Tuesday, April 28, 2009

Fungsi Kata Kerja

Oleh Muhammed Salehudin Aman

Dalam bahasa Melayu, terdapat sejumlah kata kerja yang walaupun berbentuk kata kerja, tetapi berfungsi sebagai golongan kata lain. Antara kata kerja sedemikian ialah sejumlah kata yang membawa makna adjektif. Oleh sebab kata kerja itu mendukung makna adjektif, maka dapatlah pula kata kerja itu menerima kata penguat. Kata kerja seperti membebankan, mendukacitakan, menggembirakan, mengagumkan, mengelirukan, meringankan, menyedihkan, menyeramkan, menyulitkan, menyusahkan, menakutkan, menarik, dan lain-lain sebagainya tergolong dalam jenis ini. Contoh:

1. Kejayaan atlet negara dalam sukan Olimpik sungguh menggembirakan seluruh rakyat.
2. Kesusahan yang datang bertimpa-timpa amat menyulitkan hidupnya.
3. Berita buruk itu amat menyedihkan kami.

Kata kerja menggembirakan, menyulitkan, dan menyedihkan kelihatan seperti kata kerja transitif yang lain. Tetapi, jika diamati dengan teliti, terdapat dua ciri perbezaan kata kerja jenis ini dengan kata kerja yang lain itu.

Pertama, frasa nama yang hadir selepas ketiga-tiga kata kerja dalam ayat 1 – 3 dapat digugurkan tanpa menjejaskan makna keseluruhan ayat. Ayat yang terhasil masih lagi gramatis ( ayat 1a, 2a dan 3a). Hal ini, tidak berlaku bagi kata kerja transitif yang lain.
1. (a) Kejayaan atlet negara dalam sukan Olimpik sungguh menggembirakan.
2. (a) Kesusahan yang datang bertimpa-timpa amat menyulitkan.
3. (a) Berita buruk itu amat menyedihkan.

Ciri yang kedua ialah kata kerja jenis ini dapat menerima kata penguat, oleh sifatnya sebagai adjektif. Kata-kata penguat seperti sungguh dapat hadir dalam ayat 1, dan kata penguat amat dalam ayat 2 dan 3. Kata penguat seperti ini tidak boleh hadir sebelum kata kerja transitif yang lain. Misalnya:

4. *Rohana sungguh memasak ikan keli.
5. *Pesawah itu amat menuai padi.

Selain itu, kata kerja dapat juga berfungsi sebagai kata sendi. Misalnya kata kerja mengikut, mengenai, melalui, menerusi, dan menurut. Contoh:
6. Kumpulan pelajar itu berbincang mengenai tajuk perdebatan.
7. Bantahan rakyat dikemukakan melalui undian.

Frasa kerja mengenai tajuk perdebatan, dan melalui undian merupakan rangkaian perkataan yang mirip kepada frasa sendi nama dan berfungsi sebagai unsur keterangan dalam ayat-ayat yang tersebut itu. Sebagai unsur keterangan ayat, perkara ini dapat dilihat dengan lebih jelas apabila frasa ini difokuskan, yakni dikedepankan. Contoh:
8. Menurut kenyataan Surat Pekeliling Kerajaan, pegawai yang rasuah bekerja akan didakwa di mahkamah.
9. Mengenai agihan bantuan baja subsidi itu, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung akan bertanggungjawab sepenuhnya.
Dalam ayat 8 dan 9, frasa menurut kenyataan Surat Pekeliling Kerajaan, dan mengenai agihan bantuan baja subsidi itu tidak berfungsi sebagai kata kerja, melainkan bertindak sebagai frasa sendi nama yang memberikan keterangan ayat 8 dan 9.
Selain itu, frasa kerja juga dapat hadir sebagai frasa nama subjek. Contoh:
10. Bersenam baik untuk kesihatan.
11. Merokok membahayakan kesihatan.
Bersenam dan merokok ialah kata kerja tak transitif. Kedua-dua kata kerja itu berfungsi sebagai frasa nama yang hadir dalam subjek ayat. Menurut rumus tatabahasa bahasa Melayu, kata kerja tidak boleh hadir dalam ruang atau gatra subjek kerana hal yang demikian menjadikan ayat yang terhasil tidak gramatis.
Sebenarnya, Frasa bersenam, dan merokok merupakan unsur penerang kepada frasa nama yang sudah digugurkan intinya. Kedua-duanya berasal daripada bentuk binaan frasa nama yang lengkap seperti kegiatan bersenam, dan tabiat merokok. Kata kegiatan dan tabiat ialah kata nama yang berfungsi sebagai inti frasa nama, manakala bersenam dan merokok merupakan penerang kepada inti frasa nama tersebut. Hal ini dapat dijelaskan seperti huraian yang berikut ini:
inti penerang
Kegiatan bersenam
Tabiat merokok
Oleh itu, ayat 10 dan 11 yang lengkap adalah seperti 10a, dan 11a yang di bawah ini:
10. (a) Kegiatan bersenam baik untuk kesihatan.
11. (a) Tabiat merokok membahayakan kesihatan.
Pengguguran kata nama kegiatan dan tabiat dalam kedua-dua ayat itu tidak mencacatkan ayat berkenaan. Ayat-ayat 10, 11, 10a, dan11a masih betul dari segi tatabahasa.
Demikian huraian tentang kata kerja yang berfungsi sebagai golongan kata lain dalam bahasa Melayu.

2 comments:

nurul_akmal said...

Asslamualaikum, ckg.
Sy ingin meminta izin drp ckg utk copy maklumat ini. Blh sy thu, drp mana sumber maklumat tentang tajuk Fungsi Kata Kerja ini?
Sekian, terima ksh.

Unknown said...

Assalamualaikum Cikgu ,
Saya ingin memohon izin untuk copy maklumat ini . Terima kasih cikgu .