Sunday, December 20, 2015

Aktiviti rekreasi seperti aktiviti melancong, berkelah dan bersenam membawa pelbagai manfaat kepada masyarakat. Ulas pernyataan tersebut.

Aktiviti rekreasi merupakan salah satu aktiviti yang menjadi kegemaran masyarakat untuk dilakukan pada waktu lapang. Aktiviti rekreasi boleh diklasifikasikan kepada dua kategori iaitu rekreasi aktif dan rekreasi pasif. Aktiviti rekreasi aktif ialah aktiviti yang memerlukan pergerakan badan individu secara aktif seperti berjoging, atau melakukan aktiviti sukan. Aktiviti rekreasi pasif pula tidak memerlukan individu banyak bergerak seperti berkelah atau bersiar-siar di taman. hal ini boleh dilakukan pada bilaa-bila masa dan di mana-mana sahaja sama ada di taman rekreasi ataupun di padang permainan.  Kerajaan juga telah menyediakan prasarana yang sesuai di kawasan tertentu di negara kita bagi kemudahan orang awam berekreasi. Taman-taman rekreasi juga telah dihias dengan tumbuh-tumbuhan yang menyegarkan semata-mata untuk menarik perhatian ramai pengunjung. Begitu juga dengan kemudahan seperti bilik air dan gerai menjual makanan tersedia di taman rekreasi dengan harapan dapat membentuk individu yang sihat sejahtera. Persoalannya, apakah kebaikan aktiviti rekreasi kepada masyarakat?

Sudah tentu aktiviti rekreasi ini membawa kebaikan kepada masyarakat. Hal ini dapat dibuktikan terutama daripada aktiviti melancong. Melancong juga merupakan salah satu aktiviti rekreasi yang gemar dilakukan oleh masyarakt di negara kita terutamanya dalam kalangan remaja. Aktiviti melancong sama ada di dalam atau di luar negara dapat menggembirakan hati  yang sedang berduka. Misalnya, masalah kemurungan atau stres dalam kehidupan dapat dikurangkan dengan aktiviti melancong. Hal ini tidak menjadi masalah bagi mereka yang berpendapatan rendah turut boleh melawat tempat-tempat menarik dalam negara kerana tempat-tempat di negara kita setanding kecantikannya dengan tempat-tempat di luar negara bak kata pepatah jauh berjalan, luas pemandangan. Apabila pergi melancong, kita akan mempelajari adat budaya penduduk setempat. Hal ini secara tidak langsung telah menambahkan ilmu pengetahuan kita. Kita juga tidak akan menjadi seperti katak di bawah tempurung kerana tidak mengetahui tentang masyarakat luar. Apabila kita melawat ke tempat-tempat yang menarik di dalam negara seperti Pulau Redang dan Cameron Highland, semangat cinta akan tanah air dapat dipupuk dalam diri. Kita akan menjadi bangga kerana menjadi anak jati Malaysia yang kaya dengan kawawan yang setaraf dengan dunia luar. Jelaslah bahawa aktiviti rekreasi seperti melancong membawa kebaikan kepada masyarakat setempat dari aspek emosi dan rohani serta fizikal.

Di samping itu, aktiviti rekreasi juga dapat mengurangkan kadar penduduk yang menghidap penyakit berbahaya seperti obesiti. Aktiviti rekreasi seperti aktiviti bersenam sudah pasti dapat mengelakkan individu daripada penyakit yang boleh membawa maut seperti sakit jantung.. Kajian juga ada menyatakan penyakit berbahaya seperti sakit jantung bukan hanya menyerang mereka yang sudah berusia tetapi juga golongan muda. Oleh itu, ibu bapa terutamannya haruslah mengamalkan aktiviti bersenam ini dalam keluarga dengan membawa anak-anak berjoging sekurang-kurangnya pada hujung minggu kerana melentur buluh biarlah daripada rebungnya. Anak-anak akan membesar menjadi individu yang sihat seterusnya mereka turut akan membimbing keluarga mereka dengan aktiviti sihat ini. Dengan ini masyarakat yang sihat dapat dilahirkan. bagi golongan remaja pula, dengan aktiviti bersenam mereka akan terhindar daripada gejala sosial seperti terlibat dengan  najis dadah. Sesungguhnya golongan remaja merupakan harapan negara yang bakal menerajui pentadbiran pada masa akan datang. Oleh itu, remaja yang sihat fizikal dan mental sangat diperlukan oleh negara dan hal ini hanya boleh direalisasikan jika masyarakat mengamalkan aktiviti bersenam. Tegasnya, aktiviti bersenam turut menjadi faktor penting kepada pembentukan masyarakat yang sihat dalam negara.

Selain itu, aktiviti rekreasi lain yang boleh diamalkan oleh masyarakat ialah aktiviti berkelah. Aktiviti ini juga boleh dilakukan besama dengan keluarga atau rakan-rakan. Aktiviti ini dapat mengeratkan hubungan antara ahli keluarga. Begitu juga dengan para pelajar tatkala sudah penat belajar, aktiviti seperti  berkelah dapat menenangkan fikiran dan mengurangkan stres dalam proses pembelajaran. Ketika berekreasi, setiap individu perlulah menjaga adab-adab di taman rekreasi seperti tidak membuang sampah di merata-rata tempat dan menggunakan kemudahan yang disediakan sebaik-baik mungkin. Hal ini secara tidak langsung telah mendidik anggota masyarakat dengan nilai disiplin dalam diri. Apabila kawasan rekreasi bersih dan ceria, pelancong asing juga akan tertarik untuk melawat negara kita. Mereka akan beranggapan bahawa negara kita mempunyai masyarakat yang pembersih, imej negara di mata dunia akan di pandang tinggi sekali gus meningkatkan sumber pendapatan negara. Hasil daripada kemajuan ekonomi akan dapat dinikmati oleh rakyat dengan kehidupan yang lebih selesa kerana negara dapat menyediakan pelbagai kemudahan kepada rakyat. Demikianlah impak positif hasil daripada sikap masyarakat yang melakukan aktiviti berkelah secara berhemah.

Akhir sekali, aktiviti rekreasi ini dapat memupuk semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat yang berbilang kaum. Dengan bersenam, berkelah dan melancong, masyarakat akan sentiasa berjumpa dan bergaul mesra sekali gus dapat meningkatkan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat. Masyarakat tidak akan menjadi seperti enau dalam belukar yang hanya melepaskan pucuk masing-masing sebaliknya mereka akan bekerjasama dan beramah mesra ketika melakukan aktiviti rekreasi. Masalah perpecahan masyarakat atau rusuhan tidak akan berlaku seperti Peristiwa 13 Mei yang telah merosakkan imej negara di mata dunia. Sesungguhnya denga melaksanakan aktiviti rekreasi, negara juga akan terpelihara daripada masalah perbalahan dalam kalangan masyarakat. Walaupun aktiviti ini dianggap kecil nilainya tetapi jika dilaksanakan dengan baik, hasilnya sangat menguntungkan.

Kesimpulannya, aktiviti rekreasi seperti melancong, berkelah dan bersenam  juga bersiar-siar di taman, membawa pelbagai manfaat kepada masyarakat. Oleh itu, setiap anggota masyarakat perlulah menggunakan keistimewaan yang ada di negara kita untuk melakukan aktiviti rekreasi demi kepentingan bersama. Aktiviti rekreasi ini membawa banyak faedah sekiranya dilakukan sebaik-baik mungkin. Benarlah seperti slogan yang sering dipaparkan dalam media massa tentang aktiviti rekreasi dapat melahirkan masyarakat yang cemerlang dan negara terbilang. Masyarakat yang sihat fizikal dan mental dapat menentukan hala tuju kebahagiaan hidup sesebuah masyarakat itu. Secara keseluruhannya, aktiviti rekreasi mempunyai banyak kepentingan kepada masyarakat di negara kita.

3 comments:

RASHWINI RAGEVAN said...

Karangan ini banyak membantu saya dan juga memberi pengetahuam yang lebih tentang aktiviti rekreasi.terima kasih cikgu

Anonymous said...

Terima kasih cikgu :)

bukit angin said...

KHIDMAT GUIDES UTK PENDAKIAN GUNUNG DI SEKITAR CAMERON HIGHLANDS :
Kami akan menyediakan juga :
- Permit dari Jabatan Perhutanan
- Laporan kebenaran dari Jabatan Polis
- Kenderaan 4x4 utk ke tempat permulaan pendakian
- Nature Guides yg berlesen
- Peralatan kecemasan(asas)
- Walkie Talkie
**Hubungi kami di
- Bukit Angin 0104162086
- bit.ly/IRAUPAKEJ
- http://bit.ly/CHhotels
- hiraugunung@gmail.com