Panduan penting menduduki peperiksaan
Walaupun musim peperiksaan masih jauh tetapi persediaan awal amat penting untuk mengelakkan kegelisahan dan panik pada saat-saat akhir. Petua berikut mampu membantu anda mengurangkan tekanan pada hari peperiksaan.
Masuk tidur awal dan dapatkan tidur secukupnya. Hadir awal ke tempat peperiksaan. Hal ini penting untuk mewujudkan rasa tenang, aman dan selesa. Jika terburu-buru mungkin mengganggu konsentrasi dan fokus anda.
Pastikan anda membawa alat tulis secukupnya. Jangan pinjam daripada rakan.
Sebelum menjawab sebarang soalan, pastikan anda telah membaca dan memahami setiap arahan. Jangan buat sesuka hati kerana mungkin ada sesetengah soalan yang anda perlu pilih dan tidak perlu dijawab.
Amat penting untuk mendengar dan mematuhi arahan guru bertugas di tempat peperiksaan. Maklumat yang disampaikan selalunya untuk memudahkan calon menduduki peperiksaan.
Ketika menjawab soalan objektif, ramai murid akan mula rasa ragu-ragu apabila tiga jawapan berturutan terdiri daripada abjad yang sama – walaupun sememangnya itu jawapan yang sebenar. Perang psikologi ini selalunya menyebabkan murid atau calon mula menukar jawapan semata-mata pada tanggapan mereka mustahil pemeriksa sengaja memilih A, misalnya untuk soalan 1 hingga 10. Sebenarnya boleh dan kadang kala memang dibuat oleh Lembaga Peperiksaan sebagai ujian sebenar untuk mengurangkan kemungkinan calon memperoleh markah yang tinggi secara teka-meneka sahaja.
Dalam menjawab kertas pemahaman berpandukan karangan, menjawab berdasarkan perkataan atau frasa daripada teks tidak memadai kerana tujuannya untuk menguji kefahaman calon bukan mengenal pasti perkataan.
Manakala untuk kertas penulisan, cuba guna ayat yang pendek dan mudah difahami. Elakkan penggunaan perkataan seperti kata adjektif atau kata penghubung yang menyebabkan ayat menjadi terlalu panjang. Akibatnya pemeriksa akan hilang tumpuan dan sukar memahami cerita anda.
Pastikan ada ruang antara ayat di baris atas dan ayat di baris bawahnya. Hal ini bagi memudahkan pemeriksa menyemak karangan anda.
DAFTAR MASUK
Nama Pengguna :
No comments:
Post a Comment