Awalan me-
Oleh Muhammed Salehudin Aman
Seorang pemimpin siasah kawasan menasihati anggota partinya dengan berkata, antara lain, “… Kita perlu mempastikan parti kita sentiasa kuat…” Isu yang hendak saya bicarakan kali ini ialah kata mempastikan. Kata terbitan mempastikan terbit daripada gabungan awalan me- dengan kata dasar pasti.
Awalan me- ialah awalan pembentuk kata kerja aktif, sama ada transitif atau tak transitif. Awalan me- sekeluarga dengan awalan-awalan mem-, men-, meng- dan menge-. Huruf pertama kata dasar akan menentukan adakah bentuk awalan me- tetap sebagai me- atau berubah menjadi varian mem-, men-, meng-, atau menge-.
Tulisan ini hanya menyentuh awalan me-. Varian mem-, men-, meng- dan menge- tidak akan dihuraikan.
Awalan me- ini tetap sebagai me- apabila bergabung dengan kata yang bermula dengan huruf-huruf l, m, n, ng, ny, r, w, dan y. Contohnya:
me + lamar = melamar
me + masak = memasak
me + nanti = menanti
me + nganga= menganga
me + nyala = menyala
me + rancang= merancang
me + wangi = mewangi
me + yakin + kan = meyakinkan
Jelaslah, anggapan sesetengah orang bahawa kata terbitan menganga, menyala, diawali awalan meng-, dan meny-, kerana jika dipecahkan kedua-dua kata terbitan itu kepada awalan, dan kata dasarnya, maka bentuk yang wujud ialah “meng + anga”, dan ”meny + ala”. Tidak ada kata bahasa Melayu anga dan ala, melainkan nganga dan nyala. Satu perkara lagi imbuhan meN- tidak mempunyai varian “meny-” melainkan “me-”. Huruf “ny” merupakan hasil luluhan huruf “s” sebagai huruf pertama pada kata dasar yang menerima awalan me- (me + suluh = menyuluh).
Awalan me- akan tetap sebagai me- juga apabila diimbuhkan pada kata dasar yang bermula dengan huruf-huruf k, s, p dan t. Dalam hal awalan me- yang bertemu dengan huruf-huruf k, s, p, dan t di awal kata dasar ini, huruf-huruf ini berubah menjadi bentuk yang sengau yang sama daerah artikulasi atau daerah sebutannya.
Huruf k sebagai huruf pertama kata dasar bertukar menjadi ng, huruf s bertukar menjadi ny, huruf p bertukar menjadi m, dan huruf t bertukar menjadi n. Contohnya:
me + karang= mengarang
me + salin = menyalin
me + pakai = memakai
me + tuduh + menuduh
Jadi, berdasarkan rumus morfofonem di atas, jelaslah bentuk kata mempastikan tidak betul. Bentuknya yang tepat ialah memastikan, kerana huruf p di awal kata dasar pasti akan luluh dan menjadi m, yakni huruf sengauan dua bibir.
Namun demikian, terdapat beberapa perkataan bahasa Melayu yang bermula dengan huruf k, p dan t ini terkecuali daripada peraturan di atas. Oleh sebab perkataan-perkataan demikian itu kecil bilangannya, maka bentuk demikian dianggap kecualian. Antara contohnya:
mengkaji
mempelopori
mempelawa
mempercayai
mempunyai
mempedulikan
menternak
mentertawakan
Kata mengkaji berbeza maknanya dengan kata mengaji. Mengkaji bermaksud menyelidiki, manakala mengaji bermakna membaca (al-Quran), atau belajar. Kata terbitan mengkaji terbentuk daripada gabungan awalan meng- dengan kata dasar kaji meng + kaji, bukan me + kaji. Jika daripada bentuk me + kaji, akan terbit kata mengaji; tetapi daripada pola meng+ kaji, terbit kata mengkaji.
Kata-kata mempelopori, mempelawa, mempercayai, mempunyai, mempedulikan, sebenarnya, terbit daripada proses pengimbuhan mem- dengan kata dasar pelopor(i), pelawa, percaya(i), punya(i), dan peduli(kan). Sebaliknya, jika semua kata yang tersebut itu mematuhi peraturan peluluhan k s p t bertemu dengan me- akan terbitlah bentuk-bentuk kata terbitan yang salah seperti *memelopori, *memelawa, *memercayai, *memunyai dan *memedulikan. Alangkah ganjilnya dan janggal bunyinya.
Tentang kata menternak dan mentertawakan, varian me- yang bergabung dengan kata dasar ternak dan tertawa ialah varian men-; dan sekiranya kata dasar ternak dan tertawa akur pada rumus morfofonem, maka wujudlah bentuk kata terbitan *menernak, dan *menertawakan yang sungguh ganjil dan janggal bunyinya.
Begitulah huraian tentang awalan me-, iaitu salah satu varian imbuhan meN-. Semoga penjelasan ini ada manfaatnya kepada kita.
DAFTAR MASUK
Nama Pengguna :
Kata Laluan :
> Daftar Keahlian
> Lupa Kata Laluan
> Soalan Lazim (FAQ) [ Hotline : 03 - 7955 5577 ]
IKLAN@TUTOR
USIK-USIK
CARIAN
No comments:
Post a Comment