Bincangkan
peranan pelbagai pihak untuk memupuk semangat patriotik dalam kalangan
masyarakat di negara ini.
Zaman
berubah dan musim berlalu. Setelah sekian lama negara tercinta iaitu Malaysia
dijajah selama 446 tahun, akhirnya pada tarikh keramat iaitu tanggal 31 Ogos
1957, Tanah Melayu bebas daripada cengkaman penjajah. Ribuan rakyat ketika itu
menghela nafas lega. Tangisan kegembiraan, gelak ketawa dan duka menghiasi
suasana ketika itu. Laungan “Merdeka! Merdeka! Merdeka!” oleh Perdana Menteri
Pertama Malaysia yang juga dikenali sebagai Bapa Kemerdekaan Tunku Abdul Rahman
Putra al-Haj menyapa telinga, kedengaran begitu
bersemangat. Penantian mereka bukan sekejap, sebaliknya memakan masa
berabad-abad lamanya. Dalam tempoh itu, entah berapa ramai rakyat yang
terseksa, dipancung, dirogol dan dijadikan hamba oleh penjajah yang sadis lagi
tidak berperikemanusiaan. Berapa ramai pula pejuang negara yang terkorban demi
satu matlamat untuk mencapai kemerdekaan. Bersyukur kapda Allah swt, sekarang
Malaysia sudahpun merdeka selama 59 tahun. Meskipun Malaysia sudah merdeka
selama lebih daripada setengah abad, namun semangat patriotisme dalam kalangan
rakyat seolah-olah sudah semakin tidak relevan lagi. Manakan tidak, generasi
muda kini lahir-lahir sahaja saja, kemewahan, keamanan dan kemajuan sudah
terhidang di depan mata. Sedangkan cinta kepada Tuhan dipandang sebelah mata
apatah lagi cinta kepada negara. Sanggupkah generasi hari ini bergadai nyawa,
bermandi darah demi mempertahankan sebidang tanah? Bagi mengelakkan senario ini
terus berlaku, pelbagai pihak di Malaysia perlu memainkan peranan
masing-masing. Persoalannya, apakah langkah-langkah yang efektif dan pragmatik
boleh dilaksanakan oleh pelbagai pihak ini?.
Ahli
falsafah ada mengatakan bahawa segala-galanya bermula dari rumah. Pernyataan
ini jelas menunjukkan bahawa institusi
kekeluargaan berperanan untuk memupuk semangat patriotik dalam kalangan
masyarakat terutamanya anak-anak. Ibu bapa perlu menjadi suri teladan yang terbaik
untuk anak-anak contohi sebagaimana peribahasa bapak borek, anak rintik. Ibu
bapa boleh mengambil alternatif untuk mengibarkan Jalur Gemilang di sekeliling
rumah atau di sekitar kawasan taman perumahan. Pastinya anak yang setahun
jagung setampuk pinang akan mengikut langkah murni ibu bapa mereka. Amalan yang
dipraktikkan oleh ibu bapa pasti lama-kelamaan akan diteladani anak-anak kerana
bagaimana acuan, begitulah kuihnya. Anak-anak juga akan mengibarkan Jalur
Gemilang akhirnya tanpa disuruh-suruh kerana melentur buluh biarlah dari
rebungnya. Bukan itu sahaja, ibu bapa juga tidak boleh menyertai sebarang
demontrasi, atau tunjuk perasaan terhadap negara. Bagaimana mahu menanam
semangat patriotik dalam jiwa anak-anak, jika ibu bapa sendiri tidak menjiwai
erti patriotism .Hal ini tidak ubah seperti ketam mengajar anaknya berjalan
betul sedangkan diri sendiri tidak betul. Oleh itu, ibu bapa berperanan
menyuntik semangat patriotik dalam jiwa anak-anak sejak mereka kecil lagi.
Fokus
perbincangan seterusnya ialah peranan
media massa. Tidak dinafikan bahawa anak watan yang hidup dalam era
pascamerdeka ini telalu selesa dengan dunia yang didiami. Sedarkah mereka
bahawa kehidupan pada zaman ini menuntut semangat patriotisme yang tinggi
memandangkan ada sebahagian daripada penghuni dunia ini sedang dilanda oleh
ledakan kemajuan globalisasi dan informasi maklumat.. Media massa menjadi
sahabat karib kepada masyarakat. Telefon pintar, tabloid, televisyen dan radio
merupakan peneman kehidupan seharian masyarakat. Seiring dengan itu, pihak
penyiaran memainkan peranan menyiarkan iklan-iklan kesedaran, filem-filem patriotik
seperti Bukit Kepong, Paloh, Embun dan
Sarjan Hassan bukan sahaja memberi pengajaran dan teladan malah sarat dengan
nilai keinsafan tentang peri pentingnya erti
merdeka kepada sesebuah negara. Sepatutnya filem patriotik ini perlu
ditayangkan setiap minggu dalam slot siaran televisyen bukannya dua atau tiga
minggu sebelum hari kemerdekaan. Filem lakonan P. Ramlee boleh ditayangkan
setiap minggu, masakan filem perjuangan nasionalis Tanah Melayu tidak boleh
ditayangkan. Menerusi tayangan sebeginilah, rakyat Malaysia akan terdetik
dengan semangat pejuang kemerdekaan mempertahankan tanah air daripada cengkaman
penjajah. Lagu-lagu berunsur patriotik seperti Inilah Barisan Kita, Bahtera
Merdeka, dan Warisan harus dimainkan di corong-corong radio. lagu-lagu tersebut
bukan sahaja mampu memberi penghayatan tetapi dapat menanam sikap cinta akan negara
dalam jiwa generasi muda kini yang telalu hanyut dengan budaya Barat. Jelaslah bahawa, media massa antara medium
utama pemupukan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat.
Memetik
warkah nirmala seterusnya, pihak
kerajaan turut tidak terkecuali dalam misi membentuk rakyat yang
bersemangat patriotik. Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) antara inisiatif
kerajaan dalam usaha pemupukan patriotisme dalam kalangan rakyat. Program ini
telah dilaksanakan pada 16 Februari 2004 dengan objektif melahirkan remaja yang
bersemangat patriotik, berkeyakinan tinggi, cerdas dan cergas. Program ini juga
dianggap sebagai satu platform permulaan agenda nasional terhadap remaja.
Terdapat pelbagai modul program yang diaplikasikan kepada para pelatih. Salah
satunya ialah modul kenegaraan. Modul kenegaraan ini dianggap sebagai tunjang
program ini dengan objektif untuk melahirkan remaja yang bersemangat waja dan
cinta akan negara. Pihak kerajaan telah mewajibkan remaja lepasan SPM menyertai PLKN yang akan diadakan selama tiga
bulan. Hal ini membuktikan bahawa kerajaan optimis untuk melahirkan generasi
yang sanggup menggadaikan nyawa demi negara bukannya menggadaikan maruah
merosakkan imej Malaysia.
Seterusnya,
mari kita capahkan skop perpincangan kita bawah kata kunci pihak sekolah. Pihak sekolah memainkan peranan melalui pemerkasaan
subjek Sejarah. Ya, subjek Sejarah merupakan wadah untuk penerapan nilai
patriotik dalam kalangan rakyat Malaysia . Subjek Sejarah sarat dengan ilmu
yang berkaitan Sejarah Melayu. Pembentukan awal negara Malaysia, nama pejuang
Melayu yang menentang penjajah dan kemerdekaan dicapai melalui diplomasi
semuanya disatukan dalam subjek Sejarah. Jika dahulu para pelajar seringkali
menganggap Sejarah ialah subjek yang membosankan, namun kini peredaran masa
telah mengubah perspektif pelajar. Apatah lagi sejak Kementerian Pelajaran
Malaysia mewajibkan subjek Sejarah mesti lulus untuk kemasukan ke university.
Seiring dengan itu, mahu atau tidak para pelajar pasti akan mempelajarinya. Di
sinilah peranan pihak sekolah bermula. Guru-guru perlu membimbing para pelajar
supaya tidak mempelajari sejarah hanya untuk lulus peperiksaan semata-mata, tetapi untuk pedoman dalam diri supaya pisang
tidak berbuah dua kali memandangkan merekalah yang akan memimpin negara ke
pentas dunia suatu hari nanti bak kata pepatah pemuda harapan bangsa, pemudi
tiang negara.
Segala
usaha yang dinyatakan tidak akan membuahkan hasil jika diri individu itu sendiri tidak ada
inisiatif untuk menanam semangat patriotisme dalam diri . Berdiri tegak ketika
menyanyikan lagu kebangsaan merupakan langkah yang perlu dititikberatkan oleh
seorang rakyat Malaysia. Sebagaimana yang dapat kita lihat, berapa ramai rakyat
Malaysia yang berdiri tegak dan menyanyikan lagu dengan penuh semangat saat
Lagu Negaraku dimainkan? Ada antara mereka yang masih bergoyang-goyang tubuh
badan, bergurau senda, bergelak ketawa dengan rakan-rakan walaupun lagu Negaraku
sedang dimainkan. Semangat patriotisme pastinya semakin luntur dalam diri.
Penghayatan mereka terhadap lagu kebangsaan semakin terhakis dek sikap
individualistik dan materialistik. Oleh sebab itulah, seseorang itu perlu
mengubah cara mereka berdiri tegak serta menyanyikan lagu tersebut dengan
semangat dan penghayatan sambil mengenang kembali jasa-jasa dan pengorbanan
pejuang kemerdekaan.
Akhirulkalam,
semua pihak perlulah cakna dan bekerjasama bagai aur dengan tebing dengan
menggembleng seluruh tenaga dan berkongkalikung bagi menjayakan misi membentuk
rakyat yang bersemangat patriotik. Setiap usaha tersebut haruslah konsisten,
bukan sekadar melepaskan batuk di tangga. Kita sewajarnya menghargai jasa nenek
moyang kita agar tidak menjadi kacang lupakan kulit malah George Santayana ada
menukilkan kata-kata mutiara bahawa sejarah pastinya berulang kembali jika
tiada yang mengambil iktibar. Abraham Lincoln juga menyatakan bahawa semangat
patriotisme asas kepada pembentukan sesebuah negara.
Kredit kepada:
Nur Syafiqatunnisa binti Sapiee,
5 Sains 2016.
No comments:
Post a Comment