Wednesday, May 6, 2009

Soalan 1:
Rumusan
[30 markah]

Baca petikan di bawah ini dengan teliti dan kemudian buat suatu rumusan tentang punca-punca pembakaran terbuka dan langkah-langkah mengekangnya. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah kata.

Pembakaran terbuka yang berlaku di beberapa kawasan di negara ini telah menyebabkan kualiti udara tercemar dan menimbulkan gangguan dalam kehidupan harian. Pembakaran ini melibatkan kawasan hutan yang ditebas untuk kegiatan pertanian, sama ada oleh golongan petani atau syarikat perladangan di negara ini. Suasana ini bertambah serius apabila pembakaran berlaku juga di kawasan pelupusan sampah dan kawasan kediaman.
Walaupun pihak kerajaan telah berulang kali menegaskan risiko daripada pembakaran terbuka, namun perkara ini tidak begitu dihiraukan oleh pihak-pihak yang terlibat sehingga ada pembakaran terbuka yang lebih besar dan dilakukan secara berulahg-ulang oleh pihak yang sama. Hal ini sepatutnya diberikan perhatian serius dan diambil tindakan tegas oleh pihak yang diberi tanggungjawab terutama Jabatan Alam Sekitar. Sejak dahulu lagi pembakaran terbuka di negara kita berlaku tidak tentu masanya dan masyarakat sudah mangli dengannya. Apabila langit berjerebu dan nafas terasa sesak barulah orang sibuk bercakap tentang pembakaran terbuka, tatapi apabila jerebu hilang maka perkara itu dilupakan. Pada masa itu orang yang tidak bertanggungjawab pun meneruskan amalan buruk itu semula. Dengan itu, pembakaran terbuka seolah-olah menjadi sebahagian daripada kehidupan. Boleh dikatakan setiap hari ada sahaja pembakaran terbuka yang dilakukan secara besar-besaran oleh pihak pemaju yang membakar sisa-sisa projek pembinaan atau penggiat industri kecil yang membakar apa-apa sahaja bahan sisa bermula daripada kotak sabun, wayar hingga tayar buruk.
Sekiranya ada keprihatinan daripada rakyat tentulah pembakaran seperti ini dapat dikurangkan, sebaliknya perkara ini menjadi sukar kerana sebahagian besar rakyat beranggapan bahawa tugas membanterasnya merupakan tanggungjawab pihak berkuasa. Jika perkara ini dibiarkan tentu sekali kehidupan rakyat tidak selesa dan rakyat berhadapan dengan pelbagai risiko daripada kesan pembakaran tersebut. Malangnya, rakyat kurang mengambil beras risiko daripada pembakaran itu. Jika ada laporan yang dibuat, maka pihak Jabatan Alam Sekitar akan mengambil tindakan terhadap pihak yang terbabit. Menurut kenyataan JAS, beberapa buah syarikat besar sedang disiasat kerana melakukan pembakaran terbuka yang menyebabkan indeks kualiti udara mencapai tahap tidak selamat. Syarikat berkenaan boleh didakwa di bawah
SULIT 3 1103/2
Seksyen 29 (A) Akta Kualiti Alam Sekitar 1974. Jika sabit kesalahan pihak syarikat boleh didenda RM 500 000 atau hukuman penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Kita harus sedar sepenuhnya bahawa pembakaran terbuka ialah ancaman terhadap alam sekitar dan kehidupan. Sesiapa yang melakukan kegiatan ini perlu dikenakan tindakan tegas dan pihak berkuasa tidak boleh berlembut dan bertolak ansur terhadap golongan ini.
(Dipetik dan diubahsuaikan daripada rencana Mengapa Pembakaran Terbuka Semakin Berleluasa oleh Abd. Jalil Ali, Dewan Masyarakat, Oktober 2002)

Soalan 2: Pemahaman
[35 markah]

Soalan 2(a) – Petikan Umum

Berdasarkan petikan Soalan 1, jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.
(i) Berikan maksud rangkai kata sekiranya ada keprihatinan daripada rakyat. [2 markah]
(ii) Mengapakah anggota masyarakat memandang ringan kesan pembakaran terbuka?
[3 markah]
(iii) Pada pandangan anda, mengapakah ada pihak yang tidak takut melakukan
pembakaran terbuka? [4 markah]
Jawapan:
(i) Maksud rangkai kata tersebut ialah jika ada kesungguhan rakyat atau mengambil berat tentang sesuatu
(ii) Anggota masyarakatmemandang ringan kesan pembakaran terbuka kerana pembakaran terbuka kerap berlaku, mereka sudah lali dengan keadaan itu dan perbuatan itu seolah-olah sudah menjadi sebahagian daripada kehidpan
(iii) Pada pandangan saya, pihak yang tidak takut melakukan pembakaran terbuka adalah kerana Jabatan Alam Sekitar tidak bertindak secara tegas dan berkesan. Seterusnya, denda yang dikenakan begitu rendah berbanding hasil yang mereka peroleh. Di samping itu, sikap masyarakat yang enggan membuat laporan kerana tidak mahu bersusah payah menjadi saksi perbicaraan kes di mahakamah. Malah, pembakaran terbuka merupakan cara mudah untuk melupuskan sampah. Akhir sekali, keluasan kawasan menyukarkan pihak berkuasa bertindak serentak untuk membanterasnya.

Tuesday, May 5, 2009

Pemahaman Prosa Moden :

Sajak Keindahan Yang Hilang

Latihan
Baca sajak di bawah ini dengan teliti dan kemudian jawab soalan berikutnya dengan menggunakan perkataan anda sendiri.

Keindahan Yang Hilang

I
Sayup-sayup undan tua berlagu hiba
terbang beriring di rembang petang
renik-renik mengirai bulu
carikmelayang satu-satu berbaur debu lesu
berapungan di air lalu.
Daun-daun menghijau
alangkah segar
kemilau danau disinar mentari
kali tenang betapa lembut mengalir ke muara
kedamaian melingkar rimba
lalu tumpah kasih nan jernih
erat bertaut cinta kasih.
Malam hiba dadanya ungu luka
pungguk tersedu pilu di atas batu
bulan tiada lagi mendandan wajah
bintang malam pudar sinarnya.

II
Orang bicara bulan bintang
di makmalpada buku, data dan komputer
lalu bulan dan cakerawala bisa diteroka
bisa kembara di planet dan angkasa.
Undan patah sayap gugur bulunya
bertaburansuara siapa
parau mendera di malam larakali tenang
tiba-tiba airnya bengis melandakepada siapa anak-anak kota desa berhutang nyawa?

III

Bulan kini bukan lagi menara kasih jernih
bintang-bintang bukan lagi saksi sumpah kekasih.

Shamsudin JaafarAntologi Kerusi DBP, 2000
i. Huraikan keadaan alam sekitar yang digambarkan oleh penyajak? (3 markah)
ii. Apakah tema sajak di atas? (2 markah)


Jawapan
Pemahaman Prosa Moden : Drama
Latihan 1
Baca petikan drama di bawah ini dengan teliti dan kemudian
jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan
perkataan anda sendiri.

SRISEGALA :
(Ketawa sinis) Orang muda! Kau tak pernah mengingati perkembangan dunia hari ini agaknya. Tahukah kau bahawa fikiran dan perasaan manusia itu adalah di bawah kekuasaan tempat duduknya? Kerusi ini lebih bijaksana dariku. Begitu juga bunyi sebuah gong, menguasai siapa saja yang menduduki tempat ini.

PUTRA :
Tidak! Itu hanya alasanmu. Sejak bilakah kau berikan nyawa pada sebuah kerusi dan sebuah gong yang kaku? Kau adalah punca segala-galanya. Dan aku cukup tahu, selama kau di situ, hanya segelintir manusia sahaja yang akan berjaya mendaki gunung mencapai awan. Manusia yang sama bulunya denganmu. Aku dan orang-orang itu akan hanya dihiburkan dengan lakonanmu. Kau membawa kami ke dunia tiga penjuru dengan segala janji bahawa penjuru ini lebih baik dari yang itu, dan yang ini lebih baik lagi. Aku sudah tahu dunia tiga penjurumu itu sama semuanya. Tidak ada yang lebih baik.


(Dipetik daripada drama Kerusi,
antologi Kerusi, DBP, 2000)

(i) Apakah keistimewaan manusia jika dibandingkan
dengan makhluk lain? [3 markah]

(ii) …….fikiran dan perasaan manusia itu adalah di
bawah kekuasaan tempat duduknya? Jelaskan [4 markah]

(iii) Nyatakan tujuan penggunaan kata seru dalam petikan [3 markah]

Latihan 2

Baca petikan drama di bawah ini dengan teliti dan
kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan
menggunakan perkataan anda sendiri.

PUTERI HANG LI PO:
(Acuh tak acuh saja, ia pun mengambil sebiji buah rambutan yang terkupas lalu menjamahnya tetapi tidak dihabiskannya) Yalah Andam, memang rasanya seperti buah laici kesukaan beta. Tetapi buah ini ada selaput keras dan isinya kurang lembut kalau dibandingkan dengan laici, bukan? Tapi tak mengapalah, beta pun tidak lapar. Kembang Cina, Andam, dan dayang-dayang sekalian sahajalah makan.Habiskan buah-buah ini?

KEMBANG CINA :
Tapi tuanku Puteri, adat melarang patik semua menjamah buah-buahan yang belum disisa oleh raja. Jadi patik semua boleh makan rambutan sahaja, tuanku. Bagaimana dengan buah manggis ini?


Dipetik daripada drama Puteri Li Po,
antologi Kerusi, DBP, 2000)

1. Siapakah Kembang Cina [3 markah]

2. Pada pendapat anda, mengapakah Puteri Hang Li Po
bersikap sedemikian? [3 markah]

3. Dayang-dayang sajalah makan…
Huraikan perwatakan Puteri Hang Li Po [4 markah]

Jawapan
Komponen Sastera Melayu : Latar

Latihan

Setelah Siti Saidah mendengar kata Sabor, beberapa dipujuk dengan cumbu yang lemah lembut memberi berahi dikatakan oleh Saidah, tiada juga ia mahu menurut perkataan Saidah, maka ia pun terlalu marah akan Sabor, katanya, “Jika tiada engkau menurut kataku hingga kuceraikan nyawamu daripada badanmu itu, maka puas rasa hatiku.”
Maka akan Sabor itu semata-mata menyerahkan dirinya kepada Allah subhanahu wataala Tuhan sarwa alam sekalian. Kata Sabor, “Jika sungguh seperti katamu itu, sudahlah hukum Allah taala di atasku ini, syukur aku kepada Allah subhanahu wataala.”
Setelah Saidah mendengar kata Sabor demikian, maka makin bertambah-tambah marahnya lalu ia kembali kepada tempatnya, seraya tidur di sisi suaminya. Adapun akan Sabor itu, telah sudah dilihatnya Saidah sudah kembali, maka ia pun mengucap “ Alhamdulillah ! Syukurlah aku kepada Allah subhanahu wataala!”

(Dipetik daripada prosa tradisional Sabor dalam antologi Kerusi, , DPB, 2000)

1.Nyatakan latar yang terdapat dalam petikan.

2.Kaitkan latar tempat dengan peristiwa yang berlaku.

3.Pada pendapat anda, bilakah peristiwa di atas itu berlaku?


Jawapan

SELAMAT HARI IBU

Mungkin belum terlewat bagi para pelajar mengucapkan Selamat Hari Ibu kepada ibu masing-masing yang telah melahirkan anda ke dunia ini. Ingatlah, syurga di bawah telapak kaki ibu. Selagi ada ruang dan peluang di hadapan mata, janganlah menyakiti hati ibu anda. Mungkin hari ini merupakan hari terakhir anda dapat berkongsi kasih sayangnya di dunia ini. Hargailah ibu anda selagi hayat dikandung badan.

Sunday, May 3, 2009

dari aspek, dari sudut pandangan, dari segi ATAU daripada aspek, daripada sudut pandangan, daripada segi ?

Jawaban:

Panel penulis Tatabahasa Dewan Edisi Keempat menetapkan bahawa frasa sendi yang tepat ialah dari segi, dari aspek dan dari sudut. Hal ini berdasarkan aspek, pandangan dan segi dianggap sebagai tempat yang abstrak.Bagi Allyarham Pak Asraf pula dan juga Prof Dr. Awang Sariyan, mereka berpendapat bahawa frasa sendi nama `daripada aspek’, `daripada sudut pandangan’ atau `daripada segi’ sebagai betul. Ketetapan ini dibuat berdasarkan rumus ATM dan KABOS. Jika kita mahu menggunakan kata sendi nama dari, kita hendaklah melihat kata yang selepasnya sama ada Arah, Tempat atau Masa. Jika kita hendak menggunakan perkataan `daripada’ pula, kita hendaklah melihat kata selepasnya sama ada keanggotaan, abstrak, benda, orang atau organisasi atau sumber. Oleh sebab kata `aspek’, `sudut’ dan `segi’ merupakan kata abstrak, maka mereka menggunakan kata sendi nama `daripada’.Kesimpulannya, kedua-duanya betul. Namun, oleh sebab kita menggunakan buku Tatabahasa Dewan sebagai pegangan, maka kita hendaklah menggunakan frasa `dari aspek’, `dari sudut’, `dari segi’ dan sebagainya.
RUJUKAN: CIKGU GHALIB
Posted by agy7500 at 12:56 AM 0 comments
Saturday, May 2, 2009
Mengikut Kamus Dewan Edisi Keempat, `marcapada’ bermaksud dunia sekarang ini. Ayat contoh yang diberikan ialah:

Kita janganlah terpengaruh dengan marcapada yang penuh dengan tipu daya.
Jika perkataan `marcapada’ diungkapkan seperti yang terdapat dalam ayat di bawah ini, ayat tersebut tidak gramatis kerana berlakunya kelewahan bahasa.
Dalam marcapada ini, gejala sosial semakin leluasa berlaku dalam kalangan remaja bagai cendawan tumbuh selepas hujan.
Kelewahan bahasa jelas dapat dilihat apabila perkataan `marcapada’ digantikan dengan maksud `dunia sekarang ini’ seperti yang berikut:
2(a) Dalam [dunia sekarang ini ] ini, gejala sosial semakin leluasa berlaku dalam kalangan remaja bagai cendawan tumbuh selepas hujan.
Menurut AsiaMaya.com, maksud marcapada adalah seperti yang berikut:
” marcapada the earth, this world as opposed to heaven (in wayang stories) (kata tidak umum - not a common word)
http://www.asiatour.com/indo-english/kamus/m/marcapada.htm
Maksud yang dikemukakan ini hampir sama dengan maksud yang dikemukakan oleh Kamus Besar Indonesia, iaitu :
mar·ca·pa·da n dunia nyata (tempat makhluk hidup); bumi
http://pusatbahasa.diknas.go.id/kbbi/index.php
Dengan maksud yang dikemukakan ini, ayat contoh yang sesuai ialah:
Dalam era globalisasi ini, kita terpaksa hidup di marcapada yang panas.
Dalam marcapada yang penuh dengan pancaroba, kita mestilah sentiasa bersedia untuk menghadapi pelbagai cabaran dan dugaan kerana jika kita tidak sanggup dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai.
Tindakan ini yang dianggap seperti enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing akhirnya nanti akan memakan atau menikam diri sendiri apabila marcapada pada suatu hari nanti akan tenggelam sebagai akibat atau balasan kesan daripada ais yang semakin mencair apabila berlakunya banjir besar.
Dengan penjelasan yang agak lengkap ini, diharapkan semua guru dan pelajar dapat memahami penggunaan perkataan `marcapada’ dengan tepat dalam ayat.

RUJUKAN: BLOG CIKGU GHALIB
Posted by agy7500 at 9:11 AM 0 comments
Saturday, April 18, 2009