Friday, November 21, 2008

KARANGAN PMR 2008: Ibu bapa mempunyai peranan penting memupuk minat membaca dalam kalangan anak mereka. Berikan pendapat anda

Marcapada ini, amalan membaca semakin diketepikan oleh remaja dan kanak-kanak. Walaupun kerajaan telah menggiatkan usaha untuk meningkatkan minat membaca, tetapi peranan ibu bapa juga tidak boleh diabaikan.
Pada pendapat saya, ibu bapa memainkan peranan yang terpenting dalam usaha memupuk minat membaca dalam kalangan kanak-kanak. Antara peranan ibu bapa ialah menanam minat membaca dalam jiwa anak-anak sejak kecil lagi. Ibu bapa boleh membacakan buku cerita dongeng sebelum anak-anak masuk tidur. Amalan sedemikianakan dapat melahirkan anak-anak yang meminati dunia ilmu apabila mereka dewasa kelaksebagaimana pepatah ada menyebut bahawa melentur buluh biarlan dari rebungnya. Semangat membaca ini perlulah dipupuk sejak anak-anak kecil lagi.
Selain itu, ibu bapa sendiri perlu mengamalkan budaya membaca kerana anak-anak akan mengikuti sikap dan kebiasaan ibu bapa mereka. Sebagai contohnya ibu bapa boleh membeli surat khabar setiap pagi dan membaca bersama-sama anak mereka. Hal ini akan dapat memupuk minat membaca kerana bagaimana acuan, begitulah kuihnya.
Tambahan pula, ibu bapa boleh membawa anak-anak mereka melawat ke pameran-pemeran buku semasa cuti persekolahan. Di situ terdapat pelbagai bahan bacaan seperti majalah, buku cerita, buku latihan, dan novel yang sesuai dibaca oleh golongan kanak-kanak serta remaja. Namun begitu, ibu bapa bertanggungjawab untuk memastikan anak-anak membaca bahan bacaan yang sihat.
Di samping itu, ibu bapa perlu juga menyediakan kemudahan yang selesa dan tenang di rumah seperti bilik bacaan. Peralatan seperti kerusi, meja hendaklah disediakan dengan sempurna. Ibu bapa juga perlu sering memberi alakan kepada anak-anak agar mengisi masa dengan membaca kerana membaca itu jambatan ilmu.
Sebagai intihanya, kita hendaklah menyedari bahawa ilmu itu merupakan pelita hati. Jelaslah ibu bapa sewajarnya memupuk amalan dalam diri anak-anak agar sebati dengan jiwa mereka.

1 comment:

Unknown said...

this help me to writa an essay. thank you.