Friday, May 15, 2009

Pemahaman : Puisi Tradisional - Pantun

Latihan
Baca pantun di bawah ini dengan teliti dan kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan kata-kata anda sendiri.

Pantun Kiasan

Tikar pucuk, tikar mengkuang,
Alas nikah raja Melayu;
Ikan busuk jangan dibuang,
Buat perencah si daun kayu.

Buah bacang masak serangkai,
Burung dekut meniti batang;
Saya dagang tidak terpakai,
Macam melukut di tepi gantang.

Tebang gelam, tebang kenanga,
Batangnya tumbang menimpa gedung;
Kumbang mengidam nak seri bunga,
Bunga kembang di puncak gunung.

Pokok terap tumbuh di bukit,
Belat berbanjar panjang ke hulu;
Jangan diharap guruh di langit,
Kilat memancar hujan tak lalu.

Limau Bentan di tepi tingkap,
Budak-budak melempar burung;
Harimau di hutan lagi kutangkap,
Kononlah pulak cicak mengkarung.

Antologi Anak Laut,DBP, 2000

(i)
Apakah yang diingatkan oleh penyair menerusi rangkap pertama pantun di atas?


[ 2 markah ]

(ii)
Ungkapan Saya dagang tidak terpakai, Macam melukut di tepi gantang menggambarkan sikap merendah diri. Pada pandangan anda, mengapakah orang dagang perlu memiliki sifat merendah diri semasa berada di perantauan?


[ 3 markah ]

(iii)
Pantun ini mempunyai beberapa imej alam. Berikan beberapa contoh baris yang mengandungi imej tersebut.


[ 4 markah ]

Jawapan

No comments: