Saturday, January 17, 2009

SINOPSIS NOVEL PANAS SALJU

Novel ini mengisahkan kegigihan Zulkifli dalam usaha untuk membiayai kos rawatan anaknya Nadhirah di luar negara. Nadhirah menghidap penyakit rosak hati dan hempedu dan memerlukan sebanyak RM 350,000. Isterinya Bushrah rela mengorbankan sebahagian daripada hatinya untuk didermakan kepada anak kesayangannya. Namun, keputusan tersebut mendapat tentangan daripada pelbagai pihak kerana bimbang akan risiko yang bakal dihadapinya.
Zulkifli bekerja sebagai pembantu hospital dan masih belajar secara jarak jauh di Universiti Sains Malaysia. Dia juga gigih menulis skrip drama radio. Malah, dia tabah menghadapi dugaan dan tidak jemu berusaha mengubati penyakit anaknya itu. Sahabat baiknya, MUlyadi mencadangkan agar dia memohon derma daripada ahli korporat dengan mendedahkan penyakit anaknya di akhbar.
Berita tersebut telah berjaya menarik perhatian seorang tokoh korporat iaitu Pengarah Urusan Sapura Holdin, Tan Sri Shamsuddin(TSS). TSS dan isterinya bersetuju membiayai kos rawatan dan penginapan tersebut. Malah pihak sekolah tempat Busrah bekerja turut melancarkan kutipan derma untuk mengurangkan beban yang ditanggung oleh Bushran. Penduduk di kawasan tempat tinggal mereka turut membantu dengan cara mengutip derma.
Setibanya di London, Zulkifli dan keluarganya berjumpa dengan Dr. Tan Kai Chah(TKC) bagi membincangkan pembedahan yang akan dijalankan kelak. Dr. TKC merupakan seorang pakar pemindahan hati telah berjaya melakukan proses pembedahan tersebut dengan selamatnya.
Selepas lima tahun berlalu Nadhirah dan Bushrah kelihatan sihat .Mereka terpaksa menjalani rawatan perubatan susulan bagi memastikan hati mereka berfungsi dengan baik. Namun, pada suatu malam Jumaat, Bushrah telah menghembuskan nafasnya yang terakhir setelah mengadu susah untuk bernafas. Sebelum itu, Zulkifli telah meninggalkan pekerjaanya kerana mendapat tawaran yang lebih lumayan sebagai pengarang sastera di Mingguan Malaysia. Nadhirah pula bekerja di Bank Islam dan berkahwin dengan seorang doktor bedah di Kuala Lumpur.

AZAM TAHUN BARU 2009

Begitu pantas masa berlari meninggalkan kita. Sedar tak sedar, kita dah pun menginjak ke tahun 2009 bersamaan dengan 1430H. Lantaran itu, kita tinggalkan tahun 2008 dengan pelbagai kisah suka duka, dan penuh dengan warna-warni kehidupan yang sememangnya memberi kesan di hati. Namun, usahlah takut menghadapi tahun 2009 khususnya kepada para pelajar yang akan menduduki PMR, SPM dan STPM nanti.
Yang patah tetap akan tumbuh, dan yang hilang pasti akan berganti. Jadikanlah suka duka hidup kita sebagai kenangan abadi yang menyeronokkan untuk dikenang dan sebagai sandaran kita menentukan hala tuju hidup kita. Ambil iktibar untuk memulakan tahun baru dengan semangat baru yang lebih kental lagi padu. Hari ini adalah kenyataan bagi meniti masa hadapan yang masih panjang.
Justeru itu, kita perlu merancang strategi dan berusaha membina cita-cita yang didambakan tanpa bertangguh walaupun sesaat. Realisasikan segala azam yang telah dibina sekian lama dengan kesungguhan, berdoa seterusnya bertawakal. Semoga ALLAH mempermudah segala usaha kita. Namun, jika impian tahun 2008 terkandas di pertengahan jalan..janganlah putus asa. Terimalah segala kesulitan sebagai satu cabaran dalam hidup. Buat semua pelajar kesayanganku khususnya kelas 3 Jujur, 3 Ikhlas, 4 Sains 2, dan 5 Sains 1..perjuangan kita belum selesai. Pastikan prestasi subjek Bahasa Melayu kita terus meningkat pada tahun ini. ANDA BOLEH!

Monday, November 24, 2008

NOVEL PANAS SALJU: PMR 2008

Nyatakan tiga latar tempat dan berikan contoh peristiwa yang berlaku.

JAWAPAN:
markah isi = 6
markah bahasa =4
Jumlah Markah=10

Berdasarkan novel Panas Salju karya Talib Samad, terdapat pelbagai latar tempat dan contoh peristiwa yang berlaku. Latar tempat yang pertama ialah Hospital King's College di London. Di sini, Nadhirah iaitu anak kepada Zulkifli dan Bushrah, yang menghidap penyakit rosak hati dan hempedu telah dibedah. Bushrah, ibu kepada Nadhirah telah mendermakan sebahagian daripada hatinya kepada anaknya dan telah dibedah oleh Dr. Tan Kai Chah.
Latar tempat kedua ialah di rumah keluarga Zulkifli yang terletak di Jalan Mewah Satu, Bandar Tun Razak Kuala Lumpur. Di sini, Bushrah telah mengambil keputusan untuk mendermakan hatinya kepada Nadhirah. Malah, kenduri yang diadakan sebelum mereka berangkat ke London turut diadakan di sini.
Latar tempat yang ketiga ialah di Pejabat Utusan Melayu. Di sini, Zulkifli iaitu ayah kepada Nadhirah dan suami kepada Bushrah telah berjumpa dengan wartawan Utusan Melayu, Mohamad Yusuf untuk menyiarkan berita penderitaan Nadhirah. Wartawan itu telah menyiarkan berita itu yang mendapat simpati Tan Sri Shamsuddin.

JANGANLAH SOMBONG DAN ANGKUH

Jangan Sombong dan Angkuh..
04.19.04 (6:07 pm) [edit]

Beberapa pesanan daripada Imam Al-Ghazali untuk dijadikan panduan kita supaya kita tidak bersifat sombong dan angkuh.

1. Jika jumpa dengan kanak-kanak, anggaplah kanak-kanak itu lebih mulia daripada kita; kerana mereka ini belum banyak melakukan dosa daripada kita.

2. Apabila bertemu dengan orangtua, anggaplah dia lebih mulia daripada kita kerana dia sudah lama beribadat.

3. Jika berjumpa dengan orang alim, anggaplah dia lebih mulia daripada kita kerana banyak ilmu yang telah dia pelajari dan ketahui.

4. Apabila melihat orang jahil, anggaplah dia lebih mulia daripada kita kerana dia membuat dosa dalam kejahilan, sedangkan kita membuat dosa dalam keadaan mengetahui.

5. Jika melihat orang jahat, jangan anggap kita lebih mulia kerana mungkin suatu hari nanti dia akan insaf dan bertaubat atas kesalahannya.

6. Apabila bertemu dengan orang kafir, katakan dalam hati bahawa mungkin pada suatu hari nanti dia akan diberi hidayah oleh Allah dan akan memeluk Islam, maka segala dosanya akan diampuni oleh Allah.

Sekian dulu utk renungan kita bersama...":)

Sumber: Blog Mengharap Redha Ilahi

Sunday, November 23, 2008

KARANGAN PMR 2008: Kempen memerangi nyamuk aedes telah diadakan di tempat tinggal anda. Tulis pengalaman anda semasa menyertai kempen tersebut.

CONTOH KARANGAN:

Pada cuti sekolah yang lepas, Jawatankuasa Rukun Tetangga di tempat tinggal saya telah menganjurkan kempen memerangi nyamuk aedes. Kempen tersebut diadakan di seluruh kawasan taman tempat tinggal saya. Kempen ini diadakan bertujuan untuk memberi kesedaran kepada penduduk tentang bahaya nyamuk aedes.
Terdapat pelbagai aktiviti yang dilakukan seperti mewarna poster, pameran, sesi ceramah oleh Pegawai Kawalan Vektor yang telah dijemput khas dari Unit Kawalan Vektor di klinik kesihatan di tempat tinggal saya. Kempen ini telah berlangsung selama sehari suntuk/
Antara yang sempat saya ikuti ialah sesi ceramah yang dikendalikan oleh pegawai tersebut. Ceramah ini banyak memberikan input tentang nyamuk aedes. Setelah mendengar ceramah tersebut, barulah saya mengetahui bahawa nyamuk aedes betina yang matang yang membawa virus denggi.
Selain itu, kami juga telah melakukan gotong-royong bagi membersihkan kawasan-kawasan yang berisiko tinggi menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes. Kami membuang segala jenis bekas yang boleh menakung air kerana nyamuk aedes suka membiak di tempat yang berair.
Aktiviti yang terakhir atau aktiviti kemuncak yang kami lakukan ialah 'fogging' Pegawai-pegawai kesihatan menyembur asap daripada bahan yang mampu menghapuskan habitat aedes. Ketika ini, semua rumah wajib menutup tingkap, pintu dan segala lubang angin supaya asap tidak masuk ke dalam rumah.
Kempen ini berakhir pada pukul 8.00 malam. Semua penduduk telah keletihan. Saya juga berasa sangat letih tetapi pengalaman yang ditimba tidak dapat saya lupakan. Saya berharap agar kempen sebegini dapat dilakukan lagi pada masa akan datang.

Friday, November 21, 2008

KARANGAN PMR 2008: Ibu bapa mempunyai peranan penting memupuk minat membaca dalam kalangan anak mereka. Berikan pendapat anda

Marcapada ini, amalan membaca semakin diketepikan oleh remaja dan kanak-kanak. Walaupun kerajaan telah menggiatkan usaha untuk meningkatkan minat membaca, tetapi peranan ibu bapa juga tidak boleh diabaikan.
Pada pendapat saya, ibu bapa memainkan peranan yang terpenting dalam usaha memupuk minat membaca dalam kalangan kanak-kanak. Antara peranan ibu bapa ialah menanam minat membaca dalam jiwa anak-anak sejak kecil lagi. Ibu bapa boleh membacakan buku cerita dongeng sebelum anak-anak masuk tidur. Amalan sedemikianakan dapat melahirkan anak-anak yang meminati dunia ilmu apabila mereka dewasa kelaksebagaimana pepatah ada menyebut bahawa melentur buluh biarlan dari rebungnya. Semangat membaca ini perlulah dipupuk sejak anak-anak kecil lagi.
Selain itu, ibu bapa sendiri perlu mengamalkan budaya membaca kerana anak-anak akan mengikuti sikap dan kebiasaan ibu bapa mereka. Sebagai contohnya ibu bapa boleh membeli surat khabar setiap pagi dan membaca bersama-sama anak mereka. Hal ini akan dapat memupuk minat membaca kerana bagaimana acuan, begitulah kuihnya.
Tambahan pula, ibu bapa boleh membawa anak-anak mereka melawat ke pameran-pemeran buku semasa cuti persekolahan. Di situ terdapat pelbagai bahan bacaan seperti majalah, buku cerita, buku latihan, dan novel yang sesuai dibaca oleh golongan kanak-kanak serta remaja. Namun begitu, ibu bapa bertanggungjawab untuk memastikan anak-anak membaca bahan bacaan yang sihat.
Di samping itu, ibu bapa perlu juga menyediakan kemudahan yang selesa dan tenang di rumah seperti bilik bacaan. Peralatan seperti kerusi, meja hendaklah disediakan dengan sempurna. Ibu bapa juga perlu sering memberi alakan kepada anak-anak agar mengisi masa dengan membaca kerana membaca itu jambatan ilmu.
Sebagai intihanya, kita hendaklah menyedari bahawa ilmu itu merupakan pelita hati. Jelaslah ibu bapa sewajarnya memupuk amalan dalam diri anak-anak agar sebati dengan jiwa mereka.

KARANGAN PMR 2008: Amalan Berbudi Bahasa Banyak Faedahnya

Jelaskan faedah-faedah yang diperoleh daripada amalan tersebut.
Contoh Karangan Cemerlang:
Setiap manusia yang hidup di muka bumi Allah swt ini mempunyai berbagai-bagai perangai. Ada yang baik dan tidak kurang juga yang kurang baik. Kita di Malaysia ini, hendaklah selalu mengamalkan amalan berbudi bahasa ini kerana kita sudah sinonim dengan sifat yang lemah lembut dan bersopan-santun.
Banyak faedah yang kita peroleh dengan mengamalkan sikap berbudi bahasa. Antaranya ialah, kita akan dihormati oleh orang lain. Dengan sikap yang lemah lembut dan tidak bercakap kasar, kita akan dipandang mulia dan disukai oleh mereka yang berada di sekeliling kita. Mereka tidak sesekali memandang serong terhadap kita. Malah, mereka akan berasa senang untuk berdamping dengan kita.
Allah swt juga suka akan orang-orang yang berbudi bahasa. Hal ini demikian kerana mereka yang berbudi bahasa tidak akan sesekali mengeluarkan perkataan-perkataan yang tidak berfaedah dan perkataan yang kurang sedap didengar oleh orang lain. Bukan itu sahaja, malah kita akan sentiasa diredai oleh Allah swt.
Sikap kita yang berbudi bahasa ini juga akan membawa kesenangan dan kebaikan dalam diri kita. Apabila kita hendak memohon sesuatu pekerjaan, sikap inilah yang akan dilihat oleh seseorang majikan itu. Lalu, majikan tersebut tidak akan teragak-agak untuk mengambil kita bekerja.
Kita juga akan mempunyai banyak kawan. Hanya kawan yang baik sahaja sesuai untuk berdamping dengan kita yang mempunyai budi bahasa ini. Mereka akan berasa gembira apabila berada bersama-sama kita sepanjang masa. Hal ini akan membuat seseorang itu akan berasa yakin pada diri sendiri.
Akhir sekali, amalan berbudi bahasa dapat menjaga maruah kita terutama bagi seorang muslim. Budi bahasa inilah yang mencorak diri seseorang itu sama ada baik atau buruk perbuatannya.
Oleh itu, kita hendaklah mengamalkan amalan berbudi bahasa dengan semua orang tanpa mengira batas agama atau bangsa. Dengan sikap inilah kita akan dipandang mulia sepanjang zaman. Tepuk dada tanyalah selera. Hanya kita yang akan membentuk budi pekerti dalam diri sendiri.