Thursday, July 30, 2009

TAZKIRAH HARI JUMAAT

Tajuk: Kewajipan Berbakti Kepada Ibu Bapa

Allah SWT berfirman yang bermaksud: Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia, dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibu bapamu dengan sebaik-baiknya. (al-Israk, ayat 23).

Huraian:

Dimaksudkan dengan berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa itu ialah mentaati dan menyayangi mereka, melaksanakan hak-hak mereka, tidak menyakiti hati mereka dan tidak menyusahkan hidup mereka. Taat kepada ibu bapa adalah amalan yang wajib ditunaikan. Melalui ketaatan menjadi suatu cara yang paling baik untuk mendekatkan diri kepada Allah kerana mentaati kepada ibu bapa bererti mentaati perintah-Nya juga. Allah mewajibkan manusia supaya berbakti kepada kedua-dua ibu bapa mereka. Melakukan kebaktian terhadap ibu bapa bukan hanya tertumpu kepada segelintir hamba-hamba-Nya saja, malahan Allah memuji sikap sebahagian rasul-Nya kerana kebaktian mereka terhadap ibu bapa mereka. Misalnya, kebaktian Nabi Ismail a.h. kepada ayahandanya Nabi Ibrahim a.h. dalam mematuhi titah perintah Allah. Hal ini telah dijelaskan dalam firman Allah yang bermaksud, Wahai ayah, jalankanlah perkara yang diperintahkan kepadamu; insya-Allah, ayah akan mendapatiku dari orang yang sabar. (al-Saffat, ayat 102) Berdasarkan ayat ini, jelas menyerlahkan mengenai kebaktian Nabi Ismail a.h. terhadap bapanya Nabi Ibrahim a.h. dengan mentaati perintah Allah. Menerusi kebaktian yang dilakukan di kalangan rasul-rasul-Nya ini, menjadi contoh dan pengajaran yang cukup baik kepada semua umat manusia. Berbakti kepada ibu bapa membawa berkat. Diriwayatkan daripada Anas bin Malik bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud, Sesiapa yang ingin dipanjangkan umur dan ditambah rezekinya, maka hendaklah dia berbakti kepada ibu bapanya dan menghubungkan ikatan silaturrahim.

No comments: