendapat anda, bagaimanakah seseorang itu dapat menyesuaikan diri ketika berada di tempat orang? [ 3 markah ]
JAWAPAN:
Pada pendapat saya, seseorang itu dapat menyesuaikan diri ketika berada di tempat orang, dengan mempelajari budaya dan adat resam masyarakat di tempat tersebut. (1m) Dia harus melibatkan diri dalam aktiviti kemasyarakatan yang dijalankan(1m), dan juga tidak bersikap sombong atau bongkak.(1m)
(iii) Jelaskan dua pengajaran daripada petikan dan dua pengajaran daripada keseluruhan drama.
JAWAPAN:
Dua pengajaran daripada petikan ialah, kita perlu pandai menyesuaikan diri apabila berada di tempat orang (1m) dan juga hendaklah tabah ketika menghadapi dugaan. (1m) Dua pengajaran daripada drama ialah, kita janganlah sesekali menderhaka terhadap raja (1m) dan kita perlu memupuk nilai perpaduan dengan negara lain. (1m)

No comments: