Tuesday, March 3, 2009

ISU PELAJAR SAMSENG

ISU pelajar samseng atau gengsterisme di sekolah bukan baru. Malah, saban tahun, ada saja kes pergaduhan membabitkan pelajar. Malah, jika menatap akhbar sepanjang minggu lalu, banyak kes membabitkan pergaduhan pelajar sehingga menyebabkan kecederaan dan kematian.
Terbaru, seorang pelajar tingkatan empat meninggal dunia selepas seminggu koma akibat dibelasah sekumpulan 24 remaja yang dipercayai pelajar sekolah.Apakah ini trend pelajar masa kini, hanya berebut seorang gadis, pelajar terbabit dipukul dengan besi, topi keledar dan pengunci motosikal selain ditendang tanpa belas kasihan.Ada pula pengawas sekolah dibelasah 10 pelajar berikutan tidak puas hati ditegur ketika membuat bising di dalam kelas dan kereta baru guru sebuah sekolah dibakar kerana ditegur tidak menyiapkan kerja sekolah.Walaupun masih berhingus, jangan terkejut jika pelajar sekolah mempunyai kumpulan atau geng tertentu untuk melakukan huru-hara.Mengapa fenomena sedemikian boleh berlaku. Tidak cukupkan pendidikan agama dan moral yang mereka pelajari di sekolah dan di rumah?Apa yang mereka mahu sehingga sanggup terbabit dengan kes yang membawa kepada kematian. Adakah mereka ini jahat, ingin menunjukkan mereka punya kuasa atau mahu menarik perhatian masyarakat?

Pensyarah Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling Universiti Malaya, Profesor Dr Suradi Salim, berkata pelajar yang terbabit dengan samseng sekolah ini bukan jahat tetapi ingin menunjukkan mereka kuat dan punya kuasa.Beliau berkata, seseorang pelajar yang terbabit dengan samseng sekolah ini akan berasa selamat dan bangga kerana mereka digeruni pelajar lain."Sebagai pelajar, mereka punya naluri untuk menjadi seorang yang digeruni dan dikenali di sekolah."Selain menjadi pelajar cemerlang, seseorang itu akan menjadi terkenal di sekolah kerana masalah disiplin yang dilakukan. Inilah yang mereka mahukan."Pergaduhan juga boleh membuktikan mereka adalah kumpulan yang kuat dan berasa setiap tindakan dilakukan adalah benar. "Ia juga satu cara untuk memberi pengajaran kepada sesiapa yang menimbulkan masalah kepada kumpulan samseng sekolah ini dan simbol kekuatan kumpulannya," katanya.Namun, ada sesetengah pelajar yang menyertai kumpulan samseng sekolah hanya untuk menjaga keselamatan diri sendiri.Ini kerana, semangat setia kawan kumpulan samseng pelajar ini kuat dan apabila seorang ahlinya diganggu pelajar lain, mereka akan sedaya upaya mempertahankannya dan itulah punca yang mencetuskan pergaduhan.

Dr Suradi berkata, masalah samseng sekolah ini bukan saja disebabkan ingin menunjukkan kekuatan tetapi dipengaruhi pelbagai faktor lain terutama faktor keluarga dan persekitaran."Setiap masyarakat terutama di negara kita punya cara tersendiri dalam menyelesaikan sesuatu masalah. Ada yang menyelesaikan masalah dengan cara baik dan apa pula yang menggunakan kekerasan."Kemungkinan pelajar yang terbabit dengan samseng sekolah ini datangnya daripada keluarga dan tempat tinggal yang menjadikan keganasan sebagai cara menyelesaikan masalah. "Apa yang mereka lihat, ia sedikit sebanyak mempengaruhi tindakan mereka ketika berhadapan dengan masalah," katanya.Di samping itu juga, pengaruh daripada media massa salah satu faktor yang menjadi penyebab masalah samseng sekolah ini.Jika diperhatikan, kebanyakan drama atau filem yang disiarkan di kaca televisyen sering menunjukkan setiap babak pertelingkahan akan diakhiri dengan pergaduhan.Walaupun masalah ini bukanlah perkara baru, tindakan sewajarnya perlu diambil agar masalah keganasan samseng sekolah ini dapat diselesaikan.Oleh itu, Dr Suradi berkata, bagi menyelesaikan masalah ini, kaunseling bukanlah jalan terbaik sebaliknya mereka ini perlu mengikuti program psikologi."Biasanya, masalah disiplin pelajar akan dirujuk kepada sesi kaunseling tetapi bergantung kepada keadaan kes."Mereka ini bukanlah bermasalah tetapi pembawa masalah. Oleh itu, kaunseling bukanlah jalan yang terbaik dalam mengatasi masalah samseng sekolah ini."Melalui psikologi, kita menggunakan program 'Intervensi Psikologi' untuk membawa pelajar ke pangkal jalan," katanya.Intervensi Psikologi akan mendedahkan pelajar dengan program yang dapat membantu mereka lebih matang dan menjauhkan diri daripada kekerasan dan keganasan.Sementara itu, Mohd Firdaus (bukan nama sebenar) yang pernah terbabit dengan kumpulan samseng sekolah lapan tahun lalu berkata, seseorang pelajar itu tidak akan bertindak ganas jika tidak dicabar pihak lain.Menurutnya, sebagai remaja, kekuatan dan kuasa penting dalam kehidupan terutama di sekolah. Justeru jika terbabit dengan kes pergaduhan, ia memberikan satu kepuasan dan kebanggaan."Biasanya, sesuatu pergaduhan tercetus kerana dicabar pihak lawan ataupun mereka mengusik dan mengganggu kumpulan samseng sekolah ini."Selepas cabar mencabar, sesi pertemuan yang didalangi orang tengah akan dirancang dan di situlah pergaduhan tercetus," katanya.Menurut Mohd Firdaus yang pernah dipenjara seminggu sebelum menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berkata, selepas membelasah pihak lawan, tidak ada apa yang dirasainya kecuali kepuasan.Namun, selepas pergaduhan itu menjadi kes polis, barulah perasaan menyesal itu timbul. Oleh itu, Mohd Firdaus berharap pelajar yang baru atau terbabit dengan samseng sekolah ini meninggalkan kumpulan itu demi masa depan."Semua orang inginkan kuasa dan nampak kuat. Namun, jangan kerana mengejar kuasa itu, kita hancurkan masa depan dan menghampakan harapan orang tua kita."Jangan terlalu ikutkan darah muda yang kononnya hanya boleh dirasai sekali seumur hidup kerana ia akan merosakkan dan meninggalkan kesan mendalam sepanjang hidup," katanya.
Emel Artikel Cetak Artikel

No comments: