Penulisan : Karangan Jenis Pendapat/Perbincangan
Contoh Karangan
Kepentingan Sukan kepada Diri dan Negara
Seorang ayah yang prihatin akan mencari kawasan perumahan yang menyediakan padang permainan yang lengkap. Hal ini demikian kerana si ayah mahu anak-anaknya membesar dalam suasana yang sihat dan ceria. Proses awal ini berlanjutan apabila si anak masuk ke bangku sekolah. Si ayah akan berasa bangga jika anaknya berjaya dalam sukan ataupun permainan. Selagi si anak tidak mengabaikan pelajaran, si ayah akan memberi dorongan agar si anak berjaya dalam permainan yang digemari. Apabila si anak sudah meningkat remaja, pengharapan si ayah semakin besar. Kalau boleh si anak terpilih mewakili negara. Mengapakah keadaan ini boleh berlaku? Jawapannya mudah: Masyarakat sudah sedar akan kepentingan sukan kepada diri dan negara. Dalam konteks negara pula, kerajaan telah memperkenalkan Akta Sukan Negara untuk memastikan aktiviti sukan terancang dan berkembang dengan baik.
Apakah kepentingan sukan kepada seseorang? Sebenarnya sukan dapat melahirkan insan yang cergas dan cerdas. Aktiviti sukan melibatkan pergerakan anggota badan. Senaman mampu menguatkan sendi-sendi dan otot tubuh menyebabkan lemak yang termendap dalam badan dapat digunakan untuk menjana tenaga. Aktiviti sukan dapat membantu proses perpeluhan dan menghilangkan panas badan. Dengan ini, mereka yang aktif dalam sukan akan terhindar daripada pelbagai penyakit kronik seperti sakit jantung dan diabetes, seperti kata pepatah “otak yang cerdas terletak pada badan yang sihat”. Bagi seorang pelajar, badan yang sihat memungkinkan seseorang itu dapat memberikan perhatian sepenuhnya terhadap pelajaran. Bagi mereka yang bekerja pula, apabila badan sihat, hasil kerja lebih memuaskan, dan kesannya kemajuan dan kemakmuran sesebuah negara dapat dicapai.
Sukan juga boleh mewujudkan peluang perniagaan dan pekerjaan. Kemajuan dalam bidang sukan boleh meningkatkan permintaan terhadap alatan sukan. Oleh itu, mereka yang terlibat dalam bidang peralatan sukan seperti bola dan pakaian sukan meraih keuntungan yang berlipat ganda. Selain itu, usaha menyediakan pelbagai kemudahan prasarana sukan mendatangkan hasil yang lumayan.
Misalnya, untuk membina gelanggang permainan, staduim, dan kolam renang bertaraf antarabangsa, peluang perniagaan terbuka luas kepada kontraktor dan pembekal bahan binaa. Malah peluang-peluang pekerjaan dapat diwujudkan. Apabila sesuatu kejohanan diadakan, mereka yang berdekatan dengan gelanggang permainan memperoleh pendapatan sampingan menerusi perniagaan yang dijalankan. Ini bermakna, sukan berjaya merancakkan pertumbuhan ekonomi negara.
Ketika bersukan, kita akan melupakan warna kulit. Kita tidak peduli sama ada rakan sepermainan itu orang Melayu, Cina, ataupun India. Sebagai contoh, sebelum sesuatu pertandingan, kebiasaannya para atlet atau pemain akan berkumpul di kem latihan dalam tempoh tertentu, biasanya tidak kurang dari seminggu. Di situlah mereka tinggal, berlatih, makan dan berehat. Pergaulan dan interaksi sesama atlet dan pemain daripada pelbagai kaum mampu mewujudkan perpaduan. Ketika pertandingan dijalankan, mereka akan mempunyai satu misi untuk mengharumkan nama sekolah, negeri, ataupun negara.
Kejayaan tidak akan tercapai jika tiada persefahaman yang erat, saling membantu, dan bertolak ansur. Rakyat jelata, sebaai penyokong pasukan negara juga menunjukkan semangat kebangsaan yang tinggi dengan menyokong pemain negara. Bukti seramai 15 ribu orang daripada pelbagai kaum mendaftarkan diri sebagai sukarelawan di Sukan Komanwel (SUKOM) 1998 merupakan rekod pencetus perpaduan yang tidak mungkin dilupakan.
