Tuesday, July 8, 2008

PMR: PEMBENTUKAN KATA MAJMUK

Kata majmuk merupakan proses percantuman dua atau lebih kata dasar yang membentuk suatu makna tertentu.

Contohnya:
- kapal terbang
- balai polis
- jalan raya
- buku kerja

Kata majmuk dieja secara terpisah kecuali beberapa bentuk yang telah mantap dan utuh sebagai satu perkataan walaupun terdiri daripada dua perkataan.

Contoh kata majmuk dieja sebagai satu perkataan:
- kerjasama
- antarabangsa
- setiausaha
- tandatangan
- tanggungjawab
- matahari
- beritahu
- kakitangan
- jawatankuasa

BENTUK-BENTUK KATA MAJMUK
Tediri daripada tiga kumpulan yang dieja terpisah kecuali bentuk yang sudah mantap sebagaimana disenaraikan di atas.

1. Terdiri daripada rangkaian kata bebas

Kata majmuk ini terdiri daripada gabungan dua atau lebih golongan kata iaitu kata nama, kata adjektif, kata kerja(kata sendi biasanya dieja bercantum walaupun terdiri daripada 2 perkataan)
Kata mamjuk yang digolongkan dalam kategori ini juga dapat digunakan sebagai gelaran khusus seperti guru besar, perdana menteri dan ketua jabatan.

2. Terdiri daripada istilah khusus ; merujuk kepada perkara-perkara khusus dalam sesuatu bidang.

3. Terdiri daripada kata majmuk yang menunjukkan kiasan iaitu simpulan bahasa yang terdiri daripada dua atau lebih perkataan. Maksudnya kata majmuk ini mendukung maksud kiasan yang berbeza daripada maksud asal perkataan berkenaan. Misalnya kata majmuk "makan suap" bukanlah bermaksud makan bersuap, sebaliknya bermaksud "menerima rasuah".

Imbuhan pada kata majmuk
Kata majmuk juga dapat menerima imbuhan bagi tujuan membentuk kata terbitan. Bagi kata majmuk yang dieja terpisah walaupun menerima imbuhan sama ada imbuhan awalan ataupun imbuhan akhiran tetap dieja terpisah.
Contoh:

- berterima kasih
- bersatu padu
- direka bentuk
- menyusun atur

Bagi kata majmuk yang menerima imbuhan apitan, kata majmuk ini dieja sebagai satu perkataan dan tidak boleh dipisahkan.
Contoh:

- mencampuradukkan
- menyatupadukan
- mengurusniagakan
- penguatkuasaan

Penggandaan pada kata majmuk

Berbeza dengan rangkai kata setara yang tidak boleh digandakan langsung, kata majmuk yang dieja terpisah (kecuali bentuk yang telah mantap - mesti digandakan keseluruhannya) hanya perkataan pertama sahaja yang digandakan. Penggandaan pada kedua-dua perkataan akan menyebabkan kesalahan pada pembentukan kata majmuk.

Pembentukan rangkai kata setara

Rangkai kata setara secara umum dilihat serupa dengan kata majmuk, bezanya rangkai kata setara terdiri daripada satu golongan kata iaitu kata nama + kata nama seperti ibu bapa, pinggan mangkuk, adat resam, lembu kambing dsb. Sekiranya kata majmuk tidak boleh disisipkan kata hubung "dan" ataupun "atau", rangkai kata setara dapat menerima sisipan ini tanpa mengubah maksud asal rangkai kata berkenaan.

Rangkai kata setara juga tidak boleh digandakan mana-mana perkataannya sama ada perkataan pertama atau kedua.

No comments: