Thursday, March 12, 2009

TAHNIAH BUATMU ANAK DIDIK KESAYANGANKU

Tahniah! hanya ungkapan itu yang dapat cikgu lafazkan kepada para pelajar kesayangan cikgu dari kelas 5 Sains 2 sesi 2008 kerana semuanya berjaya menyahut cabaran saya agar mencapai target "zero fail" dalam subje BM. Kepada yang mendapat A1, kenalah banyak bersyukur. Buat sujud syukur dengan ikhlas hati. Namun, ada juga yang kecewa kerana hanya mendapat B3. Janganlah menyalahkan takdir. Kita dahpun berusaha sehabis daya. Dah tertulis, itulah kejayaan yang kamu patut kecapi. Kena juga bersyukur dan belajarlah berterima kasih kepada takdir Tuhan. Sebanyak mana yang kita buat, demikianlah yang kita dapat. Kepada Mong Kok Ping, Goh Poh Leng, Lee Yan Yan, Paveethran, Megala, Pavendran..teruskanlah belajar menguasai Bm. Tidak lupa buat Ong Teck Lam, Sirna, Laila, Bella, Aishah, Safuan, Faisal,Baiyah, Ong Bee Sim, Fattah, Visyana, dll yang tidak disebutkan nama..pilihlah IPTA @ IPTS yang menawarkan kursus yang bersesuaian dengan kelulusan dan cita-cita kalian. Jangan pula lupa jasa guru-guru selepas ini..Kekalkan jati diri. Cikgu sayang kalian..

LAWAK JE....

Dilulus terbit pada Wednesday, April 23 @ 07:40:02 MYT oleh SongkokPutih Oleh jingoza

"Dari seorang sahabat :
Di suatu malam yang dingin, di dalam sebuah bilik yang sederhana besar, di atas katil sepasang suami isteri yang telah LANJUT USIA baru masuk tidur. Suaminya telah mula mengantuk tetapi isterinya terbangkit perasaan ghairah malam itu....Si isteri bersuara,
'Dulu-dulu tu.... abang selalu pegang tangan saya bila kita nak tido...' Suaminya dengan separuh sedar menggenggam tangan isterinya, lepas tu mula mengantuk semula...
Beberapa ketika lepas tu, si isteri bersuara lagi,&! nbsp; 'Kemudian tu.... abang selalu cium saya...' Si suami dengan rasa terganggu, mengangkat kepalanya dan menyentuh bibirnya ke pipi si isteri. Lepas tu sambung tido balik...
Selepas beberapa saat, si isteri bersuara lagi, 'Kemudian tu kan.... abang selalu gigit-gigit leher saya...' Dengan perasaan marah dan geram, si suami melontar selimutnya dan bangun dari katil tu. Si isteri heran dan terus bertanya, 'Abang nak gi mana tu?' Dengan nada marah suaminya menjawab, 'Nak gi amik gigi la ni...' "

Posted by NORAZA AZIZ at 4:04 PM

Wednesday, March 11, 2009

UJIAN YANG DATANG MEMANG MEMATANGKAN PERASAAN

Lama rasanya aku tidak update blog ini. Terasa rindu untuk berkarya, namun kekangan masa menjadikan aku alpa seketika. Cuma akhir-akhir ini kekangan masa sebagai pendidik anak bangsa begitu membatasi aku untuk mengadap komputer. maklumlah, kerja sebagai pendidik tak pernah habis rasanya. Namun, hari ini aku rasa tersentuh hati apabila anak-anak didik datang bertandang ke bilik BOSS dengan kejayaan dalam subjek BM SPM yang baru keluar keputusannya tadi.
Hari ini juga insan yang paling aku sayang dalam hidup ini akan mendapatkan rawatan selama enam minggu di Hospital Lumut, Perak. Aku relakan dia pergi agar segera pulih penyakitnya. Benarlah kata orang-orang tua, penyakit ni...datang macam ribut, nak pergi macam semut. Demikianlah kehidupan ini. Adakalanya kita diuji dengan kepayahan tetapi dalam masa yang sama masih ada kegembiraan. Cuma sifat manusia sekeliling yang kadang-kadang tidak memahami apa yang bersarang dalam perasaan kita menyebabkan kita terasa hati. Tapi, aku tak mengalah kerana inilah makna sebuah kehidupan yang sarat dengan cabaran. Sebenarnya, cabaran itulah yang tambah membakar semangat aku untuk maju ke hadapan. Biarlah persepsi manusia yang berbeza itu menjadi warna-warna kehidupan.

AKU ADALAH AKU

siapalah yang sudi ketawa
berkongsi kegembiraan
dan kebahagiaan hati ini
melainkan kau kekasihku
dulu, kini dan selamanya.

siapalah yang sudi menangis
berkongsi kesedihan dan kepiluan di hati
yang sarat dengan kepahitan perasaan
melainkan kau kekasihku
dulu, kini dan selamanya.

kekasihku
dulu, kini dan selamanya
hanyakau yang mampu bertakhta di hati ini
dalam ketawa dan duka
dalam libur nestapa
dalam derita ceria
bila-bila
dan di mana-mana

kekasihku
dulu, kini dan selamanya
hanya kaulah kekasihku
abadi di hati ini.

SELAMAT DATANG KEPADA PENGETUA BARU SMKHK

Benarlah kata orang, "yang patah akan tumbuh dan yang hilang akan berganti". Demikianlah putaran hidup kita ini. Meskipun mantan pengetua SMKHK iaitu Pn. Normah bt Omar baru sahaja beralih angin menyambung perjuangannya di SMK Taman Keramat, namun kehadiran pengetua baru iaitu Pn Rihan bt. Mohd Salleh turut dialu-alukan pada hari Selasa di Dewan Budiman, bersamaaan tanggal 03.03.2009. Diharapkan pengetua baru ini dapat menjadi payung tempat berteduh kepada semua warga SMKHK.

PENANDA WACANA DALAM KARANGAN

PENANDA WACANA UNTUK MEMULAKAN AYAT PENDAHULUAN KARANGAN

1. Sedasawarsa ini sering meniti dari bibir ke bibir umat manusia di segenap empat penjuru dunia ini tentang......
2. Era pascaperindustrian dan pascaglobalisasi yang serba mencabar akal dan minda kita telah...
3. Sudah terang lagi bersuluh, semakin hari kita semakin menghampiri ambang 2020. Keadaan ini menandakan titik permulaan pelbagai cabaran dan rintangan yang bakal menghambat..
4. Dasawarsa ini, sama ada kita sedar atau tidak lantaran terlalu dihidangkan dengan pembangunan negara yang semakin gah di persada dunia. namun di sebalik itu, kita acapkali tersentak oleh pelbagai permasalahan sosial yang beronak yang dicetuskan oleh rakyat kita sendiri.
5. Dalam dunia yang dilingkari kemajuan sains dan teknologi ini...
6. Sejak dua dan tiga tahun kebelakangan ini memang kita dapat menyaksikan...

PENANDA WACANA UNTUK AYAT TERAKHIR PENDAHULUAN KARANGAN


1. Oleh itu, kebaikan dan keburukan yang mewarnai fokus perbincangan akan dihuraikan dengan terperinci demi kebaikan bersama.
2. Sebagai memperkukuh lagi pernyataan tersebut, punca-punca yang menunjang masalah ini perlu diperincikan demi kebaikan bersama.
3. Usaha pasti akan membuahkan hasil kalau pelbagai langkah yang efektif dan drastik dilakukan segera untuk mengatasi masalah yang sudah bersarang lama di negara kita ini.
4. Setelah meneliti dan mengkaji sehingga ke akar umbi, saya bersetuju dengan pendapat yang menyatakan......
5. Tiada penyakit yang tiada penawarnya, maka langkah-langkah yang konkrit, sistematik dan pragmatik harus dijalankan secara berterusan agar masalah ini boleh dibasmi hingga ke akar umbi.


PENANDA WACANA UNTUK AYAT PERTAMA SETIAP PERENGGAN

1. Kita dapat menyaksikan betapa...
2. Kita seharusnya berterima kasih kepada pihak kerajaan kerana...
3. Lazimnya, dalam keadaan...
4. Namun demikian, suatu hakikat yang tidak boleh dikesampingkan ialah...
5. Pada hemat saya...
6. Pada pandangan saya...
7. Pada realitinya, memang tidak dapat dinafikan bahawa...
8. Sebagaimana yang kita ketahui...
9. Sebagaimana yang kita maklumi...
10. Sejak awal lagi...
11. Sejak kebelakangan ini...
12. Selain itu, pada masa ini juga...
13. Seperti yang telah dinyatakan...
14. Umum mengetahui bahawa...
15. Lanjutan daripada huraian yang telah dinyatakan di atas...



PENANDA WACANA UNTUK AYAT 2 DAN SETERUSNYA DALAM KARANGAN


1. Bagi sesetengah orang...
2. Begitu juga dengan ...
3. Bertitik tolak daripada itu...
4. Bukan itu sahaja...
5. Dalam hal ini ...
6. Dalam konteks ini ...
7. Dalam zaman yang serba canggih ini ...
8. Daripada realiti ini dapat kita katakan bahawa ...
9. Dengan adanya ...
10. Dengan berbuat demikian ...
11. Dengan perkataan lain ...
12. Disebabkan hal itu ...
13. Desebabkan keistimewaan inilah kita ...
14. Hal ini berlaku disebabkan ...
15. hal ini penting dalam...
16. Hal ini serupa dengan ...
17. Hal yang serupa berlaku apabila ...
18. Hal ini disebabkan
19. Ini membuktikan bahawa ...
20. Ini menggambarkan bahawa ...
21. Ini secara tidak langsung akan
22. Ini semua meninggalkan kesan kerana
23. Ini tentu sekali membuatkan ...
24. Jadi kita perlu ...
25. Jadi kita hendaklah ...
26. Keadaan ini tentunya ...
27. Lantaran itu sehingga kini ...
28. Kesemua ini menyumbang kepada ...
29. Kita mengakui hakikat bahawa ...
30. Kita sering menonton di kaca televisyen ...
31. Kita sering membaca di dada-dada akhbar ...
32. Memandangkan keadaan yang sedemikian ...
33. Namun sejak kebelakangan ini ...
34. Oleh itu, bolehlah dikatakan ...
35. Secara logiknya masa yang ...
36. Sejak awal usia kemerdekaan negara ini lagi, kita ...
37. Keadaan ini seharusnya boleh ...
38. Walaupun demikian, sejak akhir-akhir ini ...
39. Kendatipun demikian, kita masih ...
40. Yang paling nyata ialah ...
41. Yang perlu kita pastikan ialah ...


PENANDA WACANA UNTUK MENYATAKAN STATISTIK


1. Berdasarkan perangkaan terkini yang diperoleh didapati sebanyak ...
2. Bukti yang jelas dan terkini yang berkaitan dengan perkara ini menunjukkan ...
3. Statistik yang sahih lagi tepat telah dikeluarkan oleh Kementerian ... pada tahun ... menunjukkan bahawa sebanyak .....


PENANDA WACANA UNTK MENYATAKAN CONTOH


1. Sebagai contohnya...
2. Bir kita lihat ...
3. Biar kita ambil contoh ...
4. Bagi membuktikan perkara ini, contoh yang boleh diketengahkan ialah ...
5. Sebagai analoginya,
6. Contoh yang ketara yang paling dekat dengan kita ialah ...

PENANDA WACANA UNTUK KESIMPULAN KARANGAN


1. Intiharnya,
2. Sebagai menggulung segala yang telah diperkatakan di atas ...
3. Konklusinya,
4. Dengan ini diharapkan ...
5. Bukan itu sahaja ..
6. Mudah-mudahan perkara ini...
7. Dengan keizinan Tuhan yang maha esa, kita yakin dan percaya bahawa ...
8. Jika semua masyarakat berganding bahu, ibarat ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni, insyaallah perkara ini akan ...
9. Demi merealisasikan visi kudsi Wawasan 2020, marilah kita bersama-sama ...


KATA-KATA HIKMAT DIGUNAKAN DALAM KARANGAN


1. baik kaya ialah kaya hati, sebaik-baik bekal ialah takwa, seburuk-buruk buta ialah buta hati dan sebesar-besar dosa ialah berdusta.

2. Kecantikan yang abadi terletak pada keelokan adab dan ketinggian ilmu seseorang, bukan terletak pada wajah dan pakaiannya. (Hamka)

3. Orang yang takut menghadapi kesukaran selamanya tidak akan maju. (Horne)

Tuesday, March 3, 2009

ISU PELAJAR SAMSENG

ISU pelajar samseng atau gengsterisme di sekolah bukan baru. Malah, saban tahun, ada saja kes pergaduhan membabitkan pelajar. Malah, jika menatap akhbar sepanjang minggu lalu, banyak kes membabitkan pergaduhan pelajar sehingga menyebabkan kecederaan dan kematian.
Terbaru, seorang pelajar tingkatan empat meninggal dunia selepas seminggu koma akibat dibelasah sekumpulan 24 remaja yang dipercayai pelajar sekolah.Apakah ini trend pelajar masa kini, hanya berebut seorang gadis, pelajar terbabit dipukul dengan besi, topi keledar dan pengunci motosikal selain ditendang tanpa belas kasihan.Ada pula pengawas sekolah dibelasah 10 pelajar berikutan tidak puas hati ditegur ketika membuat bising di dalam kelas dan kereta baru guru sebuah sekolah dibakar kerana ditegur tidak menyiapkan kerja sekolah.Walaupun masih berhingus, jangan terkejut jika pelajar sekolah mempunyai kumpulan atau geng tertentu untuk melakukan huru-hara.Mengapa fenomena sedemikian boleh berlaku. Tidak cukupkan pendidikan agama dan moral yang mereka pelajari di sekolah dan di rumah?Apa yang mereka mahu sehingga sanggup terbabit dengan kes yang membawa kepada kematian. Adakah mereka ini jahat, ingin menunjukkan mereka punya kuasa atau mahu menarik perhatian masyarakat?

Pensyarah Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling Universiti Malaya, Profesor Dr Suradi Salim, berkata pelajar yang terbabit dengan samseng sekolah ini bukan jahat tetapi ingin menunjukkan mereka kuat dan punya kuasa.Beliau berkata, seseorang pelajar yang terbabit dengan samseng sekolah ini akan berasa selamat dan bangga kerana mereka digeruni pelajar lain."Sebagai pelajar, mereka punya naluri untuk menjadi seorang yang digeruni dan dikenali di sekolah."Selain menjadi pelajar cemerlang, seseorang itu akan menjadi terkenal di sekolah kerana masalah disiplin yang dilakukan. Inilah yang mereka mahukan."Pergaduhan juga boleh membuktikan mereka adalah kumpulan yang kuat dan berasa setiap tindakan dilakukan adalah benar. "Ia juga satu cara untuk memberi pengajaran kepada sesiapa yang menimbulkan masalah kepada kumpulan samseng sekolah ini dan simbol kekuatan kumpulannya," katanya.Namun, ada sesetengah pelajar yang menyertai kumpulan samseng sekolah hanya untuk menjaga keselamatan diri sendiri.Ini kerana, semangat setia kawan kumpulan samseng pelajar ini kuat dan apabila seorang ahlinya diganggu pelajar lain, mereka akan sedaya upaya mempertahankannya dan itulah punca yang mencetuskan pergaduhan.

Dr Suradi berkata, masalah samseng sekolah ini bukan saja disebabkan ingin menunjukkan kekuatan tetapi dipengaruhi pelbagai faktor lain terutama faktor keluarga dan persekitaran."Setiap masyarakat terutama di negara kita punya cara tersendiri dalam menyelesaikan sesuatu masalah. Ada yang menyelesaikan masalah dengan cara baik dan apa pula yang menggunakan kekerasan."Kemungkinan pelajar yang terbabit dengan samseng sekolah ini datangnya daripada keluarga dan tempat tinggal yang menjadikan keganasan sebagai cara menyelesaikan masalah. "Apa yang mereka lihat, ia sedikit sebanyak mempengaruhi tindakan mereka ketika berhadapan dengan masalah," katanya.Di samping itu juga, pengaruh daripada media massa salah satu faktor yang menjadi penyebab masalah samseng sekolah ini.Jika diperhatikan, kebanyakan drama atau filem yang disiarkan di kaca televisyen sering menunjukkan setiap babak pertelingkahan akan diakhiri dengan pergaduhan.Walaupun masalah ini bukanlah perkara baru, tindakan sewajarnya perlu diambil agar masalah keganasan samseng sekolah ini dapat diselesaikan.Oleh itu, Dr Suradi berkata, bagi menyelesaikan masalah ini, kaunseling bukanlah jalan terbaik sebaliknya mereka ini perlu mengikuti program psikologi."Biasanya, masalah disiplin pelajar akan dirujuk kepada sesi kaunseling tetapi bergantung kepada keadaan kes."Mereka ini bukanlah bermasalah tetapi pembawa masalah. Oleh itu, kaunseling bukanlah jalan yang terbaik dalam mengatasi masalah samseng sekolah ini."Melalui psikologi, kita menggunakan program 'Intervensi Psikologi' untuk membawa pelajar ke pangkal jalan," katanya.Intervensi Psikologi akan mendedahkan pelajar dengan program yang dapat membantu mereka lebih matang dan menjauhkan diri daripada kekerasan dan keganasan.Sementara itu, Mohd Firdaus (bukan nama sebenar) yang pernah terbabit dengan kumpulan samseng sekolah lapan tahun lalu berkata, seseorang pelajar itu tidak akan bertindak ganas jika tidak dicabar pihak lain.Menurutnya, sebagai remaja, kekuatan dan kuasa penting dalam kehidupan terutama di sekolah. Justeru jika terbabit dengan kes pergaduhan, ia memberikan satu kepuasan dan kebanggaan."Biasanya, sesuatu pergaduhan tercetus kerana dicabar pihak lawan ataupun mereka mengusik dan mengganggu kumpulan samseng sekolah ini."Selepas cabar mencabar, sesi pertemuan yang didalangi orang tengah akan dirancang dan di situlah pergaduhan tercetus," katanya.Menurut Mohd Firdaus yang pernah dipenjara seminggu sebelum menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berkata, selepas membelasah pihak lawan, tidak ada apa yang dirasainya kecuali kepuasan.Namun, selepas pergaduhan itu menjadi kes polis, barulah perasaan menyesal itu timbul. Oleh itu, Mohd Firdaus berharap pelajar yang baru atau terbabit dengan samseng sekolah ini meninggalkan kumpulan itu demi masa depan."Semua orang inginkan kuasa dan nampak kuat. Namun, jangan kerana mengejar kuasa itu, kita hancurkan masa depan dan menghampakan harapan orang tua kita."Jangan terlalu ikutkan darah muda yang kononnya hanya boleh dirasai sekali seumur hidup kerana ia akan merosakkan dan meninggalkan kesan mendalam sepanjang hidup," katanya.
Emel Artikel Cetak Artikel