Thursday, December 31, 2009

Minda: Memperkasa azam tahun baru

MEMPERKASA cita-cita dan memperbaharui azam biasanya dilakukan pada setiap kali tahun baru. Dalam usaha memperkasa cita-cita, semangat dan keazaman terus dipertingkatkan demi kebaikan diri, keluarga, masyarakat dan negara.

Setiap cita-cita yang ingin dicapai sudah tentu mempunyai halangan dan cabaran. Bagi seseorang yang bersifat dinamik dan kreatif, halangan dan cabaran itu adalah alat pendorong untuk mencapai kemajuan, bukan sebagai alasan untuk tidak berusaha.

Banyak bukti kejayaan bermula daripada usaha yang bersungguh-sungguh walau dalam apa bidang sekalipun.

Secara jelas, cita-cita memerlukan perjuangan. Perjuangan pula memerlukan pengorbanan dan pengorbanan memerlukan keteguhan hati. Dalam usaha memperkasa cita-cita setiap pelajar atau remaja mestilah membulatkan tekad dengan hanya satu cita-cita yang unggul supaya dapat dilaksanakan dengan tujuan menepati sasaran.

Semua perbuatan ke arah memperkasa cita-cita mestilah bergantung pada niat. Oleh itu, niatkan perbuatan ke arah mencapai cita-cita murni demi kebaikan diri, orang lain dan masyarakat. Sesuatu niat yang baik sudah pasti akan direstui Tuhan untuk mencapainya.

Beberapa tokoh Barat seperti Mark Twain menjelaskan, peliharalah cita-citamu dengan baik kerana apabila cita-cita padam sama ertinya dengan mati.

Dante pula menyatakan hidup akan sunyi apabila manusia tidak mempunyai cita-cita, manakala Goethe menegaskan, wujudkan cita-citamu walaupun hanya dalam angan-angan, kerana begitu kuatnya angan-angan akan memaksa seseorang mencapai cita-cita.

Islam juga sangat menitikberatkan umatnya mempunyai cita-cita unggul demi kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat. Hal ini pernah dijelaskan bijak pandai Muslim, iaitu bencana paling besar adalah putusnya cita-cita. Hidup tanpa cita-cita umpama rumah tidak berjendela menyebabkan penghuninya mati kelemasan.

Imam Abu Hanifah pernah menjelaskan, cita-cita perlu bagi manusia yang hidup. Manusia yang tidak bercita-cita bukanlah sebenarnya dia hidup, tetapi itu adalah kematian kerana manusia yang tidak mempunyai cita-cita sudah mati batinnya dan kematian batin adalah sama dengan hidup dalam kubur.

Justeru, manusia yang memiliki cita-cita tidak kenal istirahat. Dia akan sentiasa berusaha dan bekerja bersungguh-sungguh untuk merealisasikan cita-cita.

Untuk mencapai cita-cita banyak kesusahan dan penderitaan mesti ditempuh. Ini dijelaskan Ibnu Khaldun yang menyatakan, menderita sebenarnya jauh lebih baik sekiranya bercita-cita kerana ada imbalannya daripada menderita berpanjangan tanpa cita-cita.

Oleh itu, cita-cita sebagai pelajar dan remaja adalah mengubah hati dan diri ke arah kebaikan adalah jalan terbaik menuju kemuliaan. Banyakkan ilmu dan amalan dalam hidup, mengelakkan diri daripada terjebak gejala sosial yang negatif dan merosakkan. Selain itu, memperkasa cita-cita mencapai kecemerlangan dalam pelajaran dan kehidupan.

Sebagai contoh, sahabat Rasulullah s.a.w mempunyai keazaman dan cita-cita sangat hebat. Abu Hurairah menghafal hampir seluruh hadis dan membahagi malamnya menjadi tiga iaitu untuk solat, untuk menghafal dan untuk tidur.

Ahmad ibn Hanbal harus berjalan tiga puluh ribu batu untuk mencari hadis. Dia menghafal satu juta hadis dan menulis empat puluh ribu hadis dalam kitab Musnadnya. Jabir ibn Abdullah pergi mencari satu hadis hingga ke Mesir selama satu bulan. Ibn Musayyab keluar tiga hari hanya untuk mencari jawapan suatu permasalahan.

Begitulah hebatnya orang yang berjaya melaksanakan cita-cita yang boleh diteladani pelajar dan remaja masa kini. Keadaan zaman dulu lebih sukar dan susah berbanding sekarang. Bagaimanapun, ujian kesusahan lebih memberi keazaman berbanding ujian kesenangan pada masa kini yang banyak melalaikan kehidupan.

Untuk mencapai kejayaan dalam cita-cita, pelajar dan remaja perlu menghadapi pelbagai cubaan dan ujian. Bagaimanapun, cubaan dan ujian akan dapat membentuk kedewasaan seseorang, mencabar minda, mencekalkan akal, memperbaiki akal budi, menguatkan semangat dalam menempuh liku-liku perjuangan hidup.

Bagi merealisasikan segala cita-cita, kuatkan azam dan iltizam, fokuskan perhatian pada satu perbuatan dan pekerjaan dengan tekun agar menjadi orang berjaya dalam kehidupan masa depan.

Ketelitian dalam melaksanakan sesuatu adalah jalan kejayaan. Ini disebabkan seseorang yang berjaya sangat teliti, rajin dan berterusan melakukan sesuatu.

Ibu bapa dan guru juga memainkan peranan sangat penting dalam membentuk dan memperkasa cita-cita anak dan pelajar ke arah kejayaan. Bimbingan, khidmat nasihat dan galakan dengan kata-kata semangat yang berterusan sangat berkesan bagi anak atau pelajar mencapai cita-cita.

Tanpa bimbingan dan nasihat dengan memberi semangat dan kekuatan, cita-cita hanya akan tinggal cita-cita. Perjuangan dalam kehidupan tidak akan membawa makna kepada seseorang. Kata-kata semangat akan menjadi sumber inspirasi dan bara semangat bagi menjana pemikiran ke arah kejayaan.

Pada alaf akan datang, cabaran dan dugaan untuk mencapai cita-cita lebih kuat. Ini disebabkan penduduk dunia semakin ramai, begitu juga penduduk di sesebuah negara sedangkan peluang semakin sedikit dan sukar dicapai. Segala-galanya memerlukan perjuangan dan pengorbanan berlipat ganda.

Dalam usaha memperkasa cita-cita, peribadi dan akhlak mulia mestilah diutamakan seperti amanah, ikhlas, tekun, berdisiplin, bersyukur, sabar dan adil dalam melaksanakan setiap pekerjaan. Ini akan membentuk keimanan utuh dan pelaksanaan amal ibadah berterusan.

Kejayaan sesuatu cita-cita banyak bergantung pada usaha dan semangat gigih.

Ketentuan Allah akan mengatasi segala-galanya, tetapi bagi setiap ahli masyarakat yang mempunyai cita-cita ingin maju dan berjaya dalam lapangan kehidupan, doa juga memainkan peranan agar dimakbulkan segala cita-cita yang baik.

Kesabaran dalam mencari keredaan Allah amat penting. Ketakwaan adalah kunci kebahagiaan dan puncak kepada segala cita-cita dalam kehidupan. Dalam memburu cita-cita, elakkan daripada terjebak dalam perkara yang boleh merosakkan iman dan mencemarkan hasrat murni cita-cita berkenaan.



rujukan: Harian Metro

3 comments:

adlynzamani said...

yeah,ibu saya selalu berpesan mcm ape yg cikgu tulis...perjuangan memerlukan pengorbanan,tetapi setujukah cikgu,kalau saya kata remaja zaman sekarang tidak pernah kenal erti pengorbanan dan perjuanagan?:)

Anonymous said...

pelajar zmn skrg apabila lahir ke dunia dah tersedia kesenangan di hadapan mata menyebabkan mrk tak pernah rasa perit hidup ini sebagaimana yg pernah dialami oleh ibu bapa mrk semasa mulakan hidup sbg sebuah keluarga. apa yg mrk mahu, hanya perlu meminta tanpa pernah mengetahui sama ada ibu bapa mampu atau tidak pd saat itu. dan mrk beranggapan semua keperluan mrk merupakan tanggungjawab ibu bapa menyediakan..

NORAZA AZIZ said...

memang beruntung anak-anak zaman sekarang keana segala-gala tersedia di hadapan mata. namun pengorbanan mereka dalam bentuk yang berbeza. misalnya, jika mereka melihat kawan-kawan sibuk bertukar handphone, dalam hatinya kena korbankan nafsu yang bukan-bukan itu. berkorban masa, tenaga dan wang ringgit dalam bentuk yang berbeza kerana zaman ini terlalu banyak godaan yang boleh melalaikan jiwa muda yang rapuh.