Monday, October 10, 2016

Contoh karangan pelajar SMKHK (Dimensi Antarabangsa)



Peperangan menyebabkan kemusnahan jiwa, harta benda dan tamadun.
Ulaskan pernyataan di atas.

(Rujuk soalan Peperiksaan Percubaan SBP, SPM  2016)

Apakah maksud peperangan? Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, peperangan bermaksud sesebuah negara yang mempunyai semangat imperialisme yang tinggi untuk menakluk negara lain. Mereka mahu menakluk disebabkan faktor-faktor yang mempengaruhi iaitu negara yang kaya dengan bahan mentah, kedudukan yang strategik, tanah yang subur dan sebagainya. Peperangan boleh menyebabkan banyak jiwa yang terkorban sedangkan mereka tidak berdosa. Misalnya wanita, orang tua, dan anak-anak kecil. Peperangan dilakukan oleh orang yang tiada peri kemanusiaan demi memenuhi nafsu tamak haloba mereka. Sebagai contoh pada zaman jahiliyah bagaimana peperangan berlaku sesama saudara sendiri. Mereka mempunyai semangat assabiyah yang tinggi. Konflik  bermula daripada  isu yang kecil tetapi peperangan sesama saudara tercetus sehingga 40 tahun lamanya. Dalam agama Islam, peperangan hanya boleh dilakukan andai ada musuh yang mahu menyerang. Kita tidak boleh berperang ikut kehendak hati kerana Islam telah menggariskan agar mengelakkan peperangan dan lakukanlah perdamaian.Agama Islam melarang umatnya berperang, melainkan untuk mempertahankan diri sebagaimana  peristiwa Perang Badar antara kaum Muslimin dengan kaum Quraisy yang telah diketuai oleh Abu Jahal kerana mahu membunuh nabi Muhammad SAW dan pengikut-pengikut baginda.  Peperangan boleh menyebabkan hak manusia tergugat seperti hak untuk mendapatkan kehidupan yang tenang.  Peperangan berlaku kerana dalam hati mereka mempunyai sifat mazmumah seperti perasaan hasad dengki dan tamak untuk memiliki kekayaan dengan cara kejam demi kepentingan diri mereka sendiri. Pada zaman nabi Muhammmad SAW, baginda telah memeterai suatu perjanjian Hudaibiyah walaupun ditentang oleh Umar al-Khattab tetapi baginda seorang yang bijaksana kerana bagi baginda, keamanan itu lebih baik daripada peperangan. Oleh itu, janganlah kita menjadi orang yang zalim sedangkan kita telah diajar nilai-nilai murni sejak kecil lagi. Persoalannya apakah kesan peperangan kepada dunia?


Antara kesan peperangan kepada dunia ialah kemusnahan besar harta benda persendirian dan harta benda awam. Peperangan boleh menyebabkan harta benda rosak akibat runtuhan bangunan yang telah dibom. Contohnya hospital yang merupakan tempat pesakit mendapatkan rawatan boleh runtuh mengakibatkan pesakit akan terus terseksa dan boleh membawa maut jika tiada ikhtiar untuk memulihkan keadaan seperti sedia kala. Kemudahan seperti peralatan perubatan untuk merawat pesakit akan musnah sekelip mata sehingga mengakibatkan pesakit mati tanpa mendapatkan rawatan yang sepatutnya. Mari kita ambil contoh di negara Palestin yang sentiasa diserang oleh Israel. Setiap saat akan berlakunya pengeboman oleh tentera Israel yang zalim lagi tidak berperikemanusiaan. Pengeboman yang dilakukan bukan sahaja ditujukan kepada manusia bernyawa malahan kepada rumah ibadat orang Islam iaitu Baitulmaqdis. Tanpa rasa belas kasihan mereka mengebom, membunuh anak-anak kecil yang tidak berdosa malahan menyembelih kaum ibu yang cuba mempertahankan anak-anak mereka yang masih kecil, mengurung atau memenjarakan kaum lelaki tanpa sah sehingga terpisah sebuah keluarga selama bertahun-tahun. Kezaliman mereka kian terserlah apabila sanggup merogol wanita-wanita Palestin yang tidak berupaya untuk mempertahankan diri daripada kezaliman tentera Israel. Malahan, anak-anak kecil ditembak dengan harapan tidak akan lahir golongan pemuda yang akan berjuang untuk membebaskan bumi Palestin daripada cengkaman Israel. Mereka juga ingin menghapuskan golongan wanita secara perlahan-lahan agar tidak akan lahir generasi Palestin yang berjiwa kental. Sungguh malang nasib mereka kerana peperangan menyebabkan golongan yang tidak berdosa menjadi mangsa pembunuhan kejam.  Rentetan daripada peperangan yang tidak henti-henti, banyaklah harta benda persendirian, sekolah, rumah ibadat, tanaman, binatang peliharaan dan tempat tinggal musnah. Peperangan menyebabkan berlakunya kerugian berbilion-bilion dollar Amerika sebagaimana peperangan yang berlaku antara Amerika dengan Jerman. Jika sesebuah negara itu hancur, proses untuk membangunkan semula negara itu memakan masa berpuluh-puluh tahun. Jadi, kita mestilah menghargai kemerdekaan tanah air yang sedang kita nikmati sekarang. Jelaslah bahawa peperangan boleh mengakibatkan kemusnahan terhadap harta persendirian dan harta awam.

Selain itu, kesan peperangan kepada dunia ialah berlakunya peningkatan pelbagai masalah sosial. Hal ini demikian kerana kesan peperangan boleh mengakibatkan tekanan perasaan terutama dalam kalangan kanak-kanak. Mereka masih lagi belum memahami situasi yang sedang bergolak di sesebuah negara tetapi tempias peperangan terjadi kepada mereka yang masih kecil lagi. Kesan peperangan menyebabkan pembangunan sumber manusia pada masa hadapan terjejas. Kerajaan terpaksa menangguhkan projek pembangunan untuk rakyat kerana dana yang dimiliki oleh kerajaan tidak mampu menanggung kos pembangunan negara. Oleh hal yang demikian, kebajikan rakyat akan terabai dan mengakibatkan berlakunya gejala sosial seperti merompak, menyamun, merogol dan sebagainya. Taraf hidup rakyat akan menurun akibat peperangan yang berlarutan selama bertahun-tahun. Kita ambil contoh peperangan yang sedang berlarutan di Syria. Nasib anak-anak Syria begitu malang kerana terpaksa memakan rumput untuk meneruskan kelangsungan hidup. Ada anak gadis yang tepaksa menjual marauah sebagai seorang pelacur demi sesuap nasi. Di negara Mynmar pula, kaum Rohingya sentiasa hidup dalam ketakutan kerana perbezaan agama yang dianuti dengan penganut agama Budha. Penganut agama Budha yang terdiri daripada sami-sami Budha tergamak membakar orang Islam hidup-hidup kerana rasa taksub terhadap agama mereka begitu tinggi, sehingga menganggap halal untuk membunuh orang-orang Islam. Mereka berasa bahawa mereka sahaja yang benar sedangkan hukum membunuh nyawa manusia diibaratkan membunuh seluruh manusia. Siapakah kita untuk mencabut nyawa manusia lain sedangkan nyawa manusia hanya boleh dicabut oleh Yang Maha Berkuasa sahaja iaitu Allah SWT. Peperangan juga menyebabkan keperluan fisiologi seseorang akan musnah tidak kira miskin ataupun kaya. Jelaslah bahawa, kesan peperangan kepada dunia mengakibatkan peningkatan pelbagai masalah sosial yang sukar dibendung hingga kini.

Seterusnya, kesan peperangan kepada dunia ialah tamadun seperti Tamadun Mesopotamia, Tamadun Mesir dan Indus yang tersohor dan agung suatu masa dahulu turut musnah. Kita boleh melihat tamadun dahulunya yang gah tetapi hancur sekelip mata akibat peperangan. Mari kita imbas kembali tamadun Indus yang dahulunya terkenal dengan seni binanya yang unik tetapi hancur akibat peperangan dengan orang Aryan. Sebagaimana yang pernah disebut bahawa, semangat perkauman atau assabiyah yang tersemat di dalam hati,  boleh menyebabkan berlakunya permulaan rusuhan lantaran tidak sealiran dari segi pemikiran. Ibnu Khaldun ada menyatakan bahawa,’hancurnya sebuah tamadun akibat peperangan yang tercetus.’ Kita boleh lihat  sejarah yang berlaku di negara kita sendiri pada 13 Mei 1969 iaitu rusuhan kaum secara besar-besaran sehingga membawa kepada kematian. Janganlah kita meletakkan diri kita ke lembah kebinasaan untuk berperang demi mengikut hawa nafsu sebagaimana sabda Nabi Muhammad SAW. Apabila berlaku peperangan, akan menyebabkan hilangnya permata iaitu ilmu orang terdahulu terutama apabila musnahnya karya peninggalan mereka. Kita boleh lihat kesan peperangan kepada Tamadun Mesir apabila seni binanya yang gah kini hampir pupus. Kita sewajarnya memelihara warisan sejarah negara kita agar tiada kehancuran yang berlaku akibat provokasi oleh orang yang berideologi negatif. Tuntasnya, peperangan menyebabkan kehancuran tamadun seperti Tamadun Mesir, Tamadun Indus dan Mesopotamia,

Di samping itu, kesan peperangan kepada dunia ialah kemusnahan pelbagai flora dan fauna. Banyak spesies flora dan fauna akan musnah kerana kehilangan habitat mereka. Letupan bom, terutamanya bom nuklear akan mengakibatkan kawasan-kawasan yang diletupkan itu menjadi gersang serta tumbuh-tumbuhan dan haiwan-haiwan musnah sekelip mata. Bom-bom yang diletupkan di sungai dan di laut  pula akan mengakibatkan hidupan akuatik yang merupakan sumber protein manusia musnah. Pencemaran juga merupakan satu lagi kesan akibat peperangan. Kini, bom-bom nuklear mengakibatkan kesan pencemaran radioaktif. Pendedahan kepada sinaran radioaktif  kepada manusia mengakibatkan manusia mendapat penyakit mutasi. Kesan peperangan di Kuwait misalnya selepas Perang Teluk mengakibatkan pencemaran selepas musuh meletupkan  telaga minyak. Kebakaran ini menyebabkan pencemaran udara, pencemaran air, pencemaran bunyi di samping memberi pelbagai kesan sampingan kepada manusia. Kesan pencemaran radioaktif pula akan mengakibatkan masalah kepada zuriat manusia seperti kecacatan pada generasi seterusnya.  Mantan Perdana Menteri Malaysia , Tun Dr,. Mahathir Mohammad ada menegaskan bahawa peperangan yang berlaku akan menyebabkan generasi yang akan datang menderita sedangkan dunia ini ibarat dipinjam daripada mereka. Kita mestilah menjauhkan unsur-unsur negatif dalam jiwa kita tetapi amalkanlah nilai-nilai murni dalam kehidupan agar menjadi orang yang berjaya di dunia dan di akhirat. Jelaslah bahawa, kesan peperangan kepada dunia mengakibatkan kemusnahan flora dan fauna.

Akhir sekali, kesan peperangan kepada dunia ialah kemusnahan khazanah dunia. Pelbagai unsur dalam ketamadunan manusia yang menjadi kebanggaan manusia akan musnah. Letupan-letupan bom telah mengakibatkan banyak warisan manusia seperti bangunan bersejarah dan seni bina seperti Collaseum, Candi Borubudur dan sebagainya hilang begitu sahaja. Unsur-unsur tamadun manusia yang diwarisi penting dalam usaha menyedarkan generasi muda tentang perkembangan dunia ini. Kita boleh mengimbas kembali bagaimana Kerajaan Abbasiyah yang dulu sebuah pusat keilmuan hancur akibat peperangan dengan kerajaan Bani Umaiyah. Dahulunya pusat baitulhikmah sebagai wadah kegiatan penulisan untuk menambahkan ilmu bagi seseorang turut hancur dalam sekelip mata. Karya-karya agung seperti karya Syed Naquib al-Attas hilang akibat peperangan tersebut. Walaupun dunia telah melalui dua perang dunia dan kesan-kesannya masih akrab dalam jiwa masyarakat dunia khususnya di Hiroshima dan Nagasaki, namun kemudaratan yang dialami masih belum memberi pengajaran kepada umat manusia. Ciptaan-ciptaan senjata moden dan ujian-ujian bom khususnya bom nuklear masih berterusan. Peperangan masih berleluasa dalam perkembangan tamadun manusia walaupun banyak kesan negatif dari segi ekologi dan kehidupan manusia dapat dilihat. Jelaslah bahawa kesan peperangan kepada dunia mengakibatkan kemusnahan khazanah dunia.

Kesimpulannya,  pembangunan manusia pada eraglobalisasi ini  harus berfokus kepada peningkatan taraf hidup dan bukan ke arah penciptaan senjata yang boleh menghancurkan dunia . Kesedaran tentang kesan peperangan harus diwujudkan sejak anak-anak kecil lagi kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya agar dapat melahirkan manusia yang  cinta akan keamanan. Persidangan di peringkat antarabangsa harus lebih peka kepada usaha menangani peperangan agar pembangunan ekonomi dan kemajuan manusia terus mantap. Pemimpin-peminpin seluruh dunia hendaklah membawa suara keamanan dan menjalinkan hubungan diplomatik yang lebih berkesan. Sebagai seorang insan yang waras pemikirannya setiap anggota masyarakat dunia haruslah berusaha untuk menyelamatkan dunia ini daripada sebarang anasir yang boleh mencetuskan peperangan. Kerjasama secara proaktif dan sistematik perlu dilaksanakan secara menyeluruh tanpa mengira kaum dan agama. Negara yang kita huni ini haruslah dijaga sebaik-baiknya ibarat menatang minyak yang penuh kerana perpecahan sesama sendiri hanya akan menjadi bom jangka kepada tercetusnya peperangan yang merugikan semua pihak.

Oleh:
Muhammad Haiman bin Nasarudin,
Muhammad haikal bin Nasarudin,
5VT SMKHK,
2016.

No comments: