Tuesday, January 9, 2018

Skema jawapan karangan SPM 2017- Soalan Bahagian B: Nombor 3 Sebagai negara yang subur dan kaya dengan pelbagai sumber, Malaysia seharusnya menuju ke arah negara yang membekalkan makanan yang cukup kepada rakyatnya di samping mengurangkan kebergantungan kepada makanan yang diimport. jelaskan langkah-langkah yang perlu diambil untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang menghasilkan makanan yang cukup untuk rakyatya.

Soalan Bahagian B: Nombor 3
Sebagai negara yang subur dan kaya dengan pelbagai sumber, Malaysia seharusnya menuju ke arah negara yang membekalkan makanan yang cukup kepada rakyatnya di samping mengurangkan kebergantungan kepada makanan yang diimport. jelaskan langkah-langkah yang perlu diambil untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang menghasilkan makanan yang cukup untuk rakyatya.
Tugasan: Diharap calon dapat menjelaskan langkah-langkah untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang menghasilkan makanan yang cukup untuk rakyatnya.

Pada era modenasisasi ini, kekurangan sumber makanan menyebabkan Malaysia terlampau bergantung dengan produk makanan yang diimport dari luar negara seperti beras yang diimport dari Thailand, daging lembu dari Australia dan New Zealand serta  kentang dari China. Perkara ini berlaku walaupun negara kita sebenarnya adalah sebuah negara yang kaya dengan sumber asli dan tanahnya yang subur. Persoalannya mengapa? Hal ini demikian kerana faktor-faktor seperti wujudnya tanah kosong yang tidak diusahakan, kemunduran teknologi yang digunakan, keengganan golongan belia terlibat dalam bidang pertanian serta kekurangan baka haiwan ternakan dan tumbuh-tumbuhan yang berkualiti serta tahan penyakit di negara kita. Oleh itu, langkah-langkah segera harus diambil oleh pelbagai pihak termasuk kerajaan, swasta, masyarakat serta individu untuk mengatasi isu membekalkan makanan yang cukup dan mengurangkan kebergantungan kepada makanan yang diimport dari negara lain.

Inisiatif untuk mengatasi isu ini boleh diambil oleh pihak kerajaan melalui Kementerian Pertanian (MOA) dengan menggerakkan institut-intstitut di bawah naungannya menjalankan kajian bagi mencari baka haiwan ternakan, tanaman sayuran serta buah-buahan yang berkualiti, bersaiz besar, dengan ketahanan yang tinggi melawan penyakit dan ketahanan melawan serangga perosak serta ketahanan iklim Khatulistiwa yang terdapat di Malaysia. Sebagai contoh, Malaysian Agricultural Research and Development Institute (MARDI) telah menjalankan pelbagai bentuk kajian bagi menghasilkan beras yang mempunyai ciri-ciri yang berkualiti tinggi seperti ketahanan kepada penyakit dan serangga perosak serta mempunyai hasil yang banyak. Diharapkan agar institusi-institusi lain di bawah naungan MOA juga akan membuat kajian terhadap produk makanan agar isu membekalkan makanan yang cukup kepada rakyat dan mengurangkan kebergantungan kepada makanan yang diimport dapat diatasi pada masa hadapan. Sebagaimana Menteri Pertanian YB Datuk Seri Ahmad Shabery Chek perneh menyebut bahawa pertanian adalah perniagaan dan kebergantungan kepada makanan yang diimport adalah sesuatu yang tidak wajar berlaku kerana kekayaan sumber dan kesuburan tanah di Malaysia.

Bagaimanakah seorang petani yang menanam padi ingin menuai padi sekiranya sawahnya adalah sangat luas? Jawapannya mudah sahaja, dengan menggunakan alatan serta mesin yang moden seperti "Combine harvester" untuk menuai padi. Persoalannya, apakah kaitan alatan dan mesin moden kepada persoalan membekalkan makanan yang mencukupi kepada rakyat dan mengurangkan kebergantungan kepada makanan yang diimport? Perkara ini boleh dilihat apabila mesin dan alatan moden digunakan dalam aktiviti pertana akan meningkatkan produktiviti sesebuah ladang atau sawah dan menyebabkan hasil keluaran lebih tinggi dan berkualiti. sebagai contoh, penggunaan dron bagi tujuan membaja dan meracun di kawasan sawah membolehkan aktiviti pembajaan dan meracun rumpai mengambil masa beberapa minit sahaja jika dibandingkan beberapa jam dengan cara yang lama. Malah, penggunaan dron itu dapat mengurangkan risiko tanaman padi rosak akibat dipijak oleh orang yang menyembur baja dan racun. Seterusnya, pihak swasta dan syarikat yang menghasilkan alat dan mesin moden ini harus memberikan produk yang berkualiti dengan harga berpatutan agar petani mampu menyediakan sumber makanan yang mencukupi serta mengurangkan kebergantungan kepada makanan yang diimport.

Langkah yang boleh diambil oleh sesetengah individu di kota pula adalah dengan menanam sendiri sumber makanan di rumah. Konsep ini juga dikenali sebagai pertanian bandar. Mereka boleh menanam tanaman seperti sayur-sayuran bagi kegunaan keluarga masing-masing. Sebagai contoh, sebuah keluarga yang tinggal di sebuah apartmen boleh menggunakan kawasan balkoni rumah untuk menanam sayuran secara hidroponik seperti cili, kentang, bawang, sawi dan kobis. Hal ini akan dapat mengurangkan kebergantungan  kepada makanan yang diimport dari luar negara serta memastikan wujud bekalan makanan yang cukup untuk rakyat Malaysia. Selain itu, manfaat lain juga wujud dengna pertanian bandar iaitu menjadikan kawasan rumah lebih cantik, menyerap karbon dioksida di udara serta boleh menjadi aktiviti yang merapatkan silaturahim sesama ahli keluarga. Oleh itu, pertanian bandar boleh diumpamakan seperti sambil menyelam minum air kepada penghuni kota.

Bagaimana pula peranan masyarakat luar bandar membantu mengatasi masalah kebergantungan kepada makanan yang diimport? Hal ini boleh dilihat melalui cara mengusahakan tanah kosong bagi tujuan pertanian. Tanah kosong milik kerajaan akan diberikan kepada penduduk kampung untuk diusahakan sebagai sumber makanan. Tanaman yang paling sesuai ialah tanaman yang boleh memberikan hasil dalam jangka masa pendek serta jangka masa sederhana seperti sayur- sayuran kobis, sawi, lobak, kangkong dan timun. Selain sayuran, buah-buahan seperti tembikai, tembikai susu dan nanas juga sesuai kerana hasilnya boleh diambil dalam tempoh masa kurang daripada dua tahun dari tempoh penanaman. Aktiviti mengusahakan tanah lapang di luar bandar oleh penduduk kampung dapat menjadi sumber pendapatan sampingan kepada mereka dan membolehkan mereka meningkatkan taraf hidup. Perkara yang paling penting apabila tanah kosong diusahakan menyebabkan kurangnya kebergantungan kepada makanan yang diimport serta memberikan sumber makanan yang mencukupi.  Selain itu, tiada lagi golongan yang kais pagi makan pagi, kais petang makan petang akan wujud di negara kita.

Akhir sekali, peranan para belia dalam meningkatkan produktiviti pertanian adalah dengan melibatkan diri secara lebih aktif dalam sektor pertanian. Para belia pada hari ini kurang berminat terhadap sektor pertanian kerana menganggap bahawa kerja tersebut tiada kelas serta tidak memberikan pulangan yang lumayan.Perkara ini boleh diatasi dengan mengadakan program-progarm olah  kerajaan seperti ekspo dan pameran bagi mengikis pandangan negatif golongan ini terhadap bidan tersebut. Apabila para belia terlibat dalam industri pertanian, mereka akan mampu mengerahkan tenaga dan memerah otak bagi menambah baik sektor ini dngan penggunaan teknolpgi baharu seperti hidroponik, pembajaan berkomputer serta pembajaan tanaman menggunakan dron. Oleh itu, penyertaan secara menyeluruh oleh golongan belia dan remaja agar memenuhi sasaran keperluan makanan dan mengurangkan kebergantungan kepada makanan yang diimport boleh dicapai kelak.

Disisip di rambut bunga Melor,
Membaca surat diukir aksara,
Sumberya kaya tananya subur,
Majulah pertanian untuk negara.

Akhir kalam, besarlah harapan seperti dalam pantun di atas agar sektor pertanian dan perladangan di negara kita akan terus maju pada abad ke-21 ini dan diharapkan agar semua pihak yang terlibat dapat menggembleng tenaga untuk memastikan sumber makanan yang mencukupi dapat dibekalkan ke seluruh negara serta mengurangkan kebergantungan kepada makanan yang diimport pada masa hadapan. Oleh yang demikian, besarlah harapan saya agar sektor pertanian dan perladangan terus diberikan perhatian sewajarnya oleh semua pihak kerana tanpa kerjasama semua pihak adalah mustahil untuk mencapai sasaran membekalkan makanan yang mencukupi kepada rakyat dan mengurangkan kebergantungan kepada makanan yang diimport.

No comments: