Wednesday, December 31, 2014

SPM 2014:Soalan no.2:Setiap anak memerlukan sokongan dan dorongan daripada ahli keluarga apabila menghadapi sesuatu masalah. Jelaskan peranan yang dapat dimainkan oleh setiap ahli keluarga dalam membantu anak-anak ketika menghadapi sesuatu masalah.

Setiap anak memerlukan sokongan dan dorongan daripada ahli keluarga apabila menghadapi sesuatu masalah. Memang tidak dapat dinafikan bahawa ahli keluarga, khususnya ibu bapa menggalas obligasi yang dominan dalam membantu anak-anak menyelesaikan kemelut yang ditelusuri oleh mereka pada abad ini. Malah, anak-anak juga diibaratkan sebagai sehelai  kain putih, dan ibu bapalah yang menjadi penentu coraknya. Peribahasa ini izhar membuktikan peranan ibu bapa dalam menentukan masa depan anak-anak. Dalam konteks ini, ibu bapalah yang menjadi pendorong utama kepada anak-anak. Malah kajian membuktikan bahawa kebanyakan anak mudah terlibat dalam kancah sosial disebabkan berlakunya kepincangan dalam keluarga. Kajian ini secara implisitnya mendedahkan kepada kita akan betapa pentingnya peranan ahli keluarga dalam pembentukan keluarga bahagia. Anak- anak juga lebih banyak menghabiskan masa bersama-sama dengan ahli keluarga daripada orang lain. Jadi, memang tidak dapat dinafikan sama sekali akan obligasi yang dimainkan oleh setiap ahli keluarga dalam membantu anak-anak ketika mengadapi sesuatu masalah. Persoalannya, apakah peranan yang wajar dimainkan oleh setiap ahli keluarga sewaktu anak-anak menghadapi sesuatu masalah? Dalam konteks ini, terdapat seribu satu peranan yang dimainkan oleh ahli keluarga dalam membantu anak-anak ketika menghadapi masalah.

Salah satu peranan dominan yang wajar dimainkan oleh setiap ahli keluarga, khususnya ibu bapa adalah dengan mencurahkan kasih sayang kepada anak-anak. Ibu bapa haruslah memberikan kasih sayang kepada anak-anak bagai menatang  minyak yang penuh. Mereka haruslah sentiasa menyayangi antara satu sama lain supaya dapat mewujudkan keluarga yang harmoni. Ibu bapa haruslah mengamalkan sikap keterbukaan iaitu bersedia memberi dan menerima pandangan pembaharuan dan kritikan supaya dapat mewujudkan keluarga yang harmoni. Hal ini demikian kerana salah satu punca anak-anak menghadapi masalah dalam kehidupan ialah ketandusan kasih sayang daripada ibu bapa. Dalam konteks ini, ibu bapa harus bersedia memasang telinga kepada segala masalah yang dihadapi oleh anak-anak. Bukan sahaja ibu bapa, malah seluruh ahli keluarga wajar berbuat demikian apabila mendapat tahu bahawa seseorang anak itu menghadapi masalah. Setiap ahli keluarga tidak harus berpeluk tubuh atau bersikap nafsi, bak kata pepatah bagai enau dalam belukar yang hanya melepaskan pucuk masing-masing ketika ahli keluarga menghadapi masalah. Setiap masalah ahli keluarga juga wajar diselesaikan bersama-sama supaya masalah yang dihadapi dapat diselesaikan dengan mudah. Dalam konteks ini juga, setiap ahli keluarga harus bertindak rasional dan tidak terburu-buru dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi agar tidak timbul konflik atau perselisihan faham yang mampu menggugat keharmonian keluarga. Jadi, jelaslah bahawa ibu bapa dan setiap ahli keluarga harslah menyayangi antara satu sama lain dalam membantu anak-anak menghadapi sesuatu masalah.

Di samping itu, ibu bapa juga tidak harus bersifat materialistik atau kebendaan semata-mata. Mereka tidak harus mengejar kekayaan dan kebendaan sehingga mengabaikan anak-anak. Dalam konteks ini, ibu bapa sebagai ahli keluarga yang dominan wajar membahagikan masa bekerja dan masa untuk bersama-sama dengan ahli keluarga. Dengan cara sebegini, anak-anak akan lebih berkeyakinan untuk berkongsi segala pahit manis yang dilalui dalam kehidupan seharian. Hal ini sudah tentu memudahkan ibu bapa untuk mengenal pasti masalah yang dihadapi oleh anak-anak dan seterusnya mengambil  langkah yang efektif dan pragmatik semasa menangani masalah yang dihadapi oleh anak-anak. Bukan itu sahaja, keluarga yang harmoni dapat diwujudkan  apabila setiap ahli keluarga bersama-sama untuk berkongsi masalah yang dilalui bersama-sama. Dengan cara sebegini, sudah tentu anak-anak tidak akan berasa keseorangan semasa melalui segala kesukaran dalam hidup dan seterusnya masalah yang dihadapi ini dapat ditangani dengan efektif. Jadi,  tegaslah bahawa setiap ahli keluarga khususnya ibu bapa tidak harus bersifat materialistik semata-mata dan harus meluangkan masa bersama anak-anak menghadapi masalah.

Sementelahan lagi, setiap ahli keluarga haruslah mengawasi perubahan tingkah laku yang dialami oleh seseorang. Bukan sahaja ibu bapa, malah setiap ahli keluarga wajar menggalah obligasi yang sama. Apabila mendapat tahu bahawa anak-anak menunjukkan perubahan tingkah laku, ibu bapa haruslah menyiasat perkara ini secara terperinci supaya mendapat tahu akan peristiwa sebenar yang berlaku. Setiap ahli keluarga haruslah bertindak dengan cepat sebelum sesuatu masalah menjadi parah. Dengan berbuat demikian, setiap ahli keluarga akan mendapat tahu akan masalah yang dihadapi. Dalam konteks ini, ibu bapa juga boleh mengawasi dengan siapa anak-anak mereka bergaul. Mereka juga harus mengkaji perwatakan setiap rakan anak-anak mereka supaya mendapt tahu apakah sebenarnya masalah yang dihadapi oleh mereka. Hal ini amat signifikan supaya, ibu bapa akan tahu akan kemelut yang dihadapi oleh anak-anak dan seterusnya membantu mereka dalam menghadapi sesuatu masalah. jadi, jelaslah bahawa setiap ahli keluarga harus mengawasi perubahan tingkah laku  anak-anak supaya dapat membantu ketika mereka menghadapi masalah.

Seterusnya, satu lagi obligasi atau peranan yang harus diimplementasikan oleh ahli keluarga sewaktu mereka menghadapi maslah adalah dengan sentiasa memberi dorongan dan semangat kepada anak-anak. Ibu bapa harusla menanam semangat tidak mudah putus asa dalam diri anak-anak sejak kecil lagi bak kata pepatah melentur buluh biarlah daripada rebungnya. Mereka juga harus mempamerkan nilai-nilai yang baik di depan anak-anak kerana bagaimana acuan begitulah kuihnya. Hal ini amat penting supaya anak-anak akan menjadikan yang baik sebagai teladan dan yang buruk sebagai sempadan. Ibu bapa juga wajar menasihati anak-anak dengan cara yang betul supaya anak-anak akan dapat memahami nasihat yang disampaikan oleh ibu bapa dan mengaplikasikannya dalam kehidupan seharian dan tidak menjadi bagai mencurahkan air ke daun keladi. Bukan itu sahaja, malah ahli keluarga harus sentiasa memberi motivasi secara berterusan dan menanam semangat yang mendalam dalam diri anak-anak ketika mereka menghadapi maslah supaya mereka tidak akan berputus asa dan bangkit semula selepas segala cabran yang dihadapi oleh mereka. Ibu bapa juga tidak harus menjadi bagai ketam mengajar anaknya berjalan lurus. Hal ini demikian kerana anak-anak mudah mengikut segala perlakuan yang dipamerkan oleh ibu bapa. Segala perkara negatif tidak harus ditunjukkan di depan anak-anak. Oleh hal yang demikian, memang tidak dapat dinafikan bahawa ahli keluarga harus sentiasa memberi dorongan kepada anak-anak semasa mereka menghadapi sesuatu masalah.

Tambahan pula, setiap ahli keluarga harus menghantar anak-anak ke kelas pendikan tidak formal atu pendidikan keagamaan. Ibu bapat tidak wajar memfokuskan pendidikan formal semata-mata dan tidak harus menekankan pencapaian anak-anak dalam akademik sebagai indikator bahawa anak-anak telah berjaya. Jadi, ibu bapa harus menghantar anak-anak ke kelas pendidikan agama. Dengan pegangan agama yang kukuh, anak-anak akan berasa lebih berkeyakinan semasa menghadapi pelbagai masalah. Setiap ahli keluarga juga harus mendorong anak-anak supaya berpegang teguh kepada agama kerana tiada agama yang mendorong penganutnya untuk melakukan aktiviti yang tidak baik. Dengan menghantar anak-anak ke kelas agama, anak-anak akan lebih berani dan tabah menghadapi masalah yang dihadapi. Inisiatif lain yang boleh diambil oleh ahli keluarga ketika anak-anak  menghadapi masalah adalah dengan menghantar mereka ke kelas bimbingan dan kaunseling. Dengan kaunseling yang diberikan ,sudah tentu anak-anak dapat menyelesaikan masalah mereka dengan mudah. Jadi, sudah terang lagi bersuluh bahawa setiap ahli keluarga wajar menghantar anak-anak ke kelas pendidikan agama atau kelas bimbingan dan kaunseling ketika anak-anak menghadapi masalah.

Konklusinya, memang tidak dinafikan betapa pentingnya peranan dan obligasi yang digalas oleh setiap ahli keluarga amnya ibu bapa dalam membantu anak-anak sewaktu kemelut dalam kehidupan seharian. Setiap ahli keluarga haruslah mengimplementasikan tanggungjawab mereka dengan berkesan dan efektif dan bukan seperti melepaskan batuk di tangga. Setiap ahli keluarga wajar menggembleng tenaga dalam membantu anak-anak ketika mereka menghadapi masalah. Bukan sahaja ibu bapa yang memainkan peranan, malah ahli keluarga yang lain turut mempunyai obligasi yang sama. Setiap ahli keluarga juga harus bertindak segera dalam membantu anak-anak ketika menghadapi masalah sebelum gawat kerana sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna. hal ini demikian kerana anak-anak merupakan aset paling berharga. Jadi, segala masalah yang dihadapi oleh mereka tidak harus dipandang enteng dan sebaliknya sebagai ahli keluarga yang bertanggungjawab kita haruslah sentiasa bersama-sama ketika melalui pahit manis. Jadi bolehlah disimpulkan sekali lagi bahawa setiap anak memerlukan dorongan dan sokongan daripada ahli keluarga apabila menghadapi sesuatu masalah.

4 comments:

Anonymous said...

Karangan bagus. Isi pun tepat. Sya nak copy ye...

TasHA DeLIYshA said...

Good writing

Anonymous said...

Bgus

Frenzy girl said...

Great essay