KERTAS 2 PEPERIKSAAN PERCUBAAN SPM 2010 MRSM
Soalan 2b - Pemahaman Cerpen
Baca petikan cerpen di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.
“Cikgu faham. Tetapi keputusan kamu mungkin bukan yang sebaik-baiknya. Kamu perlu melihat dari semua segi.”
“Perkara terbaik untuk saya ialah berada di sini. Di tempat ini, nenek moyang saya hidup dan bersemadi. Jiwa saya terikat pada pohon tualang. Pada bukit-bukit ini. Pada pohon-pohon ini. Menghidu keenakan udara jati tempat ini, satu kemestian. Memanjat pokok, mendaki gunung, menuruni lurah, memetik buah-buah hutan, memancing ikan, berjalan berkaki ayam. Inilah kehidupan bagi saya. Saya mendambakan kehidupan di hutan ini. Inilah Daneng, cikgu,” hujahnya.
Jo agak kagum dengan kepetahan tingkah ucapan anak didiknya itu. “Saya faham perasaanmu itu,” ucap Jo sambil memicit bahu kiri Daneng.
Otaknya ligat berputar mencari jalan untuk berbicara dengan seorang anak remaja yang mempunyai pendiriannya yang tersendiri. Pendirian yang diwarisi daripada nenek moyangnya. Keinginan yang mengalir dalam darahnya. Satu pendirian yang murni, mulia tetapi mungkin merugikan.
(Dipetik daripada‘Lambaian Malar Hijau’,
oleh Saroja Theavy a/p Balakrishnan dalam antologi Anak Laut,
Dewan Bahasa dan Pustaka)
(c) Bahagian Pendidikan & Latihan Menengah MARA
Soalan pemahaman(i) Nyatakan dua alasan Daneng menolak pujukan Cikgu Jo untuk meneruskan persekolahan. [ 2 markah ]
(ii) Pada pendapat anda, apakah yang akan terjadi kepada Daneng jika dia enggan menerima nasihat Cikgu Jo? [ 3 markah ]
(iii) Huraikan satu nilai yang terdapat dalam petikan di atas dan satu nilai yang terdapat dalam keseluruhan cerpen. [ 4 markah ]
Jawapan Contoh
(i) Daneng menolak pujukan Cikgu Jo kerana perkara terbaik baginya adalah berada di hutan tersebut. Bagi Daneng, di hutan itulah nenek moyangnya hidup dan disemadikan. Jiwanya terikat pada pohon tualang , bukit-bukit dan pohon-pohon di situ. Selain itu, Daneng mendambakan kehidupan di hutan tersebut.
(Jawapan diperoleh daripada petikan)
(Kemukakan dua/tiga/empat alasan)(ii) Jika Daneng enggan menerima nasihat Cikgu Jo, Daneng akan ketinggalan dalam pelajaran. Daneng juga sudah tentu tidak dapat mengembangkan kebolehannya. Selain itu, Daneng juga tidak dapat meneruskan cita-citanya untuk membantu keluarga dan masyarakat Orang Asli. Jika Daneng enggan menerima nasihat Cikgu Jo, hubungannya dengan Cikgu Jo akan menjadi renggang. Daneng akan terus hidup dalam belenggu kemiskinan.
(Jawapan berupa kemahiran berfikir calon)
(Kemukakan tiga/empat/lima isi)
(Elakkan penggunaan perkataan 'mungkin')
(iii)Satu nilai dalam petikan
Nilai(1m) &Contoh(1m)
Tanggungjawab
Kegigihan
Ketegasan
Keprihatinan
1. Nilai tanggungjawab - Cikgu Jo bertanggungjawab memujuk Daneng supaya meneruskan pelajarannya.
Cikgu Jo gigih memujuk Daneng supaya meneruskan pelajarannya
Daneng tegas dengan pendiriannya untuk tidak meneruskan pelajarannya
Cikgu Jo prihatin dengan masalah yang dihadapi oleh anak muridnya {[ 2 markah]
Satu nilai dalam keseluruhan cerpen
Nilai(1m)& Contoh(1m)
Nilai kepintaran(kebijaksanaan/ kepandaian) - Daneng mendapat keputusan yang cemerlang dalam PMR dan berjaya terpilih ke sekolah berasrama.
Nilai mengenang jasa - Daneng sentiasa berterima kasih kepada Cikgu Jo kerana telah mendorongnya untuk berjaya.Daneng ingin menjaga hutan dan sanggup meninggalkan alam persekolahan.
Nilai hormat- menghormati - Daneng menghormati Cikgu Jo Daneng melarang Cikgu Jo memanggilnya Datuk
(c)shuhaimi sulaiman
Dicatat oleh Cikgu Shuhaimi di 16:10:00 0 ulasan
No comments:
Post a Comment