Sukan mampu mengangkat martabat negara ke mercu yang lebih tinggi. Pencapaian dalam bidang sukan menyebabkan nama Malaysia terukir di pentas antarabangsa. Dengan mengambil contoh kejayaan Malaysia merampas Piala Thomas pada tahun 1992 setelah 25 tahun kehilangannya dan kejayaan Malaysia memenangi pingat gangsa dalam acara badminton di Sukan Olimpik, menyebabkan nama negara disebut-sebut. Sebelum ini tidak ramai masyarakat dunia yang mengenali Malaysia. Walaupun pelbagai promosi telah dan terus dibuat, tetapi kesannya belum begitu ketara. Tetapi dengan sukan, mata masyarakat dunia seakan-akan mula terbuka. Dalam jangka panjang, keyakinan mereka bukan sahaja kepada sukan, tetapi dalam bidang-bidang lain seperti pelancongan dan perindustrian. Barangan keuaran malaysia mula mendapat perhatian. Apabila martabat negara semakin tinggi, hasil keluaran Malaysia mula mendapat tempat di pasaran antarabangsa.
Dalam waktu yang sama, sukan mempunyai potensi besar untuk menggalakkan pertumbuhan ekonomi negara. Apabila negara kita menjadi tuan rumah dalam sesuatu temasya sukan antarabangsa, keuntungan besar boleh diperoleh menerusi pelancongan, perhotelan, dan pengangkutan. Ketika SUKOM dulu, seramai 6, 000 orang peserta dan pegawai dari 60 buah negara telah datang ke negara kita. Ramai lagi pemerhati dan penyokong yang telah datang. Selain untuk menyaksikan temasya, mereka mengambil kesempatan untuk mengunjungi tempat-tempat yang menarik. Kedatangan mereka tidak dengan tangan kosong; sudah tentu membawa sejumlah wang besar. Wang tersebut akan dibelanjakan untuk membeli-belah, membayar sewa tempat tinggal, dan kenderaan. Negara akan memperoleh pandangan melalui pertukaran wang asing. Justeru, sukan mampu merancakkan pertumbuhan ekonomi negara.
Sukan boleh mengatasi pelbagai masalah sosial. Sejak akhir-akhir ini, masyarakat didedahkan dengan masalah remaja yang suka melepak, bohsia, penyalahgunaan dadah, dan vandalisme. Memang banyak faktor yang memungkinkan masalah ini berlaku. Tetapi yang paling jelas, masalah ini berpunca daripada remaja yang tidak tahu memanfaatkan masa yang terluang. Jika mereka meminati sukan, masa yang terluang selepas habis sekolah atau bekerja, mereka akan ke gelanggang permainan. Selepas selesai mengikuti sesi permainan, badan sudah letih dan malam pun telah tiba. Jadi, tiada ruang untuk bertemu rakan-rakan yang suka melepak. Malah, mereka yang meminati aktiviti bersukan mempunyai disiplin yang kuat. Golongan ini sedar akan peranan mereka sebagai remaja dan rakyat Malaysia dan tidak sesekali teringat untuk melakukan kegiatan yang tidak sihat. Ini membuktikan, sukan mampu membentuk masyarakat yang menghargai masa, diri dan negara.
Memandangkan betapa pentingnya sukan kepada pembangunan negara, kerajaan menerusi Kementerian Belia dan Sukan telah menyusun pelbagai program untuk memastikan sukan menjadi satu aktiviti, yang bukan sahaja menyihatkan badan, malah mampu mengharumkan negara.
Sesungguhnya masa itu emas. Golongan remaja perlu memanfaatkan masa yang terluang. Ada masa untuk berhibur, belajar, bersukan, dan membaca buku. Tetapi tiada masa untuk melepak, bercampur gaul dengan budak-budak nakal, ataupun merosakkan harta benda awam.
Jangan dilurut padi muda,
Kalau dilurut luka tangan;
Jangan diturut hati muda,
Kalau turut susah berpanjangan.
Sesungguhnya diri sendirilah yang bakal mencorakkan masa depan. Jangan sesekali mengikutkan hati muda. Daripada melakukan perkara yang tidak berfaedah, lebih baik memanfaatkan masa depan bersukan.
1 comment:
terbaik lah karangan ni ! dan sangat membantu ! thx for admin sebab rajin untuk menaip tentang karangan ini ! XD
Post a Comment