Wednesday, May 6, 2009

Soalan 2(c) - Petikan Prosa Klasik

Baca petikan prosa klasik di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.


Setelah beberapa hari ia duduk di rumah Jibor, maka Siti Saidah pun terlalu sangat berahinya akan Sabor dengan seribu daya menahan berahinya, tiada juga bertahan, makin bernyala-nyala. Maka apabila malam, Siti Saidah pun menyuruh orang menghiasai tempat Sabor tidur di atas geta gading bertatahkan ratna mutu manikam itu. Maka sabor pun naik tidur di atas geta gading juga dan Jibor pun tidurlah dengan isterinya.
Pada malah itu Siti Saidah pun sangat keluh kesah, tiadalah boleh tidur daripada sangat berahinya akan Sibor, tiadalah cintanya yang lain melainkan Sabor juga siang malam. Maka Siti Saidah itu ada bermukah dengan jauhari, siang dan malam tiada berkeputusan perbuatannya itu . akan Jibor itu pun sekali-kali tiada ia tahu akan perbuatan isterinya itu dengan jauharinya itu.
Setelah ia melihat rupa paras Sabor, akan jauhari pun ia lupalah, melainkan Saborlah pula dikasihi sayangnya yang tersurat di dalam mata hatinya. Setelah datanglah kepada dua puluh hari Sabor duduk di rumah Jibor saudaranya itu, maka Siti Saidah pun bertambah-tambah berahinya seperti majnun lakunya, telah tiada tertahan hatinya.

(dipetik daripada Prosa Klasik “Sabor” dalam antologi Kerusi, DBP)



(i) Terangkan maksud semakin bernyala-nyala seperti yang digunakan dalam
petikan di atas. [ 2 markah]
(ii) Apakah tabiat buruk Siti Saidah dan mengapakah Siti Saidah bersifat sedemikian?
[ 3 markah]
(iii) Pada pendapat anda, bagaimanakah caranya tabiat buruk wanita seperti Siti Saidah
itu dapat dibanteras? [ 3 markah]



Soalan 2(d) – Sajak

Di Ruang Gemanya

Telah kurangkumkan rebah setiaku
Pada setiap pilu dan rindu
Melayang dan mengembang
Ke hayat gemilang.
Sejak itu
Tidak kukesal lagi
Goda dan duga
Di gerimis senja.

Telah kupahatkan lelah umurku
Pada setiap kerikil dan debu
Dating dan menghilang
Ke hujung kenang.
Sesudah itu
Tidak kukenal lagi
Hampa dan derita
Di guruh pagi.

Gerimis senja guruh pagi
Adalah titipan maya
Bakal kukongsikan hati
Mengukir tadbir di ruang gemanya.

DHARMAWIJAYA
Antologi Kerusi, DBP

(i) Nyatakan keazaman penyajak kepada negara. [ 3 markah ]
(ii) Pada pandangan anda, apakah akibatnya jika rakyat tidak setia kepada negara? [ 3 markah ]
(iii) Bincangkan penggunaan gaya bahasa sajak ini. [ 3 markah ]

1 comment:

Lynn said...

1. Keazaman penyajak kepada negara ialah beliau mengharapkan negara akan terus makmur selepas terlepas daripada cengkaman penjajah.

2. Pada pandangan saya, akibatnya jika rakyat tidak setia kepada negara ialah negara akan menjadi huru-hara dan menyebabkan negara dijajah oleh kuasa luar. Akibatnya juga ialah pelabur asing akan kehilangan kepercayaan terhadap negara itu. Selain itu, ekonomi negara akan terjejas.

3. Penggunaan gaya bahasa sajak tersebut ialah pengulangan kata pada awal baris. Contohnya ialah baris pertama bagi rangkap satu dan dua. Inversi juga digunakan dalam sajak ini. Misalnya ialah “tidak kukesal lagi”. Selain itu, gaya bahasa yang digunaka ialah perlambangan seperti “gerimis senja guruh pagi”.

cikgu, bolehkah tolong lynn semak jawapan dan berikan contoh jawapannya? Terima kasih cikgu.