Rujuk soalan Percubaan BM1, SPM (JPS)
Kesusilaan amat penting dalam kehidupan bermasyarakat
tulis rencana tentang peranan yang dimainkan oleh masyarakat dalam usaha untuk melahirkan rakyat yang bersusila.
Memang tidak dapat dinafikan bahawa kesusilaan amat penting dalam kehidupan bermasyarakat. Hal ini adalah kerana kesusilaan akan mengekalkan dan menjamin keamanan serta keharmonian hidup. Pada zaman globalisasi ini, kesusilaan semakin luntur dalam kehidupan bermasyarakat. Perkara ini menagih komitmen dan penglibatan semua pihak untuk menyelesaikannya sebelum nasi menjadi bubur. Persoalannya, apakah peranan masyarakat dalam usaha untuk melahirkan rakyat yang bersusila?
Pertama sekali, setiap individu mempunyai peranan dan tanggungjawab yang harus dilaksanakan dengan sempurna. Sebagai individu yang mulia, kita haruslah sentiasa menjaga pemikiran, pertuturan dan kelakuan. Kita juga mestilah menghindari perkara-perkara yang boleh memusnahkan kesusilaan diri. Misalnya, kita tidak patut melibatkan diri dalam vandalisme dengan menconteng dinding di tempat awam dan menulis perkataan-perkataan yang kesat serta melukis gambar lucah. Hal ini tidak menunjukkan kesusilaan dan jikalau dibiarkan berleluasa, orang lain akan dipengaruhi oleh perkara negatif tersebut lalu mengabaikan kesusilaan. Seseorang individu itu haruslah pandai memilih kawan dan menjadi pengaruh positif kepada orang lain. Individu itu juga mestilah menghayati baris kelima dalam ikrar Rukun Negara iaitu kesopanan dan kesusilaan. Jelaslah bahawa setiap individu mempunyai peranan yang amat besar dalam usaha melahirkan rakyat yang bersusila.
Seterusnya, ahli-ahli keluarga khsususnya ibu dan bapa mempunyai peranan dan tanggungjawab yang sungguh berat. Ibu bapa seharusnya mendidik dan menerapkan nilai-nilai murni dalam sanubari anak-anak sejak kecil lagi. Sebagaimana pepatah Melayu menyebut 'melentur buluh, biarlah dari rebungnya'. Di samping itu, ibu bapa juga mesti menjadi suri teladan yang baik kepoada anak-anak agar anak-anak mencontohi mereka kerana bapa yang borek bakal melahirkan anak yang rintik . Ibu bapa juga haruslah menyayangi anak-anak mereka seperti menatang minyak yang penuh agar anak-anak mereka tidak akan dipengaruhi oleh orang yang negatif sikapnya. Ibu bapa haruslah bertanggungjawab dalam usaha melahirkan individu yang bersusila. Mereka harus memastikan anak-anak bergaul dengan rakan-rakan yang positif sikapnya agar kesusilaan yang telah dibina tidak terancam. Nyatalah bahawa ibu bapa mempunyai peranan yang besar dalam usaha melahirkan individu yang bersusila.
Selain itu, para pendidik juga mempunyai peranan tersendiri yang perlu dilaksanakan. Para pendidik haruslah sentiasa menekankan kepentingan kesusilaan dan menerapkan kesusilaan dalam diri pelajar. Para pendidik juga haruslah menegur dan menasihati pelajar yang tidak bersusila. Kaunseling seharusnya diberi kepada pelajar bermasalah agar pelajar itu sedar akan masalahnya dan boleh berusaha untuk membaiki diri. Para pendidik juga boleh mengadakan perjumpaan dengan ibu bapa agar ibu bapa sedar akan perangai anak-anak mereka. Para pendidik juga haruslah menjadi teladan yang baik dengan mengamalkan pertuturan yang sopan santun. Hal ini jelas menunjukkan bahawa para pendidik juga mempunyai peranan tersendiri yang perlu dilaksanakan agar dapat melahirkan rakyat yang bersusila.
Di samping itu, pihak pemerintah juga memainkan peranan yang besar. Pertama sekali, pihak pemerintah haruslah menjadi teladan yang baik agar disanjungi dan dicontohi oleh rakyat. Kejadian bekas Presiden Amerika Syarikat George W. Bush yang menunjukkan jari hantunya dalam satu temu bual tidak boleh diulangi. Perkara sebegini yang langsung tidak bersusila sama sekali akan menjadi pengaruh yang negatif kepada rakyat bawah pimpinannya. Pihak pemerintah haruslah sentiasa menekankan kepentingan kesusilaan dalam kehidupan bermasyarakat. Hal ini membuktikan bahawa pihak pemerintah mempunyai peranan yang penting dalam usaha melahirkan rakyat yang bersusila.
Akhir sekali, media massa hendaklah sedar akan peranan mereka dalam melahirkan rakyat yang bersusila. Penulis-penulis semestinya menjaga karya mereka dan sentiasa menggariskan kepentingan kesusilaan. Keadaan ini seterusnya akan menimbulkan kesedaran lantas mewujudkan masyarakat yang bersusila. Selebriti yang menjadi pujaan hati dan idola ramai hasuslah menunjukkan pertuturan serta kelakuan yang positif agar menjadi ikutan para peminat. Pengarah filem-filem juga harus memastikan filem yang dihasilkan tidak memberi impak negatif kepada penontonnya. Jelaslah bahawa orang yang terlibat dengan media massa juga mempunyai peranan yang penting dalam melahirkan rakyat yang bersusila.
Intiharnya, masyarakat, individu, para pendidik, pihak pemerintah dan orang yang terlibat dengan media massa semuanya mempunyai peranan masing-masing dalam usaha untuk melahirkan rakyat yang bersusila. Seoran sejarawan pernah menyatakan bahawa ketinggian kesusilaan merupakan kayu pengukur kejayaan tamadun. Sememangnya dengan wujudnya kesusilaan dalam kehidupan bermasyarakat, sesebuah negara mahupun 'tamadun' akan maju, sejahtera dan disegani serta dihormati oleh semua insan.
3 comments:
hello cikgu terima kasih bnyk2.. amat bermanfaat..
isi yang sangat baik..tapi penggunaaan kosa kata luas amat kurang..
pelajar ini merupakan antara pelajar terbaik saya. walaupun kosa katanya tidak luas, namun dari segi takrif, isi, bahasa dan pengolahan ayatnya amat bagus dan layak mendapat pemarkahan yang cemerlang.
Post a Comment