LANGKAH-LANGKAH MENGATASI JENAYAH DI NEGARA KITA
Dalam menyingkap tabir alaf baharu dan dalam proses menongkah arus globalisasi yang pantas bertolak bagai ketil dibelut ekor ini, hampir saban hari kita dimomokkan dengan berita tentang kejadian kes jenayah di negara tercinta kita ini. Contohnya, kes ragut, bunuh, rogol, penyeludupan dan sebagainya tidak pernah lekang daripada menghiasi dada-dada akhbar. Kemelut ini semakin meningkat dari setahun ke setahun. Senario ini amat menyedihkan memandangkan negara kita ini kini sedang memacu arus kemodenan dan menghamparkan landasan keimanan. Yang kita riasaukan, golongan penjenayah ini akan terus lena dibuai mimpi-mimpi enak. Ada yang dalam kalangan mereka masih tidak berhala tuju dalam kehidupan mereka. Oleh itu, haruslah kita menyelami, apakah faktor-faktor berlakunya kejadian-kejadian jenayah ini dan jalan penyelesaian yang mesti dipraktikkan?
Kita harus menerima lumrah kehidupan. “Keruh air di muara pasti bermula dari hulunya.” Khazanah kata warisan bangsa ini membawa takrif setiap permasalahan yang berlaku pasti mempunyai punca-puncanya. Memang tidak dapat kita nafikan bahawa, peranan rakan-rakan amat penting dan signifikan. Setahu kita, kes-kes jenayah biasanya dilakukan oleh sekumpulan penjenayah dan jarang-jarang sekali oleh individu atau orang perseorangan. Golongan ini terlalu mempercayai kata-kata rakan mereka. Mereka telah berkongsi pengalaman, meluahkan isi-isi hati kepada rakan-rakan mereka yang sepatutnya menjadi peranan ibu bapa. Mereka menganggap rakan-rakan mereka sebagai pengaruh yang terbaik kerana persahabatan mereka rapat bagai isi dengan kuku. Namun, anggapan ini adalah tidak benar. Ada antara mereka berpegang pada falsafah “siapalah kita tanpa rakan” sebagai prinsip kehidupan. Maka, jika golongan ini diajak atau disuruh oleh rakan-rakan bagi melakukan kes-kes jenayah seperti merogol, meragut dan sebagainya, mereka akan terus mengikut telunjuk umpama kerbau dicucuk hidung tanpa berfikir panjang.
“Jikalau tiada angin, masakan pokok bergoyang.” Golongan penjenayah ini masih menghanyutkan diri dan jauh daripada jangkauan kemuliaan dan keimanan akibat pegangan agama mereka yang goyah. Iman golongan ini yang senipis kulit bawang telah menyebabkan mereka kehilangan tujuan kehidupan. Mereka tidak tahu membezakan yang mana intan dan yang mana kaca. Oleh itu, mereka akan melakukan pelbagai kesalahan yang bertentangan dengan ajaran agama Islam dan Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan. Mereka membiarkan unsur negatif menerajui fikiran mereka dan terus melakukan perkara yang tidak berperikemanusiaan. Akibat pegangan agama yang goyah, mereka tidak sedar bahawa kes-kes jenayah yang diperlakukan oleh mereka telah banyak mengancam dan merunsingkan minda segenap lapisan masyarakat. Pernahkah terlintas di dalam sanubari mereka bahawa kesalahan mereka sangat kejam dan dibenci? Tidak, kerana mereka tidak mengamalkan ajaran-ajaran agama Islam sebagai prinsip kehidupkan mereka! Tuntasnya, faktor ini amat berpengaruh dalam permasalahan ini dan harus dibanteras hingga ke akar umbi.
