Friday, April 24, 2009

Jenis Ayat Komplemen

Oleh Muhammed Salehudin Aman

Sesuatu ayat kecil dapat melengkapkan sesuatu ayat induk bagi membentuk ayat majmuk pancangan komplemen. Oleh sebab makna perkataan komplemen ialah pelengkap, maka ayat kecil itu dinamai ayat kecil pelengkap. Namun, orang menyebutnya juga sebagai ayat komplemen sahaja. Ayat kecil pelengkap ini dihubungkan kepada kata kerja dalam ayat induk dengan kata hubung komplemen bahawa atau untuk. Gabungan ayat induk dengan ayat kecil pelengkap itu dinamai ayat majmuk pancangan komplemen.

Ayat komplemen terbahagi kepada tiga jenis, iaitu ayat komplemen frasa nama, ayat komplemen frasa kerja, dan ayat komplemen frasa adjektif.

Jenis ayat komplemen frasa nama dapat menduduki dua tempat dalam unsur sesuatu ayat, iaitu dalam gatra subjek dan dalam ruang objek tepat. Ayat komplemen yang menduduki bahagian subjek, dikenal sebagai ayat komplemen frasa nama subjek, manakala yang mengisi objek tepat dinamai ayat komplemen frasa nama objek tepat.

Ayat komplemen frasa nama subjek boleh sahaja berlaku dalam unsur ayat bersusunan biasa, ataupun bersusunan songsang. Perhatikan ayat-ayat contoh yang berikut ini:

1. Bahawa tarikh lawatan Perdana Menteri ke negara itu akan diumumkan kelak.

2. Untuk dia memenangi pilihan raya kecil itu memang amat sukar.

3. Sangat tidak munasabah bahawa dia tidak mengetahui kejadian itu.

4. Amat wajar untuk kerajaan menurunkan harga minyak petrol.

Perhatikan perbezaan kedudukan ayat-ayat komplemen dalam ayat 1 – 4 di atas. Dalam ayat 1 dan 2, ayat komplemen dipancangkan dalam binaan ayat susunan biasa (subjek + predikat); manakala dalam ayat 3 dan 4, pada kedudukan ayat songsang (P + S). Bahagian “sangat tidak munasabah” (ayat 3), dan “Amat wajar” (ayat 4) ialah predikat bagi kedua-dua ayat berkenaan.

Ayat komplemen frasa nama objek tepat hanya boleh wujud dalam objek tepat sahaja. Anda tentu mengetahui bahawa objek dalam ayat boleh wujud sebagai objek tepat kata kerja transitif, atau sebagai objek sipi. Contoh bentuk ayat komplen jenis ini adalah seperti yang berikut:

5. Azizah menyedari bahawa persediaannya belum memuaskan.

6. Pengetua menegaskan bahawa kejayaan bergantung pada usaha gigih.

7. Yang terselamat mengatakan bahawa pemandu bas tidak berhati-hati.

Dalam ketiga-tiga ayat yang di atas, ayat komplemen berfungsi sebagai objek tepat kata kerja transitif menyedari, menegaskan dan mengatakan dalam ayat induk.

Frasa kerja boleh terdiri daripada kata kerja tak transitif, iaitu yang diikuti oleh bukan frasa nama objek, tetapi oleh keterangan-keterangan yang bertujuan untuk melengkapkan frasa tersebut. Keterangan-keterangan ini boleh juga terdiri daripada ayat komplemen, yakni berfungsi sebagai pelengkap kepada kata kerja tak transitif itu. Oleh sebab ayat komplemen ini menjadi pelengkap kepada kata kerja tak transitif, maka ayat komplemen ini tergolong ke dalam jenis ayat komplemen frasa kerja juga. Contoh ayat komplemen daripada jenis ini adalah seperti yang berikut:

8. Pak Farid beranggapan bahawa anaknya telah berjaya.

9. Timbalan Perdana Menteri berkeyakinan bahawa ekonomi negara akan terus meningkat.

10. Kenyataan itu bermaksud bahawa baja subsidi akan terus diberikan kepada petani.

Dalam binaan ayat bahasa Melayu, frasa adjektif boleh menjadi unsur predikat sesuatu ayat berpola FN + FA. Sama seperti bentuk ayat komplemen yang boleh hadir di hadapan kata kerja tak transitif, ayat komplen juga dapat hadir selepas kata adjektif. Ayat komplemen ini dikenal sebagai ayat komplemen frasa adjektif, iaitu yang merupakan ayat kecil yang dipancangkan ke dalam predikat frasa adjektif ayat induk. Contohnya:

11. Kami sangat yakin bahawa dia mampu memikul tanggungjawab itu.

12. Ibu amat percaya bahawa abang tidak tergamak melakukan perbuatan itu.

13. Pemuda itu insaf bahawa judi bukanlah cara menambahkan kekayaan dengan cepat.

Kesemua ayat komplemen (bercetak dengan huruf condong) hadir dalam predikat ayat yang unsur predikat utamanya daripada unsur kata adjektif. Ayat-ayat komplemen tersebut melengkapkan makna kata adjektif yakin, percaya dan insaf.

Demikianlah huraian tentang jenis-jenis ayat komplemen dalam bahasa Melayu. Harus anda ingat bahawa ayat komplemen dapat dikenal melalui penggunaan kata hubung komplemen bahawa atau untuk dalam sesuatu ayat majmuk.

DAFTAR MASUK
Nama Pengguna :
Kata Laluan :
> Daftar Keahlian > Lupa Kata Laluan
> Soalan Lazim (FAQ) [ Hotline : 03 - 7955 5577 ]


IKLAN@TUTOR








USIK-USIK



CARIAN

No comments: