Monday, March 30, 2009

Pentaksiran berasaskan sekolah diperluas

PERANAN sekolah untuk mentaksir murid dan pelajar mereka akan diperluaskan di bawah Transformasi Pentaksiran Pendidikan Kebangsaan 2009.
Walau bagaimanapun, bagi memastikan kesahan, kebolehpercayaan dan keadilan dalam pentaksiran kendalian sekolah itu, proses bimbingan akan dilaksanakan pada peringkat tertentu oleh pihak Kementerian Pelajaran.
Kaedah pentaksiran berasaskan sekolah ini merupakan aktiviti yang dirancang, dibina, ditadbir, diperiksa dan dilapor oleh guru di sekolah yang melibatkan murid, ibu bapa, dan organisasi luar.
Selain itu, guru tidak perlu mentaksir dengan mengadakan ujian formal kerana proses pendidikan yang sepadu tetap berlaku.
Semasa proses itu juga, guru dapat menerapkan nilai murni dan akhlak mulia.
Antara aktiviti atau instrumen pentaksiran berasaskan sekolah adalah seperti berikut:
1. Ujian bulanan
2. Peperiksaan pertengahan dan akhir tahun
3. Peperiksaan percubaan
4. Kuiz dalam kelas
5. Kerja rumah
6. Projek
7. Soal selidik
8. Amali
9. Pemerhatian, dan sebagainya.
Proses pengajaran, pembelajaran dan pentaksiran berlaku secara timbal balas dan sepadu. Sambil mengajar, guru membuat pentaksiran secara tidak formal kerana guru tahu menilai sama ada murid telah menguasai apa yang diajar atau belum.
Selain itu, berdasarkan pentaksiran, guru tahu sama ada murid perlu mengulang balik atau mengambil langkah untuk meningkatkan prestasi ke tahap yang lebih tinggi.
Pentaksiran berasaskan sekolah juga menggalakkan hubungan dua hala melalui peluang yang diberi kepada murid atau pelajar untuk bertanya dan seterusnya mendapat bimbingan dan penjelasan lebih lanjut tentang presasti yag ditunjukkan dan bagaimaa meningkatkannya.
Hal ini kerana maklum balas daripada pentaksir dapat diberikan terus kepada murid dan dengan kadar yang segera.


No comments: