Sunday, September 28, 2008

RAMALAN SPM 2008:AMALAN BERBUDI BAHASA

Baik budi indah bahasa
Utusan Malaysia24 Januari 2005ms 06Rencana

Puyu-puyu konon namanya
di dalam kolam konon tempatnya
cantik manis barang lakunya
serta dengan budi bahasanya.'


Pantun ini dipetik daripada buku Sekalung Budi Seuntai Bahasa terbitan DBP. Sebahagian besar daripada kita barangkali telah lupa kepada pantun tentang budi dan bahasa ini.
Apabila kita dikejutkan supaya menjadi bangsa yang maju; dari bertani kita mahu menjadi orang industri maka sedikit sebanyak nilai-nilai asal usul telah terhakis. Lagi pun banyak yang mempunyai persepsi budi dan bahasa sudah tidak lagi mempunyai nilai komersial.

Apabila kampung menjadi kota atau orang kampung yang mencari hidup di kota, hambatan untuk hidup seolah-olah memaksa kita melupakan nilai-nilai kampung. Kadangkala kita sengaja mencari alasan kerana pada sangkaan kita orang kota mesti ada lagaknya sendiri. Barangkali juga kita terlupa bahawa Jepun misalnya yang jauh lebih maju daripada kita. Tetapi tidak ada Jepun kampung atau Jepun kota. Jepun akrab dengan tatasusila dan budi bahasa mereka. Berbudaya dan berbudi bahasa tetap membuatkan Jepun maju.

Jadi, tidaklah rugi kalau kita berbudi bahasa seperti orang kampung. Tidak ada siapa yang menganggap kita kolot. Malah orang yang beranggapan begitulah yang kolot sebab mereka melihat pada lingkungan yang sempit. Mujurlah sekarang kita bergerak untuk mengutip kembali warisan yang sangat berharga itu. Kempen Budi Bahasa Budaya Kita oleh Kementerian Kebudayaan Kesenian dan Warisan adalah satu gelombang yang diharap akan mengembalikan rakyat kepada asas hidup berbudaya negara ini.

Rupa-rupanya kita telah jauh meninggalkan warisan ini. Buktinya pada awalnya kempen ini dijadikan bahan jenaka oleh sesetengah pihak padahal kempen tersebut merupakan satu gagasan besar untuk menjadi bangsa yang berbudaya. Ruang litup falsafah Budi Bahasa Budaya Kita sangat luas. Tetapi ini tidak bermakna kempen tersebut suatu yang tidak tergapai dek tangan. Kita boleh melihat `budi bahasa' pada tahap-tahap yang relevan dan praktis dalam kehidupan seharian.

Kempen Budi Bahasa Budaya Kita adalah sepenting dan sebesar Wawasan 2020, destinasi impian yang menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara industri. Cuba lihat kembali cabaran-cabaran Wawasan 2020 menjadi negara maju dalam acuan budaya kita. Tetapi untuk tidak kelihatan terlalu besar dan menakutkan, lihat saja budi bahasa dalam konteks kehidupan seharian semua kelas sosial dalam masyarakat. Amalan-amalan budi bahasa yang mudah dilakukan misalnya menyambut tetamu, melayan tetamu dan tatacara tidak rasmi ketika bertemu.

Budi pula akan kita terima dalam pelbagai bentuk dan cara. Misalnya apabila ada yang hadir hidup kita dan mengusir duka dan lara juga adalah budi dan tentunya dengan bahasa yang menyenangkan kita. Budi dan bahasa tidak akan terbalas dan bukan untuk dibalas. Budi dan bahasa yang baik akan terus kekal menjadi kenang-kenangan.

Hakcipta © 2005 Utusan Malaysia (M) Berhad. Perpustakaan KUTKM is not responsible for any inappropriate use of information contained in this site.
(rujukan untuk menyiapkan tugasan tersebut)

1 comment:

farahnordin said...

t.kasih pn..sbb dah tlg sy cari bahan utk exam esok, =)