Lama rasanya aku tidak update blog ini. Terasa rindu untuk berkarya, namun kekangan masa menjadikan aku alpa seketika. Cuma akhir-akhir ini kekangan masa sebagai pendidik anak bangsa begitu membatasi aku untuk mengadap komputer. maklumlah, kerja sebagai pendidik tak pernah habis rasanya. Namun, hari ini aku rasa tersentuh hati apabila anak-anak didik datang bertandang ke bilik BOSS dengan kejayaan dalam subjek BM SPM yang baru keluar keputusannya tadi.
Hari ini juga insan yang paling aku sayang dalam hidup ini akan mendapatkan rawatan selama enam minggu di Hospital Lumut, Perak. Aku relakan dia pergi agar segera pulih penyakitnya. Benarlah kata orang-orang tua, penyakit ni...datang macam ribut, nak pergi macam semut. Demikianlah kehidupan ini. Adakalanya kita diuji dengan kepayahan tetapi dalam masa yang sama masih ada kegembiraan. Cuma sifat manusia sekeliling yang kadang-kadang tidak memahami apa yang bersarang dalam perasaan kita menyebabkan kita terasa hati. Tapi, aku tak mengalah kerana inilah makna sebuah kehidupan yang sarat dengan cabaran. Sebenarnya, cabaran itulah yang tambah membakar semangat aku untuk maju ke hadapan. Biarlah persepsi manusia yang berbeza itu menjadi warna-warna kehidupan.
No comments:
Post a Comment