Pepatah Melayu berkata “kerja baik harus disegerakan.” Kerajaan harus menjalankan pelbagai usaha bagi menyelesaikan dan membanteras masalah ini sehingga ke akar tunjang. Kerajaan harus giat menganjurkan pelbagai kempen kesedaran tentang kes jenayah. Ceramah-ceramah motivasi juga harus banyak diadakan demi membentuk ahli masyarakat supaya tidak terpesong akibat dipengaruhi unsur-unsur negatif. Pihak berkuasa juga mestilah memperkenalkan akta-akta atau undang-undang serta hukuman yang akan dikenakan kepada penjenayah. Dengan ini, barulah mereka akan takut dan hormat kepada undang-undang dan banyak membuat pertimbangan sebelum melakukan kes jenayah.
Selain itu, orang kata “Bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi.” Oleh hal yang demikian, kita selaku rakyat jelata harus sentiasa menyahut seruan kerajaan dengan banyak melibatkan diri dalam kempen ataupun ceramah yang berkaitan dengan kejadian jenayah ini dengan aktif. Kita juga boleh menyeru rakan-rakan atau saudara-mara kita supaya dapat menyumbang kepada projek kerajaan yang memerlukan kerjasama kita. Kita janganlah bersikap bagai enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing dan seharusnya membanting tulang empat kerat dalam projek ini. Dengan adanya sahutan daripada rakyat, usaha kerajaan pasti akan berjaya dan berkesan.
Selain itu, akar umbi permasalahan ini mesti dicari gali dan diselami secara teliti. Dengan ini, sistem perundangan harus diberi nafas baharu. Undang-undang harus dikuatkuasakan dan hukuman-hukuman atas si pesalah juga mesti diberatkan. Hukuman mati mandatori mesti diperketat agar penjenayah yang tidak berperikemanusiaan mendapat balasan yang sepatutnya. “Berbuat baik dibalas ganjaran, berbuat jahat bibalas hukuman.” Dengan ini, si pesalah tidak berani melakukan kes jenayah dan seterusnya mengurangkan peratusan kes jenayah di nusa tercinta ini. Berpaksikan pernyataan di atas, si pesalah haruslah ingat bahawa, barangkali mereka boleh lari daripada hukuman dunia, tetapi tetap tersungkur di pintu neraka.
Akhirnya, peranan ibu bapalah yang terpenting dalam usaha pembanterasan kes jenyah ini. Bak kata pepatah, “melentur buluh, biarlah dari rebungnya.” Ibu bapa harus memberi bimbingan positif kepada anak-anak mereka sejak kecil. Anak-anak diibaratkan kain putih yang harua dicorakkan oleh ibu bapa. Oleh itu, ibu bapalah yang berperanan mencorakkan kain putih ini sama ada mewarnakannya atau menghitamkannya. Ibu bapa mestilah menunjukkan suri teladan yang cukup baik di samping membimbing anak-anak mereka bagai menatang minyak yang penuh. Anak-anak yang bakal menjadi tiang negara dan berdarah muda mestilah diberi ajaran agama yang akan memimpin mereka ke landasan keadilan dan kemuliaan. Wahai anakku, sudah terang lagikan bersuluh, peranan ibu bapa dalam membentuk jiwa anak-anak bangsa adalah terpenting dan paling efektif!
Natijahnya, andai kata kita menyingkap lembaran sejarah Malaysia, setiap permasalahan yang dihadapi akan dapat diselesaikan dengan penggemblengan kudrat antara pelbagai pihak. Begitu juga dengan usaha menyelesaikan masalah kes jenayah yang lama mengacaubilaukan minda segenap lapisan masyarakat kita. Usaha-usaha ini haruslah dijalankan dengan drastik “bagai menarik rambut di dalam tepung, rambut tidak putus, tepung tidak berselerak.” Pendekatan-pendekatan ini haruslah banyak dipraktikkan dan bukan sekadar “hangat-hangat tahi ayam” atau “melepaskan batuk di tangga.” Pendek kata, selaku anak-anak Malaysia, marilah kita bersama-sama membulatkan tenaga dan azam kita supaya menangani masalah kes jenayah ini!
RUJUKAN: BLOG CIKGU TAN
Disediakan oleh pengunjung blog Cikgu Tam
kianyiing-0502@hotmail.com
Pada Pukul 14:13 Dimuatnaikkan oleh CIKGU TAN C L 0 Komen
No comments:
Post a Comment