Wednesday, June 16, 2010

KARANGAN BAHAN RANGSANGAN BAHAGIAN A: MODEL SPM KERTAS 1 - PEPERIKSAAN PERTENGAHAN SEMESTER TING. 5 (JPS 2010)

USAHA-USAHA MEMBANTU ORANG KURANG UPAYA(OKU)
Setiap insan yang dilahirkan ke muka bumi ini merupakan anugerah yang tidak ternilai bagi pasangan yang baru sahaja melayari bahtera perkahwinan.Setiap makhluk ciptaan Tuhan juga dikurniakan dengan kelebihan masing-masing serta kelemahan dan kekurangan yang telah menjadi suratan takdir mereka.Kita yang dilahirkan sempurna akal fizikal tidak menyedari bahawa wujudnya Orang Kurang Upaya (OKU)dalam celahan kelompok masyarakat. Sering kali mereka disisihkan oleh masyarakat hanya kerana mereka merupakan Orang Kurang Upaya(OKU). Mengapakah hal sebegini boleh berlaku? Oleh hal demikian, kitalah yang bertanggungjawab sebagai masyarakat prihatin dalam membantu meningkatkan taraf hidup Orang Kurang Upaya (OKU) melalui usaha-usaha dan program-program yang dilaksanakan.
Inisiatif pertama yang dapat kita laksanakan bagi golongan seperti ini ialah menerusi bidang kerjaya iaitu menyediakan peluang pekerjaan kepada mereka. Walaupun mereka cacat anggota fizikal tanpa kita sedari ,mereka memiliki keistimewaan dan kelebihan yang tidak terjangkau dek akal jika hendak dibandingkan dengan manusia normal. Misalnya,terdapat golongan kurang upaya ini walaupun cacat penglihatannya,tetapi mereka mampu menghasilkan hasil kraftangan yang sangat unik. Hal ini secara tidak langsung mampu melonjakkan nama Malaysia di persada antarabangsa apabila hasil kraf tangan sebegini dipasarkan ke luar negara.Oleh hal demikian,besar peranan kita dalam menggilap bakat istimewa yang dimiliki oleh mereka.
Seterusnya, pihak kerajaan bertanggungjawab dalam menyediakan kemudahan awam bagi Orang Kurang Upaya(OKU) ini. Hal ini kerana,mereka juga mempunyai hati dan perasaan sama seperti manusia normal. Apabila keperluan mereka seperti tandas awam tidak disediakan khususnya di pusat beli-belah,mereka akan berasa kecil hati apabila disisihkan oleh masyarakat malah akan berfikir seolah-olah mereka itu hina di mata masyarakat. Di samping akan menyukarkan mereka jika hendak ke tandas dengan keadan fizikal yang tidak mengizinkan. Perkhidmatan bas awam bagi golongan kurang upaya ini juga hendaklah disediakan.Hal ini sekali gus akan memudahkan segala urusan seharian mereka . Apabila usaha sebegini terlaksana, maka tercapailah hasrat kerajaan dalam mewujudkan ”masyarakat prihatin,negara harmoni”.
Selain itu,kerajaan hendaklah menyediakan tempat dan kemudahan bagi Orang Kurang Upaya(OKU) dalam bidang pendidikan.Kita janganlah memandang kebolehan mereka dengan sebelah mata sahaja atau menganggap hal ini sebagai perkara yang remeh-temeh. Hal ini kerana tidak semestinya jika mereka itu bergelar Orang Kurang Upaya(OKU),mereka tidak mampu menjadi warga pendidik yang cemerlang. Jika mereka gigih berusaha dalam menimba ilmu di dada,tidak mustahil mereka akan menjadi insan yang cemerlang dalam membentuk anak watan Malaysia. Malah jika diimbas sejenak, manusia normal yang dikurniakan kesempurnaan akal dan fikiran banyak yang menjadi sampah masyarakat.Oleh hal demikian,seharusnya kita sebagai warga yang prihatin menyediakan kemudahan kepada mereka khususnya dalam bidang pendidikan.
Secara konklusinya,walaupun terdapat golongan Orang Kurang Upaya (OKU) dalam kalangan masyarakat kita,jika dilaksanakan usaha-usaha sedemikian,taraf hidup mereka akan lebih terbela malah akan mendapat tempat dalam kalangan masyarakat hari ini.

KARANGAN PELAJAR: NORAZWANI SMKHK (5s1) 2010

2 comments:

Anonymous said...

cikgu pembetulan.. NUR AZWANI :D

NORAZA AZIZ said...

ye ke...anak ckgu yg tlg taipkan..sorry nanti dbetulkan ejaannya..