Saturday, December 19, 2015

Banyak usaha telah dijalankan oleh pelbagai pihak untuk memastikan keamanan sejagat dapat direalisasikan .Huraikan usaha-usaha tersebut.

Isu keamanan sejagat semakin lama semakin hangat diperkatakan dalam media massa sama ada  di kaca televisyen atau terpampang di dada akhbar. Isu pencerobohan tentera Israel terhadap Palestin, pergolakan berlaku di negara-negara Timur Tengah dan isu perebutan wilayah antara China dan Filipina ke atas Kepulauan Spratly pada masa ini boleh megancam keamanan sejagat. Hal ini boleh disimpulkan bahawa isu-isu ini perlu dibendung dengan segera kerana boleh membawa kepada perkara yang tidak diingini berlaku. Oleh itu, banyak usaha telah dijalankan oleh pelbagai pihak untuk memastikan keamanan sejagat dapat direalisasikan.

Antara usaha yang telah dijalankan untuk memastikan keamanan sejagat dapat direalisasikan ialah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu atau PBB telah menghantar tentera pengaman ke negara-negara yang dilanda konflik seperti Sudan, Chad, Bosnia-Herzegovina dan negara-negara Teluk. PBB juga turut menghantar pasukan pemerhati ke negara-negara yang bergolak seperti Kampuchea dan Libya. Tujuan tentera pengaman dihantar ke negara-negara tersebut adalah untuk menawarkan perlindungan kepada orang awam yang terperangkap dalam konflik tersebut, memberi bantuan ketenteraan kepada tentera negara yang dilanda konflik dan mengekalkan keamanan di negara tersebut sehingga tamat konflik tersebut. Hal ini menunjukkan usaha PBB dan negara-negara tentera pengaman yang padu dalam memastikan keamanan sejagat dapat dicapai.

Selain itu, PBB turut mengadakan Persidangan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu setiap dua tahun sekali bagi membincangkan masalah yang berkaitan keamanan sejagat. Antara isu yang sering dibahaskan dalam persidangan ialah isu penindasan Israel terhadap penduduk Palestin dan yang terbaru ialah isu militan IS yang semakin liar dan ganas. Antara negara yang menjadi ahli tetap dalam persidangan ini ialah Malaysia dan New Zealand. Malaysia mengutuk tindakan Israel yang menceroboh tanah Palestin dan membunuh orang awam, menceroboh tanah Palestin serta membunuh orang awam yang tidak  berdosa manakala New Zealand telah bersetuju untuk bekerjasama dalam menyelesaikan konflik yang berlarutan selama beberapa dekad ini. Hal ini menunjukkan bahawa PBB dan negara-negara seperti Malaysia dan New Zealand tidak pernah berputus asa dalam mewujudkan keamanan sejagat di dunia ini.

Seterusnya, penubuhan Pertubuhan Negara-Negara Asia Tenggara atau dikenali sebagai ASEAN turut memainkan peranan penting dalam memastikan keamanan sejagat dapat dicapai. Penubuhan negara-negara ASEAN adalah hasil daripada beberapa rundingan damai yang dijalankan oleh Malaysia dengan jirannya iaitu Indonesia dan Filipina. Pada masa ini, terdapat 10 buah negara yang menyertai pertubuhan ini. Hasilnya, pada Sidang Kemuncak ASEAN pada tahun 1991 di Kuala Lumpur, negara-negara ASEAN telah menandatangani satu perjanjian Zone of Peace, Fosfority and Neutrality atau dikenali sebagai ZOPFAN. Matlamat perjanjian ini adalah untuk mewujudkan zon bebas nuklear. Hal ini membawa maksud mana-mana kapal yang melalui kawasan perairan di Asia Tenggara tidak dibenarkan membawa bahan nuklear atau berlabuh di negara ASEAN. Hal ini menunjukkan semangat dan usaha yang kukuh dalam kalangan negara anggota supaya keamanan sejagat dapat dicapai.

Tambahan pula, Mahkamah Jenayah Antarabangsa yang berpusat di Copenhagen, Belanda telah diwujudkan bagi mengadakan perbicaraan dan mengadili mana-mana negara yang melakukan jenayah terhadap negara lain. Mahkamah ini berperanan penting dalam mewujudkan keamanan sejagat seperti mengadakan perbicaraan terhadap pemimpin Serbia yang telah mengarahkan pencerobohan ke atas Bosnia-Herzegovina dan melaksanakan pembersihan etnik Muslim di sana pada tahun 1995. Suatu tribunal telah dibentuk bagi menyiasat insiden ini dan melalui kajian serta siasatan yang rapi telah dijalankan, tribunal tersebut berjaya membuktikan bahawa pemimpin Serbia telah didapati bersalah dan didakwa atas jenayah kemanusiaan. Hal ini membuktikan bahawa penubuhan Mahkamah Jenayah Antarabangsa dapat membantu sesebuah tribunal membuktikan kesalahan sesebuah negara yang dilakukan terhadap masyarakat sesebuah negara lain melalui perundangan yang sah demi keamanan sejagat.

Akhir sekali, penubuhan negara-negara Komanwel adalah salah satu daripada usaha yang dijalankan demi keamanan sejagat. Negara-negara Komanwel ini ialah negara-negara yang pernah menjadi tanah jajahan British dan kuasa-kuasa besar lain. Salah satu daripada aspek utama penubuhan negara-negara Komanwel ini adalah untuk memberi bantuan ketenteraan kepada mana-mana negara yang diserang musuh. Malaysia pernah mendapatkan bantuan ketenteraan daripada negara-negara Komanwel seperti New Zealand dan Australia bagi mengatasi ancaman tentera Indonesia semasa konfrantasi yang berlaku pada tahun 1962 hingga 1965. Hal ini menunjukkan bahawa hubungan yang erat antara negara  Komanwel ibarat isi dengan kuku dalam memastikan keamanan sejagat dapat dicapai.

Konklusinya, usaha murni pelbagai pihak perlu diteruskan bagi mencapai keamanan sejagat. Para pemimpin negara-negara dunia haruslah bersepakat dan usahlah bersikap tidak sehaluan dalam menyelesaikan isu ini kerana keamanan penting bagi semua pihak. Menurut kata seorang pujangga, 'tidur di bantal yang berbeza tetapi sama mimpi adalah lebih baik daripada tidur di bantal yang sama tetapi berlainan mimpi' . Oleh itu, semua pihak harus memainkan peranan masing-masing agar keamanan sejagat dapat dicapai.

No comments: