Monday, August 21, 2017

Tema novel Tirani karya Beb Sabariah



Novel Tirani bertemakan kegigihan seorang wanita dalam menempuh berbagai-bagai  cabaran dan dugaan hingga berjaya dalam hidup. Buktinya  Waheeda gigih   membangunkan industri pelancongan di Sarawak dan di Cameron Highlands, Pahang. Sebagai pengusaha Chalet Tajau Emas yang baru beroperasi secara kolektif antara ahli keluarga,  Waheeda telah berusaha sedaya-upaya  mengembangkan perniagaan di bawah sektor  pelancongan itu dengan turut menyediakan pakej pelancongan yang berbentuk ekopelancongan dan agropelancongan  kepada  para pengunjung yang menginap di chalet mereka walaupun menerima saingan sengit daripada pengusaha hotel dan chalet yang lain.  

Kegigihan Waheeda dalam mengembangkan sayap perniagaannya terserlah apabila dia berani membuat pinjaman baharu untuk membeli Chalet Iwana-Iwani yang terletak di Cameron Highlands dengan  meletakkan nama yang baharu iaitu Chalet Aya-Sajinah walaupun ketika itu dia baru sahaja pulih daripada masalah kemurungan yang menghantui dirinya akibat kegagalannya dalam rumah tangga. 

Selain itu, kegigihan Waheeda juga dapat dilihat melalui permasalahan psikologinya berhubung soal kecantikan dan keinginan untuk memiliki wajah yang sempurna  hingga sanggup melakukan rekonstruksi pada bahagian kelopak mata dan hidungnya. Kegigihan Waheeda Nurlyana makin terserlah dalam cabarannya mengharungi kariernya sebagai Pegawai Perhubungan Awam di sebuah hotel ternama di Singapura dan sebagai pengusaha  di chalet kepunyaan sendiri di Matang dan di Aya- Sajinah, Cameron Highlands. 

Kegigihan Waheeda dalam membina hubungan persahabatan turut digambarkan dalam novel ini. Waheeda gigih dan bijak mendepani sikap prejudis sahabat baiknya, Bazilah yang mencemburui  hubungan   baiknya dengan tunangnya sendiri, Dr. Zahari.
Akhirnya, kecekalan Waheeda mengharungi liku-liku pahit dan manis dalam alam berumah tangga bersama dengan Zahid sehingga memperoleh seorang cahaya mata perempuan dan masalah kemurungan yang dialami akibat keretakan dalam rumah tangganya  turut diselitkan dalam novel ini.

Rujukan: Khairudin Ayip

No comments: