Tuesday, November 10, 2009

Analisis Soalan SPM (Soalan 2b)



Contoh Soalan 1

Tulis petikan di bawah semula dalam bentuk karangan biasa dengan menggunakan
cakap pindah.



Aiman : Apakah rancangan awak pada masa cuti ini, Kok Seong?



Kok Seong : Saya tidak mempunyai apa-apa rancangan.



Aiman : Kalau begitu, saya cadangkan awak mengikut saya pulang ke kampung saya.



Kok Seong : Apakah yang menarik di kampung awak?



Aiman : Di kampung saya ada sungai, kita boleh memancing di sana. Sekarang juga musim buah-buahan.






Jawapan & Ulasan

Jawapan yang Lemah Aiman bertanya rancangan Kok Seong di masa cuti ini. Kok Seong menyatakan dia tidak mempunyai apa-apa rancangan. Oleh itu, Aiman mencadangkan Kok Seong mengikutnya pulang ke kampungnya. Lalu Kok Seong bertanyakantentang keistimewaan kampung Aiman. Menurut Aiman, di kampungnya terdapat sungai dan mereka boleh memancing. Selain itu, pada masa sekarang kampungnya musim buah-buahan.



Analisis Jawapan

1. Di antara kata kerja tak transitif bertanya dengan frasa nama rancangan, kata sendi nama tentang atau akan perlu disisipkan supaya terbentuk frasa kerja tak transitif yang gramatis, iaitu bertanya tentang rancangan.



2. Kata sendi nama di digunakan untuk tempat. Untuk masa seperti masa cuti sekolah, kata sendi yang patut digunakan ialah pada. Oleh itu, frasa di masa menyalahi hukum tatabahasa dan perlu ditukarkan kepada frasa pada masa.



3. Frasa yang menunjukkan masa, iaitu cuti ini dalam cakap ajuk perlu ditukarkan kepada cuti nanti.



4. Kata bahawa mestilah diletakkan selepas kata menyatakan supaya terbentuk klausa bahawa dia tidak... yang bertugas sebagai objek kata kerja menyatakan.



5. Kata kerja transitif bertanyakan tidak perlu oleh kata sendi tentang. Oleh itu, frasa bertanyakan tentang keistimewaan perlu dibetulkan kepada bertanyakan keistimewaan.



6. Frasa yang menunjukkan masa, iaitu pada masa sekarang dalam cakap ajuk perlu ditukarkan kepada pada masa itu.



Jawapan yang Mantap

Aiman bertanya tentang rancangan Kok Seong pada masa cuti nanti. Kok Seong menyatakan bahawa dia tidak mempunyai apa-apa rancangan. Oleh itu, Aiman mencadangkan Kok Seong mengikutnya pulang ke kampungnya. Lalu Kok Seong bertanyakan keistimewaan kampung Aiman. Menurut Aiman, di kampungnya terdapat sungai dan mereka boleh memancing. Di samping itu, pada masa itu kampungnya musim buah-buahan.



Nota- Panduan untuk menukarkan cakap ajuk kepada cakap pindah.

1. Baca arahan soalan yang diberikan dengan teliti.


2. Baca ayat atau petikan yang diberikan dengan teliti dan fahami maksud keseluruhannya.


3. Tanda petik yang terdapat dalam ayat atau petikan dalam cakap ajuk mestilah tidak digunakan dalam cakap pindah. Demikian juga, tanda titik bertindih (:), jika petikan diberikan dalam bentuk dialog.


4. Pastikan juga tanda tanya (?) dan tanda seruan (!) yang terdapat dalam cakap ajuk tidak digunakan dalam cakap pindah.


5. Gunakan perkataan seperti bertanya kepada, menanyakan, meminta penjelasan, dan sebagainya semasa menukarkan ayat tanya dalam cakap ajuk kepada cakap pindah.


6. Untuk menukarkan ayat penyata dalam cakap ajuk kepada cakap pindah, gunakan perkataan seperti berkata, menjelaskan, menerangkan, memberitahu, menyatakan pendapat, dan sebagainya.


7. Pastikan ayat yang gramatis digunakan.


8. Semak jawapan anda dan pastikan tiada sebarang kesalahan ejaan dan tanda baca.



Tip

Perkara
Contoh penggunaan dalam cakap ajuk
Contoh penggunaan dalam cakap pindah

1. Tukar singkatan kepada perkataan yang lengkap.
nak ,mak ,kak ,tak
hendak

emak

kakak

tidak



2. Tukar perkataan yang menunjukkan tempat, masa, keadaan, dan sebagainya kepada perkataan yang sesuai.
begini

demikian ini ,sekarang ,esok ,di sini ,di pondok ini
begitu

demikian itu ,ketika itu ,hari berikutnya/keesokan hari ,di situ ,di pondok itu



3. Ganti kata seru kepada makna yang sesuai dengan ayat dalam cakap ajuk.
cis ,amboi ,hore ,eh ,dengan marahnya

dengan perasaan terkejut

dengan gembiranya

dengan nada hairan



4. Tukar kata ganti nama diri kepada kata ganti nama yang sesuai dengan cakap ajuk.


“Saya masib belum makan,” kata Ganesh.
Ganesh berkata bahawa dia masih belum makan.

5. Gunakan kata hubung pancangan seperti agar dan bahawa dalam cakap pindah.


“Saya tidak mahu pergi,” kata Azri.
Azri menyatakan bahawa dia tidak mahu pergi.

6. Tukar ayat daripada cakap ajuk kepada cakap pindah mengikut maksud yang sesuai.
“Moga-moga anakmu itu akan pulang,” kata Nora kepada Sazana.

“Adakah kamu akan datang esok?” tanya Encik Bakri kepada Laila.


Nora berharap agar anak Sazana akan pulang.



Encik Bakri bertanya kepada Laila sama ada dia akan datang pada hari berikutnya.



sumber: www.tutor.com.my

No comments: