Thursday, April 9, 2009

Kabinet rakyat
Oleh Johari Ibrahim, Saufi Hamzah, Azrina Ahzan dan Mohd Hamizar Hamid bhnews@bharian.com.my

28 menteri, 40 timbalan; 3 kementerian disusun semula
PUTRAJAYA: Tan Sri Muhyiddin Yassin dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri dalam barisan Kabinet Datuk Seri Najib Razak semalam yang turut menyenaraikan enam muka baru, manakala lapan menteri digugurkan. Kabinet baru yang mencerminkan slogan 'Satu Malaysia. Rakyat Didahulukan. Pencapaian Diutamakan' itu, juga menyaksikan tiga kementerian - Kementerian Penerangan; Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan serta Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi, disusun semula menjadi dua kementerian - Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air serta Kementerian Penerangan, Komunikasi, Kesenian dan Kebudayaan.
Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi pula dimansuhkan dan fungsinya diserapkan ke kementerian lain, umpamanya pembangunan Industri Kecil dan Sederhana oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, manakala Mara dan Tekun di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah. Penyusunan semula dan pemansuhan kementerian itu menjadikan Kabinet Najib lebih kecil terdiri daripada 28 menteri dengan 25 kementerian, berbanding 32 menteri dengan 27 kementerian ketika pentadbiran Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Pada sidang media di Jabatan Perdana Menteri di sini, yang disiarkan secara langsung oleh stesen televisyen tempatan, Najib mengumumkan pertukaran portfolio 14 menteri serta pelantikan 40 timbalan menteri berbanding 37 dalam pentadbiran sebelum ini.
Najib yang mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri keenam pada 3 April lalu, mengekalkan portfolio Menteri Kewangan yang disandangnya sejak 19 September 2008, manakala Muhyiddin bertukar ke Kementerian Pelajaran daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri. Lapan menteri yang digugurkan ialah Datuk Seri Syed Hamid Albar (Dalam Negeri), Datuk Seri Azalina Othman Said (Pelancongan), Tan Sri Muhammad Muhd Taib (Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah), Datuk Amirsham A Aziz (Jabatan Perdana Menteri - JPM), Datuk Ong Ka Chuan (Perumahan dan Kerajaan Tempatan), Datuk Mohd Zin Mohamed (Kerja Raya), Datuk Seri Zulhasnan Rafique (Wilayah Persekutuan) dan Datuk Shahrir Abdul Samad (Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna) yang meletak jawatan berkuat kuasa kelmarin selepas kalah dalam pemilihan Umno, bulan lalu. Tujuh muka baru pula termasuk dua Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah dan Datuk Kong Cho Ha yang dinaikkan pangkat, masing-masing sebagai Menteri Kewangan Kedua dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
Tiga lagi ialah Tan Sri Dr Koh Tsu Koon (Menteri di JPM bertanggungjawab bagi Hal Ehwal Perpaduan dan Pengurusan Prestasi), Mejar Jeneral (B) Datuk Jamil Khir Baharom (Menteri di JPM bertanggungjawab bagi Hal Ehwal Agama Islam) dan Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin (Menteri Wilayah Persekutuan). Bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil serta bekas Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Anifah Aman pula kembali menyertai Kabinet. Shahrizat yang juga Ketua Wanita Umno, memegang portfolio sama, manakala Anifah sebagai Menteri Luar. Shahrizat, Dr Koh yang juga Presiden Gerakan dan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Raja Nong Chik (Ketua Umno Bahagian Lembah Pantai) serta Jamil Khir (bekas Pengarah Kor Agama Angkatan Tentera), mengangkat sumpah sebagai Senator, petang semalam. Seramai 14 menteri bertukar portfolio, iaitu Muhyiddin (Perdagangan Antarabangsa dan Industri ke Kementerian Pelajaran), Tan Sri Nor Mohamed Yakcop (Kewangan ke JPM), Tan Sri Bernard Dompok (JPM ke Perusahaan, Perladangan dan Komoditi), Datuk Seri Hishammuddin Hussein (Pelajaran ke Dalam Negeri), Datuk Seri Dr Rais Yatim (Kementerian Luar ke Penerangan, Komunikasi, Kesenian dan Kebudayaan), Datuk Peter Chin Fah Kui (Perusahaan, Perladangan dan Komoditi ke Tenaga, Teknologi Hijau dan Air), Datuk Seri Shafie Apdal (Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan ke Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah), Datuk Mustapa Mohamed (Pertanian dan Industri Asas Tani ke Perdagangan Antarabangsa dan Industri), Datuk Dr Ng Yen Yen (Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat ke Pelancongan), Datuk Noh Omar (Pembangunan Usahawan dan Koperasi ke Pertanian dan Industri Asas Tani), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (JPM ke Pertahanan), Datuk Shaziman Abu Mansor (Tenaga, Air dan Komunikasi ke Kerja Raya), Datuk Ahmad Shabery Cheek (Penerangan ke Belia dan Sukan) dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (Belia dan Sukan ke Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna). Tujuh lagi menteri mengekalkan portfolio masing-masing, iaitu Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz (JPM), Datuk Ong Tee Keat (Pengangkutan), Datuk Seri Khaled Nordin (Pengajian Tinggi), Datuk Dr Maximus Ongkili (Sains, Teknologi dan Inovasi), Datuk Douglas Uggah Embas (Sumber Asli dan Alam Sekitar), Datuk Liow Tiong Lai (Kesihatan) dan Datuk Dr S Subramaniam (Sumber Manusia) Daripada 40 timbalan menteri pula sembilan adalah muka baru, iaitu Ahli Parlimen Jerlun Datuk Mukhriz Mahathir (Perdagangan Antarabangsa dan Industri), Ketua Puteri Umno Datuk Rosnah Rashid Shirlin (Kesihatan), Naib Ketua Pemuda Umno, Datuk Razali Ibrahim (Belia dan Sukan), Dr Puad Zarkashi (Pelajaran), Datuk Dr Awang Adek Hussein (Kewangan), Heng Seai Kie (Penerangan, Komunikasi, Kesenian dan Kebudayaan), Datin Paduka Chew Mei Fun (Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat), Datuk Lee Chee Leong (Kementerian Luar) dan Ahmad Maslan (JPM). Seramai 18 timbalan menteri bertukar portfolio, manakala tiga digugurkan, iaitu Timbalan Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Teng Boon Soon; Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Idris Haron dan Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Noraini Ahmad. Kabinet baru Najib mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin selepas Perdana Menteri menghadap Seri Paduka di Istana Terengganu kira-kira jam 11 pagi semalam. Majlis angkat sumpah memegang jawatan dan menyimpan rahsia oleh menteri dan timbalan menteri akan diadakan di Istana Negara pada 9.30 pagi ini. >> lihat senarai penuh Kabinet 2009
Cetak artikel Hantar pa

No comments: