Monday, October 10, 2016

Contoh karangan pelajar SMKHK (Dimensi Antarabangsa)



Peperangan menyebabkan kemusnahan jiwa, harta benda dan tamadun.
Ulaskan pernyataan di atas.

(Rujuk soalan Peperiksaan Percubaan SBP, SPM  2016)

Apakah maksud peperangan? Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, peperangan bermaksud sesebuah negara yang mempunyai semangat imperialisme yang tinggi untuk menakluk negara lain. Mereka mahu menakluk disebabkan faktor-faktor yang mempengaruhi iaitu negara yang kaya dengan bahan mentah, kedudukan yang strategik, tanah yang subur dan sebagainya. Peperangan boleh menyebabkan banyak jiwa yang terkorban sedangkan mereka tidak berdosa. Misalnya wanita, orang tua, dan anak-anak kecil. Peperangan dilakukan oleh orang yang tiada peri kemanusiaan demi memenuhi nafsu tamak haloba mereka. Sebagai contoh pada zaman jahiliyah bagaimana peperangan berlaku sesama saudara sendiri. Mereka mempunyai semangat assabiyah yang tinggi. Konflik  bermula daripada  isu yang kecil tetapi peperangan sesama saudara tercetus sehingga 40 tahun lamanya. Dalam agama Islam, peperangan hanya boleh dilakukan andai ada musuh yang mahu menyerang. Kita tidak boleh berperang ikut kehendak hati kerana Islam telah menggariskan agar mengelakkan peperangan dan lakukanlah perdamaian.Agama Islam melarang umatnya berperang, melainkan untuk mempertahankan diri sebagaimana  peristiwa Perang Badar antara kaum Muslimin dengan kaum Quraisy yang telah diketuai oleh Abu Jahal kerana mahu membunuh nabi Muhammad SAW dan pengikut-pengikut baginda.  Peperangan boleh menyebabkan hak manusia tergugat seperti hak untuk mendapatkan kehidupan yang tenang.  Peperangan berlaku kerana dalam hati mereka mempunyai sifat mazmumah seperti perasaan hasad dengki dan tamak untuk memiliki kekayaan dengan cara kejam demi kepentingan diri mereka sendiri. Pada zaman nabi Muhammmad SAW, baginda telah memeterai suatu perjanjian Hudaibiyah walaupun ditentang oleh Umar al-Khattab tetapi baginda seorang yang bijaksana kerana bagi baginda, keamanan itu lebih baik daripada peperangan. Oleh itu, janganlah kita menjadi orang yang zalim sedangkan kita telah diajar nilai-nilai murni sejak kecil lagi. Persoalannya apakah kesan peperangan kepada dunia?


Antara kesan peperangan kepada dunia ialah kemusnahan besar harta benda persendirian dan harta benda awam. Peperangan boleh menyebabkan harta benda rosak akibat runtuhan bangunan yang telah dibom. Contohnya hospital yang merupakan tempat pesakit mendapatkan rawatan boleh runtuh mengakibatkan pesakit akan terus terseksa dan boleh membawa maut jika tiada ikhtiar untuk memulihkan keadaan seperti sedia kala. Kemudahan seperti peralatan perubatan untuk merawat pesakit akan musnah sekelip mata sehingga mengakibatkan pesakit mati tanpa mendapatkan rawatan yang sepatutnya. Mari kita ambil contoh di negara Palestin yang sentiasa diserang oleh Israel. Setiap saat akan berlakunya pengeboman oleh tentera Israel yang zalim lagi tidak berperikemanusiaan. Pengeboman yang dilakukan bukan sahaja ditujukan kepada manusia bernyawa malahan kepada rumah ibadat orang Islam iaitu Baitulmaqdis. Tanpa rasa belas kasihan mereka mengebom, membunuh anak-anak kecil yang tidak berdosa malahan menyembelih kaum ibu yang cuba mempertahankan anak-anak mereka yang masih kecil, mengurung atau memenjarakan kaum lelaki tanpa sah sehingga terpisah sebuah keluarga selama bertahun-tahun. Kezaliman mereka kian terserlah apabila sanggup merogol wanita-wanita Palestin yang tidak berupaya untuk mempertahankan diri daripada kezaliman tentera Israel. Malahan, anak-anak kecil ditembak dengan harapan tidak akan lahir golongan pemuda yang akan berjuang untuk membebaskan bumi Palestin daripada cengkaman Israel. Mereka juga ingin menghapuskan golongan wanita secara perlahan-lahan agar tidak akan lahir generasi Palestin yang berjiwa kental. Sungguh malang nasib mereka kerana peperangan menyebabkan golongan yang tidak berdosa menjadi mangsa pembunuhan kejam.  Rentetan daripada peperangan yang tidak henti-henti, banyaklah harta benda persendirian, sekolah, rumah ibadat, tanaman, binatang peliharaan dan tempat tinggal musnah. Peperangan menyebabkan berlakunya kerugian berbilion-bilion dollar Amerika sebagaimana peperangan yang berlaku antara Amerika dengan Jerman. Jika sesebuah negara itu hancur, proses untuk membangunkan semula negara itu memakan masa berpuluh-puluh tahun. Jadi, kita mestilah menghargai kemerdekaan tanah air yang sedang kita nikmati sekarang. Jelaslah bahawa peperangan boleh mengakibatkan kemusnahan terhadap harta persendirian dan harta awam.

Selain itu, kesan peperangan kepada dunia ialah berlakunya peningkatan pelbagai masalah sosial. Hal ini demikian kerana kesan peperangan boleh mengakibatkan tekanan perasaan terutama dalam kalangan kanak-kanak. Mereka masih lagi belum memahami situasi yang sedang bergolak di sesebuah negara tetapi tempias peperangan terjadi kepada mereka yang masih kecil lagi. Kesan peperangan menyebabkan pembangunan sumber manusia pada masa hadapan terjejas. Kerajaan terpaksa menangguhkan projek pembangunan untuk rakyat kerana dana yang dimiliki oleh kerajaan tidak mampu menanggung kos pembangunan negara. Oleh hal yang demikian, kebajikan rakyat akan terabai dan mengakibatkan berlakunya gejala sosial seperti merompak, menyamun, merogol dan sebagainya. Taraf hidup rakyat akan menurun akibat peperangan yang berlarutan selama bertahun-tahun. Kita ambil contoh peperangan yang sedang berlarutan di Syria. Nasib anak-anak Syria begitu malang kerana terpaksa memakan rumput untuk meneruskan kelangsungan hidup. Ada anak gadis yang tepaksa menjual marauah sebagai seorang pelacur demi sesuap nasi. Di negara Mynmar pula, kaum Rohingya sentiasa hidup dalam ketakutan kerana perbezaan agama yang dianuti dengan penganut agama Budha. Penganut agama Budha yang terdiri daripada sami-sami Budha tergamak membakar orang Islam hidup-hidup kerana rasa taksub terhadap agama mereka begitu tinggi, sehingga menganggap halal untuk membunuh orang-orang Islam. Mereka berasa bahawa mereka sahaja yang benar sedangkan hukum membunuh nyawa manusia diibaratkan membunuh seluruh manusia. Siapakah kita untuk mencabut nyawa manusia lain sedangkan nyawa manusia hanya boleh dicabut oleh Yang Maha Berkuasa sahaja iaitu Allah SWT. Peperangan juga menyebabkan keperluan fisiologi seseorang akan musnah tidak kira miskin ataupun kaya. Jelaslah bahawa, kesan peperangan kepada dunia mengakibatkan peningkatan pelbagai masalah sosial yang sukar dibendung hingga kini.

Seterusnya, kesan peperangan kepada dunia ialah tamadun seperti Tamadun Mesopotamia, Tamadun Mesir dan Indus yang tersohor dan agung suatu masa dahulu turut musnah. Kita boleh melihat tamadun dahulunya yang gah tetapi hancur sekelip mata akibat peperangan. Mari kita imbas kembali tamadun Indus yang dahulunya terkenal dengan seni binanya yang unik tetapi hancur akibat peperangan dengan orang Aryan. Sebagaimana yang pernah disebut bahawa, semangat perkauman atau assabiyah yang tersemat di dalam hati,  boleh menyebabkan berlakunya permulaan rusuhan lantaran tidak sealiran dari segi pemikiran. Ibnu Khaldun ada menyatakan bahawa,’hancurnya sebuah tamadun akibat peperangan yang tercetus.’ Kita boleh lihat  sejarah yang berlaku di negara kita sendiri pada 13 Mei 1969 iaitu rusuhan kaum secara besar-besaran sehingga membawa kepada kematian. Janganlah kita meletakkan diri kita ke lembah kebinasaan untuk berperang demi mengikut hawa nafsu sebagaimana sabda Nabi Muhammad SAW. Apabila berlaku peperangan, akan menyebabkan hilangnya permata iaitu ilmu orang terdahulu terutama apabila musnahnya karya peninggalan mereka. Kita boleh lihat kesan peperangan kepada Tamadun Mesir apabila seni binanya yang gah kini hampir pupus. Kita sewajarnya memelihara warisan sejarah negara kita agar tiada kehancuran yang berlaku akibat provokasi oleh orang yang berideologi negatif. Tuntasnya, peperangan menyebabkan kehancuran tamadun seperti Tamadun Mesir, Tamadun Indus dan Mesopotamia,

Di samping itu, kesan peperangan kepada dunia ialah kemusnahan pelbagai flora dan fauna. Banyak spesies flora dan fauna akan musnah kerana kehilangan habitat mereka. Letupan bom, terutamanya bom nuklear akan mengakibatkan kawasan-kawasan yang diletupkan itu menjadi gersang serta tumbuh-tumbuhan dan haiwan-haiwan musnah sekelip mata. Bom-bom yang diletupkan di sungai dan di laut  pula akan mengakibatkan hidupan akuatik yang merupakan sumber protein manusia musnah. Pencemaran juga merupakan satu lagi kesan akibat peperangan. Kini, bom-bom nuklear mengakibatkan kesan pencemaran radioaktif. Pendedahan kepada sinaran radioaktif  kepada manusia mengakibatkan manusia mendapat penyakit mutasi. Kesan peperangan di Kuwait misalnya selepas Perang Teluk mengakibatkan pencemaran selepas musuh meletupkan  telaga minyak. Kebakaran ini menyebabkan pencemaran udara, pencemaran air, pencemaran bunyi di samping memberi pelbagai kesan sampingan kepada manusia. Kesan pencemaran radioaktif pula akan mengakibatkan masalah kepada zuriat manusia seperti kecacatan pada generasi seterusnya.  Mantan Perdana Menteri Malaysia , Tun Dr,. Mahathir Mohammad ada menegaskan bahawa peperangan yang berlaku akan menyebabkan generasi yang akan datang menderita sedangkan dunia ini ibarat dipinjam daripada mereka. Kita mestilah menjauhkan unsur-unsur negatif dalam jiwa kita tetapi amalkanlah nilai-nilai murni dalam kehidupan agar menjadi orang yang berjaya di dunia dan di akhirat. Jelaslah bahawa, kesan peperangan kepada dunia mengakibatkan kemusnahan flora dan fauna.

Akhir sekali, kesan peperangan kepada dunia ialah kemusnahan khazanah dunia. Pelbagai unsur dalam ketamadunan manusia yang menjadi kebanggaan manusia akan musnah. Letupan-letupan bom telah mengakibatkan banyak warisan manusia seperti bangunan bersejarah dan seni bina seperti Collaseum, Candi Borubudur dan sebagainya hilang begitu sahaja. Unsur-unsur tamadun manusia yang diwarisi penting dalam usaha menyedarkan generasi muda tentang perkembangan dunia ini. Kita boleh mengimbas kembali bagaimana Kerajaan Abbasiyah yang dulu sebuah pusat keilmuan hancur akibat peperangan dengan kerajaan Bani Umaiyah. Dahulunya pusat baitulhikmah sebagai wadah kegiatan penulisan untuk menambahkan ilmu bagi seseorang turut hancur dalam sekelip mata. Karya-karya agung seperti karya Syed Naquib al-Attas hilang akibat peperangan tersebut. Walaupun dunia telah melalui dua perang dunia dan kesan-kesannya masih akrab dalam jiwa masyarakat dunia khususnya di Hiroshima dan Nagasaki, namun kemudaratan yang dialami masih belum memberi pengajaran kepada umat manusia. Ciptaan-ciptaan senjata moden dan ujian-ujian bom khususnya bom nuklear masih berterusan. Peperangan masih berleluasa dalam perkembangan tamadun manusia walaupun banyak kesan negatif dari segi ekologi dan kehidupan manusia dapat dilihat. Jelaslah bahawa kesan peperangan kepada dunia mengakibatkan kemusnahan khazanah dunia.

Kesimpulannya,  pembangunan manusia pada eraglobalisasi ini  harus berfokus kepada peningkatan taraf hidup dan bukan ke arah penciptaan senjata yang boleh menghancurkan dunia . Kesedaran tentang kesan peperangan harus diwujudkan sejak anak-anak kecil lagi kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya agar dapat melahirkan manusia yang  cinta akan keamanan. Persidangan di peringkat antarabangsa harus lebih peka kepada usaha menangani peperangan agar pembangunan ekonomi dan kemajuan manusia terus mantap. Pemimpin-peminpin seluruh dunia hendaklah membawa suara keamanan dan menjalinkan hubungan diplomatik yang lebih berkesan. Sebagai seorang insan yang waras pemikirannya setiap anggota masyarakat dunia haruslah berusaha untuk menyelamatkan dunia ini daripada sebarang anasir yang boleh mencetuskan peperangan. Kerjasama secara proaktif dan sistematik perlu dilaksanakan secara menyeluruh tanpa mengira kaum dan agama. Negara yang kita huni ini haruslah dijaga sebaik-baiknya ibarat menatang minyak yang penuh kerana perpecahan sesama sendiri hanya akan menjadi bom jangka kepada tercetusnya peperangan yang merugikan semua pihak.

Oleh:
Muhammad Haiman bin Nasarudin,
Muhammad haikal bin Nasarudin,
5VT SMKHK,
2016.

Wednesday, September 21, 2016

Koleksi soalan KBAT dan KBKK dalam KOMSAS

1. Pada pendapat anda, apakah tindakah-tindakan yang harus kita lakukan untuk menangani masalah kemurungan dalam kalangan murid di sekolah? [4 markah ]
(Rujukan :  Drama Bukan Gila)

Jawapan:

Tindakan menangani kemurungan di sekolah (isi cukup - 2 tindakan)

1. Peranan semua guru khususnya guru kaunseling untuk mengenal pasti murid-murid yang murung dengan memberikan rawatan awal.
2. mengelakkan kes buli dalam kalangan murid.
3. menguatkuasakan undang-undang dan peraturan sekolah yang melibatkan kes kemurungan.
4. memastikan kantin sekolah membekalkan makanan berkhasiat.
5. menyarankan ibu bapa membekalkan anak-anak dengan makanan berkhasiat.
6. menggalakkan murid-murid terlibat dengan kegiatan kokurikulum / perkhemahan / aktiviti koakademik / bersukan

2. Pada pendapat anda, mengapakah anak-anak perlu mengenang jasa ibu bapa yang telah membesarkan mereka?[3 markah]
(Rujukan: Sajak Pesan Lelaki Kecil kepada Gadis Kampung dan DSajak Erti Hidup Bererti)

Jawapan: (2 sebab )


a. ibu bapa telah berkorban masa dan tenaga untuk membesarkan mereka.
b. ibu yang melahirkan anak, merasai kesakitan manakala ayah mencari nafkah untuk membesarkan anak-anak
c. ibu bapa telah membelanjakan wang yang banyak untuk memastikan anak-anak mendapat didikan agama / menerima ilmu pengetahuan
d. setiap agama mewajibkan anak-anak mentaati ibu bapa

3. Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) wajib disertai oleh remaja yang terpilih. Pada pendapat anda, apakah faedah-faedah menyertai PLKN selain dapat mengisi masa lapang? [4 markah]
(Rujukan: Drama Berkhidmat untuk Negara)

Jawapan:

Faedah menyertai PLKN,

a.  Para pelatih dapat dilatih sifat kepimpinan melalui Modul Pembinaan Karektor
b. Modul Kenegaraan dapat melahirkan sifat cinta akan tanah air.
c. Program PLKN dapat menyihatkan tubuh badah melalui Modul Fizikal
d. dapat meningkatkan integrasi kaum

4. Negara jiran sering dilanda bencana alam berbanding dengan negara kita. Pada pendapat anda, apakah bantauan yang patut diberikan kepada negara yang dilanda bencana? [5 markah]
(Rujukan :Puisi TradisionalSyair Bidasari)

Jawapan: (4 isi + huraian)

Bantuan yang patut diberikan:

a. kewangan
b. ubat-ubatan, makanan dan pakaian
c. sokongan moral, iaitu khidmat kaunseling dan memberi semangat
d. perlindungan keselamatan kepada mangsa bencana.

Pengarang mewujudkan peristiwa-peristiwa yang dapat dijadikan teladan oleh pembaca. Berdasarkan dua buah novel yang anda pelajari, jelaskan satu peristiwa yang dapat dijadikan teladan. [8 markah]

Novel yang saya kaji ialah Leftenan Adnan Wira Bangsa karya Abdul Latip Talib. Peristiwa yang dapat menjadi teladan ialah peristiwa Penghulu Deraman bersama-sama anak buahnya yang terdiri daripada pengawal kampung datang bertemu dengan Leftenan Adnan. Tujuan mereka untuk menyatakan persediaan mereka bertempur membantu pasukan Askar Melayu menentang Tentera Jepun. Hal ini menunjukkan bahawa semangat patriotik dalam kalangan orang Melayu dalam menentang musuh dapat diteladani oleh generasi pada masa ini.

Peristiwa seterusnya ialah peristiwa berpuluh-puluh askar Jepun sampai ke kampung Sungai Ramal, Kajang. Mereka mencari keluarga Leftenan Adnan. Penduduk kampung telah berpakat untuk tidak bekerjasama dengan tentera Jepun. Mereka menyembunyikan keluarga Leftenan Adnan. Hal ini menunjukkan bahawa keberanian Leftenan Adnan menjadi pencetus semangat anak-anak muda bagi menentang tentera Jepun . Ramai yang menyertai pasukan pembebasan rakyat bagi menentang pendudukan Jepun di Tanah Melayu.

Manakala peristiwa yang boleh dijadikan teladan berdasarkan novel Tirani ialah peristiwa Bazilah menemani Waheeda dan ibunya ke SMC. Mereka terus menujuk ke tingkat dua untuk berjumpa dengan Dr. Alma Chen dan perbincangan bernada serius saling berganti. Malah, jururawat di situ diarahkan oleh Dr. Alma Chen untuk menemani mereka ke bilik bedah. Dalam perasaan yang begitu takut, Waheeda menggenggam tangan ibunya. Setibanya di hadapan dewan kuarantin, Waheeda terus memeluk ibunya erat-erat. Kemudian, dia memeluk Bazilah. Hal ini menunjukkan bahawa sokongan seorang ibu amat diperlukan oleh seorang anak untuk memastikan dirinya sentiasa selamat.

Peristiwa seterusnya, ialah ketika persiapan sedang dibuat oleh Kong dan Anati yang sibuk memberi idea tentang pakaian yang sesuai dipakai oleh Waheeda ke Pertandingan Ratu Cantik Miss Tourism Internasional nanti. Waheeda mencadangkan bahawa dia tidak mahu fesyen yang berbelah sampai ke paha.  Sebaliknya, dia akan megnenakan pakaian Gajoh Oleng yang merupakan pakaian tradisi Sarawak. Hal ini menunjukkan bahasa Waheeda cinta akan budaya bangsanya dengna menolak pakaian yang dicadangkan oleh kawannya kerana pakaian itu bercirikan budaya bangsanya.

*terima mana-mana isi yang relevan

Semangat patriotik semakin luntur dalam kalangan masyarakat di negara kita pada masa ini seperti yang didakwa oleh banyak pihak.



Bincangkan peranan pelbagai pihak untuk memupuk semangat patriotik dalam kalangan masyarakat di negara ini.

Zaman berubah dan musim berlalu. Setelah sekian lama negara tercinta iaitu Malaysia dijajah selama 446 tahun, akhirnya pada tarikh keramat iaitu tanggal 31 Ogos 1957, Tanah Melayu bebas daripada cengkaman penjajah. Ribuan rakyat ketika itu menghela nafas lega. Tangisan kegembiraan, gelak ketawa dan duka menghiasi suasana ketika itu. Laungan “Merdeka! Merdeka! Merdeka!” oleh Perdana Menteri Pertama Malaysia yang juga dikenali sebagai Bapa Kemerdekaan Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj menyapa telinga, kedengaran begitu  bersemangat. Penantian mereka bukan sekejap, sebaliknya memakan masa berabad-abad lamanya. Dalam tempoh itu, entah berapa ramai rakyat yang terseksa, dipancung, dirogol dan dijadikan hamba oleh penjajah yang sadis lagi tidak berperikemanusiaan. Berapa ramai pula pejuang negara yang terkorban demi satu matlamat untuk mencapai kemerdekaan. Bersyukur kapda Allah swt, sekarang Malaysia sudahpun merdeka selama 59 tahun. Meskipun Malaysia sudah merdeka selama lebih daripada setengah abad, namun semangat patriotisme dalam kalangan rakyat seolah-olah sudah semakin tidak relevan lagi. Manakan tidak, generasi muda kini lahir-lahir sahaja saja, kemewahan, keamanan dan kemajuan sudah terhidang di depan mata. Sedangkan cinta kepada Tuhan dipandang sebelah mata apatah lagi cinta kepada negara. Sanggupkah generasi hari ini bergadai nyawa, bermandi darah demi mempertahankan sebidang tanah? Bagi mengelakkan senario ini terus berlaku, pelbagai pihak di Malaysia perlu memainkan peranan masing-masing. Persoalannya, apakah langkah-langkah yang efektif dan pragmatik boleh dilaksanakan oleh pelbagai pihak ini?.

Ahli falsafah ada mengatakan bahawa segala-galanya bermula dari rumah. Pernyataan ini jelas menunjukkan bahawa institusi kekeluargaan berperanan untuk memupuk semangat patriotik dalam kalangan masyarakat terutamanya anak-anak. Ibu bapa perlu menjadi suri teladan yang terbaik untuk anak-anak contohi sebagaimana peribahasa bapak borek, anak rintik. Ibu bapa boleh mengambil alternatif untuk mengibarkan Jalur Gemilang di sekeliling rumah atau di sekitar kawasan taman perumahan. Pastinya anak yang setahun jagung setampuk pinang akan mengikut langkah murni ibu bapa mereka. Amalan yang dipraktikkan oleh ibu bapa pasti lama-kelamaan akan diteladani anak-anak kerana bagaimana acuan, begitulah kuihnya. Anak-anak juga akan mengibarkan Jalur Gemilang akhirnya tanpa disuruh-suruh kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Bukan itu sahaja, ibu bapa juga tidak boleh menyertai sebarang demontrasi, atau tunjuk perasaan terhadap negara. Bagaimana mahu menanam semangat patriotik dalam jiwa anak-anak, jika ibu bapa sendiri tidak menjiwai erti patriotism .Hal ini tidak ubah seperti ketam mengajar anaknya berjalan betul sedangkan diri sendiri tidak betul. Oleh itu, ibu bapa berperanan menyuntik semangat patriotik dalam jiwa anak-anak sejak mereka kecil lagi.

Fokus perbincangan seterusnya ialah peranan media massa. Tidak dinafikan bahawa anak watan yang hidup dalam era pascamerdeka ini telalu selesa dengan dunia yang didiami. Sedarkah mereka bahawa kehidupan pada zaman ini menuntut semangat patriotisme yang tinggi memandangkan ada sebahagian daripada penghuni dunia ini sedang dilanda oleh ledakan kemajuan globalisasi dan informasi maklumat.. Media massa menjadi sahabat karib kepada masyarakat. Telefon pintar, tabloid, televisyen dan radio merupakan peneman kehidupan seharian masyarakat. Seiring dengan itu, pihak penyiaran memainkan peranan menyiarkan iklan-iklan kesedaran, filem-filem patriotik  seperti Bukit Kepong, Paloh, Embun dan Sarjan Hassan bukan sahaja memberi pengajaran dan teladan malah sarat dengan nilai keinsafan tentang peri pentingnya erti  merdeka kepada sesebuah negara. Sepatutnya filem patriotik ini perlu ditayangkan setiap minggu dalam slot siaran televisyen bukannya dua atau tiga minggu sebelum hari kemerdekaan. Filem lakonan P. Ramlee boleh ditayangkan setiap minggu, masakan filem perjuangan nasionalis Tanah Melayu tidak boleh ditayangkan. Menerusi tayangan sebeginilah, rakyat Malaysia akan terdetik dengan semangat pejuang kemerdekaan mempertahankan tanah air daripada cengkaman penjajah. Lagu-lagu berunsur patriotik seperti Inilah Barisan Kita, Bahtera Merdeka, dan Warisan harus dimainkan di corong-corong radio. lagu-lagu tersebut bukan sahaja mampu memberi penghayatan tetapi dapat menanam sikap cinta akan negara dalam jiwa generasi muda kini yang telalu hanyut dengan budaya Barat.  Jelaslah bahawa, media massa antara medium utama pemupukan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat.
Memetik warkah nirmala seterusnya, pihak kerajaan turut tidak terkecuali dalam misi membentuk rakyat yang bersemangat patriotik. Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) antara inisiatif kerajaan dalam usaha pemupukan patriotisme dalam kalangan rakyat. Program ini telah dilaksanakan pada 16 Februari 2004 dengan objektif melahirkan remaja yang bersemangat patriotik, berkeyakinan tinggi, cerdas dan cergas. Program ini juga dianggap sebagai satu platform permulaan agenda nasional terhadap remaja. Terdapat pelbagai modul program yang diaplikasikan kepada para pelatih. Salah satunya ialah modul kenegaraan. Modul kenegaraan ini dianggap sebagai tunjang program ini dengan objektif untuk melahirkan remaja yang bersemangat waja dan cinta akan negara. Pihak kerajaan telah mewajibkan remaja lepasan SPM  menyertai PLKN yang akan diadakan selama tiga bulan. Hal ini membuktikan bahawa kerajaan optimis untuk melahirkan generasi yang sanggup menggadaikan nyawa demi negara bukannya menggadaikan maruah merosakkan imej Malaysia.

Seterusnya, mari kita capahkan skop perpincangan kita bawah kata kunci pihak sekolah. Pihak sekolah memainkan peranan melalui pemerkasaan subjek Sejarah. Ya, subjek Sejarah merupakan wadah untuk penerapan nilai patriotik dalam kalangan rakyat Malaysia . Subjek Sejarah sarat dengan ilmu yang berkaitan Sejarah Melayu. Pembentukan awal negara Malaysia, nama pejuang Melayu yang menentang penjajah dan kemerdekaan dicapai melalui diplomasi semuanya disatukan dalam subjek Sejarah. Jika dahulu para pelajar seringkali menganggap Sejarah ialah subjek yang membosankan, namun kini peredaran masa telah mengubah perspektif pelajar. Apatah lagi sejak Kementerian Pelajaran Malaysia mewajibkan subjek Sejarah mesti lulus untuk kemasukan ke university. Seiring dengan itu, mahu atau tidak para pelajar pasti akan mempelajarinya. Di sinilah peranan pihak sekolah bermula. Guru-guru perlu membimbing para pelajar supaya tidak mempelajari sejarah hanya untuk lulus peperiksaan semata-mata,  tetapi untuk pedoman dalam diri supaya pisang tidak berbuah dua kali memandangkan merekalah yang akan memimpin negara ke pentas dunia suatu hari nanti bak kata pepatah pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara.

Segala usaha yang dinyatakan tidak akan membuahkan hasil jika diri individu itu sendiri tidak ada inisiatif untuk menanam semangat patriotisme dalam diri . Berdiri tegak ketika menyanyikan lagu kebangsaan merupakan langkah yang perlu dititikberatkan oleh seorang rakyat Malaysia. Sebagaimana yang dapat kita lihat, berapa ramai rakyat Malaysia yang berdiri tegak dan menyanyikan lagu dengan penuh semangat saat Lagu Negaraku dimainkan? Ada antara mereka yang masih bergoyang-goyang tubuh badan, bergurau senda, bergelak ketawa dengan rakan-rakan walaupun lagu Negaraku sedang dimainkan. Semangat patriotisme pastinya semakin luntur dalam diri. Penghayatan mereka terhadap lagu kebangsaan semakin terhakis dek sikap individualistik dan materialistik. Oleh sebab itulah, seseorang itu perlu mengubah cara mereka berdiri tegak serta menyanyikan lagu tersebut dengan semangat dan penghayatan sambil mengenang kembali jasa-jasa dan pengorbanan pejuang kemerdekaan.

Akhirulkalam, semua pihak perlulah cakna dan bekerjasama bagai aur dengan tebing dengan menggembleng seluruh tenaga dan berkongkalikung bagi menjayakan misi membentuk rakyat yang bersemangat patriotik. Setiap usaha tersebut haruslah konsisten, bukan sekadar melepaskan batuk di tangga. Kita sewajarnya menghargai jasa nenek moyang kita agar tidak menjadi kacang lupakan kulit malah George Santayana ada menukilkan kata-kata mutiara bahawa sejarah pastinya berulang kembali jika tiada yang mengambil iktibar. Abraham Lincoln juga menyatakan bahawa semangat patriotisme asas kepada pembentukan sesebuah negara.


Kredit kepada:
Nur Syafiqatunnisa binti Sapiee,
5 Sains 2016.

Tuesday, September 20, 2016

TEKNIK MENJAWAB NOVEL LEFTENAN ADNAN DAN TIRANI



TEKNIK MENJAWAB SOALAN NOVEL
Oleh Noraza Azit @ Aziz,
MS., BA(Hons Mass Comm) , Dip.Ed
Biar sedikit benih ditaburi, harap seluas samudera melimpah hikmat


1.    
 Leftenan Adnan karya Abdul Latip Talib
2.    Tirani karya Beb Sabariah

4(a)Berdasarkan novel yang telah anda pelajari, huraikan tiga persoalan yang terdapat dalam novel tersebut.      [ 7 markah]
JAWAPAN:

Novel yang saya kaji ialah Leftenan Adnan karya Abdul Latip Talib. Antara persoalan yang terdapat dalam novel tersebut ialah persoalan tentang pandangan jauh seorang ketua keluarga. Buktinya, Pak Saidi berpandangan bahawa pelajaran di sekolah Melayu hanya setakat sekolah rendah. Sekiranya bersekolah aliran Inggeris, mereka berpeluang menyambung pelajar ke sekolah menengah dan ke sekolah tinggi. Mereka berpeluang menjawat jawatan yang tinggi.

Seterusnya, persoalan tentang minat dan kecenderungan seseorang yang sukar diubah. Buktinya, sejak kecil Adnan menanam minat untuk menjadi askar. Walaupun beliau diterima menjadi guru pelatih, tetapi minatnya dalam bidang ketenteraan tidak pernah padam. Beliau menjalani temu duga di Port Dickson dan akhirnya diterima sebagai seorang askar.

Akhir sekali, persoalan tentang sikap manusia yang mudah percaya kepada propaganda pihak penjajah. Buktinya, Samad tidak mahu berpindah sebaliknya mengatakan bahawa kedatangan Jepun adalah untuk memerdekakan Tanah Melayu bukan untuk menjajah. Dia juga mengatakan bahawa Inggeris mahu menguatkan cengkaman penjajahan di Tanah Melayu.

4(b) Huraikan empat nilai murni yang terdapat dalam novel yang telah anda kaji.[8 markah]

Antara  nilai murni yang terdapat dalam novel leftenan Adnan karya Abdul Latip Talib ialah nilai keberanian. Buktinya Leftenan Adnan merupakan anggota tentera yang memiliki keberanian luar biasa. Beliau bersama-sama dengan askar Melayu yang lain berjuang bermati-matian menentang tentera Jepun hingga titisan darahnya yang terakhir.
Seterusnya, nilai cinta akan negara. Buktinya, Leftenan Adnan sanggup melepaskan jawatan sebagaia guru pelatih dan memohon untuk menjadi tentera kerana mempunyai semangat patriotik yang kuat.

Selain itu, nilai berpendirian teguh. Buktinya, pihak Jepun menghantar wakilnya meminta Leftenan Adnan dan anak-anak buahnya menyerah kalah namun permintaan itu ditolak mentah-mentah oleh Leftenan Adnan.

Akhir sekali, nilai kasih sayang. Buktinya leftenan Adnan amat menyayangi isterinya Sophia dan dua orang anaknya iaitu Mokhtar dan Zainudin. Adnan menghantar Sophia dan anak-anaknya pulang ke kampung ketika mendengar berita tentera Jepun akan menyerang Tanah Melayu dan Singapura kerana  bimbang akan keselamatan mereka walaupun hatinya berat untuk berpisah dengan mereka.

4(a) Watak utama lazimnya mendapat perhatian dan disukai oleh pembaca.
Berikan tiga alasan bagi menyokong pandangan anda dengan berdasarkan novel yang telah anda kaji.     [7 markah]

JAWAPAN:
Novel yang saya kaji ialah Leftenan Adnan karya Abdul Latip Talib. Watak utama dalam novel tersebut ialah Adnan bin Saidi. Perwatakan  beliau yang disukai oleh pembaca ialah beliau merupakan seorang yang rajin. BuktInya, Adnan rajin membantu ayahnya menorEh getah, bersawah padi dan memungut buah durian di dusun duriannya.

Seterusnya, Adnan juga seorang yang memiliki semangat cinta akan negara yang tinggi. Buktinya, Adnan bercita-cita untuk menjadi seorang tentera kerana sayang akan negaranya. Untuk mencapai cita-citanya, Adnan menolak jawatan sebagai guru pelatih, sebaliknya memohon jawatan sebagai seorang tentera.

Selain itu, beliau juga merupakan seorang yang berani. Buktinya, Adnan berikrar tidak akan sekali-kali menyerah kalah walau apa-apa pun yang terjadi dalam peperangan menentang tentera JEpun. Setelah kehabisan peluru, beliau sanggup bertempur jarak dekat dengan bersenjatakan bayonet sahaja.

4(b) Berdasarkan novel yang telah anda kaji, jelaskan latar tempat berserta dengan peristiwa yang berlaku di tempat tersebut.     [8 markah]

JAWAPAN:

Novel yang saya kaji ialah Leftenan Adnan karya Abdul Latip. Latar tempat yang terdapat dalam novel tersebut adalah di Kampung Sungai Ramal. Buktinya, di sini merupakan tempat kelahiran Adnan dan keluarganya.

Seterusnya, latar tempat di kampung Sungai Merab dan Kampung Sungai Ramal. Buktinya, perlawanan bola sepak antara kampung Sungai Merab dan Kampung Sungai Ramal kerap diadakan.

Selain itu, latar tempat di Sekolah Melayu Sungai Ramal. Buktinya, Adnan telah terpilih sebagai guru pelatih dan diarah mengajar di Sekolah Melayu Sungai Ramal.

Akhir sekali, latar tempat di Port Dickson dan Kem Haig Lines. Buktinya, di situ Adnan bersama-sama dengan empat orang rakannya menjalani proses temu duga menjadi askar.

4(a) Mengapakah unsur konflik antara watak dalam sesebuah novel itu sangat penting?
Nyatakan tiga alasan berdasarkan novel yang telah anda kaji.     [7 markah]

JAWAPAN:

Novel yang saya kaji ialah Leftenan Adnan karya Abdul Latip. Unsur konflik antara watak dalam sesebuah novel itu sangat penting kerana konflik dapat menjadikan jalan cerita lebih menarik. Buktinya, konflik antara Pak Saidi dengan penduduk Sungai Ramal. Mereka gempar apabila mendapat tahu Pak Saidi menghantar anaknya belajar di sekolah Inggeris. Hal ini demikian kerana ada sekolah pondok dan sekolah Melayu di sekitar kawasan tersebut. Mereka khuatir anak Pak Saidi menjadi murtad. Berdasarkan realiti tersebut, kita dapat menilai corak pemikiran masyarakat pada waktu itu.

Seterusnya konflik juga digunakan untuk memperlihatkan keistimewaan watak utama menyelesaikan konflik yang dihadapi. Buktinya, konflik askar Melayu dengan tentera Jepun. Leftenan Adnan terus memberikan kata-kata semangat kepada anak-anak buahnya. Mereka semakih kehabisan peluru sedangkan asakan tentera Jepun semakin bertambah. Berlaku pertempuran jarak dekat antara askar melayu yang menggunakan bayonet dengan askar Jepun yang menggunakan pedang samurai. Unsur konflik ini menunjukkan betapa watak utama iaitu Leftenan Adnan memainkan peranan penting dalam menaikkan semangat askar-askar Melayu untuk menentang penjajah.

Akhir sekali, konflik juga dapat dijadikan iktibar atau teladan kepada pembaca. Buktinya, konflik Samad bertengkar dengan Penghulu Sidek. Samat mengatakan bahawa kedatangan Jepun bukannya mahu menjajah tetapi British yang mahu menguatkan cengkaman penjajahannya. Dari sini kita mengetahui bahawa terdapat segelintir penduduk yang menjadi penyokong kepada kedatangan tentera Jepun di Tanah Melayu kerana terpengaruh oleh propaganda pihak Jepun.

4(b) Huraikan empat pengajaran yang terdapat dalam novel yang telah anda kaji.[8 markah]

JAWAPAN:

Pengajaran yang terdapat dalam novel Leftenan Adnan karya Abdul Latip Talib ialah kita hendaklah mempunyai semangat cinta akan negara. Buktinya, leftenan Adnan dan askar Melayu berjuang mempertahankan negara hingga ke titisan darah yang terakhir.
Seterusnya, kita hendaklah berani mempertahankan negara. Buktinya Leftenan Adnan dan askar Melayu yang lain berani mempertahankan negara daripada serangan Jepun dan tidak takut mati.

Selanjutnya, kita hendaklah memiliki wawasan dan berpandangan jauh. Buktinya, Pak Saidi memilih sekolah aliran Inggeris untuk anak-anaknya kerana beliau sedar banyak ilmu pengetahuan yangdapat ditimba sekiranya memilih sekolah tersebut.

Akhir sekali, kita janganlah mengabaikan pelajaran anak-anak. Buktinya, setiap malam Pak Saidi mengajar anak-anaknya mengaji al-Quran. Beliau mahu anak-anaknya mendapat ilmu dunia dan ilmu akhirat secara seimbang dan secukupnya.


4(a) Huraikan dua perbezaan antara watak utama dengan watak sampingan berdasarkan novel yang telah anda kaji.  [7 markah]

JAWAPAN:

Novel yang saya kaji ialah Leftenan Adnan karya Abdul Latip. Watak utama hanya seorang dalam novel ini ialah Adnan bin Saidi manakala watak sampingan ada banyak iaitu  Sophia, Nordin, Samad, Jeneral A.E. Percival, leftenan Jeneral Tomoyuki Yamashita dan lain-lain.

Watak utama memainkan peranan yang paling banyak dan paling penting berbanding watak sampingan dalam novel tersebut. Watak sampingan bersifat pembantu sahaja dalam plot cerita. Buktinya, watak leftenan Adnan terlibat dalam semua peristiwa penting dari mula hingga akhir cerita. Hal ini berbeza dengan watak Pak Saidi yang tidak terlibat dalam semua peristiwa peting seperti peristiwa peperangan menentang tentera Jepun.