Tuesday, December 30, 2014

SPM 2014: Usaha kerajaan memajukan bidang pertanian memang wajar kerana bidang ini memberikan pelbagai kebaikan kepada rakyat dan negara. Bincangkan.

"Pertanian merupakan perniagaan" menjadi laungan para pemimpin negara ketika kerajaan memperkenalkan dasar untuk memajukan bidang pertanian. kerajaan telah melaksanakan pelbagai usaha untuk menarik minat rakyat menceburi sektor pertanian. Rentetan usaha-usaha kerajaan yang tidak mengenal lelah, rakyat mulai sedar bahawa pertanian merupakan lubuk emas yang belum diterokai negara ini. Meskipun orang Melayu secara konsisten mengusahakan tanaman sebelum kedatangan British lagi, namun tanaman yang diusahakan adalah bercoran tradisional dan tanaman sara diri. Usaha kerajaan kini adalah untuk mengubah persepsi rakyat terhadap bidang pertanian dan membuktikan bahawa pertanian mampu dikomersialkan. Contohnya, durian Musang King yang menjadi igauan warga China serta sarang burung yang mendapat permintaan yang tinggi dari negara China. Terbuktilah bidang pertanian ini mampu dikomersialkan. Namun begitu, apakah faedah yang bakal dinikmati oleh rakyat dan negara?

Bidang pertanian sudah tidak asing lagi dengan perdagangan. Kedua-duanya diusahakan bukan sahaja oleh kerajaan awal di Asia Tenggara malahan masyarakat tamadun awal seperti Tamadun Mesopotamia dan Tamadun Indus. Menyedari perkaitan rapat antara pertanian dan perdagangan, kerajaan telah merangka pelan yang mampu menggalakkan eksport dan mengurangkan import . Usaha serampang dua mata ini dilihat dapat memajukan bidang pertanian dan perdagangan pada masa yang sama ibarat peribahasa sambil menyelam minum air. Hal ini demikian kerana pertanian menyediakan bekalan makanan yang mencukupi kepada negara. Lebihan daripada hasil pertanian pula boleh dieksport. Usaha ini amat wajar dilaksanakan kerana hasil statistik menunjukkan sebanyak lebih RM 30 bilion dibelanjakan negara untuk mengimport makanan dari luar negara. Tidak syak lagi, bidang pertanian ini harus dimajukan demi kestabilan ekonomi negara.

Apabila kerajaan ingin memajukan bidang pertanian, pihak swasta sudah pasti menjadi pihak yang mendapat durian runtuh. Pertanian komersial memerlukan bantuan jentera moden untuk meningkatkan produktiviti. Pihak swasta boleh merebut peluang keemasan ini untuk menawarkan penggunaan jentera berat di ladang-ladang pertanian. Selain itu, teknologi moden bolehlah dihulurkan oleh pihak swasta kepada petani yang ingin mengusahakan tanah. Dengan ini, pihak swasta boleh mendapat untung atas angin  tanpa perlu melabur di negar luar. Selama ini, golongan petani menduduki kelas terendah dalam hirarki ekonomi negara.Mereka berasa rendah diri sehingga ramai golongan muda yang berhijrah ke bandar untuk mengelak daripada mewarisi kemiskinan keluarga mereka. Namun setelah transformasi pertanian negara, petani merupakan golongan atasan dan penting dalam memacu kemajuan negara. Seyogia itu, bidang pertanian dimajukan ke taraf yang selayaknya.

Jika sebelum ini, kita lihat ramai anak muda yang berkelana ke bandar besar untuk mendapatkan masa depan yang lebih cerah, kini anak muda lebih bijak memanfaatkan peluang di kampung halaman sendiri. Situasi ini bertepatan dengan peribahasa 'hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, baik lagi di negeri sendiri'. Hal ini disebabkan oleh banyaknya peluang sehingga dapat mengurangkan kadar pengangguran yang kian merunsingkan di Malaysia. Sehubungan itu, masalah sosial, jenayah dan masalah kependudukan di bandar besar turut dapat dibasmi. Jelaslah pertanian merupakan rahmat Allah swt yang tidak ternilai dan sewajarnya kita syukuri dengan memanfaatkan sebaik-baiknya. Oleh itu, marilah kita mengerah keringat dalam membangunkan pertanian demi manfaat bersama.

Berbicara soal nikmat, kita tidak lari daripada mengaitkannya dengan kesuburan tanih di Malaysia. Atas faktor ini , kerajaan ingin menyeru rakyat agar berbudi kepada  tanah kerana tanah tidak pernah menipu. Peribahasa tersebut menerangkan bahawa hasil pertanian yang diusahakan secara gigih pasti membuahkan hasil yang lumayan. Sejajar dengan itu, kerajaan ingin meningkatkan guna tanah ke tahap optimum dan membendung petani daripada menjual tanah pertanian kepada pemain industri. Meskipun sektor perindustrian merupakan tunjang ekonomi negara namun negara tidak seharusnya bergantung kepada satu sumber ekonomi semata-mata. Pertanian berpotensi menjadi sumber ekonomi sampingan di samping sektor perindustrian dan cari gali petroleum. Nyatalah pertanian wajar diangkat darjatnya agar setanding dengan sektor utama lain di Malaysia.

Kerajaan bukanlah hanya angan-angan Mat Jenin terhadap kemajuan sektor pertanian. Kerajaan telah membuktikan usaha mereka dari segenap sudut. Dalam bidang pendidikan, kementerian telah memperkenalkan subjek pertanian di sekolah, mempelbagaikan kursus pertanian di Institusi Pengajian Tinggi Awam serta menggalakkan setiap sekolah menubuhkan Persatuan Usahawan Tani. Hal ini dapat mendedahkan pelajar terhadap kepentingan pertanian sejak di bangku sekolah ibarat peribahasa melentur buluh biarlah dari rebungnya. Dalam bidang penyelidikan, agensi berkaitan berusaha menghasilkan benih berkualiti bagi meningkatkan mutu tanaman negara. Selain itu, kerajaan turut menawarkan pinjaman kewangan dan latihan kemahiran kepada individu yang berminat menceburi bidang pertanian. Maka izharlah bahawa kepentingan pertanian kepada rakyat dan negara. Marilah kita menyahut seruan kerajaan untuk sama-sama terlibat dalam pertanian agar manfaatnya dapat dituai apabila tiba waktunya.

No comments: