Friday, December 4, 2009

kehidupan ini begitu kompleks

Disember ini datang lagi dan saat inilah dapat aku sedikit ruang dan peluang untuk merehatkan minda setelah bertungkus lumus berjuang mendidik anak didikku yang pelbagai karektor untuk difahami dan dibimbing. Namun, ruang untuk merehatkan minda itu hanyalah satu impian yang fatamorgana lantaran kewajipan sebagai insan tidak pernah putus untuk terus menyumbangkan sesuatu kepada insan di sekeliling terutama ahli keluarga dan anak-anak didik yang kerap bertandang biarpun hanya di alam maya ini.

Cuti-cuti Malaysia mungkin indah untuk diungkapkan di bibir namun untuk merealisasikan impian tersebut pun teramat payah sekarang. Kekangan masa cemburu sungguh menghambat kehidupan yang sedia kususun atur sebaik-baiknya.Beginilah kehidupan yang begitu kompleks untuk menjadi sempurna pada mataku sendiri. Mungkin, aku tidak mampu menjadi yang terbaik di antara intan permata yang baik-baik. Namun, sumbangan aku yang tulus ikhlas ini merupakan yang terbaik mampu aku hulurkan bagi melahirkan modal insan kelas pertama. Nak menjadi SATU MALAYSIA pun bukanlah kata-kata manis di bibir. Semua itu memerlukan pengorbanan yang bukan sedikit.

Benarlah kata orang, tiada jalan mudah untuk menggapai kejayaan dalam hidup ini. Mungkin impian untuk menggapai bintang di langit itu menjadi sebahagian daripada impian Mat Jenin moden. Namun, kalau hendak seribu daya. Segala-galanya berkemungkinan.Hajat untuk memuaskan hati semua orang di sekeliling pun bukanlah mudah , semudah menuturkan kata-kata oleh lidah yang tidak bertulang ini.Mungkin bagi kita sumbangan ikhlas ini dah terbaik di dunia..namun, cermin di sekeliling kita mungkin mengatakan sumbangan kita belum mencapai standard yang betul-betul gemilang. Jadi, muhasabah diri merupakan langkah terbaik untuk menjadikan kehidupan yang sememangnya kompleks ini dapat terus bertahan di landasan yang betul.

No comments: