Thursday, October 6, 2011

Usaha memajukan industri desa: karangan pelajarku STEPHANIE YONG 5S1 SMKHK

Usaha-usaha memajukan industri desa

Industri desa yang juga dikenali sebagai industri kecil ataupun industri tradisional merupakan antara industri yang berperanan ke arah penjana pertumbuhan ekonomi negara dan berpotensi tinggi untuk dimajukan. Dengan perkataan lain, industri desa merupakan wadah bagi menghasilkan pengeluaran atau kerja tangan yang dihasilkan oleh masyarakat kampung yang nmasih menggunakan teknik industri tempatan yang diwarisi daripada nenek moyang kita. Memang tidak dinafikan bahawa suatu ketika dahulu permintaan dan pengeluaran hasil daripada industri desa semakin berkurangan disebabkan oleh perubahan zaman yang ketara. hal ini demikian kerana fenomena peralihan terhadap kemajuan teknologi yang menyebabkan industri desa kurang menonjol. Persoalannya, apakah usaha-usaha yang dilakukan dalam memajukan industri desa?

Usaha yang boleh dilakukan termasuklah kerajaan memberikan bantuan dan galakan kepada mereka yang berminat. Hal ini demikian kerana bantuan dan galakan yang berterusan penting terutama kepada pengusaha yang baru sahaja menjalankan sesuatu industri desa. Kerajaan haruslah memberikan bantuan modal dan khidmat nasihat secara berterusan supaya industri desa seperti batik, kraftangan dan makanan tradisional. Taraf kehidupan penduduk desa melalui sokongan kerajaan juga dapat dipertingkat. Oleh itu, peranan kerajaan penting agar industri desa terus diusahakan secara berterusan di negara kita.

Seterusnya, langkah yang boleh dilakukan dalam memajukan industri desa adalah dengan menggunakan alat-alat berteknologi moden. Dengan mengaplikasikan teknologi moden dalam pengeluaran produk tradisional, secara tidak langsung dapat meningkatkan kualiti dan kuantiti produk. Secara tidak langsung penduduk desa dapat mengksport produk desa ke luar negara dan tidak hanya dipasarkan di dalam daerah sendiri sahaja. Melalui penggunaan alat-alat teknologi moden juga, industri desa dapat memberi peluang pekerjaan dan peluang perniagaan kepada anak-anak kampung itu sendiri lantaran permintaan yang semakin meningkat seiring dengan perubahan masa.Jelaslah, industri desa yang telah dimajukan mampu menjadi teras pertumbuhan ekonomi yang mantap kepada pengusahanya.

Selain itu, kerajaan boleh juga memperkenalkan konsep "Satu Daerah Satu Produk". Dengan mengimplimentasikan konsep tersebut secara berkesan, industri desa itu akan maju, mempunyai identiti tersendiri serta melahirkan pengeluaran produk yang mencerminkan keistimewaan daerah tersebut. Sebagai contoh di negeri Melaka, terkenal dengan pasaran gula Melaka yang digunakan dalam pelbagai masakan. Kerajaan negeri Melaka haruslah melatih penduduk tempatan menghasilkan produk gula Melaka yang lebih enak dan berkualiti dengan cara memberi bantuan khidmat nasihat serta modal. Hasil daripada usaha sedemikian, dapatlah ditingkatkan pendapatan penduduk tempatan yang mengusahakan produk tersebut seterusnya menonjolkan keistimewaan daerah tersebut kerana menjadi sebutan ramai. Keistimewaan daerah tersebut juga bakal menggamit pengunjung melawat dan mampu meningkatkan kunjungan pelancong. Oleh itu, kerajaan haruslah bekerjasama bagai aur dengan tebing bagi menjayakan konsep "Satu Daerah Satu Produk".

Tidak ketinggalan juga, kerjasama antara semua pihak dalam usaha memasarkan produk industri desa ke seluruh pelosok negara. Rakyat perlu yakin dengan kemampuan dan keupayaan sendiri untuk mencapai kemajuan dan seterusnya membantu negara untuk menjadi sebuah negara maju. Misalnya pada setiap hari Khamis akan kelihatan semua kakitangan kerajaan sama ada lelaki atau perempuan mengenakan baju batik yang merupakan produk industri desa yang tak lapuk dek hujan dan tak lekang dek panas.Dengan memakai baju batik, rakyat telah mempromosikan produk tempatan dan pada masa yang sama mereka telah menyumbang kepada pendapatan negara kerana membeli produk buatan Malaysia. Impaknya industri desa dapat berkembang maju dan dapat mengekalkan nilai-nilai seni tradisi yang diwarisi sejak turun-temurun secara zaman- berzaman. Tuntasnya, kerjasama erat telah dipupuk dalam kalangan rakyat dengan adanya usaha berterusan daripada kerajaan memartabatkan produk industri desa.

Secara komprehensifnya, masyarakat yang menjalankan industri desa perlulah merebut peluang sepenuhnya yang disediakan oleh kerajaan. Mereka perlulah meningkatkan ilmu serta kemahiran bagi menghasilkan produk tempatan yang berkualiti antarabangsa agar dapat duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan produk berjenama antarabangsa.

5 comments:

Anonymous said...

maaf cikgu tetapi nampaknya ada sedikit kepincangan dalam karangan tersebut, ini berikutan kerana terdapat unsur unsur 'copy and paste' dalam karangan pelajar ini.
harap idea idea yang lebih asli lagi dapat disumbangkan.

Anak Najib said...

Saya juga bersetuju dengan pendapat prof anonymous....hal ini amat lah menjatuhkan maruah bangsa dan negara..#hapuscetakrompak

Anonymous said...

copy paste hahahaha lawakk

Anonymous said...

GG

Unknown said...

apa2pon karangan ini berguna