Sunday, November 23, 2008

KARANGAN PMR 2008: Kempen memerangi nyamuk aedes telah diadakan di tempat tinggal anda. Tulis pengalaman anda semasa menyertai kempen tersebut.

CONTOH KARANGAN:

Pada cuti sekolah yang lepas, Jawatankuasa Rukun Tetangga di tempat tinggal saya telah menganjurkan kempen memerangi nyamuk aedes. Kempen tersebut diadakan di seluruh kawasan taman tempat tinggal saya. Kempen ini diadakan bertujuan untuk memberi kesedaran kepada penduduk tentang bahaya nyamuk aedes.
Terdapat pelbagai aktiviti yang dilakukan seperti mewarna poster, pameran, sesi ceramah oleh Pegawai Kawalan Vektor yang telah dijemput khas dari Unit Kawalan Vektor di klinik kesihatan di tempat tinggal saya. Kempen ini telah berlangsung selama sehari suntuk/
Antara yang sempat saya ikuti ialah sesi ceramah yang dikendalikan oleh pegawai tersebut. Ceramah ini banyak memberikan input tentang nyamuk aedes. Setelah mendengar ceramah tersebut, barulah saya mengetahui bahawa nyamuk aedes betina yang matang yang membawa virus denggi.
Selain itu, kami juga telah melakukan gotong-royong bagi membersihkan kawasan-kawasan yang berisiko tinggi menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes. Kami membuang segala jenis bekas yang boleh menakung air kerana nyamuk aedes suka membiak di tempat yang berair.
Aktiviti yang terakhir atau aktiviti kemuncak yang kami lakukan ialah 'fogging' Pegawai-pegawai kesihatan menyembur asap daripada bahan yang mampu menghapuskan habitat aedes. Ketika ini, semua rumah wajib menutup tingkap, pintu dan segala lubang angin supaya asap tidak masuk ke dalam rumah.
Kempen ini berakhir pada pukul 8.00 malam. Semua penduduk telah keletihan. Saya juga berasa sangat letih tetapi pengalaman yang ditimba tidak dapat saya lupakan. Saya berharap agar kempen sebegini dapat dilakukan lagi pada masa akan datang.